بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Tapak Hikers & Venture - Bukit Kutu

PROGRAM          : Ekspedisi Bukit Kutu
TARIKH               : 26hb March 2017
PESERTA             : Zulkarnain, Suden Maulana & Fazli

Puncak Bukit Kutu
Bukit Kutu bukan ‘bukit’ biasa seperti mana anggapan umum. Bukit setinggi 1053 meter/dpl ini sudah layak dikategorikan 'gunung' menurut standard Malaysia. Hanya namanya saja bukit, tapi fizikal sama terjal seperti gunung-gunung lain. Pendakian Bukit Kutu kami mulakan dari Kampung Pertak. Sebuah kampung Orang Asli yang terletak sebelah kanan dari Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser. 

Saya tak pasti kalau ada jalan masuk dari arah lain. Kalau dari sini, pastikan jangan sampai tersesat. Papan tanda Kampung Pertak tak terlalu kelihatan dari jalan besar. Siap-siaplah lihat kanan sebaik lepasi Empangan Sungai Selangor. Sebaik terlihat papan tanda Kampung Pertak, teruslah masuk ke dalam dan pandu hingga ke ruang parkir di tepi padang. Caj masuk dikenakan seringgit (RM1.00). Di sini pendakian Bukit Kutu bermula.

Empangan Sungai Selangor
Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser
Sudah ramai pendaki lain buat regangan awal waktu kami sampai. Semuanya bergaya professional, jauh dari kasta kami yang masih rendah.

Permulaan jalan tar, terbentang sepanjang satu kilometer ke dalam. Di hujungnya saya lihat ada sepasukan bomba dengan dua van penyelamat sedang siaga. Mungkin dah rutin kerja mereka tunggu di situ setiap pagi, fikir saya.

sungai terbentang di sepanjang jalan
Sebaik tamat lalui jalan tar, silakan pandang kanan. Ada sungai cantik sejajar dengan jalan tanah merah selepas itu. Tapi sebelumnya ada dua jambatan besi yang perlu dilintas. Waktu kami sampai, jambatan besi yang kedua telah runtuh. Jadi terpaksa kami meniti jambatan runtuh pada posisi yang senget. Perlu keberanian lebih untuk lepasi sungai yang bahaya ini. Airnya bertambah deras bila hujan.

Debaran belum berakhir. Rupanya di depan sana terbentang sebatang lagi sungai yang perlu kami redah. Tapi mujur kali ini airnya separas lutut. Ketika lintasi sungai ini, salah seorang anggota kami tergelincir lalu jatuh dalam sungai. Lebih malang lagi kasut yang baru dibeli, yang disayang-sayangkan takut terkena air, telah hanyut. Mujur dapat ditemui semula tersangkut 100 meter dari lokasi kejadian. Nak ketawa pun tak sampai hati.

anggota kami sedang mencari kasut yang hanyut

Jalan mulai menanjak sebaik melepasi sungai itu. Walaupun bergerak hampir serentak, saya terpisah dari kumpulan ramai ketika perjalanan belum sampai pun satu kilometer. Saya menapak teramat perlahan. Gambaran trek Bukit Kutu, saya sifatkan jauh lebih curam dari Gunung Nuang pada permulaan 400 meter/dpl pertama. Baru setangah jam, saya dah hilang tenaga. Saya letih lebih cepat, peluh lebih banyak membasahkan baju. Berhenti lebih kerap dan berehat lebih lama. Beberapa pendaki muda lelaki dan perempuan bersilih-ganti memotong saya.

draf gambaran kecerunan Bukit Kutu berbanding Nuang
Tapi budak-budak muda itulah sebenarnya sumber yang membakar semangat kami. Tiba-tiba kami jadi cergas di depan mata mereka walaupun sebetulnya pura-pura. Nilaian mereka terhadap kami begitu tinggi. Padahal pengalaman kami baru sebatas takluk Gunung Nuang. Budak-budak muda itu adalah pelajar sebuah universiti awam yang datang hampir 100 orang. Rata-rata belum ada pengalaman mendaki. Jadi tanpa sengaja kami selalu jadi pakar rujuk.

Akhirnya berbekalkan tenaga yang tinggal nyawa-nyawa ikan, kami tak sedar dah tiba ke Batu Tedung. Satu lokasi tarikan Bukit Kutu yang sangat ingin saya lihat.

panjat Batu Tedung

berbongkah besar
Batu Tedung merupakan formasi bongkah batu yang menjulang setinggi 5 tingkat bangunan. Ia sangat besar, puncaknya berbentuk seperti kepala ular dalam keadaan siaga menyerang. Sampai di lokasi ini, bererti kami berjaya habiskan 2/3 pendakian. Formasi ajaib Batu Tedung selalu berfungsi sebagai ruang rehat, rawat dan teduh buat para pendaki. Pemandangan pun begitu cantik.

Kini kita sudah lepasi had kecuraman maksimum yang ada di Bukit Kutu. Pendakian seterusnya tak terlalu terjal. Tapi lebih banyak membongkok kerana bakal lalui rumpun-rumpun buluh dan balak yang telah rebah di sana-sini. Pada peringkat ini, berberapa kali saya temui ulat gonggok sebesar lipan yang keluar dari persembunyian. Ulat gonggok itu tak sampai menakutkan, tapi menggelikan lantaran aksinya yang meliuk-lintuk.

panorama
Pendakian yang santai ini akhirnya membawa kita ke kawasan tanah rata yang belum diberi nama, atau mungkin sudah ada nama yang tidak kami ketahui. Demi mengenang ulat-ulat gonggok yang saya temui tadi, saya secara peribadi namakan tempat ini Dataran Gonggok. Setuju tak?

Sebaik mencapai Dataran Gonggok, suara pendaki mengilai dan terbahak-bahak ketawa dari atas, sudah sayup-sayup kedengaran. Itu tandanya puncak Bukit Kutu sudah semakin dekat. Sepuluh minit dari situ, kami tiba juga ke puncak yang ditandai sebatang tinggalan serombong asap yang sudah usang, juga runtuhan tangga batu yang tinggal separuh. Sulit saya fikirkan bagaimana orang dulu-dulu susah-payah bawa material binaan ke kawasan setinggi ini. Lebih aneh lagi, 5 minit perjalanan dari sini kamu temui pula runtuhan rumah agam yang tinggal sebelah. Dindingnya sudah dibalut lumut dan akar-akar pokok.

bergambar bersama runtuhan bangunan
rumah agam entah milik siapa
bangga 
Belum lengkap daki Bukit Kutu kalau belum panjat bongkah batu besar di puncaknya. Panorama dari atas batu-batu dijamin jauh lebih cantik.

panjat bongkah batu.
Puas merakamkan aksi poyo di atas puncak, kami serta rombongan pelajar itu tadi bergerak turun beriringan. Sayang sekali perjalanan turun terpaksa kami redah dalam hujan yang lebat. Hujan telah membekaskan air pada trek yang tadinya kering, lalu jadi lopak-lopak yang licin. Sebahagian besar adik-adik siswa universiti itu mungkin lupa masukkan faktor hujan dalam perancangan pendakian.

merawat salah seorang pendaki muda yang tercedera
Banyak dari mereka yang jatuh tergelincir kerana pilihan kasut yang salah. Akibatnya ada yang terluka, pakaian terkoyak, kaki kejang dan tak kurang yang semput. Lalu mereka pun kami bantu sekadar termampu. Bantuan kami bukan menanti balas, cukup sekadar mereka teladani beberapa nilai yang kami tunjuk, yang barangkali berguna buat junior-junior pendaki lain yang lahir kemudiannya dari mereka -  tentang kemanusiaan dan setiakawan.

Sampai jumpa di puncak seterusnya.

Kami sampai semula ke kaki Bukit Kutu pukul 6.40 petang. Seperti di awal pendakian tadi, pasukan bomba bersama van penyalamat tadi masih ada. Terakhir baru kami tahu, mereka terlibat misi menyelamat 14 pendaki Gunung Rajah yang dipanah petir. 

TAPAK Hikers & Venture - Gunung Nuang

Puncak Nuang dilihat dari Pengasih
Program      : Ekspedisi Gunung Nuang
Tarikh         : 5 Mac 2017
Peserta     : Suden Maulana, Zulkarnain, Fazli

Memang dah banyak catatan Gunung Nuang yang dapat kita jumpa di mana-mana. Tapi itu sama sekali tak berkaitan dengan saya, apalagi bersangkutan dengan seluruh ahli Tapak Hikres yang lain. Jadi hari ini saya tampilkan laporan ringkas ekspidisi ini, bertujuan mengingatkan kembali aktiviti kami di kemudian hari. Semoga catatan ini bermanfaat juga buat pendaki lain yang bakal menakluk Nuang pada masa akan datang.

DEDIKASI
Tulisan ini hadir sebagai ganti 'mohon maaf' kami buat seluruh ahli TAPAK Hikers, khususnya buat dua otai gunung kami, Abang Ahmad Kamal dan Kak Azalina yang banyak beri tips, keterangan hikmah dan kaedah mendaki untuk saya dan beberapa junior lain yang baru jinak-jinak dalam dunia ini. Mohon maaf atas trip rahsia atau istilah kita "trip curang" yang kami bertiga lakukan. Ia bukan aktiviti sengaja yang kami rangka tanpa sebab. Ada alasan tersendiri yang sulit kami jelaskan samaada melalui lisan bahkan tulisan. 

TRADEMARK

TENTANG NUANG
Gunung Nuang dengan ketinggian 1493 meter dari paras laut (meter dpl), merupakan antara puncak tinggi dalam rangkaian puncak-puncak di Banjaran Titiwangsa, tulang belakang Semenanjung. Dua jalan utama untuk sampai ke puncak Nuang antaranya dari Kuala Langat, Selangor dan dari Janda Baik, Pahang. Sesuai seperti lokasinya yang dapat ditempoh dari dua pintu, puncak Nuang adalah pemisah sempadan antara kedua-dua negeri ini. Batu tanda sempadan dapat ditemui di puncak gunung.

06.30 pagi. Kami mulakan pendakian dari arah Kuala Langat pada hari yang masih gelap. Bekalan yang kami bawa hanya dua botol air, sebuku roti, snek coklat dan dua buah pisang seorang satu. Ia tak terlalu mewah, hanya cukup sekadar mampu digalas oleh badan. Selain itu, kami siapkan juga sepersalinan pakaian ganti, baju hujan dan lampu suluh. Pagi ini, kaki Gunung Nuang sudah penuh di datangi pendaki waja yang tak pernah kenal istilah ngantuk. Pada ketika ini, ramai juga yang sudah berkhemah semalaman.

PENDAKIAN BERMULA
Jalan siap bertar tersedia sepanjang satu per empat pertama laluan masuk ke perhentian pertama di Kem Lolo. Kemudian berganti jalan tanah merah beralun selebar 1 meter dengan kecerunan serendah 20°. Sepanjang laluan 6km ke kem itu, ada 5 pondok wakaf berselang kira-kira 1km setiap satu buat pendaki melepaskan lelah sepanjang menapak ke dalam. Pada hari-hari biasa, belum pernah jalan kaki meredah laluan panjang sejauh ini.
Hari masih gelap
8.30 pagi. Kem Lolo merupakan lokasi kegemaran pendaki bermalam sebelum sambung perjalanan dari/ke puncak Nuang. Jarak 200 meter terakhir sebelum sampai ke sini merupakan denai bercerun 40°. Pendakian pun sebenarnya baru bermula. Air Terjun mendamaikan yang dapat kita lihat, adalah ‘umpan’ buat kita berehat lebih lama. Tapi sabar dulu, perjalanan masih panjang, laluan di depan lebih mencabar dan memenatkan. Bersaip-siaplah.

Kem Lolo - Lokasi pendaki bermalam
10.30 pagi. Hampir dua jam kami ambil masa untuk sampai ke perhentian kedua – Kem Pacat. Pendakian melalui denai berbatu dengan kecerunan 60°. Penat mulai terasa, beberapa kali kami berhenti pulihkan semula tenaga, tapi perjalanan masih lagi jauh. Ini baru separuh pendakian. Ada separuh gunung lagi yang perlu kami tempuh untuk betul-betul takluk puncak. Seperti di Kem Lolo tadi, Kem Pacat juga lokasi pilihan untuk pendaki dirikan khemah dan bermalam sebelum lanjut perjalanan. Teruskan bersabar kerana pendakian selepas ini bakal lebih ekstrim.

Sampai Kem Pacat
formasi akar di Kem Pacat
DISERANG MIGRAIN DAN SAKIT DADA
Terus mendaki pada kecerunan yang menyamai tahap menegak membuat diri saya kurang selera untuk bercakap. Suara sendiri terdengar perlahan, udara sudah masuk ke segenap rongga telinga hingga hasilkan kesan dengung. Beberapa kali saya hembus nafas dan cuba keluarkan udara dari telinga bagi hilangkan simptom tanah tinggi. Tapi masalah lain pula yang timbul. Kepala jadi berat, dan pening sebelah kanan. Saya hanya mampu tarik nafas lebih dalam bagi mengurangkan rasa berat. Dan sejurus itu pula, dada saya terasa sakit. Saya hanya mampu doa dalam hati agar mampu tangani semua ini. Mungkin teknik bernafas lebih dalam dengan sela yang lebih pendek, berkesan hilangkan kesakitan ini. Alhamdulillah saya mampu tangani.

12.45 ptg. Ketika sudah hampir mahu menyerah, ketika simpanan tenaga hampir tidak tersisa, ketika sudah habis separuh hari kami mendaki, kami pun sampai ke perhentian terakhir – Kem Pengasih. Pendakian lalu denai bercerun hampir 70° dan kadangkala mencecah 80° sudah berakhir. Jujur saya suka dengan kem ini. Entah kerana namanya atau apa, saya tak pasti. Tapi kejayaan sampai ke sini beri keyakinan bahwa kami mampu takluk Nuang. Alam gunung sudah terasa. Kabus sudah meyelubungi pokok-pokok besar berdaun kecil. Lumut sudah tumbuh jadi permaidani asli di atas tanah yang kami pijak. Malah tak sedikit yang membaluti batang-batang kayu. Ia betul-betul menyegarkan mata memadang. Pendakian seterusnya untuk betul-betul sampai puncak, sudah tak sukar lagi.

Kem Pengasih
Muka Bumi Kem Pengasih
Santai di Kem Pengasih
Abadi kenangan di Kem Pengasih
1.15 ptg. Inilah Puncak Nuang. Kata-kata paling wajar sukar saya lafaz ketika kami sampai.  Hanya bersyukur dah selamat sampai puncak tanpa ada kendala yang menghalang. Dataran di puncak Nuang tak luas. Pendaki yang selamat sampai puncak saling berbagi cerita, mengimbau detik-detik cabaran yang telah mereka lalu sambil merakam kenangan di puncak Nuang. Pendaki dari arah Kuala Langat dan Janda Baik saling bertemu, mengucapkan syabas dan tahniah tanpa kenal bangsa. Ternyata kelelahan mampu menyatukan segenap manusia. Di atas puncak, kami sempat abadikan tag pengenalan “Tapak Hikers & Venture” sebagai bukti bahwa puncak Nuang sudah kami tawan.

Puncak Nuang
Berkabus
Saujana mata
Bukti TAPAK Hikers & Venture sudah di sini
2.15 ptg. Kami turun semula ke kaki gunung dalam cuaca hujan dan laluan becak berbekalkan sisa tenaga yang masih tinggal.

6.30 ptg. Air Terjun Kem Lolo yang tadinya jadi umpan, kini kami “santap” dengan lahap. Berendam dalam air yang dingin dalam cuaca hujan ketika situasi tubuh yang tidak lagi bertenaga, rupanya jadi terapi semulajadi yang tak patut kami lepaskan. Sehabis cuci diri dan berganti pakaian, kami teruskan perjalanan ke kaki gunung dengan rasa lebih segar.

8.00 malam. Sampai kaki gunung dan bersurai.



Masuk Surinam Secara Haram

# Bukan cerita saya, ini kisah pengembara Perancis yang terpaksa lalu Surinam secara haram dalam perjalanannya dari Panama menuju Brazil. Pengelamannya sangat mencabar bagi seorang pengembara. diterjemahkann dari catatan asal di sini 


Jadi inilah cerita yang kita tunggu-tunggu. Tajuknya sengaja memancing…

Lokasi Surinam (Amerika Selatan)
Semuanya bermula pada hari pertama saya di Georgtown (Guyana). Sebenarnya sudah sebulan sejak saya kirim email ke kedutaan Surinam mohon visa (satu-satunya negara Amerika Latin yang saya terpaksa mohon visa) dan dibalas dengan menyatakan saya cuma perlu ke kedutaan negara itu di Georgtown. Mereka janji dapat siapkan semua kertas kerja di situ.

Jadi petang itu saya ke Georgtown, setelah mandi kali pertama sejak 3 hari, saya terus ke kedutaan. Saya pasti kakitangan awam dalam dunia ini semuanya sama, ia tak akan buka sampai begitu lewat. Jadi saya bergegas ke sana dan sampai jam 3.15ptg. Sebaik sampai, saya masih dapat bernafas sebaik nampak papantanda bertulis pejabat ditutup jam 4.00ptg. Saya masih di pintu gate ketika itu ketika pengawal di situ bilang Pejabat Visa ditutup jam 3.00ptg. Langsung saya menyesal kenapa tadi perlu mandi. Mujur pada hela nafas seterusnya dia bilang pegawai perempuan yang mengurus visa masih belum balik dan suruh saya cepat kejar kalau-kalau pegawai itu boleh bantu. Saya terus bergegas… tapi ternyata pegawai itu jenis perempuan itu yang mengerikan… sepatutnya saya rakam gambar dia dan tampal di papan dart. Bila saya tanyakan dia tentang visa, perbualan jadi lebih kurang begini:

"kamu lambat, kami dah tutup"
"tapi saya baru sampai, dan langsung ke sini. Tolonglah, saya nak pergi esok. Saya datang ke Georgtown semata-mata untuk visa"
"sekarang 3.15 dan kami tutup pukul 3.00, awak lambat"
"ya, tapi tolonglah…"
"habis kamu mahu saya buat apa? masuk semula dan uruskan visa kamu sekarang?"
 "kalaulah boleh"
"Tak. Tidak akan, kami dah tutup, kamu datang saja ke sini lagi hari Rabu"
"Rabu? Hari ini hari apa?"
"Hari ini Rabu"
"Habis tu? Rabu depan?
"Ya"
"Tapi kenapa?"
"Sebab kami cuma keluarkan visa hari Isnin, Selasa dan Rabu. Isnin ini libur Paskah, hari Selasa kami tutup"
"Tapi saya tak boleh tunggu seminggu. Waktu saya email ke kedutaan dulu, mereka tak cakap pun pasal ni"
"Kami dah tampal notis di dinding dan maklumkan dalam akhbar tempatan. Kamu patut tahu"
"Mana mungkin saya nampak notis di dinding dan surat khabar? Saya tinggal di London"
"Saya tak dapat buat apa-apa, datang saja Rabu depan"
" Kalau saya ke sempadan, mungkin tak kalau saya dapat visa di sana?"
"Er, saya tak pasti. Tak… saya tak tahu. Kamu patut datang lagi Rabu depan"

Keluar dari Albina
Itu tadi penutup perbualan kami. Tapi keraguan dia jawab soalan terakhir sangat menyakinkan tentu ada cara yang lain. Suatu jalan yang tak mungkin boleh ditembusi, membayangkan kemungkinan lain bila di sempadan. Saya masih ada harapan.

Saya habiskan petang itu dengan fikirkan solusi. Tak mungkin tunggu seminggu di sini kerana tiket pesawat ke utara Brazil dan lanjutkan ke Rio hari jumaat sudah saya tempah, mustahil saya boleh keluar dari Guyana masuk Surinam dan Guiana Perancis untuk sampai ke Brazil dalam 2 hari. Satu lagi masalah lain, Guyana cuma beri izin tinggal seminggu, pastilah terlebih tempoh kalau saya terus menunggu.

Sehabis petang yang sangat sibuk itu (termasuk pergi ke agen pelancongan, layari internet dan Skype ke kampung untuk lepaskan rasa kecewa) saya sempat bayangkan beberapa pilihan:

1. Cuba ke sempadan dan lihat kalau-kalau mungkin boleh dapat visa.
2. Terbang ke Belem (utara Brazil) dan gerak ke utara semula ke Guiana Perancis (makan lebih kurang 2 hari)
3. Datang ke kedutaan lagi hari berikutnya
4. Patah balik dari awal dan habiskan seminggu jelajah Brazil (termasuk 4 hari trip bot ke Amazon) tapi lepaskan Guiana Perancis dan terlepas jumpa kawan yang sangat saya impikan.

Saya pilih untuk tidur…

Esok sebaik bangun, saya fikir pilihan 3 memang mustahil, jadi saya buang. Terfikir mungkin saya boleh tanya agen untuk trip Georgtown – Paramaribo (ibukota Surinam) kalau-kalau saya boleh dapat visa di sempadan daripada lakukan semua itu satu persatu. Pilihan 1 ini memang jauh dari pelan saya, tapi itulah yang terdekat buat masa ini. Kalau masih tak berhasil, pilihan 2 adalah penggantinya, dan saya simpan pilihan 4 sebagai langkah terakhir andai saya terlepas pesawat. 

Saya tinggalkan hotel tanpa keyakinan penuh, tapi dengan sikit harapan. Kemudian ke agensi pelancongan yang dulu pernah rangkakan perjalanan saya ke Brazil dari Georgtown dan tanyakan kemungkinan dapat visa di sempadan, tapi lelaki di situ bilang ia tak mungkin.

Keluar Dari Albina
Selepas bicara lanjut (termasuk merayu dengan air mata), saya maklumkan kena tiba di Guiana Perancis hujung minggu ini juga (samaada hidup atau mati). Lelaki itu simpati lalu bilang " jadi kamu kena ikut jalan belakang" Saya terperanjat:

"jalan belakang? saya tak faham" 
"jalan belakang itu ertinya kamu masuk tanpa visa"
"macam mana?"
"kamu jangan lintas sempadan, tapi ikut jalan belakang"
"OK, menarik, beritahu caranya"
"ada orang akan bawa kamu naik bot. Ia menuju Surinam, kamu akan dijemput seseorang sebaik sampai di seberang dan akan dibawa ke Paramaribo.
"OK, berapa kosnya?"
"$75 untuk pengangkutan, $100 untuk polis."
"betulkah saya akan sampai ke Paramarobo?"
"ya, kamu pasti dapat ke Paramaribo tanpa periksa pasport, tapi setelah di Paramaribo, kamu tanggung sendiri"
"OK, bila berangkat?
"Sabtu pagi."
"tak boleh esok?"
"tak, esok Good Friday, pemandu bot tak berkerja pada Good Friday"

Saya gelihati bila dengar penyeludup pun ada hari libur, tapi lega juga sebab masih ada pilihan walaupun ia tak ideal dan saya tak pernah tertarik langgar undang-undang. Saya masih berharap dapat terbang ke Belem, jadi saya tanya lagi ke agensi pelancongan tadi. Seorang perempuan yang nampak mesra pun bilang, saya sepatutnya tanyakan hal itu sehari sebelum, kerana penerbangan ke Belem hanya seminggu sekali dan jatuhnya pada pagi hari ini. Jadi saya terlepas… tapi dia masih mahu bantu dan sarankan saya terbang hari Sabtu ini dari Boa Vista ke Manaus ke Belem dan dari Belem ke Macapa, tapi dengan kos US$1200… Err…. tak kot, terima kasih… 

Jadi apa lagi selain jalan belakang?… cuma untuk kepastian, saya tanyakan satu kompeni bas tentang soalan yang sama. Jawapannya sama juga, lalu saya balik lagi ke lelaki tadi dan bilang saya nekad teruskan. Namanya Bobby, dia yang akan jemput saya hari Sabtu ini dan saya harus bayar semuanya hari itu juga. Itu sajalah caranya, dan demi keselamatan saya, hal ini saya maklumkan ke beberapa rakan karib (tapi bukan ibubapa) tentang apa yang akan saya lalui. Ayat terakhir dalam email saya berbunyi "kalau kalian tak terima berita dari saya sampai Ahad, bererti saya sudah dalam penjara"  

Terpaksa tunggu sehari penuh lagi, dan Sabtu itu saya tunggu betul-betul depan hotel jam 2.45pg. Ketika masuk pukul 3.30pg, dan ketika saya fikir Bobby mungkin tak akan sampai, sebuah basmini tiba. Saya tergabungkan ke dalam bermacam-macam orang, tua, muda, lelaki, perempuan, orang Brazil, orang Guyana… Entah di mana logiknya mereka mahu rentas negara secara haram. Saya pernah terbaca dalam internet kalau inilah jalan yang paling pantas untuk ke seberang sana daripada lintas sempadan, jadi saya bayangkan mereka memang tak perlu visa untuk sekadar berbelanja atau jumpa kawan sehari dua.

Keluar Dari Albina
Saya berdebar, tapi rasa letih telah membuat saya tidur 2 atau 3 jam. Pukul 7.00pg, basmini berhenti di kawasan parkir. Bobby turun dan panggil saya: "Hey kau, sini tempatmu!" Saya capai beg, lompat dan serahkan tambang yang dah disepakati dulu ke Bobby. "OK, bayar tambang semuanya sampai ke Paramaribo, sudah itu jangan bayar lagi walau apapun yang terjadi hinggalah tiba Paramaribo. Di parkir itu, seorang lelaki tukarkan Dollar Guyana terakhir saya ke duit Surinam, dan iring saya sampai ke teksi. Saya dibawa dengan teksi ke suatu lokasi sejauh 5 minit di depan, sebelum berhenti di sebuah rumah. Lepas itu seorang lelaki lain ambil beg saya dan arahkan saya ikut dia. Kami lintas halaman rumah itu ke belakang.Nampak sungai yang penuh dengan bot-bot yang siap menunggu di situ. Kami berjalan cepat dan beg saya dicampak kemas ke dalam bot yang siaga berlepas. Semuanya sangat pantas (ambil masa 10 minit saja dari mula turun bas hinggalah naik bot) dan sangat teratur. Saya kagum dan berfikir kenderaan yang lalu jalur sah perlu ambil pelajaran dari sini.

Menyeberangi sungai itu hanya kira-kira 15 minit. Di tebing sebelah sana sudah ramai yang menunggu dan jemput siapapun yang keluar dari bot (atau terpaksa redah sungai separas betis). Saya patut bersyukur kerana sempat gelintar internet, jadi dari awal saya dah tangalkan kasut dan singsing kaki seluar, tapi tak berpeluang cecah air sebab ada seorang lelaki yang sangat cepat tarik saya dan beg saya naik ke tebing. Saya yakin ini semua memang sebahagian khidmat Bobby, tapi rupanya masih ada duit kopi. Saya enggan beri apa-apa kerana kebetulan ada teksi berhenti di depan. Tapi lelaki itu menjerit "Aku akan cari kau bila kau balik nanti!". Padahal saya tak merancang akan balik…

Dalam teksi, saya sempat bilang lebih 10 kali ke pemandu itu kalau tambang dia sudah saya bayar. Saya yakin dia tak tipu saya, malangnya saya silap… selepas bergerak beberapa minit, dia bilang saya tetap kena bayar. Malas berbantah terlalu lama sebab saya sendiri tak tahu ke mana tujuan saya (yang saya tahu ia sebuah stesen minyak) dan saya pun takut kalau dia turunkan saya di tepi jalan. Saya tanya berapa dia mahu, dia minta 150 dollar Surinam (75USD) kerana laluannya jauh. Saya sempat cakap pada diri saya sendiri "aku patut ketawakan kau" tapi dia tak tahu. Sebaliknya saya terus tawar menawar sampai merah muka hingga dia turunkan harga 75S$. Tapi saya tetap tak mahu bayar. Sekarang barulah saya faham kenapa Bobby bilang jangan bayar apa-apa lagi walau apapun yang terjadi. Ketika berbual dengan pemandu itu, saya nyatakan bahawa Bobby pernah bilang jangan bayar ke sesiapa, tapi kalau dia tetap minta, suruh dia tunggu atau telefon Bobby bila sampai di stesen minyak. Dia jawab Bobby takkan datang jemput saya sampai pukul 1.00ptg atau 2.00ptg, dan dia pun tak sanggup tunggu lama-lama (waktu itu jam 8.00pg), jadi saya cakap mungkin dia patut datang lagi… akhirnya saya sampai ke stesen minyak itu.

Sebaik keluarkan bagasi, saya bilang tak akan bayar apapun jadi dia patut tanyakan Bobby kalau dia mahu sesuatu. Dia terus pergi tanpa buat kecoh. Saya rasa saya betul, saya tahu dia sekadar cuba nasib.

Keluar Dari Albina
Lepas dari semua ini, saya tahu saya ada masa 6 jam buat tunggu kenderaan seterusnya. Saya tak rasa telah biadap sikit pun, sekarang saya faham kenapa perlu ambil masa sehari penuh untuk mencapai Parbo (pangilan ramai untuk Paramaribo) . Nasib baik ada pangkin dan meja buat saya jamah makanan dan baca buku untuk hiburkan diri... bas akhirnya tiba dan sesetengah penumpang pandang saya penuh lucu bila saya naik semula. Saya tak perasan awalnya kalau saya satu-satunya penumpang yang ikut jalan belakang, padahal penumpang lain semuanya jujur "ambil feri dan ikut sempadan rasmi". Bobby juga tak kelihatan, berganti orang lain yang entah iya atau tak adalah saudaranya.
Saya duduk di bangku antara terdepan (di ruang yang masih tinggal). Pemandu bas tanya bila saya akan 'balik'. Saya jawab tidak, dia kelihatan terperanjat. Perbualan kami lebih kurang begini:

"Tapi kamu mesti kembali"
"Tak, saya akan ke Guiana Perancis"
"Tapi kamu tak cop pasport"
"saya tahu, saya pernah tanyakan ini di Georgtown, mereka bilang tak mengapa"
"Tak, kamu mesti kembali, ataupun kamu dilarang masuk Guiana Perancis.
"Tapi saya warga Perancis, tak mungkin mereka melarang?"
"Ya, tapi kamu masuk dari Guyana, sekali ikut jalan belakang, kamu terpaksa teruskan ikut jalan belakang sampai tiba semula ke titik asal" 
"Tapi saya tak boleh balik. Apa akan terjadi lepas ini?"
"baiklah kalau memang kamu mahu ikut jalan belakang sampai Guiana Perancis, cakaplah baik-baik dengan mereka di sempadan"
"bagaimana kalau setelah tiba di sempadan, saya mengaku saja ikut jalan belakang sebab tak dapat visa dan janji akan kembali?. apakah saya akan diekstradisi ke mana-mana wilayah Perancis terdekat, Guiana Perancis contohnya?"
"Oh, tak. Jangan buat begitu! kamu akan ditangkap dan dipenjarakan 2 hari. Kemudian dihantar pulang sama ada ke Guiana Perancis atau mungkin di Guyana"
"Apakah mudah ikut jalan belakang ke Guiana Perancis?"
"Ya, sangat mudah, Pergilah ke Albina, bandar di sempadan, lalu ambil bot kecil, bukan feri.

Saya susah hati takut terpaksa patah balik sebelum sempat masuk Guiana Perancis lagipun tak mungkin saya boleh lalu Brazil (sebenarnya tak takut pun kalau tak dibenarkan masuk ke Guiana Perancis). Cuma saya nak kepastian hingga saya betul-batul sampai seberang sana yang dah tak terlalu jauh… Sebaik kami habis berbual, bas pun berhenti untuk pemeriksaan polis. Fikiran pertama saya ialah "sekurang-kurangnya kalau saya ditahan 2 hari di penjara, ada cerita menarik yang boleh saya kongsikan…" 

Semua penumpang diminta turun dari bas. Saya cuba buat hubungan mata dengan pemandu yang dah turun sebagai isyarat apa yang harus saya lakukan. Walaupun duduk di depan, saya terpaksa beri laluan untuk orang lain turun dulu. Dah terbayang kalau hari berikutnya saya bermalam di penjara. Beberapa perempuan tak dapat keluar (sebab saya halang jalan mereka), jadi seorang dari polis itu merapat ke tingkap untuk minta dokumen kami. Pemandu tadi ada di sebelah polis itu. Saya serahkan pasport saya dengan rasa gugup. Polis ambil passport saya dan kembalikan semula sambil berkata "silakan duduk". Saya pun duduk. Orang yang lain naik semula. Perjalan dilanjut.

Begitulah cara saya peruntukkan "$100 untuk polis " Orang lain yang duduk di dekat saya mula ketawa membayangkan betapa seramnya situasi saya tadi, tapi syukur, saya lepasi halangan ini. Semoga tak ada kendala yang lain lagi selepas ini... 

Dua jam kemudian, bas turunkan saya di stesen bas Paramaribo. Waktu itu lebih kurang jam 5 atau 6ptg, tapi saya mahu cepat dan segera sampai ke Albina, walaupun saya yakin memang takkan mampu seberang sempadan hari yang sama. Di Prabo, saya diserah ke beberapa lelaki yang kemudiannya melepaskan saya ke seorang pemandu teksi, yang juga secara sambilan hantar bungkusan KFC. Keretanya penuh dan saya sempitkan lagi dengan 2 perempuan Surinam yang gemuk yang tak bercakap dalam bahasa apapun selain bahasanya sendiri yang langsung saya tak faham. Selepas beberapa kali berhenti tengah bandar untuk serahkan bungkusan (patutlah saiz keretanya sebegitu), kami terus melaju ke Albina. Perjalanan makan masa 3 jam di jalan tar beralun (pada kelajuan lokal yang gila). Saya harap perjalanan waktu malam dapat elakkan pemeriksaan. Lebih sedikit 3 jam kemudian (termasuk mengganti tayar), kami sampai ke Albina tanpa kawalan keselamatan. Setengah jam sebelum sampai, saya tanyakan pemandu teksi, apakah mudah masuk ke Guiana Perancis ikut jalan belakang. Dia tanya kenapa,  jadi saya bilang saja tak ada visa. Dia terjemahkan soalan saya pada penumpang lain sebelum semuanya ketawa, kemudian bercakap-cakap 5 minit dalam bahasa mereka sendiri. Saya tak tahu apa yang terjadi, dan tak fikir kalau saya pernah buat lawak, ataukah mungkin mereka teruja dapat satu kenderaan dengan pendatang haram. Akhirnya jawapan mereka pun keluar: "ya, itu sangat-sangat mudah" 

Saya putuskan tinggal semalam di Albina kerana sudah jam 9.30mlm dan lagi pun saya pasti penginapan di sebelah Perancis jauh lebih mahal. Jadi pemandu teksi itu (saya suka sikap dia sebenarnya walaupun cara dia memandu macam orang gila, tapi itu tak terlalu menakutkan kerana ia terkawal) turunkan saya di depan sebuah hotel di mana pemiliknya minta S$60 satu malam. Saya tahu ia munasabah dan saya pun dah lelah, jadi saya terima saja. Mulanya saya tak sedar ada kereta polis di kawasan parkir sampailah dia tunjukkan kawasan sekeliling dan bilang polis sedang duduk di dapur. "jadi kau tak payah bimbang, kau selamat di sini sebab ada polis bersama kita malam ini" Kelakar, kadang-kadang suatu yang jujur mampu buat kita kaku bila sedang di posisi melanggar undang-undang!.  Jadi apa yang saya buat malam itu?, saya cepat-cepat kunci diri dalam bilik dan sembunyi sampai ke pagi…

Paginya saya bangun cepat kerana saya tak dapat jangka berapa lama waktunya akan sampai Guiana Perancis. Seorang perempuan di hotel nampak tersengih bila saya bilang saya tak perlu lalu kastam dan tanyakan dia mana boleh dapat bot kecil. Tapi dia tak tanya apapun selain tunjukkan arah yang betul. Di tepi tebing, pemandu bot ajak saya masuk ke dalam dengan biaya 5 Euro, yang sememangnya mahal tapi saya tak ada mood untuk bantah, saya hanya mahu tinggalkan Surinam secepatnya... Menyeberangi sungai ambil masa 5 minit dan saya diturunkan betul-betul di depan pos Kawalan Sempadan Perancis seperti arahan.

Masanya berkata jujur telah tiba bila lelaki dari PAF (polis sempadan, dia sendiri yang betulkan kerana mulanya saya sangka pegawai imigresen) tanya saya samaada mahu masuk atau keluar, saya serahkan pasport dan bilang "mahu masuk, tapi masih ada masalah"

"Apakah itu?"
"Saya tak ada cop keluar dari Surinam dan Guyana"
"Sekurang-kurangnya ia jelas… tapi kenapa?"
"Sebab saya lalu jalan belakang"
"kenapa jadi begitu?"
"saya tak lalu sempadan"

Saya habiskan sepenuhnya cerita saya redah jalan belakang di pejabatnya, termasuklah ceritakan pengalaman perjalanan saya selama ini. Dia tak hirau langsung bagaimana saya 'dapat lakukan itu', dia cuma yakinkan saya bahwa takkan ada masalah di imigresen jika masuk Brazil.

Dia mungkin seorang polis sempadan terbaik pernah saya temui (sebanding dengan polis Kanada dua tahun lalu di Calgary). Dia berikan saya banyak petua perjalanan di Guiana Perancis dan utara Brazil, ketika hantarkan saya ke stesen bas (1.5km di depan) dengan kereta polis yang comel. Sempat juga dia ajak singgah lihat pemandangan di Saint Laurent. Berbanding tadi, saya kini rasa lega, senang dan bahagia bila sudah di Perancis.



Kembara Paling Seram 3 - Medan mengerikan

“Bus paling pagi berangkat jam 10 siang, mas. Tapi masih tergantung”  Begitu kata mbak penjaga kaunter bas Pelangi di Terminal Penumpang Batoh, Banda Aceh. Sebenarnya ada enam armada bas lain di sini, tapi setiap satu kaunter yang saya tanya, jawapannya semua sama. Bas belum mahu jalan kalau tidak cukup penumpang. Kami disuruh tinggalkan nama dan nombor telefon. Tiket hanya dijual bila penumpang sudah ramai. Sistem apakah?.

Jadual berangkat pukul 10, terlewatkan begitu saja. Bas tak bergerak. Penumpang belum ramai. Kami terus duduk membunuh waktu, menunggu dan terus menunggu. Jadual pukul 11, pukul 12, pukul 1, pukul 2, pukul 3, semuanya tak bererti. Jadual pada waktu-waktu tertera tak ubah sekadar daya tarik untuk mengaburi mata pelanggan. Kami lewatkan hari yang berharga ini begitu saja.

Hajat mahu sampai ke Medan paling lambat pakul 8 malam, sudah sangat mustahil tercapai gara-gara jadual perjalanan yang tidak dipatuhi. Sahih kami harus rangka kembali pelan perjalanan ini.

Terminal Penumpang Batoh yang katanya terpadu ini cuma megah saiz. Tapi malu-malu kucing terima tamu. Penumpang sangat kurang. Ruang-ruang yang luas sebesar dewan hanya kosong. Tidak difungsikan. Paling, hanya dihuni pengemis letih yang tumpang tidur di lantai. Hari ini, terminal penumpang tingkat provinsi yang katanya termagah di seluruh Aceh, hampir jadi gajah putih. Tingkap, jubin, cermin, pintu, cat, bangku, semuanya sudah tanggal. Saya tak habis fikir kenapa jadi begini. Sebuah perancangan yang gagal. 

Masa yang masih ada, saya sekadar mundar-mandir ke segenap bangunan. Ia memang sebuah gedung yang sunyi, kosong, kotor dan menakutkan. Masuk dari arah jalan besar, ada pondok pengawal yang kutip tol. Mungkin saya tahu apa puncanya bangunan semegah ini jadi rumah hantu. Mungkin tol itulah sebabnya kenapa terminal ini tak maksimum difungsikan. 

Kami masih menunggu hingga jam 4 sebelum dihubungi melalui telefon. Bas Pelangi sudah menjual tiket. Ongkosnya 250ribu rupiah seorang. Geraknya pukul 5 petang nanti.  Bererti ada satu jam lagi buat kami. Tapi penumpang sudah mulai ramai. Kami sudah pasti dapat sampai ke Medan jam 5 pagi. Tapi tentunya tak sesuai untuk nginap kerana keretapi ke Tanjung Balai bergerak jam 12.00 pada hari yang sama. Tak apalah, syukur dapat bas.

Bas bergerak tepat waktu. Tapi kami masih belum boleh tarik nafas lega kerana Tuhan masih mahu menguji. Dari semua bangku yang tersedia, bangku kami paling cacat. Ia sudah sedia basah. Lebih parah, perjalanan ke Medan ditempuh dalam hujan. Air menitik masuk dari tingkap yang bocor, tepat membasahkan muka kami. Anehnya dalam keadaan uzur begini, aircond bas masih dipaksa berkerja. Kami jadi seperti salji yang mencair. 

Tambah malang lagi, bas yang katanya ekspress ini masih mahu berhenti di setiap pekan kecil, dan angkut penumpang lain. Ruang yang memang sudah penuh ini makin jadi seperti sardin. Di sumbat-sumbat selagi ada udara. Ruang tengah antara bangku kanan dan kiri pun dipasang bangku bolehalih. Kapasiti asal 32 penumpang, diisi 42 orang. Sangat lebih muatan. Ditambah barang bawaan, kawasan meletak kaki pun dikorbankan buat tempat menyimpan.

Lebih tersiksa, bas rosak dua kali di tengah jalan. Perjalanan terhenti 3 jam. Situasi sesukar ini mengingatkan saya kisah kembara saya di Myanmar dan Kemboja dulu. Begitu sulitnya sistem mobiliti di negara ini di mata saya. Tingkat kesulitan ini menyamai kesusahan yang pernah saya tempuh di negara-negara itu.

Perjalanan kami sampai di Terminal Terpadu Pinang Baris, bandar Medan lebih kurang jam 9 pagi. Lambat empat jam dari jangkaan. Kami turun dan segera cari tandas. Sudah jadi suasana biasa di Indonesia, calo sering tolak-menolak. Perayu mendesak-desak tanya penumpang mahu lanjutkan perjalanan ke mana. Kalut sekali. Di manapun di Indonesia, suasananya memang seperti ini. Tapi Azzam belum arif tentang itu. Mulut ramah dia tak tegar menolak pertanyaan. Akhirnya kami terperangkap buat kesekian kalinya. Kami dipancing Arif agar memakai khidmatnya. Arif kemudi becak yang super parah untuk hantar kami ke stesen keretapi. 

"Saya ini orang Melayu" akui Arif. Begitu teruja dia ceritakan perihal Melayu di Medan. "Melayu hari ini sudah terusir dan mulai mengesot perlahan-lahan ke pinggir" Sambung Arif menyalahkan Cina, Jawa dan Batak. Tak cukup dengan itu, Arif ceritakan pula kesusahan keluarganya. “becak ini pun sering mogok, rantainya dah mau putus. Arif pinta simpati. "adik bisa bantu abang tak?” Sambung Arif tak malu-malu.

Keramahan Arif yang luar biasa itu rupanya berhujung muslihat. Tak salah lagi memang kami termakan umpan. Saya pantas minta Arif turunkan kami di mana-mana. Tak sanggup terus dirayu. Takut makin banyak duit kami melayang. Arif setuju, tapi dia masih meminta-minta. Kami beri 100ribu. “tak cukup”. Tambah 200ribu, juga tak cukup, Arif mahu 300ribu, satu jumlah yang melampau untuk jarak sedekat ini. Saya semakin meluat. Terlalu sering bertemu dengan orang lapar wang. Kami sambung jalan kaki ke stesen keretapi. Mujur sudah tak jauh.

“Mohon maaf tiket kereta api ke Tanjung Balai, sudah habis” Ini kata-kata tajam dari jurujual tiket di stesen keretapi Medan yang serba mewah. Kemegahan stesen keretapi ini menyakinkan saya bahwa Indonesia (baru?) menang satu. Megahnya gedung ini jauh tinggalkan mana-mana stesen keretapi seluruh Malaysia. 

Rupanya episod malang kami belum berakhir. Kepala saya ligat fikirkan solusi lain supaya kami tiba ke Tanjung Balai hari ini juga. Azzam sarankan kami balik semula ke Terminal Pinang Baris. Mungkin ada bas ke Tanjung Balai dari sana.

Menuju ke Terminal Pinang Baris bererti naik becak lagi. Padahal saya dah hilang semangat bertanyakan sebarang orang di pinggir jalan. Tapi kami tak ada pilihan. Upah taksi, tentunya jauh lebih mahal. Mujur nasib kami baik. Ada becak yang jujur meletak tarif standard 50ribu sekali hantar, dan sanggup pula carikan kenderaan buat kami sambung perjalanan ke Tanjung Balai. 

Sampai Pinang Baris, kami diperkenalkan oleh tukang becak itu kepada seorang lelaki yang katanya punya kenderaan untuk ke Tanjung Balai. "Kalian naik trapel (travel)" kata lelaki itu.

Tak fikir panjang, kami ikut saja arahan lelaki tadi. Disuruh tunggu, kami tunggu. Disuruh ke seberang jalan, kami lintas. Minta ongkos 100ribu, kami bayar. Biaya semahal itu untuk tarif travel 50ribu seorang.

“naik, naik, duduk di bangku paling belakang, nanti ramai penumpang lain”. Arah lelaki tadi. Van yang katanya sejenis travel itu sudah sampai. Kami pun percaya. Tapi ia bergerak sangat perlahan dan berhenti semula satu kilometer ke depan. 

Di sana, ada enam ‘penumpang’ lain naik serentak. Semuanya lelaki. Salah seorang dari mereka ambil tempat duduk di sebelah Azzam. Selebihnya duduk di dekat pintu. Wajahnya ganas-ganas.

“mau ke Tanjung Balai ya, bang?” seorang bertanya. Saya jawab ya. Suasana senyap seketika. 

“minta rokok bang” minta lelaki tadi sambil menoleh Azzam. Lima lagi penumpang lain tak kelip mata lihat kami. "Ada apa ini?" Saya kehairanan. Mereka saling pandang seolah sudah saling kenal. Wajah masing-masing seperti mahu makan orang.

“Kalau mau selamat, serahkan uang kalian” Ugut lelaki itu. Suaranya keras. Situasi yang tenang sudah mulai kalut. Kami hairan dan takut. Perompakan apakah ini? Seperti tak percaya. Semua lelaki yang tadi menyamar jadi penumpang kini siaga mencederakan. Mereka mengugut kami dengan senjata. Rasa mau lari, tapi van masih bergerak. Kami tak mampu bertindak. Sudah terkepung. 

Demi nyawa, kami relakan dalam paksa bila duit kami dibahagi-bahagi. Sudah puas membuli, kami diturunkan pontang-panting tak tahu arah. Sudah kehabisan duit pula. Mujur ada ibu muda bawa anak yang kebetulan mau ke Amplas. “kalau mau ke Tanjung Balai, jangan ke Pinang Baris” kata ibu itu. Baru kami tahu kenderaan awam dari Medan ke arah selatan dan barat, hanya ada di Amplas. Bersama ibu itu, kami lanjutkan perjalanan ke Stasiun KUPJ (Koperasi Usaha Pinggir Jalan), Amplas. Mujurlah jaraknya tak terlalu jauh. KUPJ inilah sebetulnya van travel yang akan ke Medan.

Terminal KUPJ Amplas
Ongkos KUPJ ke Tanjung Balai hanya 35ribu rupiah. Terlalu murah untuk jarak 180KM. Jauh lebih murah dari naik becak 14km di bandar Medan. Jarak ke Tanjung Balai sama seperti jarak dari Kuala Lumpur ke Tangkak. Tapi perjalanan ditempuh selama lima jam. Perjalanan lalui beberapa pekan kecil yang pernah saya dengar. Tebing Tinggi, Lima Puloh, Kisaran dan banyak lagi.

Tapi suasana di semua tempat yang pernah saya dengar namanya itu jauh tersasar dari jangkaan saya. Wilayah yang dulunya pernah dimiliki Kesultanan Melayu Islam itu, kini ditempati penduduk Batak penganut Kristian. Di sepanjang jalan saya lihat banyak gereja selain masjid berselang-seli. Meski di kampung-kampung yang kelihatan begitu Melayu, penghuninya belum tentu semuanya Islam. Sebuah suasana yang tak biasa kalau kita lihat di Malaysia.

Pekan Tanjung Balai, Asahan
Pukul 6.00 petang kami sampai Tanjung Balai. Nuansa Malaysia sudah mulai terasa. Ringgit diterima dalam beberapa transaksi. Lebih-lebih lagi di kaunter tiket Feri Jetstar Ekspress di Jalan Hos Cokrominoto. Di restoran, menu teh tarik, dan teh-O sudah dikenal. 

Malam itu, kami nginap di Hotel Hayani dengan tarif 250ribu semalam. Inilah hotel paling mewah sepanjang kembara kami. Sebagai balas dendam selama tidur beberapa hari dalam kondisi yang memprihatinkan.

bas perantara dari ke pelabuhan
Pagi itu, 29 Disember 2015, Kami awal-awal sudah siap menunggu di depan kaunter feri Jetstar Servis. Orang sudah ramai. Masing-masing bergilir dibawa dengan bas ke pelabuhan. Eh, baru saya sedar kamera semi-dslr saya sudah tak ada di sisi. Hilang, mungkin kecurian ketika kami dirompak di Medan kemarin. Ia benar-benar suatu musibah.