"Bang, Orang gaji kita dah lari..."

Berita apakah itu?

Inilah berita tergempar yang diterima rakan sepejabat saya tengahhari tadi. Rupa-rupanya pembantu rumahnya yang berasal dari sebuah negara jiran, dikesan hilang. Tak ada berita dan tanpa kesan. Pakaiannya juga dibawa bersama, tinggalkan rumah belum dikemas dan anak majikan yang belum 3 tahun dibiar terlantar. Dokumen peribadi tidak sempat dibawa kerana telah disimpan rakan saya itu.

Beginilah risiko warga Malaysia yang ambil pembantu rumah warga asing. Di kalangan rakan sepejabat saya, kejadian seperti ini sudah banyak kali terjadi. Malah ada yang bernasib lebih malang bila barang berharga turut dikebas.

Memang tidak sedikit kos ditanggung untuk dapatkan pembantu. Sudah tentulah mereka harapkan khidmat terbaik dari setiap Ringgit yang dikeluarkan. Berbalik cerita rakan saya tadi, dia dianggarkan rugi hampir RM 10,000 untuk urusan memutihkan pembantu rumahnya yang disenarai hitam, menyiapkan permit kerja, upah agen, perbaharui pasport dan segala kos kecil lain yang turut ditanggung. Malang sekali, pembantu yang diharapkan kekal lama dan setia rupanya lari tidak sampai dua minggu.

Kisah pembantu rumah lari tanpa bawa dokumen, bukan asing di sini. Barangkali pasport atau kad identiti bukan suatu yang penting bagi mereka bila tidak di negara asal (mungkin di negaranya juga). Seingat saya, beberapa tahun yang lalu, negara jiran itu telah membekukan tenaga kerjanya ke Malaysia atas alasan keselamatan. Malangnya petinggi negara itu tidak sedar, warganya tetap masuk biar menyamar jadi pelancong sekalipun. Bila sudah sampai, mereka buang pasport, buang identiti kenegaraan dan lakukan apa saja yang boleh asal saja mampu menampung hidup di bumi bertuah ini selama mungkin. Cukup tempoh, mereka harapkan program pemutihan untuk dihantar pulang tanpa keluar biaya. Pintarnya mereka.

Bila tembelangnya pecah, mereka karang cerita konon diseksa fizikal, tidak dibayar gaji, dilayan kasar, tidak diberi makan dan segala keburukan lain bagi menagih simpati. Tidak dinafikan hal itu memang berlaku, tapi bilangan yang kecil sepertinya sengaja diperbesar. Lalu kisahnya diberitakan berhari-hari agar kelihatan banyak. Padahal orang gaji dari negara jiran itu pun, bukanlah semuanya baik.

Huh.