بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Sambutan Raya Orang Temasik

Dua hari sebelum sambutan 1 Syawal yang lalu, saya sempat menyeberang selat menuju Singapura atas jemputan seorang sahabat, Salbiah (www.sarqina.multiply.com). Kunjungan ini sebagai membalas kunjungan rakan itu ke Kuala Lumpur bulan Ogos yang lalu. Saya berbesar hati menerima pelawaannya atas sebab telah lama tidak ke Singapura sejak meninggalkan Johor kira-kira 8 tahun yang lalu.

Dengan memakan masa hanya 2 minit, Singapura sudah berjaya digapai. Tidak banyak berbeza dari dulu, negara kota itu masih mengekalkan statusnya sebagai negara terbersih dan paling tertib di rantau ini.

Lokasi utama kunjungan saya ialah di Geylang. Di sini terdapat banyak bazar-bazar menjual pelbagai keperluan umat islam menyambut Syawal sama persis di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur. Bezanya bazar di sini lebih bersih, tersusun dan tidak sesak dengan kenderaan walaupun banyak dikunjung orang.

Dan yang paling saya suka, lebih ramai peniaga Singapura sendiri berbanding warga asing. Tidak seperti di banyak bazar-bazar di Malaysia yang sudah jadi Mini Jakarta. Mungkin kerana pantauan yang kerap oleh pihak berkuasa menyebabkan masalah yang terjadi di Malaysia tidak merebak ke sana.

Jom layan gambar-gambar ini... 
















Ragam Raya Orang Semenanjung

nie pantun lawak yang dah tersebar melalui email-email seluruh Malaysia sejak tahun lepas. Untuk mereka yang belum dapat, Jom!!!  kita layan.....

Kelantan
Make ikke cicoh budu
Jange lupo tamboh satar
Kelik rayo taksir laju
Nanti rayo dale sepita
 
Terengganu
Makang ubi jamang jepong
Makang kepok cicah cuke
Bulang pose mung bengong
Bulang raye mung gile
 
Pahang
Sepadan Pahang ada kasino
Nasi dagang ikan patin
Jange mu masam muko
Raya makan rendang sadin
 
Johor
Cegitu cegini awak suke
Awak suke kite tak suke
Esok luse hari raye
Sama-sama bersuke rie
 
Melaka
Hawau kau berak merate
Kaki bengkak ulau patok
Kalu balik naik kerete
Jangan pandu kalau ngantok
 
N. Sembilan
Masak lomak cili api
Campo dongan! daun turi
Hari rayo kolumpo sopi
Tinggal penyamun dongan pencuri
 
Selangor & K.Lumpur
Wa cakap lu wa tak tau
Tapi wa tipu sama lu
Raya jangan buat tak tau
Angpau ada bagi gua dulu
 
Perak
Gulai tempoyak ikan mayong
Deroyan busok tebok tupai
Pandu hemat ingat kampong
Asal kome selamat sampai
 
Kedah
Aloq Staq terketaq-ketaq
Lapaq perut makan pau
Macam mana tak ketaq
Kena paksa bagi angpau
 
Penang
Nasi kandaq kedai mamak
Anak mami juai pesemboq
Lepas raya usah dok triak
Kalu ceti mai ikut dapoq
 
Perlis
Padang besaq kecik aja
Tempat Siam lalu lalang
Hari raya kita berbelanja
Jangan sampai menambah utang

ASAL-USUL MELAYU - Menurut Hikayat Patani

Penafian terhadap teori barat tentang Melayu kononnya dari berasal Yunan sebenarnya pernah tercatat dalam catatan Melayu sendiri. Hal ini mungkin tidak disedari orang Melayu dewasa ini hingga mereka menerima saja pandangan sarjana barat itu sebagai idea yang paling terpercaya.

Catatan saya ini merupakan suntingan dari Hikayat Patani (yang kini telah diolah dan ditulis semula menggunakan tajuk Sejarah Kerajaan Melayu Patani) dan sebahagiannya hasil ulasan saya berpandukan beberapa naskah buku-buku lama.

