بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





TAPAK Hikers & Venture - Gunung Nuang

Puncak Nuang dilihat dari Pengasih
Program      : Ekspedisi Gunung Nuang
Tarikh         : 5 Mac 2017
Peserta     : Suden Maulana, Zulkarnain, Fazli

Memang dah banyak catatan Gunung Nuang yang dapat kita jumpa di mana-mana. Tapi itu sama sekali tak berkaitan dengan saya, apalagi bersangkutan dengan seluruh ahli Tapak Hikres yang lain. Jadi hari ini saya tampilkan laporan ringkas ekspidisi ini, bertujuan mengingatkan kembali aktiviti kami di kemudian hari. Semoga catatan ini bermanfaat juga buat pendaki lain yang bakal menakluk Nuang pada masa akan datang.

DEDIKASI
Tulisan ini hadir sebagai ganti 'mohon maaf' kami buat seluruh ahli TAPAK Hikers, khususnya buat dua otai gunung kami, Abang Ahmad Kamal dan Kak Azalina yang banyak beri tips, keterangan hikmah dan kaedah mendaki untuk saya dan beberapa junior lain yang baru jinak-jinak dalam dunia ini. Mohon maaf atas trip rahsia atau istilah kita "trip curang" yang kami bertiga lakukan. Ia bukan aktiviti sengaja yang kami rangka tanpa sebab. Ada alasan tersendiri yang sulit kami jelaskan samaada melalui lisan bahkan tulisan. 

TRADEMARK

TENTANG NUANG
Gunung Nuang dengan ketinggian 1493 meter dari paras laut (meter dpl), merupakan antara puncak tinggi dalam rangkaian puncak-puncak di Banjaran Titiwangsa, tulang belakang Semenanjung. Dua jalan utama untuk sampai ke puncak Nuang antaranya dari Kuala Langat, Selangor dan dari Janda Baik, Pahang. Sesuai seperti lokasinya yang dapat ditempoh dari dua pintu, puncak Nuang adalah pemisah sempadan antara kedua-dua negeri ini. Batu tanda sempadan dapat ditemui di puncak gunung.

06.30 pagi. Kami mulakan pendakian dari arah Kuala Langat pada hari yang masih gelap. Bekalan yang kami bawa hanya dua botol air, sebuku roti, snek coklat dan dua buah pisang seorang satu. Ia tak terlalu mewah, hanya cukup sekadar mampu digalas oleh badan. Selain itu, kami siapkan juga sepersalinan pakaian ganti, baju hujan dan lampu suluh. Pagi ini, kaki Gunung Nuang sudah penuh di datangi pendaki waja yang tak pernah kenal istilah ngantuk. Pada ketika ini, ramai juga yang sudah berkhemah semalaman.

PENDAKIAN BERMULA
Jalan siap bertar tersedia sepanjang satu per empat pertama laluan masuk ke perhentian pertama di Kem Lolo. Kemudian berganti jalan tanah merah beralun selebar 1 meter dengan kecerunan serendah 20°. Sepanjang laluan 6km ke kem itu, ada 5 pondok wakaf berselang kira-kira 1km setiap satu buat pendaki melepaskan lelah sepanjang menapak ke dalam. Pada hari-hari biasa, belum pernah jalan kaki meredah laluan panjang sejauh ini.
Hari masih gelap
8.30 pagi. Kem Lolo merupakan lokasi kegemaran pendaki bermalam sebelum sambung perjalanan dari/ke puncak Nuang. Jarak 200 meter terakhir sebelum sampai ke sini merupakan denai bercerun 40°. Pendakian pun sebenarnya baru bermula. Air Terjun mendamaikan yang dapat kita lihat, adalah ‘umpan’ buat kita berehat lebih lama. Tapi sabar dulu, perjalanan masih panjang, laluan di depan lebih mencabar dan memenatkan. Bersaip-siaplah.

