PROGRAM :
Ekspedisi Bukit Kutu
TARIKH :
26hb March 2017
PESERTA : Zulkarnain, Suden Maulana & Fazli
Puncak Bukit Kutu |
Bukit Kutu bukan ‘bukit’ biasa seperti mana anggapan
umum. Bukit setinggi 1053 meter/dpl ini sudah layak dikategorikan 'gunung' menurut
standard Malaysia. Hanya namanya saja bukit, tapi fizikal sama terjal seperti gunung-gunung lain. Pendakian
Bukit Kutu kami mulakan dari Kampung Pertak. Sebuah kampung Orang Asli yang terletak sebelah kanan dari Jalan
Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser.
Saya tak pasti kalau ada jalan masuk dari arah lain. Kalau dari sini, pastikan jangan sampai tersesat. Papan tanda Kampung Pertak tak terlalu kelihatan dari jalan besar. Siap-siaplah lihat kanan sebaik lepasi Empangan Sungai Selangor. Sebaik terlihat papan tanda Kampung Pertak, teruslah masuk ke dalam dan pandu hingga ke ruang parkir di tepi padang. Caj masuk dikenakan seringgit (RM1.00). Di sini pendakian Bukit Kutu bermula.
Saya tak pasti kalau ada jalan masuk dari arah lain. Kalau dari sini, pastikan jangan sampai tersesat. Papan tanda Kampung Pertak tak terlalu kelihatan dari jalan besar. Siap-siaplah lihat kanan sebaik lepasi Empangan Sungai Selangor. Sebaik terlihat papan tanda Kampung Pertak, teruslah masuk ke dalam dan pandu hingga ke ruang parkir di tepi padang. Caj masuk dikenakan seringgit (RM1.00). Di sini pendakian Bukit Kutu bermula.
Empangan Sungai Selangor |
Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser |
Sudah ramai pendaki lain buat regangan awal waktu kami
sampai. Semuanya bergaya professional, jauh dari kasta kami yang masih
rendah.
Permulaan jalan tar, terbentang sepanjang satu
kilometer ke dalam. Di hujungnya saya lihat ada sepasukan bomba dengan dua van
penyelamat sedang siaga. Mungkin dah rutin kerja mereka tunggu di situ setiap
pagi, fikir saya.
sungai terbentang di sepanjang jalan |
Sebaik tamat lalui jalan tar, silakan pandang kanan.
Ada sungai cantik sejajar dengan jalan tanah merah selepas itu. Tapi sebelumnya ada dua jambatan besi yang perlu dilintas. Waktu kami sampai, jambatan besi
yang kedua telah runtuh. Jadi terpaksa kami meniti jambatan runtuh pada posisi yang senget. Perlu keberanian lebih untuk lepasi sungai yang bahaya ini. Airnya
bertambah deras bila hujan.
Debaran belum berakhir. Rupanya di depan sana terbentang sebatang lagi sungai
yang perlu kami redah. Tapi mujur kali ini airnya separas lutut. Ketika lintasi sungai ini, salah seorang anggota kami tergelincir lalu jatuh dalam sungai. Lebih
malang lagi kasut yang baru dibeli, yang disayang-sayangkan takut terkena air, telah
hanyut. Mujur dapat ditemui semula tersangkut 100 meter dari lokasi kejadian. Nak ketawa pun tak sampai hati.
anggota kami sedang mencari kasut yang hanyut |
Jalan mulai
menanjak sebaik melepasi sungai itu. Walaupun bergerak hampir serentak, saya terpisah dari kumpulan
ramai ketika perjalanan belum sampai pun satu kilometer. Saya menapak teramat
perlahan. Gambaran trek Bukit Kutu, saya sifatkan jauh lebih curam dari Gunung Nuang
pada permulaan 400 meter/dpl pertama. Baru setangah jam, saya dah hilang tenaga.