Hikayat Patani, dengan tanpa niat melawan idea Barat, pernah menggambarkan bahawa bangsa Melayu memang lahir di Nusantara. Bukannya berasal dari Yunan sebagaimana didakwa. Menurut hikayat itu, pada asalnya tanah semenanjung yang bermula dari Segenting Kra (Thailand sekarang), terawal dihuni oleh suku Sakai dan Semang.  Mereka berjiran dengan bangsa Siam yang menghuni bahagian utara (bangsa Siam bukanlah bangsa Siam-Thai seperti yang ada pada hari ini). Ketiga-tiga suku dari stok Austroasiatik yang mendiami tanah semenanjung ini bukanlah bangsa pelaut. Mereka lebih suka membina petempatan yang jauh di tengah daratan sesuai dengan sifatnya yang tidak maritim. Sampai ke hari ini, saki-baki suku Sakai dan Semang yang ada di Malaysia masih mendiami bahagian tengah Semenanjung. 

Hikayat Patani juga menceritakan tentang suku-suku terawal di Pulau Perca (Sumatera). Menurut hikayat itu, Pulau Perca dihuni oleh suku-suku Jakun dari stok Melayu Proto. Sesuai dengan kehidupan mereka yang mendiami pulau, suku-suku ini lebih maritim dan tidak takut berhubungan dengan air.

Tambah hikayat itu, penghijrahan orang-orang Hindu dari India yang lebih bertamadun mula berlaku di kawasan Nusantara  sejak sekian lama sebelum kelahiran Nabi Isa  s.a.w.  Penghijrahan mereka ke Nusantara menyebabkan banyak terjadi perkahwinan campur. 

Generasi baru hasil perkahwinan campur antara Hindu dan pribumi Semenanjung telah berhasil membuka negeri dan berkerajaan di beberapa tempat hingga lahirlah beberapa nama seperti Tambarlinggam, Garahi, Takula dan Langkasuka. 

Sementara itu, bangsa Siam  (yang turut  menerima pengaruh hindu) juga merupakan kerajaan yang kuat di wilayahnya. Kekuatan itu telah mendorong mereka beransur-ansur meluaskan kuasa ke selatan hingga akhirnya menenggelamkan dominasi generasi Hindu+pribumi Semenanjung.  Keberhasilan bangsa Siam ini terbukti dengan penubuhan beberapa kerajaan seperti Gangganegara di Beruas, Perak dan Genggaayu (Klangkyu) di Kota Tinggi, Johor. Kekuasaan Siam di Tanah Melayu telah berlangsung hingga abad ke lapan Masihi.

Di Pulau Perca, Generasi Hindu-Lokal di sana juga membuka beberapa buah kerajaan. Antaranya Kerajaan Melayu dan Srivijaya. Generasi baru hasil perkahwinan campur inilah yang dikenali sebagai orang-orang 'Melayu' yang sebenarnya bermaksud 'orang yang mulia'.  Di Semenanjung, orang-orang 'Melayu'  mula datang beransur-ansur dari Sumatera dan membuka petempatan di pinggir pantai. Mereka juga turut berhubung dengan orang-orang Siam yang membuka petempatan di daratan tengah Semenanjung. 

Ketika kekuasan Siam di Indochina mula melamah kerana asakan bangsa Thai yang datang dari Yunan, kekuatan Siam di Semenanjung turut terjejas. Hal ini mendorong orang-orang 'Melayu'  yang datang dari Srivijaya menakluk kerajaan-kerajaan yang pernah dikuasai orang-orang Siam itu. Kerajaan-kerajaan Siam di Sememnanjung yang di takluk Srivijaya itu tersebar hingga ke Nakorn Pathum di barat Bangkok ketika ini. Kedatangan orang-orang 'Melayu'  semakin berterusan hingga mengubah nama tanah semenanjung kepada nama Semenanjung Melayu.
 
Bagaimanapun Kekuasaan Sriwijaya tidak kekal lama  akibat penaklukan kuasa Majapahit dari Jawa. Hal ini menyebabkan Orang-orang 'Melayu' di Semenanjung terpisah dua. Bahagian utara ditakluk Thai hasil kejayaan kempen perluasan kuasa mereka setelah berjaya mengalahkan Siam. Manakala bahagian selatan dibawah takluk Majapahit. 

Menurut hikayat ini, Melayu hanyalah sekumpulan generasi manusia yang lahir hasil perkahwinan campur antara Hindu India dengan orang-orang Jakun di Sumatera. Melayu mendapat namanya dari kata 'melayu' yang bermaksud orang yang mulia. Catatan ini hanya sedikit penafian tentang teori asal-usul Melayu dari Yunan oleh Sarjana Barat. Saya percaya banyak lagi bukti lain yang masih belum dibongkar.

DOMINASI BISNES OLEH WARGA ASING - Malaysia Siapa Punya?

Beberapa bulan yang lalu ketika bercuti di kampung di Johor, saya terkejut melihat dua kedai runcit yang baru dibuka dikendalikan sekumpulan pendatang Bangladesh. Saya sempat meninjau ke kedai tersebut. Di sana saya melihat kedai tersebut menjual bahan-bahan kegunaan harian produk tempatan Terdapat juga beberapa produk asing yang saya pasti diseludup dari nagara mereka. Pelanggan sasaran kedai itu tentunya ratusan warga Bangladesh yang menginap di kawasan berhampiran selain warga tempatan yang datang sekali sekala. 

Aneh bukan? saya tertanya-tanya pada diri sendiri tentang berbagai persoalan yang masih belum bertemu jawapan - Apa masalahnya dengan Melayu dan lain-lain pribumi di Malaysia? Sayang, bangsa asing lebih cepat menghidu peluang yang tidak terlihat di mata pribumi.

Itu hanya satu kisah di Johor, samalah juga kisahnya di Kuala Lumpur dan mungkin banyak lagi tempat lain di Malaysia. Saya juga sering berkunjung ke Plaza Lowyat, sebuah kompleks beli-belah yang menjual barang-barang komputer terbesar di Malaysia. Kira-kira 6 tahun yang lalu sewaktu saya berkerja separuh masa di sana, saya lihat semua permis perniagaan dimiliki warga Malaysia keturunan Cina hingga saya berpendapat adalah sukar untuk bangsa lain mencari tapak berniaga di satu tempat yang sudah didominasi satu kaum tertentu. 

Kini, keadaan sudah berubah. Plaza Lowyat sudah jadi plaza multirasial. Semua bangsa ada berniaga di sana. Paling kurang, masing-masing memiliki satu permis. Cuma sayangnya, sekali lagi pribumi Malaysia gagal melihat peluang luas yang bagaikan lubuk emas pada pandangan orang asing.  Saya pernah diberitahu oleh bekas majikan saya di plaza itu bahawa peniaga Pakistan dan India sekarang ini mula berlumba-lumba merebut permis-permis kosong untuk membuka kedai berasaskan komputer di sana. 

Di mana peranan pribumi untuk semua bisnes di atas? Jawapannya: hampir tidak ada. majoriti pribumi  Malaysia hanya mampu tercengang  melihat ribuan jongkong emas digali warga asing sedangkan sebutir kilauan pun tak terlihat di mata penduduk tempatan. Malu rasanya.

Apa ya masalahnya?
Dan semalam, sempena bulan Ramadhan saya mendapat tawaran dari seorang rakan untuk berniaga kuih-muih sempena Hari Raya di Chowkit, Kuala Lumpur. Menurut rakan, tapak gerai sudah tersedia, hanya tinggal pilih, sediakan sejumlah wang sebagai bayaran sewa dan sediakan produk-produk untuk dijual. Cukup sekadar itu.

Berminat dengan tawaran itu, saya segera ke lokasi yang dinyatakan untuk bertemu pengurus gerai-gerai di sana. Pandangan awal sebaik sampai ke lokasi, saya benar-benar terasa seperti berada di sebuah negara jiran. Ratusan gerai di sana hampir semua dimiliki warga Indonesia. Paling menyerlah bila terlihat banyak busana muslim dan baju kebaya didatangkan dari sana dan dijual merata tempat.  Paling memeranjatkan bila bertemu pengurus/pemilik gerai-gerai di situ yang juga warga Indonesia. Kini, warganegara Malaysia sendiri yang harus merayu-rayu dan meminta belas agar dapat ditempatkan di lokasi niaga yang baik dengan harga sewa yang sesuai dengan kemampuan. Malu bukan? 

Saya bertanya lagi, Siapa sebenarnya yang mendatang?
Salah pribumi sendirikah hingga keadaan jadi begini? Mungkin satu kajian harus dilakukan oleh pihak yang berkaitan agar tidak berlaku satu kejadian yang tidak diingini. Saya pasti, keberhasilan pendatang meraih sejumlah keuntungan seperti inilah yang menyebabkan mereka tidak disenangi penduduk setempat.  Bukannya cemburu, cuma saya fikir ada sesuatu yang tidak kena. Saya difahamkan faktor yang sama juga menjadi penyebab berlaku pergeseran antara pendatang Madura dan penduduk lokal di Kalimantan Barat sedikit masa dahulu.