بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KRABI - Persona Melayu yang hilang

Nama Krabi baru muncul sebagai destinasi pelancongan popular di selatan Thailand. Cair dengan sekian banyak promosi tentang Krabi, saya bersama seorang rakan sepejabat pun teringin 'nikmati' keindahan yang dapat ditawarkan daerah itu, sebuah persona di wilayah Melayu yang hilang. Tak tahu apa sebabnya, saya rasa kunjungan ke Krabi tak ubah seperti kunjungan ke lokasi pelancongan dalam negara. Pelancong Malaysia sangat dominan, baik di hotel atau restoran muslim, malah di segenap pelosok jalanraya menuju Ban Ao-Nang, lokasi taruhan provinsi Krabi untuk memikat seberapa banyak pelancong. Sepanjang perjalanan ke sana, kenderaan berplat Malaysia jadi raja jalanan. 

tugu terakhir sebelum meninggalkan Malaysia
Ketika ramai warga Malaysia berkenderaan sendiri, saya pilih datang sana naiki bas. Bagaimanapun sampai hari ni belum ada bas yang sediakan khidmat perjalanan langsung dari Kuala Lumpur ke Krabi. Jadi kami harus turun di Hatyai. Tambang perjalanan ialah RM45 sehala. Di Hatyai 'rombongan Malaysia' perlu sambung perjalanan naik van dengan tambahan tambang BHT350. (satu lagi persamaan antara Thailand dengan Indonesia ialah khidmat perjalanan jarak jauh dengan Van yang di Indonesia disebut travel).

Pintu Imigresen Bukit Kayu Hitam
Perjalanan Kuala Lumpur – Krabi ambil masa 12jam. Dekat bukan? Cuma perlu diingat masanya mungkin lebih lama tergantung urusan Imigresen dan masa menunggu di Hatyai. Tak susah dapatkan pengangkutan ke Krabi. Ada banyak agensi pelancongan yang tawarkan khidmat bawa pengunjung.

Kami di sini
Laluan darat ke Krabi  membelah beberapa provinsi lain di selatan. Sehabis Songkhla, perjalanan masuk ke provinsi Patthalung sebelum rentas pergunungan menuju Provinsi Trang di sebelah barat. Saya terfikirkan suatu di sepanjang perjalanan ini - tentang betapa orang Melayu dirugikan bila terlepas separuh wilayahnya di sebelah utara. Kini istilah Semenanjung Melayu yang pernah terpakai satu masa dulu sudah hilang. Semenanjung tu sekarang terpecah tiga, dua darinya berpindah milik ke bangsa Bamar dan Tai. 
Empat jam perjalanan, kami sampai di bandar Krabi. Van berhenti di sebuah agen jualan tiket kerana ada penumpang turun di situ. Sempat juga saya amati bandar Krabi. Beberapa penduduk dilihat boleh berbahasa Melayu, malah ada papantanda niaga ditulis dalam bahasa tercinta itu. 

Bahasa Melayu. 'jiran sebelah, jangan fikir ini bahasa anda'
Beberapa penumpang yang masih tersisa melanjut perjalanan ke Ao-Nang, termasuk kami berdua. Kesan pertama, Ao-Nang saya lihat hanya pekan kecil, kalah jauh berbanding bandar Patong di Phuket. Barangkali ia hanya sebuah kampung yang baru nak berkembang. Malah pantainya sendiri tak lebih cantik dari Port Dickson. Jadi saya berhipotisis, pemasaranlah yang membuat Ao-Nang begitu popular dan bertahap membangun hingga jadi seperti hari ni. Paling menonjol, tempat penginapan bercambah bagai cendawan. Juga tersedia beberapa bank tempatan Thailand dan CIMB Thai, termasuk khidmat menukar wang yang memadai. 
Masjid Ao-Nang
Kami inap di Hotel Good Will berdekatan masjid. Sengaja pilih hotel tu kerana kami fikir mungkin lebih mudah dapatkan makanan halal bila tinggal dekat dengan suatu yang berbau Islam. Rupanya kami salah, di manapun sepanjang jalan di pekan Ao-Nang kami mudah temui restoran halal. Malah pelayannya pun mampu berbahasa Melayu. Dan di semua restoran itu, 99% pengunjungnya dari Malaysia. 



Aneka Restoran Muslim
Pakej pelancongan yang ditawarkan di Ao-Nang tak jauh beza dari pakej lain yang ada di berbagai lokasi tumpuan pelancong di Thailand. Ada pakej redah hutan (jungle tracking), tunggang gajah, pacuan 4 roda, kayak, jelajah pulau dan snorkling. Saya tak minat ikuti semua pakej tu sebab saya pernah laluinya di Koh Samui dan Phuket dulu. Cuma saya terpaksa sekali lagi ambil pakej jelajah pulau dan snorkling kerana harus menemani rakan. Laluannya juga sama seperti pakej serupa yang pernah saya ambil di Phuket dulu. Ke Phi-Phi Lay, Phi Phi Don, Pulau Ayam, mendarat di Pileh Bay mandi manda dan snorkling. 

Snorkling di Pileh Bay, Koh Phi-Phi
Sekali lagi, tak ada aktiviti baru yang bererti kerana semuanya pernah saya lalui. Kecuali satu yang mengesankan, saya lebih fokus kepada penerangan pegawai bertugas tentang pekej yang kami ikuti. Terutama tentang sejarah pemberian nama di semua lokasi singgah. Phi-Phi dapat nama dari kata Api-api, Pileh Bay dari nama teluk yang berbentuk bilik dan lain-lain nama mirip Melayu yang sekali lagi membuat miris rasa hati. 

Makin kerap saya ke Thailand, makin bertambah kosakata bahasa Thai saya.  Makin lama makin saya jelas betapa ciri bahasa-bahasa di Asia saling berkait. Saya dah akrab sebut 'mee' (ada), 'dee' (bagus),  'jep' (sakit), 'sabai' (sedap), 'dai' (boleh), dan 'nang' (duduk), juga beberapa kosakata yang mirip Melayu seperti 'ni' (ni), 'tongni' (sini), 'pai' (pergi), dan 'phasa' (bahasa), dan beberapa kosakata berunsur Cina seperti 'maei' (tak), 'leao' (dah) dan 'au' (mahu) dan sebahagian besar nombor hitungan yang dah lama saya ingat. 

Jika dalam bahasa Thai mereka tanyakan "boleh tak?", sebutan mereka ialah 'dai maei?'. Lihatlah posisi 'maei' di belakang, ia persis struktur bahasa Melayu dan bahasa Mandarin. Jika dalam bahasa Inggeris kita guna struktur yang sama, lafalnya bakal jadi "can not?", tentu tak akan ada siapa akan faham kerana maksudnya dah beza. Dari persamaan yang sekecil ni saja saya berani simpulkan bahawa bahasa-bahasa manusia di sebelah sini berasal dari satu induk bahasa yang sama dan barangkali dari satu turunan manusia yang sama. Mungkin benar kerana kita semua turunan dari salah seorang anak Adam yang mewariskan generasinya di sebelah sini. 

nak balik dah!!!
Tak sedar tiga hari saya di Krabi dah berakhir. Sampailah masanya balik semula ke Hatyai dan teruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Sekali lagi kenderaan jarak jauh yang popular di sini ialah van. Tak hanya untuk pelancong, penduduk tempatan juga gunakan khidmat pengangkutan yang sama. Bersama-sama saya ialah beberapa orang kampung yang habis bercuti bersama keluarga masing-masing dan ingin kembali ke Hatyai untuk berkerja, situasi ini sama seperti penduduk luar bandar di Malaysia yang pulang ke bandar demi mencari peluang hidup yang lebih baik. Hatyai jadi salah satu kutub pertumbuhan utama Thailand di sebelah selatan. 

Menghala masuk ke Malaysia, berpusu-pusu warga kita beratur di jalanan untuk kembali ke habitat masing-masing. Jalan yang sesak dari Sadao sampai sampai Changlun merencatkan rancangan saya untuk sampai ke Kuala Lumpur tepat waktu.

MALAYSIA YANG SAYA IMPIKAN.




Hari ini genaplah Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-56.  31 Ogos telah dipilih sebagai tarikh rasmi meski sebenarnya terdapat lagi tarikh berasingan mewakili dua lagi wilayah lain dalam negara ini. Bilapun itu tarikhnya, marilah kita bersatu menjunjung tarikh yang telah kita sepakati. 
  
Saya tak berniat permasalahkan tarikh mana yang wajar kita istihar. Banyak lagi negara lain yang miliki tarikh beza untuk tiap wilayah merdeka dalam negaranya. Lihat saja Indonesia, ketika pengistharan kemerdekaan berlangsung pada tahun 1945, hanya sebahagian Pulau Jawa saja yang bebas dari Belanda. Ketika itu Sumatera masih bergelut, malah wilayah terakhir di sana pun hanya bersatu dibawah republik itu baru tahun 1961. Jadi buat semua warga Malaysia, apapun tarikhnya, perbezaan itu tak wajar dipermasalahkan kerana itu bukan suatu yang luar biasa. Malah bukanlah hal penting buat penentu pembangunan negara. 

Pada tulisan kali ini, saya hanya mahu sentuh tentang penyatuan kita sebagai sebuah negara-bangsa, dan kelangsungan pentadbiran yang baik agar tiap wilayah di Malaysia dapat miliki tingkat kemajuan dan kemakmuran yang sama rata. 

Mungkin sebahagian idea saya dalam artikel ini mengundang marah beberapa kalangan. Tapi percayalah, saya lontarkan pandangan ini semata-mata kerana saya cinta Malaysia. Saya ingin lihat negara yang kita sayangi ini jadi negara yang terus membaik dari semasa ke semasa. 

Sepanjang tahun ini saja sudah berkali-kali kita berdepan masalah berbau SARA (Suku-Ras dan Agama). Hairan bukan, sudah 56 tahun merdeka pun masalah ini tak pernah tuntas. Kalau di negara lain masalah berbau SARA mulai pudar, di negara kita apinya kian marak. Makin menyubur setahun ke setahun. Apa sebabnya? Barangkali ada bahagian yang salah di mana-mana tanpa kita sedari. 

Selama ini, setiap masalah berbau SARA hanya kita tangani seperti menampal bumbung bocor. Percayalah bila sudah banyak kesan bocor, ia akan runtuh dengan sendiri. Jadi dari terus menampal, kenapa tak gantikan saja bumbung bocor itu dengan bumbung yang baru?

Di negara ini, rasa saling curiga antara kaum sudah jadi lumrah. Sekecil manapun rasa itu, ia tetap ada. Inilah kesan amalan pecah dan perintah yang pernah diterapkan sejak zaman penjajah. Malang sekali, amalan itulah yang kita bawa sampai ke hari ini. Kini 'amalan songsang’ yang kita anuti itu sudah berhasil menjadikan negara kita kelihatan ‘unik’.  Sebuah negara membangun paling jaya tapi sulit dikenal kerana tak punya jati diri. Negara yang tak jelas apakah bahasanya kerana tiap bahasa yang ada dilayan sama rata. Tak jelas berasaskan ras apa kerana tiap ras menonjolkan identiti mereka sendiri-sendiri. Jika semangat  nasionalisme dinilai dari kemampuan berbahasa Malaysia, bayangkan berapa ramai yang akan gagal dalam ujian itu. Jika bahasa dikatakan melambangkan bangsa, maka hingga ke hari ini masih tak wujud sesuatu yang dinamakan Bangsa Malaysia.  Terasa sia-sia semua slogan yang kita reka selama ini. 

"Satu bangsa, satu bahasa" -  jauh panggang dari api. "1 Malaysia" – kita dah pun terpecah kepada beberapa Malaysia. 

Pada pandangan saya, biar beza agama, bangsa Malaysia hanya harus ada satu. Saya yakin siapapun yang punya rasa nasionalisme, pasti miliki keinginan sejauh itu. Sayangnya negarawan kita masih terkial-kial cari formula perpaduan terbaik buat merealisasikan impiannya. Hasilnya tak satupun yang capai matlamat. 'Bangsa Malaysia' malah makin terpecah-pecah.

Mungkin saya ada formula baru yang boleh kita pakai. Tapi perlu ada kompromi dari tiap wakil kaum supaya setuju korbankan hal-hal yang selama ini mereka pertahankan. Maaf kalau saya salah, saya berpendapat ciri perkauman yang telah kita tekankan keterlaluan selama inilah yang menggagalkan usaha itu, malah sangat membantu menyuburkan polarisasi. Jika Melayu dengan Keistimewaan Melayunya, percayalah Cina dan India akan turut pertahankan sampai mati apapun yang selama ini mereka miliki.
Jika semua kaum miliki aspirasi seperti itu, bagaimana mahu bersatu? Ketika ini pun nasionalisme kita sudah terpecah tiga, padahal kita berkongsi satu negara yang sama.

Jadi, apakah Melayu dan Bumiputra harus korbankan hak istimewa yang mereka pertahankan selama ini? kalau tanya saya, jawabnya ya jika itu perlu. Semua kaum harus dilayan sama rata.
  
Apakah Cina dan India harus rela mansuhkan sekolah jenis kebangsaan yang mereka pertahankan selama ini? Jawapan saya juga ya. Itu perlu. Tak ada satu kaum pun yang bertaraf lebih istimewa dari kaum yang lain sampai ada sekolah khusus untuk mereka. 

Tapi saya percaya ia takkan dapat dicapai dengan cara drastik. Malah bakal memperburukkan keadaan jika ia dilakukan tanpa perancangan. Jadi bagaimana jalannya untuk mencapai cita-cita itu? Menurut pandangan saya, kita harus tetapkan satu tarikh. Misalkan kita ambil tahun 2015. Ertinya semua anak-anak Malaysia yang lahir mulai tarikh itu, dan tahun-tahun selepasnya bakal milik hak dan keistimewaan yang sama rata, tak kira apapun rasnya. 

Mulai tarikh yang sama juga, semua sekolah berasaskan kaum harus termansuh tanpa kecuali. Yang wajib ada hanya satu sekolah untuk semua. Satu sekolah yang mengajarkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Nasional, bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa-bahasa kaum lain seperti Mandarin, Tamil, Arab, Kantonis, Iban, Kadazan, Thai, Hokkien atau lain-lain sebagai pilihan bahasa ketiga. Tak kira itu sekolah kerajaan atau sekolah persendirian.

Penetapan tarikh ini bererti sistem baru yang kita guna ini hanya akan matang mulai tahun 2039 ketika generasi pertama selepas perlaksanaannya mencapai usia 21 tahun – usia layak mengundi. Bererti generasi terdulu yang lahir sebelum 2015 masih terikat dengan sistem lama selama-lamanya. 

Jadi apakah Cina dan India yang lahir mulai tahun 2015 boleh jadi Perdana Menteri satu hari nanti? Jawab saya boleh, kerana pada ketika itu tak ada lagi istilah aku Melayu, kau Cina dan dia India. Yang ada hanya satu bangsa Malaysia yang padu.  Bagaimanapun ia tetap terikat pada perlembagaan yang telah disepakati: Ketua Negara harus beragama Islam, sistem Raja berperlembagaan dipertahankan dan Bahasa Melayu diakui satu-satunya bahasa rasmi.

Keluar dari persoalan bangsa, saya juga berharap pentadbiran Malaysia diperkemaskan. Mengingat geografi Malaysia terdiri dari bahagian timur dan barat yang ketika ini miliki tingkat pembangunan yang tidak seragam.
Saya impikan semoga satu hari nanti Sabah dan Sarawak dapat dibahagikan kepada beberapa unit yang lebih kecil bertaraf negeri. Ini juga sesuai seperti dalam Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 yang menyebut Sabah dan Sarawak sebagai 'negara' dalam Persekutuan Malaysia yang baru. Perjanjian ini secara tersirat bermaksud pembentukan Malaysia ialah penggabungan antara Negara Malaya, Negara Sabah dan Negara Sarawak (dan Singapura yang dikeluarkan kemudiannya).  

Penggabungan negara-negara ini membentuk sebuah negara baru yang diberi nama Malaysia.  Sejurus pembentukan ini, secara tersirat juga bererti Malaya, Sabah dan Sarawak yang sebelumnya bertaraf negara, berubah hierarki menjadi Wilayah yang di dalamnya bergabung beberapa negeri.

Cadangan ini juga sesuai jika dilihat dari aspek sejarah. Ketika penjajahan British di Tanah Melayu, pentadbiran dipecahkan ke beberapa unit-unit yang lebih kecil melalui beberapa residen yang dilantik mengetuai negeri-negeri (dalam bahasa halus mereka menyebut residen sebagai penasihat Sultan).  Hal yang sama juga berlaku di Sarawak samaada ketika pemerintahan Rajah Brooke atau Kerajaan British dan di Sabah ketika dibawah Syarikat British Borneo. Mereka juga membahagikan pentadbiran di sana melalui unit-unit yang lebih kecil yang dipanggil residensi  dimana setiap satu diketuai seorang residen.

Jika hal ini jadi kenyataan, bererti Persekutuan Malaysia itu nanti bakal terdiri dari: 1) Wilayah Semenanjung yang mengandungi 11 buah negeri , 2) Wilayah Sabah yang terdiri dari lima buah negeri (merujuk lima bahagian yang terdapat di Sabah ketika ini), 3) Wilayah Sarawak yang mengandungi tujuh buah negeri (merujuk bahagian-bahagian teawal yang wujud ketika Sarawak mula bergabung membentuk persekutuan Malaysia), dan 4) Tiga Wilayah Persekutuan yang diperintah langsung oleh Kerajaan Pusat.

Kenapa pembahagian unit-unit yang lebih kecil di Sabah dan Sarawak ini harus terjadi?

Sabah dan Sarawak ini bila digabung, luasnya jadi jauh lebih besar dari Semenanjung. Sayangnya ketika ini Sabah dan Sarawak hanya dapat dua bahagian dari peruntukan yang disalur oleh pusat. Jumlah ini tak sepadan berbanding luas Semenanjung yang jauh lebih kecil tapi mendapat 11 bahagian.  

Sabah dan Sarawak juga masing-masing hanya dapat 5% setiap satu untuk royalti hasil minyak untuk diguna bagi membangun kawasan yang begitu luas. Padahal di Semenanjung setiap negeri pengeluar Minyak dapat royalti yang sama banyak untuk diagih ke kawasan yang jauh lebih kecil.  

Terakhir, cuba bayangkan seorang guru di pedalaman Gua Musang di Kelantan yang harus hadiri mesyuarat pendidikan peringkat negeri. Dia hanya perlu ke Kota Bharu yang jaraknya lebih kurang 100KM. Bayangkan pula seorang guru di pedalaman Bario, di sana dia perlu terbang sejauh hampir 1000KM ke Kuching semata-mata mahu hadiri mesyuarat peringkat yang sama. 

Inilah dua perkara pokok tentang idea saya. Hanya sekadar berkongsi pandangan dan sama-sama ingin menyumbang ke arah Malaysia yang lebih baik. Salam dari saya, selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-56.

Pulau Krismas dan Cocos dalam Sejarah Malaysia.


Ada yang tahu lokasi Pulau Krismas dan Pulau Cocos, Wilayah Samudera India Australia? 

Di mana itu?

Baiklah, dalam bahasa Inggeris, wilayah ini diberi nama Australia's Indian Ocean Territory, satu wilayah kepulauan yang merangkumi Pulau Cocos dan Pulau Krismas yang geografinya lebih dekat dengan alam Melayu. Penduduknya juga terdiri dari orang-orang ras Melayu dan beragama Islam. 

Wilayah luar Australia ini terletak 350KM dari pantai selatan Pulau Jawa, 1500KM dari Johor dan sejauh 3000KM dari pantai terdekat di tanah besar Australia. Melihat sisi geografi, tidakkah andai heran bagaimana wilayah yang secara fizik dan sosial lebih dekat dengan alam Melayu ini boleh terlepas ke tangan ras bukan Melayu?. Apakah gerangan sejarah yang terjadi sampai kedua pulau ini kini jadi sebahagian wilayah Australia, sebuah negara Eropah di Asia? Mari kita kaji.

Antara kedua-dua pulau ini, Pulau Cocos terletak paling jauh, lebih ke tengah di Samudera India, dan lebih dulu dihuni oleh orang Betawi dari Banten. Malah pusat pentadbiran pulau ini juga miliki nama yang hampir sama, Kampung Bantam. Dalam bahasa Melayu dialek Cocos, Pulau ini dinamai Pulau Kileng (Keeling), sayangnya tak terdapat bahan yang boleh dirujuk tentang asal-usul nama keling. Bagaimanapun orang Pulau Cocos satu masa dulu memanggil duit yang mereka gunakan sebagai rupee, jadi mungkin ada kaitan dengan India. Apakah orang Cocos yang bersusur galur dari Banten (Jawa) itu boleh dianggap Melayu? Ya. Sekarang mereka mengaku mereka adalah orang Melayu Cocos, dan bahasa mereka dipanggl bahasa Melayu Cocos. 

Dalam perlembagaan Australia, terdaftar satu kumpulan etnik yang dipanggil 'Melayu'. Mereka yang menghuni di dua pulau inilah yang melahirkan generasi Melayu Australia seperti yang ada pada hari ini, malah bahasa Melayu diajarkan sebagai bahasa kedua di kedua pulau ini. Lebih bangga, Malaysia miliki reputasi baik hinggakan siaran TV dari Malaysia dibenarkan bersiaran melalui satelit TV di sana.

Pulau Krismas yang terkenal dengan ketam merah pula, jauh lebih muda. Setelah berdekad Pulau Krismas dibiar terlantar di tengah lautan, terpencil dan disisihkan, barulah ia disapa kumpulan pelayar British dan Belanda pada abad ke-7. Waktu itu, pelayar dari syarikat East India Ship Company menamakan pulau tersebut sebagai Krismas sempana ketibaan beliau pada Hari Krismas, 25 Disember 1643.

Sejarah kemasukan Pulau Krismas dalam peta penjajahan British bermula bila seorang pengkaji alam dari England menyerahkan laporan kajiannya tentang kepelbagaian hasil alam yang ada di sana. Dia kemudian menggesa kerajaan Inggeris menakluk seluruh pulau seluas 135 kilometer persegi itu pada tahun 1888. Cengkaman British ke atas Pulau Krismas makin jelas setelah seorang pelombong British yang tinggal di Pulau Cocos membuka satu petempatan kecil sementara di Flying Fish Cove, untuk memudahkan memungut galian fosfat bagi keperluan perusahaannya yang makin maju di Pulau Cocos. Petempatan sementara ini menempatkan tawanan British yang berasal dari Tanah Melayu dan China. 

Pulau Cocos dan Pulau Krismas kemudiannya diletakkan dibawah pentadbiran Negeri-negeri Selat bersama-sama Singapura, Pulau Pinang, Melaka dan Labuan. dan ditakbir secara bersama dengan Perusuhjaya Fosfat British sehingga tahun 1942.

Pemerintahan Negeri-negeri Selat ke atas Pulau Cocos dan Krismas berakhir selepas pendudukan Jepun. Ketika Jepun menyerah kalah, kedua pulau ini ditadbir oleh Pemerintah Junta British untuk Malaya dan Singapura. Selepas kemerdekaan Malaya pada 1957, kedaulatan kedua-dua pulau ini tergabung menjadi sebahagian dari Singapura yang ketika itu menjadi negeri naungan Ratu British. Akhirnya pada tahun 1958 barulah ia diserahkan kepada Australia atas permintaan kerajaan Australia sendiri. Australia membayar £2.9 juta kepada Singapura sebagai pampasan berdasarkan nilai pasaran mineral fosfat di sana.

Pada tahun 1968, pentadbiran kedua pulau ini dikelola oelh seorang pentadbir, namun mulai tahun 1997 Pulau Krismas dan Pulau Cocos disatukan ke dalam satu wilayah yang sama yang dipanggil Australia's Indian Ocean Territories, diketuai seorang pegawai daerah yang berpusat di Pulau Krismas.

Kedua pulau ini mula menerima kedatangan pendatang luar yang menggunakan bot tradisional dan perahu nelayan pada tahun-tahun 1980an hingga 1990an terutama dari Indonesia. Semenjak tahun 2001, pulau ini jadi sasaran pencari suaka ke Australia dari timur tengah. 


SEMINGGU DI PERKAMPUNGAN BAJAU

Dibawah ini ialah sebahagian foto kenangan saya ketika melawat sebuah perkampungan Bajau di Sandakan, Sabah tempohari.  Sebahagian aktiviti yang saya lakukan ketika di sana ialah ikut memukat di Teluk Sandakan. Ceritanya ada di sini.

Saksikan.

Bergambar dengan para 'nelayan'
pamer diri
pertama kali turun ke laut
melabuh pukat
panjat kelapa di pulau terdekat
tak rasa gayat






 
hasilnya
pulang ke Batu Sapi, Sandakan
kenangan
sampai tanah besar

AKSARA KHMER - BERBAHASA MELAYU


Aksara Khmer adalah modifikasi huruf Palawa yang berasal dari India, seperti aksara Thai, Lao, Jawa, Melayu dan Tagalog kuno. Persamaan ini dapat anda lihat pada beberapa huruf yang sama bentuk dan lafalnya. Seperti huruf 'រ' (ra), 'ស' (sa) dan 'ម' (ma). Namun ketika ini hanya aksara Khmer, Thai dan Lao saja yang masih dilestarikan. Sedangkan bahasa Melayu, Jawa dan Tagalog beralih ke huruf jawi dan dan seterusnya ke huruf rumi dalam sistem penulisan masing-masing.

Semua bahasa bertulis yang menggunakan aksara Palawa ditulis dari kiri ke kanan tanpa langkau. Khusus aksara Khmer, ada 33 konsonen berhuruf, satu huruf vokal 'ា' (bunyi: A) dan 23 simbul untuk bunyi vokal dan diftong. Setiap nama huruf berakhir dengan bunyi hidup, contohnya huruf Gga, Kha, Ga, Ka dan Nya. Hal ini menyebabkan perkataan yang berakhir dengan bunyi konsonan seperti kata 'Kla' (bererti suatu) dari gabungan huruf Ka (ខ) dan La (ល) harus ditambah simbul mati ':' menjadi 'kla(h)'.

Satu lagi ciri huruf Khmer ialah, terdapat banyak bunyi yang seakan-akan sama. Di antara bunyi "d" dan "t" ada empat lagi bunyi lain di tengah-tengah. Di antara bunyi "b" dan "p" ada dua lagi bunyi lain tengah-tengah, di antara bunyi "g" dan "k" ada dua lagi bunyi lain di tengah-tengah dan di celah-celah bunyi "c" dan "j" ada dua lagi bunyi lain di tengah-tengah. Cuma pada pendengaran penutur bukan Khmer, bunyi itu kelihatan sama.

Di bawah ini saya senaraikan sebahagian konsonan dan simbul vokal Khmer yang sudah saya suaikan dengan telinga kita. Gabungan konsonan dan simbul ini dapat diadun hingga membentuk sebuah teks berbahasa Melayu. Malah saya dapati ia lebih mudah berbanding memakai huruf rumi, terutama bagi menjelaskan bunyi vokal. Kita boleh menulis teks Melayu tak kira apapun dialeknya. Contohnya, sebutan e dapat dibezakan bunyinya dengan memakai tiga simbol mewakili bunyi e-pepet, e-taling dan e-taling-tarung.


 









 




- istana cerita :)