بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Singa Pura-pura

Singa pura-pura

Konon sejarah,
Kerana seekor singa
Sebuah pulau bertukar nama  
Dari Temasik menjadi Singapura.

Ah, itu sebenarnya dusta
Kerana tidak ada singa di Nusantara
Kerana tempatnya di Afrika

Ini mungkin satu kiasan
Atau ramalan karyawan silam
Untuk mungkin nanti
Singapura menjadi sebuah negeri
Yang asing di Nusantara

Pandai kau berpura-pura
Dari Temasik ke Singapura
Negeri Singa bertaring dua
Habis rosak susu sebelanga

Nusantara bukan tempatmu
Egomu dan sombongmu bagai singa
yang gah kononnya gagah
Sedang kami hanya pelanduk
berteduh di pohon melaka

Kau asing
Kau bukan Nusantara
Kau mungkin dari Afrika atau Timur Asia
Tempatmu bukan disini.

Bertaring mulut ternganga
meludah air liur ke muka kami
Tercemar Selat Tebrau
Hanyir Pantai Lido

Kami Melayu tersalah sangka
Kau Temasik.
Bumi Sri Paduka Maharaja.
Milik Sultan Iskandar

Mungkin kau lupa sejarah dulu.
Wakil Temagi pernah kami cincang
Jangan cuba kau ulang
Belajarlah dengan dalam
Ingat keturunan silam
Jangan berani tunjuk belang

Tapi kau singa.
Sanggup makan anak sendiri
Tatkala berebut induk
Kau tidak akan tunduk

Minumlah kau air hanyir
dari liurmu bercampur keringat kami
Batu Putih sudah hitam
Udara bersih sudah kelam
Laut cantik sudah dalam
Kau korek dalam diam
Nelayan kami memukat minyak hitam.

Dideklamasikan sempena
USMalumni.
Pulau Pinang 2006

Menjejak Asal-usul Melayu di Semenanjung Malaysia

Judul diatas adalah satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia yang dimulakan sejak Januari 2006. Saya rasa menarik sekali judul ini kerana bertepatan dengan jiwa saya yang meminati bidang ethnology. Lebih-lebih lagi bersangkutan dengan dunia MELAYU. Saya rasa jiwa saya sangat kental dengan semangat KeMELAYUan. Dibawah adalah sedikit dari data kajian yang diperolehi seperti disiarkan akhbar (koran) Berita Mingguan.

Kajian ini cuba membuktikan beberapa perkara iaitu: Benarkah Melayu Kelantan adalah kumpulan Melayu pertama yang mendiami Semenanjung? Adakah orang Melayu asli berkulit sawo matang, rambut ikal, mata kecil dan mempunyai rahang yang kecil? Benarkah kerana perkahwinan campur menyebabkan tidak ada lagi Melayu asli di Semenanjung?

Hasil awal yang diperolehi mencadangkan suku Melayu Kelantan adalah suku Melayu yang masih tulen. Ini kerana Melayu Kelantan masih memelihara keturunan mereka tanpa banyak berlaku perkahwinan campur. Selain itu, suku Melayu Kelantan juga dikatakan suku pertama yang membuat petempatan di Semenanjung.
Kajian mereka mendapati wujudnya kepelbagaian corak DNA yang terdapat dalam Masyarakat Melayu moden hari ini yang mungkin berlaku kerana percampuran dengan orang Arab, Cina, India dan Thai. Ini menyokong fakta sejarah yang pernah menyebut Kerajaan Melayu Melaka satu ketika dulu adalah kerajaan yang gemilang dan kedatangan pedagang dari China, India dan Arab menyebabkan berlakunya perkahwinan campur.

Budaya melayu juga dikatakan ada persamaan dengan suku Naga yang menetap di perbatasan Myanmar/India. Malah melalui ujian DNA, dikatakan ada satu penanda didalamnya yang hanya biasa ditemukan dalam populasi di India.

Dikatakan terdapat 14 sub etnik Melayu yang mendiami Semenanjung iaitu:
i . Melayu Kelantan (Melayu yang masih asli) di Kelantan
ii. Melayu Yunan di Terengganu
iii. Melayu Minang di Negeri Sembilan
iv. Melayu Aceh di Perak
v. Melayu Mandailing di Perak
vi. Melayu Rawa di Perak
vii. Melayu Riau di Johor
viii. Melayu Bugis di Johor
ix. Melayu Kerinci di Selangor
x. Melayu Champa di Perak, Kedah dan Kelantan
xi. Melayu Jawa di Johor dan Selangor
xii. Melayu Jambi di Johor, Selangor dan Perak
xiii. Melayu Batak di Perak dan Pulau Pinang
xiv. Melayu Banjar di Johor, Selangor dan Perak

Lebih menarik, kajian ini membuktikan Orang Asli di Semenanjung bukan tergolong dalam satu keluarga Austronesia dengan orang Melayu. Sebaliknya mereka menyatakan Orang Asli di Semenanjung berasal dari Afrika yang berhijrah sejak 40 ribu tahun dahulu ke Semenanjung dan seterusnya ke Papua New Guinea (pulau-pulau Polynesia) dan Australia. Bagi saya, dakwaan ini ada benarnya kerana Orang Asli di Semenanjung berambut kerinting dan berkulit gelap persis orang Negro. Bezanya rambut mereka lebih lebat. 

Sama-sama kita menanti hasil kajian ini yang dijangka selesai pada 2008.






Wajah Suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia

Aku dan Indonesia

Tulisan ini adalah balasan dari tulisan sahabat mayaku Bambang Priantono yang bertajuk Catatkan Melayu dalam Pikiranku
Bagiku kata INDONESIA banyak sekali pengertiannya. Lebih kurasa dekat berbanding SINGAPURA yang pada hakikatnya hanya terpisah oleh selat selebar satu kilometer. Aku seperti lebih bersaudara dengan Indonesia berbanding dengan Singapura biarpun sebenarnya saudaraku bertaburan di Kota singa itu.

Indonesia bagiku adalah ‘musuh’ yang tercinta, Indonesia bagiku adalah jiran rapat, Indonesia bagiku saudara kandung. Indonesia bagiku kuli hina. Indonesia bagiku guru agama.  Indonesia bagiku penebus maruah. Indonesia bagiku itu, ini dan apa saja………. Ah, terlalu banyak pengertiannya.

Mengimbau kenangan lalu, teringatku pesan ibu supaya jauhkan diri dengan Indonesia. Kononnya negara itu penghapus Melayu. Negara itu nagara penjajah. Kadang jenuh diri ini mendengar luahan hati ibuku pabila dia terkenang kisah lalu tatkala tentera Indonesia mendarat di pantai Pontian ketika slogan Ganyang Malaysia bergegar di Nusantara. Biarpun Ibuku berdarah Jawa, Berbahasa Jawa, jiwanya tetap Melayu. Kami anaknya terpengaruh sementara.

Bila menjelangnya Piala Thomas (Thomas Cup), rasa benci pada Indonesia semakin- meluap-luap. Benci pada pemainnya, benci pada penyokong fanatiknya. Semakin menggila rasa benci itu bila Malaysia kalah di tangan Indonesia. Entahlah…ada apa dengan Indonesia padahal Malaysia juga pernah kalah ditangan team lain.

Saat kemasukan beramai-ramai TKI ke Malaysia, rasa curiga pada orang Indonesia semakin menebal. (orang disini memanggil Indon). Semuanya buruk pada pandangan mata ini. Pantang ada kecurian, Indon dituduh; pantang ada pencabulan, Indon dituduh. Segala-galanya negatif tentang Indonesia. Anehnya, Indon juga yang dicari untuk meringankan pekerjaan. Pernah satu ketika, ayahku mempelawa seorang TKI tinggal serumah dengan kami, berbagai hasutan kami kemukakan pada ayah hinggakan TKI tersebut terpaksa tinggal sebatang kara dalam sebuah kebun getah. Zalimnya kami waktu itu. 

Lebih aneh, saat tibanya Maulidur Rasul atau apa saja hari kebesaran Islam, Ustaz (guru agama) dari Indonesia yang kami panggil untuk memberi ceramah. Berubah pula persepsi terhadap Indonesia kepada sifat positif. Seolah-olah ustaz dari Indonesia lebih layak berceramah, lebih berjiwa islam. Lebih mengesani.

Ketika sampainya RCTI dan SCTV ke Malaysia, rasanya kami di Johorlah yang paling beruntung. Kami dapat menonton siaran TV dari tiga negara biarpun hanya TV Malaysia dan Singapura yang lebih diminati. Ramai daripada kami yang tidak suka menonton TV Indonesia. Semuanya gara-gara bahasanya yang tidak enak didengar. Lucu dan kadang-kadang bikin ketawa. Terpaku melihat cerita (sinetron) luar yang semuanya berbahasa Indonesia. Cerita Hindi, Cina, Korea, malah Venezuela sekalipun, semuanya berbahasa Indonesia. Janggal dan Kaku.

Saat pulang kampung, Buletin Siang dan Seputar Indonesia menjadi habuan mata yang paling enak bagiku. Sungguh lucu bila melihat ayah yang semakin pandai meniru gaya percakapan Indonesia, Ibu seperti biasa menegah “Lie ….. alih TV3”  Mungkin akulah anak Malaysia yang paling gemar menonton siaran TV Indonesia hinggakan sentiasa mendengar leteran ibu selalu.

Sebenarnya bukan acara di TV Indonesia yang asyik, tapi bahasanya yang menarik perhatian. Aku cukup gemar mencari perbezaan kedua bahasa yang berasal dari akar yang sama ini. Bahasa yang satu akhirnya terpisah mengikut sempadan politik. Kedua negara mengayakan bahasanya mengikut acuan sendiri. Indonesia meminjam kata dari berbagai negeri sedang Malaysia masih Melayu asli. Akhirnya muncullah ungkapan seperti “Aku membutuhkanmu” ungkapan yang begitu romantis di Indonesia tetapi berbau porno di Malaysia (18 sx)

Acara yang aku gemari, Sergap saling tak tumpah seperti rancangan 999 di TV3. Sempat juga pening kepala mencari maksud bila pertama kali aku mendengar berita “tersangka ditemukan bersembunyi..” yang di dalam versi Malaysia bermaksud “tertuduh ditemui bersembunyi..” itulah sebahagian dari perbezaan ini.

Biarpun Bahasa Indonesia bukan lagi berbentuk asli, aku tetap gembira tidak terperi. Sekurang-kurangnya bahasa yang berakar Melayu ini terus subur hingga ke Papua. Sekurang-kurangnya menjadi penebus maruah bangsa Nusantara. Kerana penutur aslinya kini kian lemah dan kehilangan jati diri. Tanah Melayu kini tiada lagi………..

Mohon maaf sekiranya ada kata-kata ini menyinggung perasaan sahabat-sahabat dari Indonesia. Aku tidak bermaksud begitu. Percayalah.

Kewujudan Masyarakat Thai di Malaysia


Umum mungkin sedia maklum tentang masyarakat Melayu di selatan Thailand, namun tidak ramai yang tahu tentang kewujudan masyarakat minoriti Thai di Malaysia terutama di utara Semenanjung. Masyarakat yang mendiami negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah & Perlis ini sebenarnya berbeza dari bumiputra Malaysia yang lain. Selain beza dari segi ethnologi, bahasa pertuturan mereka juga tergolong dalam kelompok berlainan iaitu dari kelompok Tai-Kadai.

Kelompok bahasa Tak-Kadai dikatakan berasal dari keluarga bahasa Sino-Tibetan.  Bagaimanapun kini ada pendapat mengatakan kelompok bahasa itu sebenarnya adalah subgroup dari keluarga bahasa austronesia (sekeluarga dengan bahasa-bahasa Malayo-polynesia) Saya secara peribadi menolak pendapat tersebut dan menganggap kelompok bahasa ini tetap merupakan subgroup dari keluarga bahasa Sino-tibetan. Ini memandangkan kedekatan bahasa ini dengan bahasa-bahasa di China (Kelompok Chinese) iaitu salah satu kelomok bahasa  di dalam keluarganya. Lihat perbandingan dibawah.

    AUSTRONESIA                                                               SINO-TIBETAN
                  Malayo-polynesia                Tai-kadai                                   Chinese   

 Melayu       Jawa        Tagalog                  Thai                 Mandarin       Kantonis  
 satu            siji                 isa                         neng                         yi               yat              
 dua             loro               dulawa                 song                          er                yi                
 tiga             telu             tatlu                         sam                         san             sam            
 empat         papat            ampat                     si                              xe               sei              
 lima             limo             lima                        ha                             wu             em              
 enam          anam            anim                       hok                          liew            lok             
 tujuh          pitu                pitu                     chet                              chi            chat            
 lapan          walu           walu                      pet                               pak           pak            
 sembilan    songo           siyam                    kau                            shieo          kau              
 sepuluh     sepuluh        sampoh                 sip                                se               sap             
  
Perhatikan bahasa Thai yang merupakan salah satu bahasa dari kelompok Tai Kadai di atas. Jelas dilihat kemiripannya dengan kelompok Chinese. Dibanding dengan kelompok Malayo-polynesia, bahasa Thai jelas berbeza.  Ini membuktikan  kelompok bahasa Tai- Kadai sekeluarga dengan kelompok Chinese sekaligus tergolong dalam keluarga bahasa Sino-Tibetan.

Berbalik kepada suku manoriti Thai di Malaysia. Menurut sejarah, Pengaruh Thai (Siam) pernah sampai hingga ke selatan Semenanjung Tanah Melayu semasa pemerintahan empayar Siam Ayudhya (1350 – 1760 TM). Beberapa buah kerajaan lama di sini pernah jatuh ke tangan Siam seperti Klangkiu (Johor) dan  Gangga Negara (Perak) tetapi merosot selepas kemunculan Melaka.  Bagaimanapun kekuasaan wilayah ini bukanlah bukti sahih menunjukkan kedatangan  orang-orang Siam ke Tanah Melayu.

Kemunculan kerajaan Siam Rattanakosin (Bangkok) membuka lembaran baru kepada hubungan Siam dan Tanah Melayu. Pada abad ke 18, Negeri-negeri Petani, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis meminta ‘perlindungan’ Kerajaan Siam bagi mengelak serangan dari luar. Sebagai penghormatan, kesemua kerajaan melayu ini diminta menghantar bunga emas setiap beberapa tahun sekali kepada raja Siam sebagai tanda terima kasih.

Tawaran perlindungan yang diberi kepada negeri-negeri melayu ini sebenarnya satu muslihat Siam untuk meluaskan wilayah mereka. Penghantaran bunga emas itu telah dianggap oleh Siam sebagai kesaksian raja-raja Melayu kepada ketuanan Siam. Kerajaan Siam mula memainkan peranannya di negeri-negeri melayu ini dengan menghantar angkatan tentera sebagai alasan ‘melindungi’.  Semanjak itu ramai orang-orang keturunan Siam dari utara berpindah (dipindahkan?) ke selatan dan mula mendiami negeri-negeri Petani, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Mereka turut membawa agama, budaya dan bahasa selain membuka kampung-kampung sendiri. Hakikat sebenarnya, lima negeri Melayu ini telah dikuasai tanpa disedari.

Penguasaan Siam keatas empat dari lima negeri Melayu ini berakhir apabila Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diserahkan kepada Inggeris menerusi perjanjian Siam-Inggeris 1909.  Bagaimanapun Negeri Petani tidak diserahkan bersama dan kekallah ia dibawah kekuasaan Siam secara rasmi. Daerah Tabal yang termasuk dalam negeri Kelantan turut berpindah tangan ke Negeri Petani dan secara automatik terletak dibawah kekuasaan Siam . Tabal mengikut sebutan Siam menjadi Tak Bai. 

Migrasi masuk orang-orang Siam semakin merosot selepas empat negeri Melayu ini diserah kepada Inggeris . Sebaliknya orang Siam yang tinggal di negeri-negeri tersebut pula yang lari ke Petani.  Bagi memudahkan pentadbiran, Siam memecahkan negeri Petani kepada 4 wilayah (province) iaitu Narathiwat, Pattani, Yala dan Setul (Saturn). Hinggalah ke hari ini, orang-orang Siam masih dihantar ke wilayah Melayu di selatan negara itu dengan membawa slogan perpaduan. Walhal mereka sebenarnya mengikis identiti Melayu dan dinafikan hak sebagai warganegara. Hasil slogan ‘perpaduan’, generasi muda Melayu Petani kini menggelar diri mereka sebagai Thai muslim. Ramai dikalangan mereka yang tidak lagi mampu berbahasa Melayu.

Sementara itu, serpihan orang Siam yang tidak ‘pulang’ ke Petani telah memilih untuk kekal di Negeri-negeri Melayu.  Semasa Era kolonial Inggeris, Masyarakat Siam tidak dilayan sama sebagaimana layanan terhadap orang Cina. Mereka kekal bertani di kampung-kampung sebagaimana orang-orang Melayu sedangkan orang-orang Cina yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ditempatkan di bandar, diberi bantuan berniaga dan mendapat kebenaran meneroka lombong-lombong timah. Seingat saya, tiada sumber yang menyebut tentang masyarakat Siam ketika zaman Kolonial Inggeris di Tanah Melayu.

Sehinggalah berdirinya sebuah negara bernama Malaysia, masyarakat Siam disini terus mengaku taat setia kepada nagara tanpa berbelah bagi. Walaupun dipisahkan beberapa kilometer dari tanah leluhur, mereka tetap mendaulatkan Malaysia tanpa sedikitpun rasa taksub pada Thailand, tanah asal-usul mereka. Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai  50,000 orang masyarakat Siam Malaysia dimana lebih separuh dari mereka tinggal di Kedah dan Kelantan. Sebagai menghormati hak-hak masyarakat berbilang kaum di Malaysia, Keturunan Siam Malaysia bebas mengamalkan bahasa, agama dan budaya mereka dalam kehidupan seharian. Kebebasan ini terlihat bilamana mereka masih mengekalkan ciri-ciri Siam pada nama keturunannya sama seperti nama keturunan mereka di negara Jiran.

Bagaimanapun, dewasa ini masyarakat Siam Malaysia lebih selesa berbahasa Melayu dalam pertuturan harian mereka

Pelancaran Bandar Baru Bersepadu Alam Impian, Shah Alam

Start:     May 31, '06
Location:     Shah Alam, Selangor, Malaysia.
Alam Impian :- Sebuah bandar bersepadu di atas Tanah Pegangan Bebas terakhir di Bandaraya Melayu Bestari, Shah Alam, Selangor. Bandar yang merangkumi keluasan 4000 ekar ini akan dilengkapi dengan kawasan Perumahan pada pelbagai peringkat harga, kawasan Komersil, Institusi, Taman Rekreasi dan Kemudahan Infrastruktur yang bercirikan kehidupan bandar yang moden dan dinamik. Majlis pelancaran dijangka akan dihadiri oleh DYMM Sultan, YB Menteri Besar dan lain-lain orang kenamaan. Semua dijemput hadir.. (tarikh pelancaran masih diperingkat perbincangan)