| Susunan Perkampungan Melayu di Pulau Penyengat |
Perjalanan saya meneroka ke segenap Pulau Bintan diteruskan. Kali ini lebih tertumpu kepada catatan di pulau yang kisah sejarahnya turut dikongsi tiga negara, Malaysia-Indonesia-Singapura. Sebagai sebuah pulau yang menempatkan salah satu ibukota kerajaan Kesultanan Johor (1528 - 1824), Bintan tak terlepas menyimpan pelbagai khazanah yang kini jadi rebutan dua negara. Apa tidaknya, kawasan yang dulunya satu, kini sudah terpecah tiga. Catatan saya kali ini lebih tertumpu di Pulau Penyengat, kerana di sini sajalah kegemilangan sejarah silam agungnya zaman Kesultanan Melayu terpelihara .
Lihat lebih banyak foto di sini
Lihat lebih banyak foto di sini
Tak tahu bagaimana mulanya hendak ke Pulau Penyengat. Hanya ikut kaki melangkah, apatah lagi saya dan seorang lagi teman, tak ambil pakej tour selama di sini. Kami hidup hanya berpandukan cara yang diajarkan orang di manapun yang kami temui. Alhamdulillah, berkat berani bertanya, saya temui caranya dan alhamdulillah orang yang kami tanyai tak ambil lebih kesempatan. Pengalaman di Pontianak, ketika duit saya 'dilapah' selahapnya oleh tukang becak dan tukang ojek membuat saya lebih berhati-hati. Walaupun saya yakin, bahasa kami tak banyak beza dengan bahasa orang Bintan, kebimbangan tetap ada kerana kata orang, hanya jauhari yang kenal manikam. Hanya mereka yang kenal seperti apa bezanya bahasa mereka dengan bahasa-bahasa daerah luar. Alhamdulillah hanya orang yang baik-baik yang saya temui di Pulau ini.
Perjalanan ke Pulau Penyenyat dapat dilakukan dengan menaiki perahu pompong dengan bayaran Rp5,000 seorang. Pulau ini boleh ditempuh selama 15 minit dari Jeti Tanjung Pinang. Dari Jeti telah kelihatan kampung-kampung atas air berlatarkan sebuah masjid warna kuning. Saya yakin, itulah masjid yang sangat dikenal orang di pulau kecil itu. Sejurus sampai, terlihat begitu kontranya pembangunan Pulau Penyengat dengan Tanjung Pinang walau jaraknya demikian dekat. Tapi sekurang-kurangnya masih asli. Rumah kampung masih kelihatan seperti rumah Melayu walau kaum perempuannya tak lagi pakai baju kurung. Hanya t-shirt dan seluar jeans - sama seperti pemandangan biasa yang kita lihat di bahagian lain di Indonesia. Baju kurung hanya jadi baju adat. Terdetik sedikit rasa kecewa.
Rata-rata penduduk di pulau ini jadi nelayan. Namun ada juga yang dah beralih kerjaya jadi pemandu pelancong, khusus untuk pelancong yang jelajah keliling pulau ini. Tapi hanya naik beca-motor. Memang ini sajalah kenderaan yang ada di pulau ini selain dari motosikal. Juga tidak ada jalanraya terturap dengan tar (indonesia: aspal) kecuali lorong-lorong motor yang dikemaskan dengan hamparan batu-bata. Sudah memadai mungkin, mengingat saiznya yangsangat kecil - tapi tidak disangka berpenghuni.
Tanpa diberitahu asal usul namanya, saya dah boleh meneka pulau ini dapat namanya dari serangga jahat bernama penyengat, spesis serangga bersengat yang saiznya lebih kecil dari lebah dan tabuan, tapi lebih besar dari kelulut. Saya tak tahu dalam bahasa Indonesia ada atau tidak spesis serangga yang dipanggil penyengat ini, tapi di kalangan orang Melayu (dan dalam bahasa Malaysia), serangga jahat ini sangat kami kenal. Pernah saya baca dalam sebuah artikal keluaran media Indonesia konon pulau ini mendapat nama dari kata 'sengat'. Saya berani jamin ia salah sama sekali. Saya ternyata betul kerana ada diceritakan asal-usul nama pulau ini di tak jauh dari jeti.
Melangkah lebih kurang seratus meter ke dalam, tersergam sebuah masjid warna kuning yang menurut ceritanya dibina dari campuran putih telur. Masjid ini asalnya didirikan pada pada tahun 1803 oleh Sultan Mahmud Syah III, Sultan ke-16 dalam salasilah Kesultanan Johor (dinyatakan di sini sebagai Sultan Riau) kemudiannya diperbaiki oleh Raja Abdulrahman, Yang Dipertuan Muda (YDM) Riau ke-7. Melangkah ke dalam sedikit lagi, kita temukan sebuah makam milik Raja Ali Haji, YDM Riau ke-8. Dari kesemua 10 YDM Riau, saya dapat rasakan bagindalah paling dikenang orang. Makamnya terjaga, namanya disebut zaman berzaman malah diangkat jadi Pahlawan Nasional Indonesia.
Kerana apa? tak lain tak bukan kerana jasanya terhadap perkambangan bahasa Melayu - cikal bakal bahasa Indonesia, Malaysia dan Brunei. Barangkali kalau bukan kerana ini, namanya sama saja seperti YDM lain. Begitu masyhur nama baginda sampai tenggelam sejarah sultan yang pernah bersemayam di sini. Jangankan di kalangan Kesultanan Johor, Sultan kerajaan Riau-Lingga sendiri (selepas Riau berpisah dari Johor tahun 1824) juga menerima nasib yang sama. Tak jauh ke dalam, ada satu tapak bekas istana milik Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah (1885 - 1911), Sultan ke-5 dan terakhir kerajaan Riau-Lingga. Bekasnya hanya tinggal gerbang dan sisa runtuhan tembok. Tidak dijaga, tidak diperbaiki dan terbiar. Sangat disayangkan. Padahal sebagai seorang sultan, baginda lebih tinggi pangkatnya. tak tahulah, mungkin Persatuan Sejarah Indonesia lebih arif.
Kalau sudah begitu nasib istana Sultan Riau, apalagi kalau tinggalan sejarah itu ada kaitan dengan kerajaan luar. Begitulah telahan jahat saya. Saya dapat tahu, di Kota Piring tak jauh dari Tanjung Pinang ada sebuah lagi bekas tinggalan Istana kepunyaan Sultan Mahmud Syah III sebelum baginda pindah ke Daik (Lingga). Juga menurut seorang teman di sana, di sebuah daerah namanya Kijang, terdapat juga makam-makam raja Kesultanan Johor. Biarpun tidak ke sana, saya dapat bayangkan bagaimana nasib makam tersebut.
Ada sebuah lagi tapak tinggalan sejarah di pulau ini, saya juga dibawa melihat sebuah benteng pertahanan di atas sebuah bukit yang dibina bagi tujuan pertahanan bagi mengelak serangan Belanda. Ia berbentuk segi empat dan dibina dari susunan batu-batu setinggi 3 meter (lebih kurang) dan terkepung oleh parit di sekelilingnya. Dari rekaan, bentuk, dan metarial yang digunakan, teringat saya pada satu benteng serupa yang pernah saya lawati di Port Dickson, Negeri Sembilan. Kota Lukut namanya. Di sana, bentengnya persis sama seperti benteng di Bukit Kursi ini. Dan fungsinya juga sama, bagi menggagalkan kemaraan Belanda. Terakhir baru saya tahu kalau benteng di Kota Lukut itu dibina oleh Raja Jumaat, anak YDM Riau ke-6.
Ternyata sejarah kami jauh lebih dekat dari apa yang anda bayangkan.
Segera Muncul, Catatan Ketiga

