Lubnan (Lebanon) terletak di pesisir Laut Mediterranean. Ia bersempadan dengan Syria di utara dan timur dan dengan Israel (baca: Palestin) di sebelah selatan. Sesuai dengan lokasinya di Timur Tengah, Lubnan ialah sebuah negara Arab. 95% penduduknya berbangsa Arab dan Bahasa Arab dialek Lubnan dijadikan bahasa rasmi. Namum bahasa Arab bukanlah bahasa popular di negara ini. Sama masalahnya dengan di Malaysia, generasi muda Lubnan sudah sampai tahap malu berbahasa Arab sesama sendiri.
Negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1943 dari penjajah Perancis. Inilah satu-satunya negara Arab berpenduduk Kristian paling ramai di dunia Arab. Di sini lebih 40% Arab Lubnan beragama Kristian. Mungkin faktor penjajahan dan agama jadi punca pupusnya bahasa ibunda negara ini.
Walaupun diangkat menjadi bahasa negara, Arab bukanlah satu bahasa pilihan di kalangan rakyat Lubnan. 70% penduduk negara ini belajar di sekolah swasta yang menggunakan bahasa Inggeris. Manakala kebanyakan ibubapa di Lubnan berkomunikasi sesama ahli keluarga di rumah mengunakan gabungan bahasa Perancis dan Inggeris dan sedikit bahasa Arab.
Walaupun banyak generasi muda negara ini boleh memahami bahasa arab, penggunaan bahasa itu hanyalah terbatas setakat difahami tapi tidak dituturkan. Bukan sekadar itu, semakin ramai anak-anak Lubnan yang lebih kenal ABC berbanding abjad Arab Aliff, Ba, Ta.
Kecenderungan Ibubapa Lubnan menghantar anak-anak ke sekolah swasta mendorong kerajaan negara itu memperkasakan sekolah kebangsaan melalui pengukuhan bahasa Inggeris. Ini merupakan satu lagi usaha kurang bijak yang akhirnya menjadikan bahasa Arab kelihatan bodoh, kompleks dan sukar dipelajari.
(Dipetik dan diolah dari artikel asal dalam Kosmo 20 Ogos 2010.) Kata Saya: Usaha bodoh kerajaan Lubnan itu kini ditiru oleh kerajaan Malaysia. Malah usaha yang kurang bijak itu kini sudah membuahkan hasil. Sekarang semakin ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah generasi muda Melayu sendiri sudah sampai tahap malu menggunakan bahasa itu.