بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Menjelang Aidilfitri: Surat Terbuka untuk DBKL

Salam sejahtera buat Pengurusan DBKL.
 
Tahun ini tentunya sangat bermakna kepada majoriti warga Malaysia kerana kebetulan tarikh Hari Raya Aidilfitri dan ulangtahun kemerdekaan negara jatuh bersamaan. Sambil membuat persiapan Raya, ramai warga kota tidak ketinggalan turut kibarkan Jalur Gemilang. Iklan-iklan korporat di TV juga turut sama membuat ucapan serentak untuk kedua perayaan terbesar di negara kita ini. Dari iklan motif Baju Melayu corak Jalur Gemilang sampailah iklan anak bulan Syawal dari bulan sabit bendera Malaysia. Pendek kata, iklan korporat sangat bijak menyelami perasaan warga Malaysia yang sedang girang sambut kemenangan berganda yang jarang-jarang berlaku di negara kita ini.

Cuma sayang, perasaan warga Malaysia yang sedang girang ini sangat sedikit diterjemahkan oleh DBKL. Nyaris tidak ada alu-aluan secara materi di pinggir-pinggir jalan khasnya di pusat bandar. Tidak seperti beberapa tahun lalu, Kuala Lumpur pasti bermandi cahaya dengan lampu kelap-kelip motif ketupat, malah turut digantung sepanduk berucap selamat melintang jalan. Tidak ketinggalan, bunting tiang lampu akan dipasang bagi meraikan hari yang mulia ini bersama-sama warganya.

Tapi pada tahun ini, ketika kita meraikan kemenangan berganda, DBKL memilih diam. Tidak sedikitpun menzahirkan ucap selamat kepada warganya. Jalan-jalan tidak dicahayakan melainkan dari cahaya biasa. Malah Bangunan DBKL sendiri kelihatan malap. Hal ini amat mengecewakan.

Mujurlah dekorasi raya dapat dilihat di premis persendirian di sekitar pusat bandar (itupun bilangannya boleh dihitung). Dan mujurlah Jalan Tunku Abdul Rahman masih meriah seperti tahun sebelum. Kalau tidak ada kedua faktor ini, Kuala Lumpur kelihatan sama saja seperti hari biasa.

Dengan penuh yakin, saya percaya hal ini tidak akan terjadi menjelang sambutan Tahun Baru Cina nanti. Jika hal ini demikian, barangkali saya perlu semak semula banci terkini penduduk Malaysia. Jangan-jangan pribumi Melayu beragama Islam bukan lagi kaum majoriti di negara ini.

Mohd Fazli bin Abdullah
Pantai Dalam, Kuala Lumpur

5 ulasan:

  1. DBKL itu kepanjangan dari apa fazli..

    BalasPadam
  2. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Pemda-nya KL)

    BalasPadam
  3. Mungkin bajet tidak mencukupi...awak saja saman parking 4-5 tak bayar hahahaha...

    BalasPadam
  4. hahaha... dah lebih 100 dapat saman dari DBKL.

    BalasPadam