CERITA SEORANG ADI PUTRA

Sewaktu bertugas di Minggu Saham Amanah Malaysia 2008 di Melaka bulan April yang lalu, saya berpeluang kenal dekat dengan Adi Putra, seorang kanak-kanak Melayu yang dilahirkan dengan kelebihan yang jarang-jarang berlaku.

Kalau dulu kita banyak mendengar kisah anak-anak pintar dengan pelbegai kelebihan tertentu seperti genius matematik, hafaz Al-Quran, mahir membaca sebelum usia dan macam-macam lagi kelebihan fizikal yang lain, saya fikir Adi Putra mungkin lebih dari itu. Entahlah, Allah maha mengetehui.

Kanak-kanak 9 tahun ini, sedang sibuk mengajar matematik kepada sekumpulan calon SPM ketika saya menemuinya. Terdetik rasa kagum bagaimana budak semuda itu mampu menguasai ilmu matematik tinggi yang biasanya diajarkan kepada pelajar tingkatan 5 berusia 17 tahun. Malah saya sendiri terpaksa menggunakan kalkulator ketika dia sekadar mencongak satu persoalan matematik dalam kepalanya. Besarnya anugerah Allah kepada kanak-kanak ini.

Dalam kesempatan itu, saya sempat juga memungut cerita tentang kanak-kanak itu dari kedua orang tuanya. Menurut ibubapa Adi Putra, anaknya bukan sekadar dikurniakan Allah dengan kepandaian ilmu matematik, malah turut dikurniakan kelebihan lain. Kata mereka, Adi Putra pernah terlibat dalam usaha polis menyelesaikan beberapa rentetan siri kanak-kanak hilang di Malaysia satu masa dahulu. Termasuklah dalam menyiasat kes kematian menyayat hati adik Nurin Jazlin.

Paling takjub bila saya dengar bahawa Adi Putra pernah menjangkakan kemungkin banjir besar akan melanda bebarapa negeri di Semenanjung Malaysia beberapa tahun yang lalu dan ketika itu dia turut menasihatkan seorang kenamaan tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan kesan banjir yang lebih buruk. Menurut ibubapanya lagi, berita tentang anaknya telah turut menarik perhatian pembesar di sebuah negara asing yang menunjukkan minat untuk bertemu mata.  Betuah sungguh anak ini.

Pernah saya ajukan satu soalan tentang langkah kerajaan Malaysia mengajarkan matematik dan sains dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah seluruh negara. Jawab bapa Adi Putra, anaknya telah mengetahui muslihat sebenar di sebalik keputusan kerajaan itu. Dia menambah, Adi Putra sendiri memilih mengajar matematik dalam Bahasa Melayu biarpun dalam masa yang sama anaknya mampu mendalami lapan bahasa asing.

Pada saya, kanak-kanak ini merupakan aset bernilai sekurang-kurangnya kepada Malaysia kalau tidak kepada dunia dan umat islam keseluruhannya. Semoga kelebihannya tidak disia-siakan.

3 ulasan: