بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Kuala Lumpur dihujung minggu, milik warga asing


Inilah wajah Kuala Lumpur (KL). Selain dipenuhi pelancong asing, KL dihujung minggu juga padat dengan pekerja asing yang mengambil kesempatan bersantai ditengah kota, mengisi masa cuti. Biarpun kebanjiran mereka mengundang rasa bimbang dikalangan penduduk tempatan, kedatangan mereka sebenarnya membawa nilai positif kepada perkembangan Bahasa Melayu (BM). Malah menjadi penyelamat kepada kepupusan BM dikalangan warganegara. BM dijadikan lingua franca sesama mereka biarpun datang dari negara berbeza. (tunggu sambungannya)


  
3 pendatang Indonesia ini tak sadar wajahnya dirakan.
mungkin mereka juga dari seberang.






tak usah tanya dari mana, pakaian mereka saja sudah menerangkan
wajah-wajah Asia selatan, terutama dari Bangladesh
lokasi Indon (dengan izin), Bangla, Nepal & Myanmar berkumpul
Mydin - lokasi wajib santai pendatang asing
Malaysia Truly Asia - ada yang marah?
Plaza Kotaraya - lokasi niaga pendatang Filipina (Pilak)
Pilak ini malu bila wajahnya dirakam
Pasar Seni - satu lagi lokasi wajib santai pendatang
karikatur Myanmar - ada yang faham?





Maghi Blaja Kkecek Kelate

Sekadar nok nnamboh pengetahue saing semuo.... Hok mano maghi kelate atau oghe llua hok nnikah oghe kelate, demo kene blaja. Ni untuk kesenange mu dikemudiye hari. Untuk oghe kelate hok lamo duk llua, mungkin boleh refresh... biar balik kappong dok mmalu.

(terjemahan BM)

Sekadar untuk menambahkan pengatahuan rakan-rakan... Bagi yang datang ke Kelantan atau orang luar yang menikah dengan orang kelantan, anda harus belajar. Ini untuk kesenangan kamu dikemudian hari. Bagi orang Kelantan yang sudah lama tinggal di luar, mungkin boleh refresh... biar balik ke kampung tidak malu 


Antara perkataan dialek kelantan yang sempat dikutip:
Bokbong - musang
Ttuyup - pepatung
Pok Kor - mengkarung

Ike - ikan
Ike Kkhonge - ikan cencaru
Gelenyar,Gletah - mengenyam
, miang

saksoba - Absorber
Supik - Plastik

Supik Gelenyar/supik rhokrhak - plastik nipis (yg mengeluarkan bunyi bising)
buah topoh = buah epal (apple)

mokte = rambutan
kuk/kok = sekeh (jotos)
njja = tendang
cakno = hirau
nyaknyo = kesian
bbaloh = kelahi
Ggaduh = nak cepat

debe = berani
Bekwoh = kenduri 
Tohok = buang
rhukah = panjat
Ghohok = susah, payah
hungga = lari

getek/etek = juga
tepoh = langgar
tubik = keluar
Siak Duk Ggobar = Jangan risau.. (Don't worry)
Idak Ko = cuma
Wak Gghogi......... = Bagi memulakan sesuatu... (to start with....)
Dek Pong Gak Eh....... = Kalau ya pun..........
Jjughuh = baik

Kelaghing = kesat (not smooth)
belengas = melekit
klikpah-klikpah = terpinga-pinga
lipotey = tidak tetap
nneting = melantun

 

Bagi perkataan BM yang mempunyai akhiran `an',' am','ang' ia diganti dengan bunyi `e'. Contoh:
Jangan = jange (seperti belon)
Lengan = lenge
ayam = aye
Geran = gere,
Pisang = pise
Malam = male

Dalam dialek Kelantan, banyak pertuturan yang diringkaskan

Contoh:

Make kkeda (makan di kedai)

Maye ssejid (sembahyang di masjid)

Tido lluar(tidur di luar)

Ada beberapa perkataan inggeris yang sering dipakai tetapi dibunyikan mengikut gaya kelantan. Contoh:

Bokk (book)
Pozek (deposit)
Rizat (result)
Nneja (manager)
Istek (estate)
Suwih (switch)
Merket (market)

Orang Kelantan suka menambah kata-kata lain dalam sesuata perkataan untuk menegaskan maksud. Contoh:
masin PPEGHAK
pahit LLEPE
mase(masam) PPUGHIK
tawar EBER
putih SSUEH
hite (hitam) LLEGE
biru KKETU
kuning NNEHE
kenye (kenyang) BBONYAH
comel LLOTE
gemuk DDEBOK
busuk BANGA
hapok KOHONG
nnakut (penakut) APAH
ceghoh (cerah) GHERLOH
jatuh CELEBOK
manis LLETING

Ada beberapa "bunga bahasa" dalam loghat kelantan yang unik..
Antaranya:
YAK = lebih kurang "opocot!!!" atau "oops!!"
DEH = memohon restu atau persetujuan. ..(sama dalam bahasa gaul orang Indonesia)
GAK/PAK = lebih kurang "habis tu.." atau "so.."
HO (dengan Dengung) = "yalah.." atau "yes"
DOCK? = lebih kurang "bukan?", "betul tak?" atau "isn't it?"
LAMOKE = nanti kan

Ada diantara perkataan dalam dialek Kelantan yang dianggap TABOO pada pandangan orang lain, atau tidak manis pengertiannya bagi orang di luar Kelantan.

Antara yang popular:
CEBOK = Ceduk :Pada pandangan orang luar maksudnya membasuh najis (istinja).
PPATAK = bahagian anggota paling bawah. Orang luar selalu menyangka 'pantat'

JEBO = botol : bermaksud 'punggung' pada orang luar
NYO KOTE : kelapa tua (yg tak berair). Bermaksud kemaluan lelaki pada orang luar

 

Sekian dari saya.

Silakan ke Kelantan untuk menghayatinya sendiri.

 