Saya letih lebih cepat, peluh lebih banyak membasahkan baju. Berhenti lebih kerap
dan berehat lebih lama. Beberapa pendaki muda lelaki dan perempuan bersilih-ganti
memotong saya.
draf gambaran kecerunan Bukit Kutu berbanding Nuang |
Akhirnya berbekalkan
tenaga yang tinggal nyawa-nyawa ikan, kami tak sedar dah tiba ke Batu Tedung. Satu
lokasi tarikan Bukit Kutu yang sangat ingin saya lihat.
panjat Batu Tedung |
berbongkah besar |
Batu Tedung
merupakan formasi bongkah batu yang menjulang setinggi 5 tingkat bangunan. Ia sangat
besar, puncaknya berbentuk seperti kepala ular dalam keadaan siaga menyerang. Sampai
di lokasi ini, bererti kami berjaya habiskan 2/3 pendakian. Formasi ajaib Batu Tedung
selalu berfungsi sebagai ruang rehat, rawat dan teduh buat para pendaki. Pemandangan
pun begitu cantik.
Kini kita sudah
lepasi had kecuraman maksimum yang ada di Bukit Kutu. Pendakian seterusnya tak terlalu
terjal. Tapi lebih banyak membongkok kerana bakal lalui rumpun-rumpun buluh dan balak
yang telah rebah di sana-sini. Pada peringkat ini, berberapa kali saya temui ulat gonggok
sebesar lipan yang keluar dari persembunyian. Ulat gonggok itu tak sampai
menakutkan, tapi menggelikan lantaran aksinya yang meliuk-lintuk.
panorama |
Pendakian yang
santai ini akhirnya membawa kita ke kawasan tanah rata yang belum diberi nama, atau mungkin
sudah ada nama yang tidak kami ketahui. Demi mengenang ulat-ulat gonggok yang
saya temui tadi, saya secara peribadi namakan tempat ini Dataran Gonggok. Setuju
tak?
Sebaik mencapai
Dataran Gonggok, suara pendaki mengilai dan terbahak-bahak ketawa dari atas,
sudah sayup-sayup kedengaran. Itu tandanya puncak Bukit Kutu sudah semakin dekat.
Sepuluh minit dari situ, kami tiba juga ke puncak yang ditandai sebatang tinggalan
serombong asap yang sudah usang, juga runtuhan tangga batu yang tinggal separuh.
Sulit saya fikirkan bagaimana orang dulu-dulu susah-payah bawa material binaan ke kawasan
setinggi ini. Lebih aneh lagi, 5 minit perjalanan dari sini kamu temui pula runtuhan
rumah agam yang tinggal sebelah. Dindingnya sudah dibalut lumut dan akar-akar pokok.
bergambar bersama runtuhan bangunan |
rumah agam entah milik siapa |
bangga |
Belum lengkap
daki Bukit Kutu kalau belum panjat bongkah batu besar di puncaknya. Panorama dari atas batu-batu dijamin jauh lebih cantik.
panjat bongkah batu. |
Puas
merakamkan aksi poyo di atas puncak, kami serta rombongan pelajar itu tadi
bergerak turun beriringan. Sayang sekali perjalanan turun terpaksa kami redah dalam
hujan yang lebat. Hujan telah membekaskan air pada trek yang tadinya kering,
lalu jadi lopak-lopak yang licin. Sebahagian besar adik-adik siswa universiti
itu mungkin lupa masukkan faktor hujan dalam perancangan pendakian.
merawat salah seorang pendaki muda yang tercedera |
Banyak dari
mereka yang jatuh tergelincir kerana pilihan kasut yang salah. Akibatnya ada
yang terluka, pakaian terkoyak, kaki kejang dan tak kurang yang semput. Lalu mereka
pun kami bantu sekadar termampu. Bantuan kami bukan menanti balas, cukup sekadar mereka teladani beberapa nilai yang kami tunjuk, yang barangkali berguna buat junior-junior pendaki lain yang lahir kemudiannya dari mereka - tentang kemanusiaan dan setiakawan.
Sampai jumpa
di puncak seterusnya.
Salam singgah sini dan follow :)
BalasPadamwah...menariknya baca pengalaman hiking you...teringin nak hiking jugak lepas2 covid ni...
BalasPadam