بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan 2: Sisi Gelap Brunei

(Dari Catatan 1)

Hujan rintik sepanjang hari ini tak cukup kuat menghalang niat saya – jelajah Bandar Seri Begawan. Brunei di malam hari jauh beza dengan di Malaysia. Di jalan lebar mulus di tengah pusat Bandar Seri Begawan ini hanya ada saya sendiri. Jadi raja di jalanraya menggantikan fungsi kereta yang melintas setengah jam sekali. Itu pun hanya satu. 
 
pejalan kaki jadi raja di jalanraya
Esok tahun baru? Betulkah? Mungkin inilah malam tahun baru yang paling sepi pernah saya rasa. Tak ada sambutan apa-apa di seluruh Brunei. Padahal saya impikan hiruk-pikuk kota dan riuh-rendah suasana. Padahal saya ingin lihat gelagat manusia yang pegun pandang bunga api, pinga dengar bunyi mercun dan terpaku tonton konsert ambang tahunan seperti di Kuala Lumpur, Bangkok, Vientiane atau Phnom Penh seperti yang pernah saya lalui sebelum ini. Di sini, hidup berlangsung seperti biasa. Acara di TV Brunei pun tak langsung mengalukan ketibaan 2015 kecuali Selamat Maulidur Rasul yang akan tiba tiga hari lagi.

Bandar Seri Begawan - mati di malam hari 
Malam di Bandar Seri Begawan benar-benar mati. Premis perniagaan tutup menjelang jam 7, termasuk mall-mall besar. Bisnes yang buka hanya kedai makan dan runcit. Malam ini, saya makan di Taman Selera, di depan Mahkamah Syariah. Menu saya ialah nasi katok. Makanan khas Brunei yang sama popular seperti nasi lemak di Malaysia. Sekali pandang, Ia nasi ayam penyet. Dihidangkan dengan sepotong ayam, sambal ulam dan nasi. Ketika berurusan langsung dengan 'warga Brunei' di gerai ini, baru saya sedar penduduk berwajah kosong, karat dan kampungan yang selama ini saya sangka orang Brunei, sebetulnya pendatang asing dari negara seberang. Ia terlalu banyak dan mudah ditemui di mana-mana menenggelamkan wajah orang Brunei asli.

premis tutup kecuali restoran dan perniagaan runcit
"Orang Malaysia, kan?". Saya didatangi seseorang yang tak dikenal. "kao mahu amoi ka?, Vietnam, China, Indonesia?" sambungnya. Saya tergamam. Tak sangka di sebalik imej Islam yang kental sepanjang saya lihat di Brunei ini, ada juga sisi gelap yang tersembunyi dan masih mahu bernafas. Lelaki itu perkenalkan diri sambil tunjuk kad pengenalan tentera. "aku tentera Brunei, ni tempat aku. Kalau kao mau, ikut aku ke seberang, Kampung Pengiran" Kata dia.

Saya beranikan diri ikut lelaki itu. Bukan untuk cari kenikmatan sesaat, tapi hanya ingin lihat cara hidup sosial orang Brunei yang sebenarnya di seberang sana. Selagi saya di tengah pusat Bandar Seri Begawan ini, saya hanya lihat pendatang Jawa, Bugis, Minang dan Lombok. 

Tambang ke Kampung Pengiran hanya seringgit. Membelah Sungai Brunei dengan perahu tambang yang penting itu. Kampung Pengiran ialah salah satu kampung atas air setentang pusat bandar. "Saya mau lihat dulu, tak janji ambil" helah saya dalam bahasa yang paling halus. Mujur 'bapa ayam' sambilan itu tak memaksa.

Kampung Pengiran dari tebing BSB
Kampung Pengiran kelihatan meriah di malam hari. Beberapa warga asing kulit putih, kuning dan gelap ada saya lihat di sini. Suara bising karaoke di restoran terapung yang kami singgah, memenuhkan segenap kampung. Memadam ketenangan yang baru saya nikmati di pusat bandar sekejap tadi. Mungkin inilah malam tahun baru paling meriah bagi orang Brunei. Kami duduk dan pesan minuman sambil tunggu 'ayam' peliharaan tentera Brunei ini pasang badan. Nampak tin-tin arak Carsberg digenggam erat oleh beberapa warga asing itu. "Arak itu, diseludup dari Limbang" Jelas bapa ayam tadi seolah-olah faham apa yang sedang saya fikirkan. "kalau kau mahu, aku pun ada" tambah dia. Serius sudah gila tentera Brunei ini.

Mahu saja saya lepaskan diri dari tentera Brunei yang belot pada hukum negaranya itu. Alhamdulillah saya dapat peluang itu waktu bayar minuman ketika tentera tadi sedang leka main bimbit di meja makan. Saat itu saya segera lari ke belakang dan menyelinap masuk dari lorong ke lorong di celah rumah panggung atas air. Seperti tikus saya lari dan nyorok hingga sampai sampai di Kampung Pandai Besi, sebelah Kampung Pengiran. Baru kini rasa Lega. Saya kembali ke pusat Bandar Seri Begawan dengan bantuan sekumpulan remaja yang ingin bermain skateboard di seberang sana. Alhamdullah, Tuhan masih memelihara.

terlepas dan selamat mendarat di BSB
Terlepas dari drama tebusan di Kampung Ayer tadi, saya mendarat semula di Bandar Seri Begawan, kali ini di depan Bangunan Yayasan. Di belakangnya ada Masjid Omar Ali Syaifuddin, masjid kebanggan Brunei yang diimpikan orang untuk singgah ke sana. Ia begitu cantik di malam hari. Saya sudah sampai, saya sudah sampai. Inilah bukti saya sudah menjelajah kesemua sepuluh negara Asia Tenggara.


Ikon Brunei - Masjid Omar Ali Syaifuddin 
Masjid Omar Ali Syaifuddin terletak di tebing lembab muara Sungai Kedayan, salah satu cabang Sungai Brunei. Genang air di sebahagian tapak dibendung hingga jadi tasik dan di tengahnya dibina replika bahtrera. Bertambah seri dengan paduan warna emas dan hijau muda pada dinding dan kubah. Terokaan saya pada hari pertama berakhir di sini. Disaji satu kisah yang tak saya sangka sama sekali.

sisi lain Masjid Ali Omar Syaifuddin

3 ulasan:

  1. tak sangka pulak Brunei ada tempat macam tu.....

    BalasPadam
  2. Saya di brunei sudah mahu masuk 5 tahun.. ya perkara ini pada awalnya saya pun x sangka.. kadang berita yang smpai pada kita x serupa dengan apa yang ada di brunei.. nmun brunei sngat terjaga masjidnya.. awal waktu ada penghidupan islam ada juga penghidupan yang bukan cara islam.. jadi kisah ini.. ambil yang jernih buang yang keruh... moga kita saling doa mendoakan pada umat islam dseluruh dunia.. Aamiin

    BalasPadam