بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Kerinci, Jambi - Memori Alam Sakti

Panorama Alam Kerinci, Jambi, Sumatera
Dari sebuah perkenalan ke sebuah persaudaraan. Saya mula kenal sebuah daerah bernama Kerinci dari seorang teman yang mencari rezeki di bumi bertuah, Malaysia. Perkenalan itu lantas mengubah persepsi saya pada Indonesia. Negara yang selalu saya sebut namanya, tapi baru kali inilah saya berpeluang untuk melihat ia. Hasil kunjungan ini, saya kini merasa dekat pada saudara serumpun seagama yang terpisahkan dua sempadan politik berbeza. Bagaikan mimpi, daerah yang dulu saya kenali lewat peta-peta dan cerita, telah berjaya saya jelajahi. Di sinilah titik pertama di Indonesia saya teroka. Di sinilah titik perjalanan pertama saya bermula.

Kerinci, anugerah tuhan yang tak terhingga untuk masyarakatnya. Masih suci, masih sejuk dan  tetap sakti.

Ulu Klang; 20hb Dis. 2005. Perjalanan ke Kerinci saya mulakan dari Kampung Kemensah, Ulu Klang, Selangor. Saya bersama Alisdi (anak Kerinci yang kebetulan mahu pulang ke kampungnya seperti cerita saya di atas) serta rakan-rakannya Wan, Mad dan Mail (juga dari Kerinci) telah bersedia seawal jam 5 pagi.  Kami lanjutkan perjalanan ke Hentian Puduraya sebelum naik bas menuju Melaka. Suasana dalam bas terasa ganjil. Seumur hidup, inilah pertama kali saya naiki bas yang di dalamnya penuh warga asing. Dari wajah mereka, saya yakin semuanya warga Indonesia. Mereka bicara dalam bahasa-bahasa yang tidak dapat saya fahami. Serasa seperti sayalah satu-satunya warga Malaysia di dalam bas ini. Mungkin mereka menuju ke satu destinasi yang sama, turun di pelabuhan - naik feri dan pulang ke kampung halaman masing-masing di pulau seberang. 

Penulis bergambar dalam feri menuju Dumai
Pelabuhan Melaka; 9.00 pagi. Feri Indomal Ekspres yang bakal bawa kami ke seberang sudah sedia menanti. Ruang dalaman telah sesak dengan penumpang. Hampir semuanya warga Indonesia. Timbul rasa cemas bila memikirkan saya sendirian ke dunia yang asing ini. Inilah kembara pertama saya ke luar negara, apa lagi secara solo. Rasa bagai terkepung musuh. Di tambah dengan bahasa pertuturan yang tidak saya fahami membuat hati bertambah kecut. Mujur ada Alisdi dan rakan-rakannya yang pandai menenangkan. Bermanfaat juga punya 'kabel' dikalangan mereka.

Ini sebahagian panorama yang saya lihat di sepanjang jalan

Dumai; 11.00 Pagi (WIB). (12.00 tengah hari waktu Malaysia). Feri yang kami naiki selamat mendarat di Pelabuhan Dumai. Kota ini terlihat tenang. Kekecohan yang saya bayangkan bakal terjadi kepada warga Malaysia, tidak terlihat. Sebelumnya saya selalu dimomokkan oleh teman-teman di Kuala Lumpur yang minta saya berhati-hati bila sampai ke seberang. Kata mereka orang Indonesia rambang mata bila lihat orang Malaysia, semuanya disangka berduit. Selepas urusan di Imigresen selesai, kami berlima menuju pejabat Perusahan Feri Indomal Ekspres di pusat kota.


Ketika saya, Alisdi, Mad dan Mail berehat di dalam, Wan cuba bincang dengan beberapa pengusaha van yang banyak tunggu di luar. Secara tak langsung, Wan bagai ketua dalam kumpulan kami. Akhirnya dia berjaya dapatkan kenderaan buat kami lanjutkan perjalanan ini hingga ke Kerinci. Perbincangan dengan pemandu dilakukan berhati-hati supaya kami dapat potongan harga yang seminimum mungkin. Waktu itu saya ditegah bersuara, kata mereka supaya identiti Malaysia tidak diketahui. "Takut dikenakan ongkos yang lebih mahal" jelas Alisdi. 

Sementara itu, suasana di dalam pejabat Perusahan Feri Indomal riuh rendah dengan kedatangan pengunjung yang tak putus-putus. Ada yang baru mendarat dan ramai yang menanti masa untuk masuk ke Malaysia. Saya sempat berbual dengan dua remaja asal Madura yang akan ke Malaysia untuk kali pertama. Nekad sekali dua remaja ini untuk cari kerja walaupun tanpa permit. Malah, belum ada lagi kerja yang menanti pun kedua remaja ini sudah begitu berani. Rupanya Kota Dumai jadi pusat transit bagi imigran Indonesia yang ingin kerja di Malaysia.

3.00 petang WIB. Satu berita sedih telah kami terima, Wan dan Mad dikhabarkan terpaksa masuk semula ke Malaysia sebagai pelancong kerana agen yang uruskan kemasukannya gagal dapatkan visa sambungan. Biarlah, saya sendiri kurang tahu prosidur sebenar bagi warga asing yang kerja di Malaysia. Malas untuk saya fikir. Tanpa mereka berdua pun, cita-cita untuk ikut Alisdi balik ke Kerinci tetap berjalan seperti biasa. Kini tinggallah saya, Alisdi dan Mail saja yang akan meneruskan perjalanan. Sebelum menanti kenderaan yang akan bawa kami ke Kerinci bersedia, kami ambil peluang meninjau-ninjau sekeliling kota.  Pesatnya pembangunan kota Dumai mengubah persepsi saya pada Indonesia. Negara yang sering digambarkan tertinggal oleh kebanyakan warga Malaysia ini tidaklah semundur yang saya sangka. Kemajuan Dumai benar-benar membetulkan sangkaan itu. Kota ini setanding dengan banyak pusat-pusat daerah di Malaysia. Malah telah diiktiraf kotamadya kedua di Provinsi Riau. Setaraf majlis perbandaran.

6.00 petang WIB. Menjelang senja, Van yang dijanjikan akan bawa kami ke destinasi masih lagi belum tiba. Kami putuskan berehat dulu di sebuah musolah berdekatan. Rupa-rupanya orang di Dumai tidak faham istilah surau. Selesai solat maghrib, kami ke sebuah warung berhampiran untuk mengalas perut. Kagum lihat rumah-rumah kampung di pinggir kota yang lengkap dipasang parabola.  Satu pemandangan asing yang tak dapat dilihat di Malaysia. Satu lagi yang dapat saya perhatikan, pertuturan harian orang kampung di sini saling tak tumpah seperti dialek Melayu Johor, tapi bicara mereka automatik bertukar ke bahasa Indonesia bila bertemu orang luar. Termasuklah dengan saya sendiri, padahal saya juga bertutur dalam dialek yang sama seperti mereka. Tanyakan Kenapa?

8.00 malam WIB.  Sudah jenuh menunggu, akhirnya. van yang mereka gelar CWN telah siap berkhidmat. Kami bertiga, serta dua lagi penumpang lain segera diangkat ke Kerinci. Tapi malang buat saya, keramahan pemandu yang tak sudah-sudah bertanya membuat saya gagal menyembunyikan identiti. Terpaksa berterus-terang bahawa saya orang Malaysia. Mungkin itu lebih baik dari terus berpura-pura biarpun saya sedar implikasinya. Entahlah. Van terus meluncur laju meninggalkan kota Dumai dengan iringan lagu-lagu Melayu asli dendangan Siti Nurhaliza. Saya Bangga.

Padang; 21hb Dis. 2005. Kini kami sampai ke ranah Minang. Selepas 11 jam menempuh perjalanan panjang dalam suasana yang gelap, saya sekarang dapat melihat. Nampak banyak bangunan bentuk tanduk kerbau berbalam-balam, di balik kabus subuh dinihari. "SELAMAT PAGI SUMATRA", Ingin saja saya teriak ke segenap isi alam bahawa saya sudah sempai sini, Sudah jejakkan kaki ke Sumatera, sebuah bumi asing yang tidak pernah saya sangkakan selama ini.

8.00 pagi WIB. Di kota Padang, kami diarahkan turun dari CWN (mereka sebut CheWe'En, syarikat yang mengusahakan khidmat perjalanan jarak jauh di Indonesia yang menggunakan Van). Hairan rasanya bila disuruh turun di pertengahan jalan.  Menurut pemandunya, biaya tambang yang telah kami bayar cukup setakat sampai di Padang saja. Mail segera membantah kerana rasa tertipu. Menurut pemandu itu lagi, kami memang telah lama ditipu sejak perbincangan di Dumai lagi. Akhirnya kami mengalah juga, jadi terpaksa tempah van lain untuk sambung perjalanan dengan tambahan tambang Rp75,000 seorang. Sebelum perjalanan disambung, saya sempat menjamah beberapa bungkus keropok kulit kerbau yang sangat popular di sini.

Perjalanan diteruskan melewati jalan-jalan berbukit yang curam dan berliku. Rasa letih terubat bila kenderaan yang kami naiki masuk ke kawasan Alahan Panjang. Dari jauh terlihat pemandangan danau (tasik) yang sungguh menawan. "Itu Danau Maninjau" kata pemandunya. Van berhenti seketika di sebuah gerai yang menjual buah markisa. Cuaca sejuk pergunungan mula terasa. Dinginnya makin menggigit bila melangkahkan kaki ke luar. Alisdi langsung bergegas untuk segera ke tandas atau WeSe menurut sebutan mereka, saya masih kekok menyebutnya. Tandas di kawasan rehat ini dibina dari susunan buluh-buluh yang dipasang jarang. Kelibat manusia yang menggunakan tandas di dalam, dapat dilihat jelas dari luar. Saya terpaksa jadi dinding tambahan untuk halang Alisdi dari diintai orang.

Kabupaten Kerinci; 3.30 petang WIB. Perjalanan diteruskan. Akhirnya kami kini sampai ke Provinsi Jambi. Pintu pertama provinsi ini ialah Kecamatan Kayuaro. Lanskap di kiri dan kanan jalan tampak indah dengan hiasan ladang teh yang luas terbentang. Saya mula rasakan keajaiban yang ada di daerah ini. Tentang wujudnya sebuah daerah berpenghuni di puncak pergunungan tinggi yang sukar dijangkau manusia. Kenapa susah-susah mereka pilih menghuni di atas gunung? Saya masih belum habis fikir soal itu.

Di daerah ini, sawah dan ladang teh berselang seli
Perjalanan diteruskan hingga ke pekan Siulak. Lanskap di sepanjang jalan berganti wajah dari ladang teh yang menghijau ke kawasan sawah dengan padi yang mula menguning. "Subhanallah indahnya". Pemandangan sawah yang diusahakan secara  bertingkat begitu menarik perhatian. Inilah kali pertama saya lihat sawah yang diusahakan di kawasan tanah tinggi. Jalanraya yang sudah sedia sempit pula makin sukar dilalui kerana ramai penduduk menjemur padi diatasnya. Ternakan lembu dan kerbau yang dibiarkan berkeliaran menambahkan azab di laluan sekecil ini. Van terpaksa dipandu perlahan.

Kota Sungai Penuh - didirikan di atas atas dataran tinggi
Kota Sungai Penuh; 4.00 petang WIB. Kami sampai di Kota Sungai Penuh, ibukota Kabupaten Kerinci. Terpaku mata ini bila melihat sebuah arca yang tertulis diatasnya himpunan kata-kata yang membentuk perkataan SAKTI: Sejuk, Aman, Kayangan, Tinggi & Indah.  Menurut saya, kelima-lima elemen ini cukup menerangkan sifat Kerinci kepada pengujung luar.  Kini saya akui, Kerinci memang benar-benar 'sakti'. Kagum!. Mungkin benar menurut mitos masyarakatnya bahawa Kerinci berasal dari sekepal tanah syurga. Kata SAKTI ini diabadikan pada logo kabupaten: 'Sakti Alam Kerinci'.

Inilah Alisdi dan Mail
Kota Sungai Penuh sungguh aman dan mendamaikan.  Kepesatannya tidak jauh beza dengan kebanyakan bandar di Malaysia. Semakin berubah pandangan saya pada Indonesia. Kewujudan kota di atas puncak pergunungan sendiri sangat sukar saya bayangkan. Di tengah-tengah kota tersergam Plaza Kincai, sebuah pusat beli-belah paling sohor di sini.  Kewujudannya cukup menggambarkan aspirasi kota ini untuk menyaingi kepesatan kota-kota lainnya di Indonesia. 

Belum puas hayati keindahan kota, perjalanan terpaksa diteruskan menuju ke Desa Seleman. Alisdi kesuntukan waktu. Sudah tak sabar dia untuk sampai ke kampungnya. Kami sekali lagi tempah van untuk ke sana. Nampaknya kenderaan jenis ini begitu penting dan sangat mendominasi pengangkutan awam di Sumatera. "atau mungkinkah di seluruh Indonesia?" Entahlah, saya belum pernah ke pulau-pulau yang lain. Keletihan terasa semula bila perjalanan kami menempuh satu lagi jalanraya yang sempit dan berlopak. Ditambah dengan penumpang lebih muatan, azabnya makin terasa. Saya hanya mampu bersabar.  Mungkin inilah yang dilalui hari-hari oleh masyarakat di sini. Saya juga dah tak keruan fikirkan bagaimana sambutan masyarakat setempat terhadap saya, orang asing yang datang dari negara seberang. Semakin saya fikir, semakin menakutkan.

Susunan Rumah di Desa Seleman
Desa Seleman; 4.30 petang WIB. Selamat sampai ke destinasi. Mail dan Alisdi berpecah menuju ke rumah masing-masing. Saya ikut Alisdi menuju ke rumahnya. Tak jauh berjalan, sampailah kami ke sebuah rumah yang berkunci. Kemudian muncul seorang wanita tua yang mengenalkan dirinya sebagai Ninu Alisdi (Nenek Alisdi) datang membuka pintu. Difahamkan, wanita inilah yang menjaga rumah tersebut ketika semua penghuninya berkerja di Malaysia. Kami diundang masuk dengan penuh adab. Kelihatan sama adat suku Kerinci dengan adat Melayu Malaysia.  Hanya yang berbeza, bahasa mereka sukar difahami. Bahasa uhang Kincai, kata mereka. 

Berita kepulangan Alisdi bersama seorang tamu dari Malaysia sangat cepat tersebar. Tak putus-putus rumah keluarganya dikunjung orang. Saya sangat terharu, apa lagi melihat layanan mereka yang penuh sopan. Tidak pernah saya gambarkan sambutan yang sebegini. Di sebelah malam, saya dijamu dengan masakan khas Kerinci yang disediakan bergotong-royong. Sesungguhnya mahu berlinang air mata ini bila menerima layanan kelas pertama dari mereka walhal mereka hanya terima seorang tamu yang tidak ada apa-apanya. 

Di sini, walaupun bahasa mereka sukar saya fahami, ramai yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu dialek Malaysia. Saya sendiri hairan bagaimana bahasa Melayu mereka tak langsung terdengar seperti dialek Indonesia. Agaknya, ini mungkin terjadi kerana lebih ramai penduduk Kerinci yang tertarik kerja di Malaysia berbanding mencari rezeki di tanah Jawa atau tempat-tempat lain di negaranya sendiri. "Biarlah, bahasa apapun tak mengapa, yang penting kita tetap serumpun".  bisik saya.

22hb Dis. 2005; 9.00 pagi WIB. Orang di sini masih lagi mandi sungai. Tak pernah saya lihat suasana sebegini sepanjang hidup, padahal saya sendiri berasal dari kampung. Saya tak ketinggalan mencuba berendam dalam sungai yang sejuk dan jernih airnya. Mail menemani saya di pagi ini. Air sungai yang jernih ini terasa segar dan sangat alami. Malangnya, keasyikan berendam dalam air yang sejuk itu terganggu seketika bila hadir seorang lelaki dalam lingkungan umur seusia. Dia datang mendekat sebelum tiba-tiba melucutkan seluar, telanjang dan melabuhkan punggungnya ke gigi air.  Mail sekadar beri isyarat agar jangan hiraukan lelaki itu. Tapi keinginan untuk cari tahu memaksa saya curi pandang ke arahnya juga. Opsss, rupa-rupanya lelaki itu sedang membuang hajat besar di dalam sungai. Oh Tuhan. Keghairahan mandi mengikut cara tradisi tiba-tiba hilang. Campur-baur perasaan ini. Geli. Jijik. Tergamam. Saya malu sendiri lihat dia, tapi dia sekadar membatu tanpa reaksi apa-apa. Dengan selambe dia biar terdedah kemaluannya tanpa berbalut apa-apa. Malah terus tenang buang air besar tanpa terganggu sedikitpun oleh mata-mata yang memerhati. Mungkinkah kerana kami semua lelaki, maka dia bersikap tidak apa? Atau mungkin kerana inilah yang mereka lalui hari-hari, maka mereka lali? "Oh, seperti inikah wajah Indonesia" bisik hati saya.  

Sekali-sekala saya memandang beberapa kaum ibu sedang cuci pakaian di tebing sungai di kejauhan sana. Terlalu tradisi. Suka lihat mereka.

Satu sudut indah di Bukit Kayangan
Bergambar di atas batu di Puncak Bukit Kayangan
Saya juga sempat ikut Alisdi dan teman-temannya mendaki puncak Bukit Kayangan, tak jauh dari Desa Seleman. Ia sebuah kawasan rekreasi berbukit yang hawanya jauh lebih dingin. Belumpun sampai destinasi, konvoi motosikal kami terhenti kerana halangan sebatang kayu. Suatu halangan yang seperti sengaja diletakkan melintang jalan. Melepasi halangan itu, kami diminta bayar Rp3,000 setiap seorang atas nama bayaran tol. Saya segera lunaskan semuanya biarpun dalam hati sangat yakin wang itu sebenarnya untuk kepentingan peribadi si pemungut. Laluan ke puncak Bukit Kayangan sempurna sekali, kami lalui jalan bertar (Indonesia = beraspal) tapi berliku. Sampai di puncak, Sekali lagi kami diminta bayar Rp3,000 setiap seorang. "ini untuk bayaran masuk" kata seorang lelaki tua yang berkawal. Rupa-rupanya hidup di sini segalanya duit. Saya hanya gelengkan kepala.

Panorama alam Kerinci terlalu indah untuk dinyatakan dalam tulisan. Dari puncak Bukit Kayangan dapat dilihat Danau Kerinci dengan kelompok desa-desa yang bertaburan di sekeliling.  Secara geografi jelas dapat saya lihat kalau Kerinci berlokasi di satu kawasan lembah di tengah-tengah Banjaran Barisan, banjaran gunung yang membahagi dua Pulau Sumatera. Agung ciptaan Tuhan. Paling indah, saya lihat puncak Gunung Kerinci sayup-sayup di kejauhan. Saujana mata memandang.

Sebelah petang, saya dibawa berkenalan dengan orang-orang kampung. Suku Kerinci sungguh peramah dan sangat hormat tamu. Kata mereka, sayalah anak Malaysia pertama yang sudi berkunjung ke desa ini.  Ada juga orang kampung yang tanyakan pek minuman milo dari saya. Untuk apa? tak sempat saya selidik.

Jumaat, 23hb Dis. 2005. Rutin harian berlangsung seperti biasa. Saya, Mail dan Alisdi sekali lagi bangun awal untuk mandi di sungai. Seperti selalu, ada saja orang kampung yang buang hajat dalam air di sungai yang sama tempat mereka bersihkan diri. Kali ini giliran dua remaja perempuan belasan tahun. Mujurlah mereka jauh dari kawasan tumpuan manusia, kalau tidak tentu mereka jadi mangsa intaian kaum adam. Saya mula berkira-kira untuk jaga makan selama disini, takut-takut saya pula yang terpaksa lalui pengalaman paling ngeri seperti itu. Oh tidak, tak dapat saya bayangkan.

Sementara menanti solat Jumaat, saya sempat berbual-bual dengan Daman, remaja lelaki yang tinggal berjiran dengan rumah Alisdi. Sedih dengar kisahnya. Daman tinggal sediri di rumahnya di daerah yang serba kekurangan ini. Seluruh keluarga dia telah merantau cari kerja di Malaysia. Tinggallah ramaja 14 tahun ini menguruskan diri dan sekolahnya sambil mengharap kasih nenek yang datang sekali-sekala menjenguk. Terbayang betapa getirnya masa depan dia tanpa pengawasan ibubapa. Sungguh hiba mengenangkan nasib Daman. 

Kisah Daman hanyalah satu kisah sedih anak kecil yang terabai ketika ibubapa mereka merantau cari kerja di tanah seberang. Sayunya rasa hati ini. Mengapalah begini nasib saudaraku rumpun Melayu. Mengapa kita perlu terpisah oleh dua sempadan politik yang berbeza. Kenapa kau pisahkan kami wahai Inggeris dan Belanda. Ah, Terlalu sedih untuk saya fikirkan. 

Saya dan Daman sempat tunaikan Solat Jumaat di Masjid Jame' Koto Tengah. Saya lihat banyak jemaah yang pandai mengenakan baju melayu. Kata Daman, inilah antara 'ole-ole' yang paling kerap dibawa pulang oleh warga yang berkerja di Malaysia. Baju melayu, baju kurung dan milo. Lucu juga anak ini. Kalaulah boleh tanpa pasport, akan saya bawa Daman menyeberang Selat Melaka. Akan saya temukan dia dengan keluarganya. Paling tidak, akan saya jaga dia seperti adik kandung saya sendiri.  

Sebelah petang, saya ikut Mail dan Alisdi ke kota Sungai Penuh untuk cari sesuatu yang boleh dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Di kota ini, saya sempat singgah di sebuah warung telefon (wartel) dan buat panggilan ke pejabat. Kesian Khairol di sana kerana terpaksa selesaikan semua tugasan yang saya tinggalkan. Sebelum pulang ke Desa Seleman, kami sempat menikmati secawan kopi telur, satu menu istimewa yang tidak ada di Malaysia. Lupa pula membeli sebungkus bakso yang dipesan Daman. 

Beberapa rumah para nelayan dibina di pinggir danau
24hb Dis. 2005. Saya, Alisdi dan Daman datang berkunjung ke Danau Kerinci. Sebaik tiba di dermaga, seorang tua datang mendekat ke arah saya dan minta sejumlah wang sebagai bayaran masuk. Mujurlah Alisdi sempat terangkan status saya dalam bahasa tempatan. Rupa-rupanya siapa yang disangka orang luar akan dikenakan bayaran masuk mengikut jumlah yang tergantung kepada si pemungut. Aneh bukan?. 

Dermaga - Permulaan bagi semua aktiviti air




Hari ini Danau Kerinci penuh sesak dengan orang-orang kampung yang datang menangguk ikan. Kononnya tanah di dasar danau bergegar menyebabkan ikan mabuk lalu terapung-apung di permukaan. Seronok dapat tangkap ikan gunakan tangan. 

Kami berjalan lagi di sekeliling danau. Di sini, di mana saja kami pargi, keadaannya seperti di pasar ikan. Ramai yang lebih senang tunggu di tebing dan beli saja ikan-ikan yang telah didaratkan. Sebelum pulang, konvoi kami singgah di sebuah warung berhampiran. Untuk Daman, Saya gantikan bakso yang dipesan semalam. 

Panorama Danau Kerinci
25hb Dis. 2005; Jam 3.00 pagi WIB. Sesuatu yang cuba saya pertahankan akhirnya musnah di awal pagi ini. Entah apa salahnya, perut terasa pedih dan memulas-mulas. Akhirnya, terpaksalah saya turun ke sungai dan tunaikan hajat besar ikut cara tradisi masyarakat di sini. Mujurlah situasi ini berlaku ketika orang kampung masih tidur. Tapi malu juga pada Alisdi kerana dia yang menemankan saya hingga ke sungai lalu menelanjangkan hal-hal yang tak sepatutnya saya dedahkan demi menyahut satu seruan alam mengikut cara paling jijik pernah saya lakukan. "Syyy.." harap dia tidak ceritakan hal ini pada orang kampung.   

Masjid Desa Sanggaran Agung dilihat dari seberang
Saya, Mail, Alisdi dan rakan yang baru saja saya kenali, Rosdi, merancang untuk berjalan-jalan ke Kayu Aro. Terlalu beria-ia mereka mengajak saya ke tempat-tempat menarik yang ada di Kerinci. Lokasi pertama, saya dibawa ke kolam air panas di Semurup yang kononnya keramat. Panas airnya menggelegak, tidak seperti kolam air panas yang biasa saya kunjungi di Selayang, Selangor. Di sini, pengunjung boleh membeli beberapa biji telur jikalau mahu menguji kepanasannya. 

Kami juga sempat singgah di Air Terjun Telun Berasap. Pengunjung perlu menuruni anak tangga untuk lihat air terjun tersebut. Rupanya dasar air terjun itu terletak jauh di bawah gaung. Kami hanya mampu berhenti di tengah jalan dan lihat tujahan air yang datang dari atas jatuh menimpa batu di bawahnya dalam jarak lebih kurang 5 meter. Tujahan air itu menghasilkan wap halus seperti kepulan asap-asap yang berterbangan di udara. Satu lagi keindahan alam ciptaan tuhan yang belum pernah saya lihat. Jujur, keindahannya sungguh sukar saya bayangkan dengan kata-kata. Pendakian semula ke atas terasa memenatkan. Ada antara kami sampai terkencing di dalam seluar. Mungkin kerana keletihan.

Kami teruskan perjalanan ke Kayu Aro untuk lihat ladang teh. Kehijauan ladang teh kini dapat saya hayati. Seronok berlari di celah pepohon teh ala filem Hindustan. Ladang ini merupakan perusahaan milik pemerintah Indonesia. Pekerjanya terdiri dari imigran Jawa yang didatangkan khas melalui program transmigrasi.

Perjalanan pulang ke Desa Seleman kami harungi dalam cuaca hujan. Tak sanggup kebasahan, kami singgah berteduh di sebuah warung di pertengahan jalan. Pengusaha dan pengunjung tetap warung ini terdiri dari masyarakat keturunan Jawa. Sempat juga saya cuba sepatah dua perkataan Jawa yang pernah saya pelajari di Johor, dan mereka memahami. Biarpun hampir sejam berteduh, hujan tidak langsung menunjukkan tanda akan berhenti.  Akhirnya kami terpaksa meredah hujan untuk teruskan perjalanan pulang.  Malang sekali, musibah datang bila motosikal yang ditunggang Alisdi terlibat dalam kemalangan. Saya tercedera.

Menjelang malam baru hujan reda. Kesihatan saya terganggu kerana terlalu lama kehujanan. Saya hanya berehat di rumah sambil ditemani Daman. Tak larat ikut Alisdi ke rumah saudaranya. Ditambah dengan kesakitan akibat jatuh motor membuat badan saya benar-benar tidak bermaya. "Abang kelelahan kale?" ujur Daman yang nampaknya faham situasi saya. Bagaikan ada hubungan darah antara kami. 

26hb Dis. 2005. Hari ini genap setahun tragedi tsunami 2004 melanda. Semua siaran tv di Indonesia menayangkan kembali detik-detik sedih tragedi itu. Dari awal pagi hingga ke lewat malam semuanya memainkan lagu sedih;  Acheh pasca tsunami. Saya turut tersentuh mengenang kembali peristiwa bersejarah itu. Dari paparan ketika bencana, kemusnahan, mayat-mayat, anak yatim hinggalah ke perutusan terima kasih Indonesia kepada negara-negara yang menbantu meringankan beban mereka, semuanya sangat menginsafkan. Sayangnya, tidak ada satupun nama Malaysia disebut dalam perutusan itu. Tenggelam di balik nama-nama seperti Amerika, Jepun, Korea, Singapura, Filipina dan negara-negara Eropah. Saya keliru dan tertanya-tanya sendiri, "tidak adakah sumbangan Malaysia untuk saudara serumpun di Acheh? atau barangkali namanya sengaja dilupakan?"  Entahlah.

Esok adalah hari terakhir saya di Desa Seleman. Sedang asyik mengenangkan apa yang telah saya lalui dalam kembara ini, tiba-tiba saya dikejutkan dengan kehadiran Daman. Terharu mendengar permintaannya untuk tidur bersama kami di malam terakhir ini. Daman seperti dahagakan kasih keluarga. Kasihan dan sungguh kasih saya kepadanya. Untuk Daman, saya rela tidur beralaskan tikar asalkan dia selesa. "Satu hari nanti kita akan jumpa lagi". Itulah kata-kata terakhir saya padanya. "Ya kita akan jumpa lagi"  ayat sama jugalah yang diucapkan Daman sebelum dia tertidur. Selamat malam Daman. 

27hb Dis. 2005. Saya dan Alisdi bersiap awal untuk berangkat ke Pekan Baru dan seterusnya pulang ke Malaysia. Sementara Mail masih belum puas tinggal di kampung halamannya. 

9.00 pagi WIB. Van yang bakal bawa kami ke Pekan Baru telah sedia menunggu. Dengan berat hati, saya tinggalkan seribu kenangan di bumi yang sakti ini. Saya tinggalkan orang-orang di Desa Seleman, saya tinggalkan Rosdi, Subhi, Mak Woa, Ila, dan Nazira.  Paling sedih, saya tinggalkan Daman yang masih lena dibuai mimpi. Selamat tinggal Kerinci.  Ramai yang menghantar saya di perhentian hinggalah kelibat mereka hilang dari pandangan. Lalu van pun meluncur laju tanpa mengerti adanya cerita perpisahan. Selamat Tinggal Kerinci. Sampai jumpa semua. 

36 ulasan:

  1. Waw, cerita yang asyik...benar-benar luar biasa....berjalan-jalan ke negeri serumpun (nggak peduli dengan perbedaan negara atau kebangsaan), saya pernah belajar bahasa Melayu dialek Jambi yang memakai 'o'. Sedangkan bahasa Orang kerinci memang susah dipahami. Malah kalau bahasa Melayu Palembang saya banyak paham karena banyak kosakatanya yang berakar dari bahasa Jawa...hehehehe...
    Ayo, kapan main-main (bila melancong) ke Jawa, atau ke kota saya langsung hehehehehe? Pasti banyak keunikan lain yang berbeda...berbeda dengan Sumatera....:)

    BalasPadam
  2. Tunggu. Masanya akan tiba.. saya pun dah ramai kenalan orang Lombok. jauhkah lombok dari kota Malang. nanti kalau sampai kesana saya bagitau kamu.

    BalasPadam
  3. Lombok? jauh benjet tuh (Jauh sekali), soalnya jika dari Malang saya harus naik bis ke terminal Ketapang di Banyuwangi (ujung timur Jawa) selama enam jam, disambung naik kapal ferry ke Bali selama 45 menit minimal, lalu dari Gilimanuk ke Padang Bai kira-kira 4-5 jam dan menyeberang selat lombok menuju Lombok sekitar 5 jam lagi...
    Kalaulah dikau kesini, kabar-kabar ya...:)

    BalasPadam
  4. ohhhhhh, memang sangat jauh. Sorry, saya belum biasa dengan tempat-tempat di daerah sana.

    BalasPadam
  5. Ndak papa, nanti lama-lama juga biasa kok...

    BalasPadam
  6. Ya..harap tau cik, Indonesia tuh banyaaaaaak sekali suku kaumnya..masing2 dengan logat dan bahasa yang berbeza2..bayangkan jika tak ada bahasa persatuan kan? macam di officeku pun bila orang sunda ketemu sunda mereka akan bertutur dalam bahasa ibu (sunda)..nanti orang batak juga begitu...tapi bila dah berkumpul kita pakai bahasa Jakarta (tak resmi) tapi dalam majlis resmi tentu pakai bahasa baku (Indonesia)
    Rata-rata bahasa di Sumatra Timur adalah Melayu dengan berbagai logat dan dialek mulai dari Temiang (Aceh), Langkat-Deli-Serdang-Medan, agak beza lagi Asahan & Labuhan batu, lalu Riau Pesisir (seperti semenanjung) dan Riau daratan (Pekanbaru, Kampar, Rokan, Kuantan yang dipengaruhi Minangkabau), Jambi-Bengkulu-Palembang, sedang pantai barat Sumatra pada dasarnya ragam minangkabau. Sila kunjung ke jurnal2 saya, banyak tulisan saya tentang ni...

    BalasPadam
  7. Terima kasih informasinya ya mas, sungguh kaya alam melayu.

    BalasPadam
  8. anak melayu yang datang ke tanah nenek moyangnya.

    BalasPadam
  9. ya... kita semua di alam melayu ini telah saling berinteraksi sejak dulu. Orang Jawa Ke Semenanjung, Orang Banjar ke Jawa, Orang Minang ke Bugis, dan begitulah sebaliknya sehinggalah kawasan Nusantara ini dipisahkan oleh sempadan politik. Akar kita tetap sama.

    BalasPadam
  10. hahahaha....lucu nih!....yah gitulah kalo pertama kali ke Sumatra, apalagi kalo pakai Ferry dan lewat jln. darat. Sebenernya En. Fazli pelabuhan yg anda lewat itu (Pelabuhan Dumai) banyak orang yg kurang benar!....bukan hanya kita! malah orang Indonesia yg kerja di Malaysia sendiri kadang2 rasa takut sebaik saja turun dari ferry.Maklumlah mereka tue orang-orang kecil yg agak susah kehidupan, jadi gak heranlah punya segala macam orang!....

    Tetapi kalo sudah biasa gak pa2..tenang aja gitu!...hehehe......next time awak ikut saya plak ok!...kita pusing satu SUMBAR!.....kita tengok tanah Minangkabau....

    BalasPadam
  11. En. Fazli bertugas dengan SPKK (Housing Developer) yer?...Construction! patutlah ramai kenalan orang Indonesia, pasti banyak anak Lombok, Madura nih!....kerana suku bangsa ini yg banyak terlibat dlm. bidang binaan......

    BalasPadam
  12. pusing SumBar....? insyaallah kalau ada kesempatan masa & wang. Kalau boleh nak tengok batu Malim Kundang kat Padang. Masa pegi Kerinci dulu tak sempat nak singgah. ...

    Saya keje kat SPPK, keje biasa je.... kat sini memang ramai TKI. macam-macam suku ada. bahasa diaorang pelik-pelik sampai susah nak cam suku apa. Tapi kalau uhang Kincai, urang Madura, wong jowo dan orang Minang semakin mudah untuk dikenal pasti.

    BalasPadam
  13. baru abis nie baca journalnya si Fazli.....begitulah En. Fazli kehidupan saudara kita diseberang, berbeza sungguh dengan kehidupan kita disini. Saya tuh kalo balik ke Bukit Tinggi ziarah sanak-saudara disana pun sama macam tue, tapi sebab dah biasa tak der hal sangat.

    tetapi harus kita pikirkan mengurus 250 juta rakyat tak sama mengurus 22 juta rakyat.....

    *Insyallah kalo masa! cuti panjang! kita ke Sumbar!...tengok Malim Kundang, Ngarai Sianok, ke Danau Maninjau....gaya kehidupan orang Minang di Sumatra Barat tak jauh berbeza dengan gaya Orang2 di Negeri Sembilan (den orang Nogori)...heheheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. saya pon asal dari sumbar. tapi datok dan nenek aje.ibu dan saya di lahirkan d sini slgor,saya dah pgi empt kli smua tpat memg rancak tmpt nya..rasa nak pgi lagi,mudahan akan smpai waktu itu

      Padam
  14. terima kasih sebab baca jurnal saya sampai abis. Serius ke nie nak ajak ke Sumbar?. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

    BalasPadam
  15. terima kasih sebab baca jurnal saya sampai abis. Serius ke nie nak ajak ke Sumbar?. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

    BalasPadam
  16. Ya..harap-harap maklum jika banyak kurangnya...fasiliti, infrastruktur...
    Sebenarnya ini tantangan bersama untuk majukan puak Melayu..
    Jika M'sia, Brunei dan S'pura sahaja yang maju..berapa jumlah Melayu disini dibanding Melayu majoriti di rantau ini? Jadi sebenarnya Melayu belum lagi maju dan makmur.. hanya karena melihat kondisi 3 negara tadi yang lebih stabil dan prosperous..tapi coba lihat Melayu di Sumatra, Kalimantan, Sulawesi, Maluku, Nusa Tenggara belum lagi di Mindanau dan Pattani ?
    (Baru sadar ni rantau Nusantara memang luaaaaas sangat)
    Nah..jom kita berkongsi buat kemajuan bersama

    BalasPadam
  17. Akanku bantu saudaraku rumpun Melayu selagi terdaya. Aku rela berpadu tenaga. Demi Melayu.

    BalasPadam
  18. To : Mohammad Fazli

    Salam hangat,
    Nama Saya Akhmad Zukhri, 35 tahun, sekarang bekerja di Bank Century Cabang Jambi. Saya berasal dari Desa Seleman, Kecamatan Danau Kerinci Kabupaten Kerinci. Rumah Saya dekat Jembatan Desa Seleman, Kakak-kakak saya juga ada yang bekerja di Malaysia. Bahkan salah seorangnya telah menikah dengan penduduk asli Malaysia. Saya sangat senang membaca pengalamanmu yang begitu jujur dan apa adanya mengenai Kampung kelahiranku. Mungkin kemarin kita tidak sempat ketemu karena Saya ada di Jambi, tapi lain kali Saya harap kita bisa ketemu langsung. Kalau mau kontak saya : zoekhrie@yahoo.com atau zoekhrie@hotmail.com. Nomor Telepon : +628127400956 (HP) atau +62741-7551600 (Telp.Kantor). Terima Kasih atas perkenalan ini. See you next time.

    Salam hangat,

    AKHMAD ZUKHRI

    BalasPadam
  19. Salam hangat juga dari saya... Ini kali kedua saya terima respon dari anak kerinci yang terbaca kisah saya. Pertama: Seorang anak kerinci yang berkerja di sebuah kilang (perusahan) di Johor. Katanya dia dari Desa Sanggaranagung. Kami sempat berjumpa sekali tapi sayangnya kini terputus hubungan. Kedua: Saudara Akhmad Zukhri. Terima kasih kerana sudi baca dan terus sudi kenal. Kalau ada kesempatan waktu, saya mahu ke kerinci lagi. Mungkin nanti boleh jumpa disana, dan mungkin juga kita bisa berjumpa di Malaysia saat Mas Zukri kemari. see u

    BalasPadam
  20. assalamualaikum..salam kenal dari rewel kincai seleman..

    BalasPadam
  21. salam kenal... sekarang ini kamu ada di mana? Seleman atau Kampung Kemensah atau Kampung pasir?

    BalasPadam
  22. Menarik sekali cerita saudara. Saya juga akan ke daerah tersebut melalui Padang pada akhir Mar 2011. Maklumat yang sdra berikan memberikan panduan kepada saya untuk menjejaki ahli keluarga disana.

    BalasPadam
  23. Asmlkum saya sangat teruja dengan catatan perjalanan sdr ke Lembah Kerinci rasa2 ingin saya turut serta tapi bilakah sdr akan mengembara lagi? Sudilah kira sdr menghubungi saya melalui Email (lourve@streamyx.com) saya tinggal di Batu Caves rasanya tak jauh dari tempat tinggal sdr. Jika boleh saya ingin bertemu dengan sdr dan berbual dengan lebeh terperinci lagi t.k......Abang Aziz.

    BalasPadam
  24. Assalamualaikum..agak terbaek kan kat sana..alhamdulilah sy pun da smpi ke sana utk mjejak saudara..perjalanan dr dumai ke kerinchi smemangny meletihkan tp hasilny cukup lumayan..sy pergi bsama keluarga pd tahun 1999..bru2 lps SPM, so xdak lar berani sgt nak jelajah mmana..guna rupiah pun tkial-kial..hehehe.sejuk cuaca,sejuk lg mata mmandang bukit bukau gunung ganang padi menghijau..penginapan sperti biasa lar,nama pun mjejak saudara, so xdak lar isau sgt..paling gempak air hangat kat sana, terbaek..KERINCHI tggu aku dtg lg..

    BalasPadam
  25. Assalamulaikum
    Fazli... ape kabar sihat ke ni aq la Rosdi bile kite pgibkincai lagi.skang aq kat malaysia ni kat selangor/ulu klang/kg pasir.

    BalasPadam
  26. Terimakasih banyak, saya ucapkan kepada Mbah Suro atas bantuan anka togel yg di berikan saya alhamdulillah benar2 tembus, berkat bantuan Mbah saya sudah bisa melunasi semua hutang2 saya sama tetangga bahkan saya juga sudah punya modal sedikit buat usaha kecil-kecilan, sekali lagi terima kasih banyak Mbah atas bantuannya kpd saya.. Jika anda ingin seperti saya hubungi aja beliau di nmr 082 354 640 471 atas nama Mbah Suro Ninggil........

    BalasPadam
  27. NURHAYATI TKW DI MALAYSIA
    Lewat internet ini saya mengutarakan
    ucapan terima kasih saya kepada MBAH DEWA
    yang telah membantu kehidupan keluarga saya
    dulunya saya Cuma seorang buruh kasar yang
    bekerja di salah satu kebun kelapa sawit
    milik : tuan H. BADRUN
    di daerah malaysia penghasilan saya
    perhari Cuma 55ribu rupiah,hanya pas pasan
    untuk mengecukupi kehidupan keluarga saya
    Alhamdulillah sekarang Sejak saya bergabung
    jadi member_ MBAH DEWA BHARATA_
    dan ini. Kemenangan saya yg Ke 3X
    Kemarin Di kasih lagi.4D togel malaysia benar-benar tembus...
    impian saya selama ini sudah jadi kenyataan.
    Alhamdulillah Kehidupan keluarga saya pun
    jauh lebih baik dari pada sebelumnya.
    Buat saudara bapak/ibu yang ingin mendapatkan
    REJEKI melalui jalan TOGEL..atau yg sdh bosan dgn kemiskinan
    Hub: MBAH DEWA BHARATA Di:( 082 316 555 388- )
    atau Klik Situs resmi kami. di bawah ini.....

    http://angka-dewa88.blogspot.com


    di jamin anda akan bahagia dengan keluarga
    yang punya rumah salam jackpot & damai selalu

    BalasPadam
  28. As salam...
    Saya juga merancang (sejak 5 tahun yan lalu) untuk menziarahi dan menelusuri kehidupan keturunan Kerinchi saya di Sg Penuh.

    Tak banyak yang saya tahu tentang keturunan Kerinchi saya melainkan ibu saya masih asli kerinchi. Keturunan saya sudah lama di Malaysia. sejak moyang saya sebelah ibu saya lagi.

    Mohon info dan kabel utk ke sana. Mungkin Desa Seleman itu adalah suku Suliman yang diberitahu kepada saya. Sebab arwah datuk saya dikatakan dari suku Jujun manakala nenek saya suku suliman.

    email saya di ress6282@gmail.com ataupun fb saya di Ressay Damahum.

    TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. Maaf Pengarang..
      saya lupa nak maklumkan nama saya..
      saya reply dan hantar post ini di computer meja di tempat kursus saya... so tak dapat nak masukkan profil lain kecuali TANPA NAMA...

      Muhamad Yasser
      saya dah follow google+ saudara...

      017-3468041 ini nombor hp saya

      Padam
  29. kampungku seleman... tiap tahun balik.... tahun ni balik lgi... hahaha... you tak nak datang ke...

    BalasPadam
  30. kisah 2006, tapi sekarang 2018.. 12 tahun sudah kenangan ini,, salam selalu buat abang fazlie..

    BalasPadam
  31. Damai sejahtera bagi Anda semua, saya mrs. Puspita Ismaya dari Balikpapan di Indonesia. Saya sangat senang karena saya mendapat pinjaman dari Perusahaan Pinjaman Rika Anderson.

    Saya tidak pernah percaya bahwa saya bisa mendapatkan kredit online, semua pujian ditujukan kepada Yang Mahakuasa, saya mendapat kredit sebesar Rp80.000.000 beberapa hari lalu dari ibu dari CEO RIKA ANDERSON LOAN COMPANY.

    Saya harap Tuhan banyak dari mereka semua, saran saya bagi mereka yang mencari kredit internet harus sangat berhati-hati karena ada pemberi pinjaman, silakan hubungi RIKA ANDERSON INVESTMENT email rikaandersonloancompany@gmail.com. Whatsapp +1(929)526-0086 Anda juga dapat menghubungi saya di puspitanismaya@gmail.com

    KESAKSIAN: Puspita Ismaya
    NEGARA: Balikpapan di Indonesia
    PINJAMAN: Rp80.000.000
    puspitanismaya@gmail.com

    PERUSAHAAN PINJAMAN RIKA ANDERSON
    Situs web: www.rikaandersonloancompany.webs.com
    email: rikaandersonloancompany@gmail.com
    Panggilan Langsung/Whatsapp: +1(929)526-0086
    Layanan Pelanggan Whatsapp: +1 916 448 1012

    BalasPadam
  32. Salam...bg fazli..bg dok mane skrg

    BalasPadam