Malaysia belum sepenuhnya MERDEKA

Menjelang cuti hari ulang tahun (hut) kemerdekaan Negara yang ke-49, saya sempat berlibur di beberapa kawasan di bandaraya Kuala Lumpur.  Lokasi pertama, saya habiskan waktu pagi dengan melawat ke Taman Burung Tertutup Kuala Lumpur. Inilah kali pertama saya melawat taman ini sepanjang 4 tahun berhijrah ke ibu negara.
Sesuai dengan motto "Mengantarabangsakan Kuala lumpur" Taman burung ini dilihat bersepadan dan menepati kreteria yang digariskan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur yang baru. Rata-rata pengunjung yang melawat taman ini (hari ini) terdiri dari pelancong asing yang kebanyakannya dari Eropah dan Asia Barat. Saya sempat berbual dengan seorang pelancong Arab yang katanya amat teruja (excited) melawat Taman Burung Tertutup yang dikatakan terbesar di dunia ini (largest covered bird park).
Ramai peniaga jalanan mengambil peluang cuti umum ini untuk menjual cenderahati hasil kerjatangan mereka di kawasan taman. Seorang daripada mereka telah sering saya lihat menjual lukisan diwaktu malam di satu sudut tepi di Sungei Wang Plaza. Tertarik dengan karyanya, saya menempah selembaran kertas darinya untuk ditulis nama saya sekreatif yang mungkin. Hasilnya tidak menghampakan. Saya lantas bertanyakan upah atas khidmatnya itu. Dijawabnya "Lua Pooloo". Sejurus menjelaskan RM20 seperti diminta, saya terpandang sekumpulan pelancong Jepun yang rupanya sejak awal merakamkan aksi semasa peniaga itu sedang menulis nama saya.
Selepas rakamannya diketahui, mereka dengan segera meminta izin dari peniaga itu untuk menyambung rakaman seterusnya.  Saya sempat mengingati jawapan peniaga itu ketika memberi izin: "Okay, Okay, no problem. You Japanese ah?" Pertanyaan itu segera dijawab pelancong Jepun terbabit "Yes, I'm Japanese. And You?"  Soalan ini disambut  bangga oleh peniaga tersebut "I'm Chinese". Saya yang berada disitu terkejut bercampur sedih dengan jawapan yang diberikan. Malang sekali setelah 49 tahun merdeka, masih ada warganegara yang gagal menyebut "I'm Malaysian". 
Dengan keupayaan bahasa Melayu yang terhad  dan  katahati yang masih mengaku 'saya orang Cina' , saya malu melihat peniaga itu. 
Menjelang tengahari, saya panjangkan liburan hari ini ke sebuah pusat beli-belah di pusat bandaraya. Ketika sampai, saya terlihat satu permainan yang dibuka untuk pengunjung pusat tersebut. Dari soalan yang diajukan, saya pasti permainan itu khas untuk rakyat Malaysia yang menyambut hut kemerdekaan. Semua soalan berkisar tentang sejarah negara dan pemimpin-pemimpin terdahulu. Saya perhatikan semua pesertanya terdiri dari warga Malaysia sendiri. Apa yang menyedihkan, pertandingan yang dijalankan dalam bahasa Melayu pada awalnya bertukar ke bahasa Inggeris sepenuhnya semata-mata kerana ada peserta yang tidak fasih menjawab dalam bahasa kebangsaan itu. Sekali lagi terbit perasaan marah dalam hati lebih-lebih lagi pada ulang tahun hari yang bersejarah ini.
Dalam mood yang mula merundum,  saya pulang semula ke rumah. Hari yang sepatutnya indah rupanya berterusan duka. Saya tercari-cari apa maksud kemerdakaan yang sebenarnya diimpikan oleh pejuang-pejuang terdahulu semenjak negara dijajah pada 1511. Dan setelah ratusan tahun berjuang mempertahankan Tanah Melayu, akhirnya kemerdekaan ini 'dikongsi bersama' dan orang Melayu dijanji hak ketuanan, bahasa, agama dan isitadatnya terpelihara. Padahal tergadai.
Belum sampai sebulan hati ini 'dilukai' oleh kata-kata hina dari Syarifah Amani, pelakon Melayu yang tidak sedar diri; yang berbunyi "i sound stupid when i speak Malay", kini terluka lagi. Dan petang tadi ketika menonton rancangan Muzik-muzik di TV3, ia tercalar lagi bila rancangan berbahasa Melayu itu bertukar bahasa apabila pengacaranya Chyril Samad menemuramah sebuah kumpulan muzik lama yang terdiri dari masyarakat keturunan India dalam bahasa Inggeris. Nampak seolah-olah pengacara berketurunan Melayu itu mahu menunjuk-nunjuk akan kefasihan bahasa Inggerisnya sedangkan orang yang ditemuramah begitu fasih berbasa Melayu.
Saya terfikir lagi: Apa yang akan jadi pada Malaysia nanti?

Singa Pura-pura

Singa pura-pura

Konon sejarah,
Kerana seekor singa
Sebuah pulau bertukar nama  
Dari Temasik menjadi Singapura.

Ah, itu sebenarnya dusta
Kerana tidak ada singa di Nusantara
Kerana tempatnya di Afrika

Ini mungkin satu kiasan
Atau ramalan karyawan silam
Untuk mungkin nanti
Singapura menjadi sebuah negeri
Yang asing di Nusantara

Pandai kau berpura-pura
Dari Temasik ke Singapura
Negeri Singa bertaring dua
Habis rosak susu sebelanga

Nusantara bukan tempatmu
Egomu dan sombongmu bagai singa
yang gah kononnya gagah
Sedang kami hanya pelanduk
berteduh di pohon melaka

Kau asing
Kau bukan Nusantara
Kau mungkin dari Afrika atau Timur Asia
Tempatmu bukan disini.

Bertaring mulut ternganga
meludah air liur ke muka kami
Tercemar Selat Tebrau
Hanyir Pantai Lido

Kami Melayu tersalah sangka
Kau Temasik.
Bumi Sri Paduka Maharaja.
Milik Sultan Iskandar

Mungkin kau lupa sejarah dulu.
Wakil Temagi pernah kami cincang
Jangan cuba kau ulang
Belajarlah dengan dalam
Ingat keturunan silam
Jangan berani tunjuk belang

Tapi kau singa.
Sanggup makan anak sendiri
Tatkala berebut induk
Kau tidak akan tunduk

Minumlah kau air hanyir
dari liurmu bercampur keringat kami
Batu Putih sudah hitam
Udara bersih sudah kelam
Laut cantik sudah dalam
Kau korek dalam diam
Nelayan kami memukat minyak hitam.