Kem Lolo - Lokasi pendaki bermalam
10.30 pagi. Hampir dua jam kami ambil masa untuk sampai ke perhentian kedua – Kem Pacat. Pendakian melalui denai berbatu dengan kecerunan 60°. Penat mulai terasa, beberapa kali kami berhenti pulihkan semula tenaga, tapi perjalanan masih lagi jauh. Ini baru separuh pendakian. Ada separuh gunung lagi yang perlu kami tempuh untuk betul-betul takluk puncak. Seperti di Kem Lolo tadi, Kem Pacat juga lokasi pilihan untuk pendaki dirikan khemah dan bermalam sebelum lanjut perjalanan. Teruskan bersabar kerana pendakian selepas ini bakal lebih ekstrim.

Sampai Kem Pacat
formasi akar di Kem Pacat
DISERANG MIGRAIN DAN SAKIT DADA
Terus mendaki pada kecerunan yang menyamai tahap menegak membuat diri saya kurang selera untuk bercakap. Suara sendiri terdengar perlahan, udara sudah masuk ke segenap rongga telinga hingga hasilkan kesan dengung. Beberapa kali saya hembus nafas dan cuba keluarkan udara dari telinga bagi hilangkan simptom tanah tinggi. Tapi masalah lain pula yang timbul. Kepala jadi berat, dan pening sebelah kanan. Saya hanya mampu tarik nafas lebih dalam bagi mengurangkan rasa berat. Dan sejurus itu pula, dada saya terasa sakit. Saya hanya mampu doa dalam hati agar mampu tangani semua ini. Mungkin teknik bernafas lebih dalam dengan sela yang lebih pendek, berkesan hilangkan kesakitan ini. Alhamdulillah saya mampu tangani.

12.45 ptg. Ketika sudah hampir mahu menyerah, ketika simpanan tenaga hampir tidak tersisa, ketika sudah habis separuh hari kami mendaki, kami pun sampai ke perhentian terakhir – Kem Pengasih. Pendakian lalu denai bercerun hampir 70° dan kadangkala mencecah 80° sudah berakhir. Jujur saya suka dengan kem ini. Entah kerana namanya atau apa, saya tak pasti. Tapi kejayaan sampai ke sini beri keyakinan bahwa kami mampu takluk Nuang. Alam gunung sudah terasa. Kabus sudah meyelubungi pokok-pokok besar berdaun kecil. Lumut sudah tumbuh jadi permaidani asli di atas tanah yang kami pijak. Malah tak sedikit yang membaluti batang-batang kayu. Ia betul-betul menyegarkan mata memadang. Pendakian seterusnya untuk betul-betul sampai puncak, sudah tak sukar lagi.

Kem Pengasih
Muka Bumi Kem Pengasih
Santai di Kem Pengasih
Abadi kenangan di Kem Pengasih
1.15 ptg. Inilah Puncak Nuang. Kata-kata paling wajar sukar saya lafaz ketika kami sampai.  Hanya bersyukur dah selamat sampai puncak tanpa ada kendala yang menghalang. Dataran di puncak Nuang tak luas. Pendaki yang selamat sampai puncak saling berbagi cerita, mengimbau detik-detik cabaran yang telah mereka lalu sambil merakam kenangan di puncak Nuang. Pendaki dari arah Kuala Langat dan Janda Baik saling bertemu, mengucapkan syabas dan tahniah tanpa kenal bangsa. Ternyata kelelahan mampu menyatukan segenap manusia. Di atas puncak, kami sempat abadikan tag pengenalan “Tapak Hikers & Venture” sebagai bukti bahwa puncak Nuang sudah kami tawan.

Puncak Nuang
Berkabus
Saujana mata
Bukti TAPAK Hikers & Venture sudah di sini
2.15 ptg. Kami turun semula ke kaki gunung dalam cuaca hujan dan laluan becak berbekalkan sisa tenaga yang masih tinggal.

6.30 ptg. Air Terjun Kem Lolo yang tadinya jadi umpan, kini kami “santap” dengan lahap. Berendam dalam air yang dingin dalam cuaca hujan ketika situasi tubuh yang tidak lagi bertenaga, rupanya jadi terapi semulajadi yang tak patut kami lepaskan. Sehabis cuci diri dan berganti pakaian, kami teruskan perjalanan ke kaki gunung dengan rasa lebih segar.

8.00 malam. Sampai kaki gunung dan bersurai.



2 ulasan: