بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEHIDUPAN RINGKAS ORANG NEGRITO



Ini adalah versi terjemahan dari artikel asli berbahasa Inggeris tulisan Sharon Ng Kooi Kin yang tersiar dalam akhbar New Straits Times, 22 April 2010.  Telah saya terjemahkan bertujuan memperbanyakkan lagi bahan-bahan ilmiah/domumentari berbahasa Melayu. Mohon perhatian, di antara ayat-ayat di bawah sudah ada perubahan struktur, pengguguran, penambahan dan penukaran kata supaya selari dengan maksud asal yang terkandung dalam atrikel yang dirujuk. 

Selamat membaca!!!

Miliki rambut yang keriting, bergulung-gulung lebat warna hitam dan berkulit gelap, amat mudah menjelaskan bahawa merekalah orang-orang Negrito. 
Penulis yang berada di Penempatan Orang Asli Ulu Kelantan rasa gembira bila  mengetahui penghuni di penempatan ini iaitu suku Batek, tergolong dalam salah satu suku dari rumpun bangsa itu. Satu hal yang mengujakan, sebelum ini penulis hanya tahu tentang Negrito melalui pembacaan dalam buku semata-mata. Inilah kali pertama penulis melihat mereka secara nyata.

Negrito, diklasifikasikan sebagai salah satu dari 3 puak Asli (Orang Asli) yang menghuni hutan Semenanjung Malaysia, Negrito mendiami hutan bahagian utara, Senoi di kawasan tengah dan Melayu Proto di selatan.

Penempatan primitif
Ketika itu hujan turun di Taman Negara Kelantan, Kuala Koh. Banyak aktiviti luar seperti Jungle Trecking tergendala. Penulis dan rombongan dengan rela hati terpaksa setuju melawat penempatan Orang Asli yang terletak kira-kira satu kilometer dari pintu masuk taman negera itu.


Sebelum ini penulis sering melawat perkampungan orang Asli di Cameron Highlands, Pahang, Endau-Rompin, perbatasan Johor dan Pahang dan Ulu Geroh, Perak. Tapi yang sangat menarik perhatian, penempatan di sini lebih primitif berbanding penempatan lain yang pernah penulis temui.
Pondok-pondok mereka terbina dari pohon-pohon buluh yang bersulamkan rotan dengan bumbungnya diperbuat dari atap. Lantainya yang setinggi setengah meter dari tanah adalah hasil dari susunan batang-batang buluh yang dilapisi bilahan-bilahan buluh. Dindingnya yang tidak berpintu itu juga dibuat dari bilahan buluh. Ada juga pondok-pondok lain yang tidak berdinding sama sekali. Simen konkrit tidak ada di sini apa lagi bekalan elektrik.

Jalan penghubung antara pondok ke pondok di sini terdedah cuaca, Hanya berlantaikan tanah yang kini sudah tergenang air dan becak. Penulis dan rombongan harus berhati-hati saat melawati setiap pondok. Baru-baru ini, kerajaan negeri telah memasang paip air dari kaki bukit ke tangki air utama. Di sanalah mereka menadah air untuk kegunaan domestik seisi rumah setiap hari.

Kediaman mereka juga kosong tidak berperabot. Sinilah letaknya ruang tamu, dapur dan bilik tidur. Mereka masak menggunakan tungku kayu dari bahan bakar yang dikutip di hutan. Setiap tungku dilapik dengan zink untuk mengelak lantai pondok mereka terbakar, Perkakas yang ada di dapur mereka hanyalah periuk besar dan cerek. Mereka tidak menggunakan sudu dan garfu kecuali pisau, kontena plastik, pinggan dan cawan.

Ada tikar dan kain sarung dibentangkan pada lantai sebagai alas tidur. Tidak terlihat bantal dan selimut di sini kecuali ada kelambu di sesetengah pondok.

Generasi tua dan anak-anak mereka memakai kemeja T dengan seluar pendek. Masing-masing berselipar jepun.

Di sini setiap keluarga menerima bantuan RM100 sebagai subsidi bahan-bahan asas seperti beras, gula dan minyak masak yang dihantar berkala. Van akan datang dua tiga kali seminggu bersama sayur dan barang runcit. Sebenarnya, mereka lebih sering memakan hasil-hasil hutan dan buruan sebagai diet paling sederhana.

Jika diperhatikan, seperti ada pengkelasan buruh secara ringkas di kalangan komuniti mereka. Kaum perempuan bekerja menangkap ikan dan mengutip buah-buah hutan sementara lelakinya berburu binatang dan mengandar buluh. Semua hasil ini akan dipasarkan di pasar terdekat yang terletak jauh tanpa kenderaan.

Pemusnahan suku kaum hutan
Ras Negrito hanya sebesar tiga peratus dari populasi Orang Asli di seluruh Semenanjung. Dari jumlah itu, bancian tahun 2000 merekodkan terdapat kira-kira 1,519 orang suku Batek, antara suku terawal yang dikatakan mendiami bumi Semenanjung. Mereka tergolong dalam rumpun Austro-Melanesia dari zaman Hoabinhian. Ini disahkan oleh pakar arkologi melalui penemuan kubur bawah tanah dan lukisan di dinding gua yang dapat menggambarkan sejarah kemunculan ras Negrito 10,000 tahun yang lalu.

Suku Batek (kadangkala dieja Bateq) bertutur dalam varian bahasa Jahai. Ramai di antara mereka yang agak fasih berbahasa Malaysia. Di penempatan ini tidak ada seorang pun anak-anak mereka yang bersekolah walaupun pernah ada usaha mendaftarkan mereka ke sekolah terdekat sejauh 30km di Kampung Aring Satu.

Suku Batek hidup secara nomad, namun semenjak penempatan semula oleh beberapa organisasi seperti Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Majlis Agama Islam Negeri, mereka mungkin boleh dikelaskan sebagai separa nomad.

Di penempatan-penempatan Orang Asli lain yang dekat dengan kawasan bandar, contohnya Gombak di pinggir Kuala Lumpur, bolehlah kita anggap itu sebagai penempatan kekal. Walau bagaimanapun masih banyak juga penempatan separa kekal yang dibangunkan di pinggir hutan yang masih separa nomad. Ia sengaja dibina bagi membolehkan mereka menyambung hidup cara tradisi. Semenjak lawatan Tengku Mahkota Kelantan pada 2001, nasib dan kebajkan mereka mendapat lebih perhatian.

Kelangsungan hidup suku Batek mungkin pupus satu masa nanti akibat cara hidup mereka yang bertentangan dengan pelbagai kehendak termasuk keperluan melupuskan hutan untuk pembangunan, empangan dan pertanian.

Walaupun tidak ada tanda kebuluran di kalangan anak-anak Orang Asli Kuala Koh, ramai juga yang menderita masalah kulit bersisik serta kusam pada lengan dan kaki.
Penulis akhirnya dimaklumkan bahawa kadar keciciran di kalangan murid-murid Orang Asli selepas tamat darjah 5 sangat tinggi sebesar 70%.

Saat ini, sumber hutan tempat Orang Asli bergantung harap termusnahkan begitu pantas. Corak hidup mereka terancam oleh pemakaian teknik moden untuk aktiviti memburu dan memancing. Mereka menggunakan senapang, jaring, racun dan bahan peletop, jauh menanding tradisi Orang Asli yang masih bersumpit.

Pengurangan sumber dari hutan mungkin memaksa suku Batek membangunkan penempatan lain di lokasi baru yang biasanya semakin jauh dalam hutan.

Jadilah pelawat bertanggungjawab 
Hormat sensitiviti mereka yang tidak sukakan orang luar, pelawat dan jurugambar. Di sini, anak-anak mereka terlalu pêrak (norak: bahasa Indonesia), berikan saja hadiah berupa duit dan makanan ringan. Cuma ingat, hadiah dalam jumlah yang banyak harus disampaikan kepada Tok Batin Hamdan untuk diagihkan. Sumbangan berupa pakaian lusuh mahupun baru seperti kemeja T dan kain sarung sangat dialukan.

Pada lawatan ini, penulis melihat mereka menggunakan makanan dalam tin dan minuman berkabonat, anak patung, bola takraw dan lori mainan. Pastinya itu datang dari pelawat.
Pemandu pelancong kami, Zulkifli Mansor dari Gua Musang berkata, terdapat 100 penghuni daripada 25 keluarga di sini. Dia telah membawa pelawat ke sini sejak 8 tahun yang lalu. Katanya, dia lebih suka memilih kumpulan kecil. Kadang-kadang terdapat 40 orang pelawat dikalangan pelajar sekolah yang memberikan gula-gula dan biskut sebagai hadiah.

Zulkifli menguruskan lawatan tiga hari dua malam ke Taman Negara Kelantan yang terletak berdekatan dengan pelbagai pakej menarik termasuk makan dan penginapan.
Pada penulis, ini mungkin sekadar lawatan yang singkat tapi ia mampu memberikan mesej jelas tentang kemiskinan ganas yang wujud di salah satu bahagian dalam negara ini. Tak hairanlah Batek Negrito, bersama-sama suku kaum hutan dan gunung yang lain di Asia Tenggara dianggap manusia kelas ke empat.

Di sini, isu seperti hak ke atas tanah, asimilasi sosial, pendidkan, perubatan dan pengurangan sumber tradisi; mungkin wajar diperhatikan.

6 ulasan:

  1. Pertamaxxx
    Nasib orang asli ternyata tidak jauh beda...

    BalasPadam
  2. sesama... eh, dah lama tak kuar entry terbaru?

    BalasPadam
  3. Tau sendiri lah jeng...kalau nasib orang2 terpinggirkan

    BalasPadam