Dideklamasikan sempena
USMalumni.
Pulau Pinang 2006

Menjejak Asal-usul Melayu di Semenanjung Malaysia

Judul diatas adalah satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia yang dimulakan sejak Januari 2006. Saya rasa menarik sekali judul ini kerana bertepatan dengan jiwa saya yang meminati bidang ethnology. Lebih-lebih lagi bersangkutan dengan dunia MELAYU. Saya rasa jiwa saya sangat kental dengan semangat KeMELAYUan. Dibawah adalah sedikit dari data kajian yang diperolehi seperti disiarkan akhbar (koran) Berita Mingguan.

Kajian ini cuba membuktikan beberapa perkara iaitu: Benarkah Melayu Kelantan adalah kumpulan Melayu pertama yang mendiami Semenanjung? Adakah orang Melayu asli berkulit sawo matang, rambut ikal, mata kecil dan mempunyai rahang yang kecil? Benarkah kerana perkahwinan campur menyebabkan tidak ada lagi Melayu asli di Semenanjung?

Hasil awal yang diperolehi mencadangkan suku Melayu Kelantan adalah suku Melayu yang masih tulen. Ini kerana Melayu Kelantan masih memelihara keturunan mereka tanpa banyak berlaku perkahwinan campur. Selain itu, suku Melayu Kelantan juga dikatakan suku pertama yang membuat petempatan di Semenanjung.
Kajian mereka mendapati wujudnya kepelbagaian corak DNA yang terdapat dalam Masyarakat Melayu moden hari ini yang mungkin berlaku kerana percampuran dengan orang Arab, Cina, India dan Thai. Ini menyokong fakta sejarah yang pernah menyebut Kerajaan Melayu Melaka satu ketika dulu adalah kerajaan yang gemilang dan kedatangan pedagang dari China, India dan Arab menyebabkan berlakunya perkahwinan campur.

Budaya melayu juga dikatakan ada persamaan dengan suku Naga yang menetap di perbatasan Myanmar/India. Malah melalui ujian DNA, dikatakan ada satu penanda didalamnya yang hanya biasa ditemukan dalam populasi di India.

Dikatakan terdapat 14 sub etnik Melayu yang mendiami Semenanjung iaitu:
i . Melayu Kelantan (Melayu yang masih asli) di Kelantan
ii. Melayu Yunan di Terengganu
iii. Melayu Minang di Negeri Sembilan
iv. Melayu Aceh di Perak
v. Melayu Mandailing di Perak
vi. Melayu Rawa di Perak
vii. Melayu Riau di Johor
viii. Melayu Bugis di Johor
ix. Melayu Kerinci di Selangor
x. Melayu Champa di Perak, Kedah dan Kelantan
xi. Melayu Jawa di Johor dan Selangor
xii. Melayu Jambi di Johor, Selangor dan Perak
xiii. Melayu Batak di Perak dan Pulau Pinang
xiv. Melayu Banjar di Johor, Selangor dan Perak

Lebih menarik, kajian ini membuktikan Orang Asli di Semenanjung bukan tergolong dalam satu keluarga Austronesia dengan orang Melayu. Sebaliknya mereka menyatakan Orang Asli di Semenanjung berasal dari Afrika yang berhijrah sejak 40 ribu tahun dahulu ke Semenanjung dan seterusnya ke Papua New Guinea (pulau-pulau Polynesia) dan Australia. Bagi saya, dakwaan ini ada benarnya kerana Orang Asli di Semenanjung berambut kerinting dan berkulit gelap persis orang Negro. Bezanya rambut mereka lebih lebat. 

Sama-sama kita menanti hasil kajian ini yang dijangka selesai pada 2008.






Wajah Suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia