Aidilfitri 1427H - HARI RAYA PALING SURAM

Saat saya menulis catatan ini, bulan Syawal telahpun masuk hari yang ke-9. Sebagaimana lazimnya di Malaysia yang menyambut lebaran selama sebulan, suasana Hari Raya masih terasa biarpun tempoh bercuti telah tamat dan para pekerja sudah mula berkerja. Di bandar-bandar besar, banyak pihak yang masih menganjurkan rumah terbuka sehinggalah ke hari terakhir bulan Syawal. Bagi masyarakat  desa, suasana Hari Raya surut sebaik masuk minggu ke-2.

Secara peribadi saya rasakan Hari Raya tahun ini paling suram berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kesuraman suasana itu mungkin bermula setelah jadual pulang kampung terpaksa saya tangguhkan sehari. Malang sekali, saya dan beberapa rakan sepejabat dipaksa bekerja ketika cuti sudah bermula. Lebih malang lagi, kerja yang dilakukan bukannya di dalam pejabat sebaliknya di tepi lebuhraya utama sekitar Kuala Lumpur. Bagi mereka yang melalui jalan-jalan tertentu,  anda mungkin telah menerima satu bungkusan berisi buah kurma, sebotol Air Mineral dan dua helai risalah (brochure) berkenaan satu projek perumahan baru syarikat kami di Shah Alam, Selangor yang kami edarkan kepada para pengguna lebuhraya.

Suram suasananya sekali lagi saya rasa sebaik sampai di kampung. Ternyata yang meraikan hari besar ini hanya saya dan adik lelaki serta kedua orang tua. Sudah terbiasa lapan beradik berkumpul bersama, tiba-tiba kini hanya tinggal dua beradik. Sunyinya. Sudah adat, semua ahli saudara saya yang lain tiba giliran beraya di rumah mertua masing-masing. Tapi raya tetap raya, persediaan tetap dibuat biarpun ringkas dan ala kadar. 

Berselang-selikan kiriman SMS yang saya terima dari rakan di 3 negara. MaklumLah, Fazli kini sudah mendunia. (Padahal rakan-rakan saya itu hanya datang Malaysia, Singapura & Indonesia). SMS inilah pengubat rindu saya pada anak-anak buah saya yang nakal dan 'nak kena gigit'. Pelbagai bentuk ucapan Selamat Hari Raya telah saya terima. Ada yang berbau jenaka, ada yang sedih, yang neutral, hinggalah yang berunsur lucah. Paling menarik, satu SMS berbahasa Jawa yang dikirim rakan dari Klang yang saya pasti dia juga tak faham maksudnya. SMS tersebut berbunyi begini:-

            “Ngadok Kupat neng ngisor ondo, Godonge nipah digawae atep,
             Salah silapku njaluk ngapurn, Ketemu meneh neng taun ngarep”

Pagi Raya. Hanya kami berempat menjamu ketupat dan juadah lain didapur. Suasana satu syawal ini juga disuramkan lagi oleh cuaca yang tak menentu. Hujan mula turun renyai waktu pagi dan lebat menjelang petang. Kami hanya duduk di rumah dan menanti tiba kunjungan saudara mara.

Syukurlah menjelang seminggu, barulah suasana bertukar wajah, satu demi satu ahli keluarga yang bertebaran seluruh semenanjung pulang ke kampung. Ibu jadi nampak lebih ceria dari biasa. Lebih–lebih lagi saat menyambut kehadiran kali pertama cucunya yang ke-25 yang baru berusia beberapa minggu. Bertambahlah lagi peruntukan duit raya untuk cucu ibuku.  Bertambah besarlah keturunan Piren & Warjo, pasangan dari Pati, Jawa Tengah yang berhijrah ke Tanah Semenanjung awal 1930an yang lalu, yang kini menjadi induk kepada 9 orang anak, 78 cucu, 490 cicit dan 3 piut. Meriah jugalah keluarga besar kami.

2 ulasan: