بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Menjelang Aidilfitri: Surat Terbuka untuk DBKL

Salam sejahtera buat Pengurusan DBKL.
 
Tahun ini tentunya sangat bermakna kepada majoriti warga Malaysia kerana kebetulan tarikh Hari Raya Aidilfitri dan ulangtahun kemerdekaan negara jatuh bersamaan. Sambil membuat persiapan Raya, ramai warga kota tidak ketinggalan turut kibarkan Jalur Gemilang. Iklan-iklan korporat di TV juga turut sama membuat ucapan serentak untuk kedua perayaan terbesar di negara kita ini. Dari iklan motif Baju Melayu corak Jalur Gemilang sampailah iklan anak bulan Syawal dari bulan sabit bendera Malaysia. Pendek kata, iklan korporat sangat bijak menyelami perasaan warga Malaysia yang sedang girang sambut kemenangan berganda yang jarang-jarang berlaku di negara kita ini.

Cuma sayang, perasaan warga Malaysia yang sedang girang ini sangat sedikit diterjemahkan oleh DBKL. Nyaris tidak ada alu-aluan secara materi di pinggir-pinggir jalan khasnya di pusat bandar. Tidak seperti beberapa tahun lalu, Kuala Lumpur pasti bermandi cahaya dengan lampu kelap-kelip motif ketupat, malah turut digantung sepanduk berucap selamat melintang jalan. Tidak ketinggalan, bunting tiang lampu akan dipasang bagi meraikan hari yang mulia ini bersama-sama warganya.

Tapi pada tahun ini, ketika kita meraikan kemenangan berganda, DBKL memilih diam. Tidak sedikitpun menzahirkan ucap selamat kepada warganya. Jalan-jalan tidak dicahayakan melainkan dari cahaya biasa. Malah Bangunan DBKL sendiri kelihatan malap. Hal ini amat mengecewakan.

Mujurlah dekorasi raya dapat dilihat di premis persendirian di sekitar pusat bandar (itupun bilangannya boleh dihitung). Dan mujurlah Jalan Tunku Abdul Rahman masih meriah seperti tahun sebelum. Kalau tidak ada kedua faktor ini, Kuala Lumpur kelihatan sama saja seperti hari biasa.

Dengan penuh yakin, saya percaya hal ini tidak akan terjadi menjelang sambutan Tahun Baru Cina nanti. Jika hal ini demikian, barangkali saya perlu semak semula banci terkini penduduk Malaysia. Jangan-jangan pribumi Melayu beragama Islam bukan lagi kaum majoriti di negara ini.

Mohd Fazli bin Abdullah
Pantai Dalam, Kuala Lumpur

Aidilfitri - 30 atau 31?

Pernah dapat emel berantai tentang tarikh jatuhnya Syawal di Semenanjung dan Malaysia Timur pada tahun ini? Saya percaya ramai yang dah terima. Tentunya kita tambah keliru bila baca emel tersebut.

Manakan tidak, dua bahagian Malaysia di timur dan barat Laut Cina Selatan dikabarkan (secara hukum alam) bakal menyambut 1 Syawal pada tarikh yang berbeza, iaitu 30hb Ogos di Semenanjung dan pada 31hb Ogos di pulau Borneo.

Tentunya kita yang terdedah dengan ilmu Alam moden tertanya-tanya bagaimana wilayah timur yang secara alamiah lebih dulu terima matahari boleh lambat sehari dari wilayah barat, apalagi dalam satu negara yang sama. Mungkin begitulah yang kita fikirkan.

Setelah diterangkan secara hukum Alam, kaedah penentuan hari baru dalam Islam ditambah dengan pencerapan cakrawala tentang kemungkinan dua hari berbeza di Malaysia Timur dan Barat, apakah pihak berkuasa agama di Malaysia ini bakal istiharkan Syawal jatuh pada dua hari berlainan untuk dua bahagian Malaysia di timur dan barat ini? Apalagi negara Brunei yang sepulau dengan Malaysia Timur dijangka turut sambut Syawal pada 31hb Ogos, sehari lebih lambat dari Semenanjung.

Mungkin atas kesadaran telah beredarnya emel berantai itu, banyak pengamal media sudah beri nasihat agar umat Islam seluruh Malaysia bersatu hati dan turutkan saja tarikh yang bakal diumumkan oleh penyimpan mohor besar Majlis Raja-Raja.

Mujur kita ada pemutus terakhir yang boleh dirujuk dan dapat jadi orang tengah bagi pihak-pihak beza pendapat. Saya teringat di negara jiran, 1 Syawal pada dua atau tiga tarikh berbeza adalah hal biasa mengingat banyaknya pecahan kelompok Islam di sana.

Apapun tarikhnya, selamat menyambut dua kemenangan untuk umat Islam di Malaysia. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-54.

Kasihan! Media Malaysia Buta Geografi

Baru-baru ini, saya baca berita tentang meriahnya Pasar Serikin dalam sebuah akhbar terkemuka di Malaysia. Pasar minggu yang berada dalam wilayah Sarawak itu terletak hampir dengan sempadan Kalimantan Barat. Diberitakan pedagang di sana hampir semua berasal dari Indonesia dan kononnya ada pedagang yang sanggup "memandu" dari Jakarta untuk sampai ke Pontianak sebelum melanjutkan perjalanan ke sempadan.

Begitulah laporan aneh akhbar berkenaan. Tertanya-tanya saya bagaimana pedagang dari Jakarta boleh memandu sampai ke Serikin padahal kedua-dua lokasi ini terletak di dua pulau berlainan. Mungkin wartawan yang melapor tidak tahu kalau Jakarta terletak di Pulau Jawa.

Ada lagi satu berita aneh dalam sebuah televisyen Malaysia yang saya tonton sebelum ini. Berita berbahasa Melayu itu melaporkan tentang satu gempa bumi yang terjadi di sebuah pulau di Indonesia. 'Gempa Bumi berukuran X.XX skala richter telah terjadi di "Celebes"'. Begitulah menurut laporan berita yang caca merba.

Saya yakin, pemberita yang membacakan laporan itu sendiri tidak tahu di mana letaknya pulau Celebas. Malah dia juga mungkin belum pernah dengar nama itu kerana pulau itu dikenal di sini sebagai Sulawesi. Nampaknya Media Malaysia itu hanya terjemahkan bulat-bulat berita dari sumber asing.

Satu lagi berita media cetak di Malaysia yang pernah saya ingat, berita tentang pemberontakan di "Pantai Gading". Sekali lagi saya yakin, penulis laporan itu tak pernah tahu di mana letaknya negara bernama Pantai Gading kerana negara itu dikenal di Malaysia sebagai Ivory Coast. Sekali lagi media di Malaysia menyalin bulat-bulat sumber berita dari negara jiran tanpa pernah mengkaji atau sekurang-kurangnya melihat peta.

Kisah lain, beberapa minggu lepas telah berlaku satu kes kematian di asrama pelajar sebuah universiti tempatan. Si mati dikenal pasti seorang pelajar Afrika berasal dari 'Papua New Guinea'. Begitulah berita yang sempat saya baca dari sebuah akhbar yang baru muncul beberapa tahun terakhir. Lucu sekali. Apa benar Papua New Guinea ada di Afrika? Sekali lagi, wartawan media hanya ambil berita tanpa telusuri betul-betul info apa yang mereka catat. Pelajar yang mati itu sebenarnya berasal dari sebuah negara bernama Guinea di benua Afrika.

Malaysia Kini 28.3 Juta

Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta orang. Begitulah hasil banci penduduk negara yang dilakukan tahun 2010 yang lalu. Dari jumlah itu, direkodkan terdapat seramai 2.3 juta orang warganegara asing yang menetap di negara ini. (saya percaya warganegara asing yang tidak direkodkan sekali ganda lebih ramai dari jumlah ini).

Pecahan warganegara mengikut ras:
- Pribumi = 67.3% (17.5 juta)
- India = 7.3% (1.9 juta)
- Cina = 24.6% (6.4 juta)
- Lain-lain keturunan (arab, eropah dll) = 0.8% (200,000 orang).

Dari jumlah 67.3% penduduk Pribumi, tidak dinyatakan pula berapa peratus pecahan pribumi Melayu, Orang Asli, Portugis, Siam, bumiputra bukan islam Sabah dan bumiputra bukan Islam Sarawak. Kalau ada yang tahu, mungkin boleh berikan info tentangnya, atau paling kurang info tentang bagaimana mendapatkannya.


Pilihanraya Hanya BERSIH Bila Pembangkang Menang?

Sering dengar persoalan di atas?

Itulah soalan yang sering saya dengar dalam media mahupun dari mulut teman-teman yang percaya sepenuh hati pada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Saya kira, ini bukanlah soalan, tapi tuduhan.

Persoalan Parti B selalu Menang dan Parti P sering kalah bukanlah pengukur pilihanraya itu BERSIH atau KOTOR. Tapi yang dipersoalkan ialah setelus mana SPR yang menjadi orang tengah dalam pilihanraya itu bersikap neutral, tidak berpihak, tidak bias dan berlaku adil.

Perhimpunan BERSIH menuntut SPR memperbaiki sistem yang dipakai dalam pilihanraya di Malaysia. Kalau tak mahu dituduh bias lagi (kalau sebenarnya satu tuduhan), cubalah sekali ini SPR turut saja tuntutan tersebut?. Andai sudah perbaiki tapi mereka tewas lagi, barulah kita tahu siapa yang sering menyalak bukit.

Saya hairan, susah benarkah SPR hapuskan undian pos/undian awal untuk kakitangan polis dan tentera? padahal undian pos inilah yang dikatakan 'talian hayat' kepada pihak yang sebenarnya kalah tiba-tiba diumumkan pemenang. Di banyak negara lain jangankan ada undi pos, polis dan tentera sendiri dituntut tidak boleh mengundi.

Saya hairan, sulitkah bagi SPR gunakan dakwat kekal untuk ditanda pada jari pengundi yang sudah selesai mengundi? Padahal sistem yang sediaada - hanya tunjuk mykad sudah boleh mengundi, sangat mudah dimanipulasi. Barangkali boleh berlaku, pembawa mykad yang sudah keluar mengundi, akan beratur sekali lagi untuk mengundi bagi pihak orang lain dengan bawa mykad milik orang yang belum tentu masih bernyawa. Di banyak negara lain, amalan mencelup dakwat hitam di jari pengundi sudah lama berlaku bagi mencegah berlakunya undi dua kali atau lebih oleh satu pengundi yang sama. Kenapa SPR tak berani terapkan cara ini?

Saya hairan, bagaimana SPR mendakwa daftar pemilih yang mereka gunakan sudah dikemaskini dan disahkan betul padahal banyak dakwaan dalam satu alamat yang sama menyimpan puluhan nama pengundi, malah berlainan bangsa.   

Saya juga hairan, apa yang dituntut oleh para peserta himpunan ini lebih ditujukan kepada SPR. Tapi yang aneh, parti pemerintah dan cabang-cabangnya yang lebih banyak bersuara.

Saya tidaklah menyokong perhimpunan BERSIH, tapi saya juga tidak membantah jika jalannya betul dan apa yang dituntut ada rasional. Saya tidak percaya perhimpunan BERSIH mengundang berlakunya tragedi 13 Mei buat kali kedua. Saya tidak percaya BERSIH dipergunakan pihak-pihak yang ada hasrat meniup fahaman komunis. Lebih dari itu, saya tidak percaya BERSIH memang sengaja cipta huru-hara. Apa yang diberitakan sejauh ini dalam media, saya sifatkan keterlaluan.