بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





BANGKOK - Megah, Beraneka warna

bergambar kenangan di pinggir Menam Chao Praya
Saya mengembara lagi. Kali ini lebih lama, lebih banyak lokasi dan pastinya lebih mencabar. Semoga catatan ini mampu jadi rujukan kepada pengembara lain yang berhasrat lakukan perjalanan serupa. Mengembara ke enam lokasi di dua negara berbeza.  Bermula dari Bangkok, turun ke Ranong, masuk ke Kawthaung (Myanmar), turun lagi ke Suratthani, berhibur di Koh Samui, ke selatan lagi menuju Hadyai sebelum balik semula ke Malaysia. Semuanya dengan kenderaan awam di darat dan laut. Lebih banyak gambar di sini.

Bersama seorang rakan sepejabat, saya mulakan perjalanan sepanjang ini dari Kuala Lumpur pada 23 Disember yang lalu. Kenderaan pilihan kami adalah keretapi. Gagal dapatkan tiket ekspress yang disediakan Keretapi Tanah Melayu (KTM), kami tak putus harap. Ada tiket berhenti-henti disediakan State Railway of Thailand (SRT). Cuma sedikit masalah, trennya berlepas dari Butterworth. Kami terpaksa bergegas ke Butterworth secepat mungkin takut terlepas tren.

Ini Keretapi Nasional Thailand
SRT yang mula berlepas dari Butterworth hanya ada dua gerabak. Kelihatan kontot dan lucu. Sebaik melepasi sempadan Thailand/Malaysia di Padang Besar, gerabaknya ditambah lagi. Ketika berhenti di Hadyai, tempat duduk penumpang diubah jadi katil, dapatlah berehat dan melelapkan mata setelah sejak semalam berjaga. Memasuki Thailand, saya perhatikan di setiap hentian ada ramai penjaja jalanan yang masuk dan menjual pelbagai juadah dalam tren. Cuma belum nampak walau seorang pun penumpang muslim yang membelinya kerana status halal kurang terjamin. Jadi saya hanya beli sesikat pisang.

nyenyak....
Dalam satu gerabak yang sama, ada sepasang suami isteri yang juga akan mengembara. Cuma cabaran yang mereka lalui lebih getir. Tanpa tiket awal, mereka nekad menakluk Chiang Mai. Katanya, mereka hanya ikut kaki melangkah. Naik saja kenderaan yang ada asalkan dapat sampai ke destinasi. Pasangan suami isteri ini kelihatan sangat berpengalaman. Kami banyak dapatkan tips pengembaraan dari mereka.

Kami juga sempat kenal dengan seorang lelaki Melayu yang akan ke Chiang Rai. Menurutnya, dia mahu lihat isterinya yang sejak melahirkan anak tujuh bulan lalu masih belum pulang ke pangkuan. Rupanya lelaki itu mengahwini perempuan warga Thailand yang berasal dari Chiang Rai. 'Oh', macam-macam tujuan orang berjalan. Saya senang kenal mereka. Cuma sedikit bengang bila lihat kerenah segerombolan penumpang  Cina yang kerap buat bising mahukan keselesaan mereka dipenuhi. (sebenarnya di mana-manapun saya sering tak senang dengan Cina). Mujur Cina-cina ini turun di stesen Hua Hin, 3 jam perjalanan sebelum sampai Bangkok.  Para penumpang lain turun di Stasen Bangkok seperti kami, malangnya kami tak bertemu mereka lagi selepas itu.

nikmati pagi dalam SRT, selamat pagi Hua Hin
Di stesen Bangkok, kami bergegas cari kedai makanan Islam. Sudah hampir 24jam kami tak menjamah nasi. Mujur ada kedai makanan islam di sini. Malah ia lengkap dengan surau yang didepannya tertulis perkataan "SEMBAHYANG". Jemaahnya pun berwajah Melayu, saya pasti mereka pendatang dari selatan. Sebaik makan, kami langsung beli tiga peta untuk digunakan sepanjang kembara ini - peta Bangkok, Peta Selatan Thailand dan peta Koh Samui.
Selamat sampai di Stesen Hualamphong

Jika tersalah arah, kembalilah ke sini
Pandangan pertama tentang Bangkok, kota ini seolah-olah cerminan wajah Jakarta. Tidak sulit lihat rumah-rumah penduduk kelas rendah di mana-mana lokasi termasuklah di kolong jambatan. Jika di atas tanah, rumahnya rapat-rapat sampai lebarnya hanya muat sebuah motor. Dan semua kenderaan yang dapat ditemui di Jakarta, dapat saya temui di sini. Ada bajaj yang saingannya Tut-tut. Ada angkot saingannya minibus, ada transJakarta saingan BRT. Malah di Bangkok juga ada ojek yang dipanggil Motorsiat Ban Rang. Cuma Bangkok lebih besar dan maju kerana ada MRT dan Subway. Tapi saya kira pelancong asing yang melawat Bangkok jauh lebih sedikit berbanding Kuala Lumpur. Dari sekian banyak lokasi yang saya lewati, hanya Silom dan Patpong saja yang jadi tumpuan. Itu pun masih kalah dibanding Bukit Bintang.

Singgahlah ke Restoran Malaysia di Lorong Narathiwat 4
Bagi pelancong yang inginkan makanan yang sahih halal, saya sarankan ke Sai Tai. Inilah lokasi tumpuan warga selatan kerana lokasi ini menempatkan stesen bas ekspress, dari atau ke semua wilayah selatan. Jika berdekatan Silom, jangan khuatir kerana ada sebuah restoran Malaysia dibuka disini. Namanya Restoran Cili Padi. Semua pekerjanya boleh berbahasa Melayu – rata-rata dari Patani. Kami sempat singgah solat dan tumpang berehat di bilik sewa mereka. Biarpun mereka warga Thailnd, mereka layan warga Malaysia bagai saudara sendiri. Begitu terasa betapa kuatnya ukhwuah Melayu Malaysia dan Melayu Thailand.

keturunan India di sini hanya mampu berbahasa Thai
Selama di Bangkok barulah saya sedar kalau Thailand juga negara berbilang ras. Malah mereka bangga dengan keragaman ini. Tapi yang paling menonjol, mereka lebih banyak beri tumpuan kepada etnik Melayu Islam. Iklan-iklan berimej Melayu Islam sering menghiasi media. Malah, ada Bank Islam ditubuhkan untuk tujuan kemajuan iktisas masyarakat muslim – iklannya juga menampilkan imej Melayu. Saya berpandangan, hal ini dilakukan bagi memujuk masyarakat Melayu Patani supaya kekal taat kepada negara. Berubah total persepsi saya pada Thailand.

Kalau pergi ke daerah Phahurat, jangan terkejut kalau anda tiba-tiba terasa seperti di Mumbai atau Delhi. Phahurat adalah kawasan mukiman masyarakat keturunan India. Mereka rata-rata berniaga kain dan makanan. Usah cuba bandingkan daerah ini dengan Brickfield di Kuala Lumpur. Keturunan India di Phahurat jauh lebih ramai. Mereka beragama hindu dan sikh (ini terlihat dari kewujudan beberapa kuil dan gurdwara). Kagum saya bagaimana mereka boleh berbahasa Thai seluruhnya, tapi tetap dengan kebudayaan India.

Suatu sudut di kota Bangkok
Thailand seperti juga Malaysia, sedang berhadapan masalah kebanjiran pendatang asing (saya percaya masalah di Malaysia jauh lebih kronik). Selama di sini, setiap kaki melangkah saya sering temui warga Myanmar. Ramainya mereka sama seperti kita lihat warga Indonesia di Malaysia. Beberapa pendatang Myanmar mengaku ada rakannya sedang berkerja di Malaysia. Saya juga sempat bertemu pekerja bawahan warga Nepal dan India di sini. Seperti pandangan majoriti warga Malaysia yang sampai benci lihat pendatang dari negara sebelah, warga Thailand juga sampai benci lihat pendatang Myanmar.

Malaysia bukanlah asing di Thailand. Melihat wajah dan bahasa kami, mereka dengan mudah dapat meneka. Malah kami sering terima sapaan salam dari warga muslim. Ternyata sangat banyak perkara berbau Malaysia yang sempat buat kami bangga. Mobil Proton mudah ditemui. Sama banyaknya dengan kios pam minyak Petronas. Bila kehabisan wang, anda dapat ke ATM CIMB Thai tanpa caj antarabangsa. Cuma yang sulit di sini, warga Thai sangat sedikit yang dapat berbahasa Inggeris. Jadi kami kena hafal beberapa ayat Thai untuk memudahkan urusan. Tak sangka banyak juga kata-kata Thai yang sama dengan bahasa Melayu. kata 'Ini' dan 'Sini' contohnya.

Wat ini terletak di sungai Chao Praya
ini batik Thailand, ada yang berani bakar bendera?
Tak sempurna ke Bangkok kalau tak menyusuri Sungai Chao Praya atau Meanam Chao Phhya dalam sebutan Thailand. Sedikit panduan, jangan ikut pakej pelancongan kerana anda boleh mengupah pengendali bot kecil yang biayanya jauh lebih murah. Malah jauh lebih mencabar. Jika suka berbelanja, singgahlah ke pasar Chathuchak. Ramai penjual makanan eksotik ada di sini. Di pasar ini, ada sebuah kedai yang menjual batik Thailand. Motif batiknya tak ubah seperti batik Malaysia yang banyak unsur flora. Saya tak tahu apa perasaan masyarakat di salah sebuah negara tetangga bila mereka tahu Thailand juga produksi batik. Kalau sampai ketahuan, jangan-jangan bendera Thailand juga mahu dibakar. Saya sempat beli satu batik Thailand buat kenangan dan tanda kalau batik juga boleh ditemui sejauh Bangkok.

7 ulasan:

  1. Pada 2011 , Saya pernah Ke Kawthaung balik Dari perjalanan Ke Sempadan China merentas darat Dari KL dan Laos yang mengambil 2 1/2 hari. Di Kawthaung , Se pat bertemu dengan seorang yang berbangsa Melayu Myanmar yang bertutur dalam Bahasa Melayu Kedah.

    BalasPadam
  2. Ulasan diatas sepatutnya di bawah post perjalanan saudara kei Kawthaung.

    BalasPadam
  3. Terima kasih atas perkongsian cerita Dalam blog ini. Semoga blog ini kekal untuk tatapan pembaca kerana saya mendapati Ada beberapa blog kembara Yang lain telahpun hilang daripada tatapan bacaan Di internet. Semoga blog ini dapat menginspirasikan sesiapa saja Yang ingin mengembara.

    BalasPadam