بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Manisnya Pengalaman di Cappadocia

mukabumi Kappadokiya
Maaf, ini bukan sikual drama Manisnya Cinta Di Cappadocia. Ini hanya sambungan catatan ziarah saya ke Turki dari catatan terdahulu. Baca ceritanya?

Destinasi tujuan hari ini, kami ke Kappodokya (Cappadocia). Saya tak tahu ada apa di sana kecuali belon panas, sebuah pengalaman yang telah saya siapkan rangkanya sebelum sampai sini. Kappadokiya ialah destinasi paling jauh dari seluruh lokasi singgah di negara ini. Ambil masa sembilan jam.

HARI 4 
Belum pun sampai separuh jalan, kami singgah sekejap di Konya - ke Muzium Melvana. Serius saya tak belajar apa-apa di muzium itu. Manusia terlalu ramai. Setiap penerangan tak dapat saya dengar dengan jelas. Alat bantuan dengar dengan gelombang radio pendek pun tak dapat membantu. Saya tak dapat apa-apa selain sekadar membunuh masa. Tambah buruk lagi, stokin saya pula yang hilang sebelah sebaik melangkah keluar. Istimewa di sini, banyak premis tumpuan terapkan amalan buka kasut sebelum masuk. Nasib baik kasut mahal saya masih ada.

Caravansaray di Sultanhani
Sehabis dari muzium, kami ke Caravansaray di kawasan bernama Sultanhani. Ini monumen tinggalan zaman Seljuk - iaitu sebuah pasar tradisional dalam bangunan segiempat. Di dalam bangunan ada laman terbuka. Di situlah ruang dagang bagi saudagar yang singgah sebentar dalam perjalanan mereka antara barat dan timur, dan sebaliknya. Sekeliling laman itu ada ruang khusus untuk simpan barang. Di Sultanhani, suasana perdagangan zaman dulu dihidupkan kembali.

Ruang dalam dilengkapi bilik-bilik
Hampir jam 7.00 malam, baru kami sampai destinasi. Pemandangan berubah. Awalnya perjalanan membelah hutan Mediterranean, masuk pula ke ladang sesame dan gandum, hinggalah sampai ke dataran beralun yang unik. Kappadokya penuh dengan tunggul-tunggul batu yang terluluhawa. Formasi tunggul-tunggul batu itu berbentuk seperti rumpun cendawan. Tunggul yang besar pula ditebuk buat gua, ditingkap-tingkapkan seperti rumah. Sekali pandang seperti sarang anai-anai. Kalau tak diterangkan, mungkin orang sangka ada serangga gergasi tinggal di situ. Saya takjub - sampai taksub.

antara bentuk mukabumi yang kami lalui
kediaman sarang gergasi?
Di Kappadokya, kami nginap di Hotel Kartal. Juga terletak di atas bukit yang ditebuk-tebuk. Sebagaimana malam sebelum, tak ada aktiviti yang disusun untuk kami. Tapi malam ini saya harus berkerja. Terpaksa cari beg pakaian sendiri yang hilang. Entah dihantar ke bilik mana, tak siapapun yang tahu. Lebih malang, tak ada satu pun krew hotel yang faham bahasa Inggeris. Keluh-kesah yang saya sampaikan hanya sia-sia. Mereka hanya tercengang dan kemudian buat don't-know semula. Lagi-lagi bahasa jadi penghalang komunikasi. Lagi-lagi mereka tak tunjukkan rasa tertinggal walaupun tak mampu kuasai 'bahasa antarabangsa'. Yakin saja mereka sambung urusan tanpa tunjuk niat mahu membantu.


ada pengalaman kurang manis di hotel ini
Ketika hati mula mendidih, saya dapat ikhtiar buka aplikasi Google Translate. Saya taipkan ayat 'SAYA HILANG BEG', kemudian saya tukarkan ke bahasa Turki. Lalu saya tunjukkan terjemahan 'Ben çantamı kaybettim' kepada mereka, barulah krew itu nampak kalut dan menggelabah. Satu jam kemudian, beg saya ditemui dalam bilik penghuni lain selepas semua bilik di hotel itu diperiksa satu persatu.  

kedai ais-krim 
HARI 5
Mado ialah kedai ais krim popular yang tak habis-habis dipromosikan si Attila. Pada hari kelima ini barulah promosi Attila itu dapat pancing kami. Berbuku-buku ais krim jenama Mado terjual. Semuanya kami santap di situ juga. Ia memang luar biasa sedap, harganya pun luar biasa mahal. Tapi awas, kedai Ais Krim Mado bukan satu-satunya kedai harga tak patut yang ada di sini. Lebih banyak lagi premis singgah lain yang harganya jauh gila lebih mahal dari ini. 

Kami dulukan destinasi singgah itu ke pusat kraftangan tembikar - saya tak mampu. Kemudian kami ke pusat barang perhiasan permata - saya terliur lihat harga. Terakhir kami ke kilang karpet buatan tangan - saya hanya mampu pegang bulu-bulu tebal nan lembut, sekadar untuk lap habuk yang jatuh dari poket saya yang kosong. Jika saya bawa seribu dollar sekali pun, ia hanya jadi bahan tawa. Jadi cukuplah sekadar cuci mata.

rasanya sedap tau!!
Setelah pulang semula ke Malaysia, baru sedar sebenarnya semua pakej ke Turki, walau ditawar oleh mana-mana agensi, lokasi ziarahnya tetap sama. Itu-itulah juga.

lawatan ke kilang karpet
 lawatan ke kedai permata
kemudian ke kedai tembikar
Pulang dari sesi menipiskan poket, kami ke Panggung Derwish – lihat tarian sufi. Saya teruja, tertarik terpegun dan kagum fikirkan bagaimana persembahan corak Islam itu laris dijual. Dan pembelinya rata-rata pelancong bukan Islam. Malah persembahan yang ditarikan manusia pakaian putih berserban itu sangat terkenal hingga jadi simbul negara Turki. Bagaimana Malaysia? Saya tercari-cari tarian apa yang melambangkan identiti negara.

tarian derwish - salah satu bentuk dakwah
Petang sebelum kembali ke hotel, kami ke Uchisar Citadel. Ini sebuah mock-up 'sarang anai-anai' yang banyak kita lihat di sini. Masuk ke dalam, baru tahu suhu di bawah tanah jauh lebih sejuk dari suhu luar yang dah memang sedia sejuk. Selain jadi tempat tinggal, sarang ini juga terpecah beberapa ruang lain untuk simpan makanan dan bilik ibadat (gereja?). "Seperti inilah tempat tinggal orang Hittite dulu-dulu" terang Attila. 

inilah sarang anai-anai gergasi yg ada di Kappadokya
ruang dalamnya
HARI 6
Awal pagi lagi para rombongan yang ingin naik belon dah dibawa ke tapak perlepasan. Termasuk saya – bersama rakan lain yang dah mulai mesra. Di tapak itu, ada penerangan tentang cara berlepas dan mendarat diberi, sebelum berakhir dengan hidangan sarapan pagi sebuku roti dan secawan kopi. Belon-belon yang sedang dipanaskan kelihatan kembang-kuncup, sama seperti perasaan saya yang dah berdegap-degup. Cahaya api yang menyala menerangkan pagi yang masih gelap. Sekaligus mendedahkan wajah-wajah lain yang malu tapi mahu. Semua kelihatan sabar tapi teruja.

panaskan belon
Dinihari itu, kamilah kumpulan pertama yang terbang ke udara. 22 orang semuanya, 14 dari Malaysia, 5 Australia, 2 New Zealand dan satu dari Thailand. Kami diletak dalam empat bakul berasing, sebelum perlahan-lahan tinggalkan bumi. Semakin lama, segala yang ada di bawah semakin kecil. Daerah yang ajaib ini semakin cantik dari pandangan mata burung. Kini kami terbang - melayang dibawa angin dari satu lokasi ke satu lokasi yang baru, tinggalkan orang-orang di bawah yang hanya mampu dongak langit. Panorama luar biasa indah yang masuk ke mata saya, tak tergambarkan.
  
panorama
dilihat dari atas
indahnya
Selepas lebih sejam, kami mendarat selamat di kawasan ladang. Telah menunggu wakil dari Syarikat Atmosfer Balloons bersama 14 gelas jus anggur halal untuk kami - untuk 14 orang wakil dari Malaysia. Ada lapan lagi gelas berisi alkohol campaign buat tamu bukan Islam yang ikut terbang bersama. Sehabis sesi foto kenangan di depan belon panas yang dah kembali kuncup, kami dianugarahkan sijil. Tapi ia hanya bertulis nama. Bukan sijil penerbangan.

dijamu jus anggur

kami sudah. anda?
Selesai terkagum-kagum di Kapadokya, kami ke Ankara, ibu negara Turki. Perjalanan masih sejauh 400KM ke utara. Tapi baru dua jam berlepas, kami berhenti di Tuz Gölü, sebuah tasik air masin terbesar di tengah-tengah Turki. Saiznya besar sedikit dari keluasan negeri Melaka. Silalah bayangkan.

tasik air masin
Ini satu lagi objek ajaib yang tak ada di Malaysia. Beberapa penduduk sekitar, menjual sejatan air masin itu kepada pelanggan. Kata mereka, ia baik untuk kulit. Saya pun ikut lumurkan kristal garam itu di lengan saya yang dah makin mengelupas. Ternyata memang berhasil.

Sampai Ankara lebih kurang pukul 2 petang. Kami singgah makan dan solat zohor di Ankara Gari, iaitu sebuah stesen keretapi. Sebaik selesai, saya dan seorang rakan sempat beli beberapa buku roti simit dari seorang lelaki tua yang berniaga di warung tolak berdekatan. Memang sudah rezeki. Kami bukan sekadar dapat apa yang kami beli, malah semua sekali simit di situ disedekahkan tanpa perlu bayaran. Suka betul pakcik itu bila tahu kami dari Malaysia.

Makan dan solat di sini.
sebenarnya ia stesen keretapi
Semoga rezeki pakcik penjual simit itu bertambah dan dia dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Sayangnya simit pemberian dia tak sempat kami jamah kerana dilarang Attila.

semua dikaut Attila
Di Ankara, kami dijadualkan ke makam Mustafa Kamal. Sayangnya ditutup sementara kerana ada acara negara. Sebagai buah tangan, saya sempat beli buku berkaitan Ataturk sebagai kenangan. Isinya sungguh membuka mata. Di sebalik sikapnya yang sekular, ada sisi baik dari Ataturk yang patut diambil contoh.

Muzium Peradaban Anatolia
Lokasi kedua, kami ke Muzium Peradaban Anatolia (Anadolu Medeniyetleri Muzesi). Ini sepatutnya jadi lokasi wajib bagi saya sebab saya amat suka sejarah peradaban bangsa. Sayangnya kesuntukan masa, muzium ini hanya dapat saya teroka dalam masa yang singkat. Tapi dapat jugalah kenal sedikit tamadun Hittite, penduduk asal di tanah ini. Mungkin saya harus datang ke sini lagi - dan jelajah sendiri.

Meninggalkan Ankara, kami patut ke Bolu, tapi jadual diubah lagi. Bolu hanya dapat kami singgah sekadar minum petang sebelum sambung perjalanan ke Istanbul.

Istanbul penuh sesak. Malam ini, malam hari pekerja. Kata Attila, ramai orang habiskan cuti di Istanbul dan Eropah. Sesaknya Istanbul membuat perjalanan kami sering tergendala. Hotel Golden Way hanya dapat kami capai menjelang pukul 1 pagi, tiga jam saja sebelum subuh.

segar mata
Hari 7 
Rasa ngantuk hilang saat saya lihat Selat Bosphorus yang cantik dan sibuk. Pelayaran ambil masa dua jam. Pergerakan kapal hanya sepoi-sepoi bahasa. Jadi kedua-dua tebing Istanbul sebelah Eropah dan Asia dapat kami lihat dengan lebih dekat. Ternyata ini memang pengalaman yang sukar saya lupa. Tenyata nikmati Istanbul yang cantik, jauh lebih asyik dari dengar suara Attila yang tak pernah letih. Sesekali terimbau bayangan silam ketika selat ini jadi medan tempur ketika tentera Sultan Muhammad Al-Fatih membedil Constantinople.

Habis selusur Bosphorus, saya seharusnya ikut ke Beyazit Camii, sebelum ke Grand Bazaar ditengah bandar. Tapi saya terlebih leka layan kerenah sendiri sampai terpisah dari rombongan. "Apakah saya tersesat?" Soalan itu saya tanyakan berkali-kali dalam hati. Tapi naluri saya tetap jawab tidak. Saya percaya, saya hanya hilang jejak. Tak sedikit pun ada rasa cemas, apalagi saya mati akal atau buntu untuk fikirkan apa-apa. Malah ketika berjalan mundar-mandir cari rakan pun, saya sempat amati gelagat orang yang lalu-lalang. Ada lucu, ada pelik, ada kagum dan ramai juga yang poyo. Kadang-kadang saya rasa bebas bila bergerak di atas kaki sendiri.

di tengah bandar Istanbul
Sampai ke Hagia Sophia saya cari mereka, namun masih tak jumpa. Kemudian saya balik lagi ke titik akhir tempat kami berkumpul – juga tak ada. Ketika sedang berkira-kira akan balik sendiri ke hotel, saya temui Nazeen, wakil agensi pelancongan yang sedang tercungap-cungap cari saya. 

Terima kasih Nazreen kerana sanggup bersusah-payah. Kalau tak, tentu saya dapat pengalaman yang jauh lebih manis dari itu. 

Meski terlepas ke Beyazit Camii, saya masih sempat cari buah tangan di Grand Bazaar bersama rakan-rakan serombongan. Harga di bazar ini jauh lebih murah dari harga di Kappadokya yang cekik darah.

Hari 8
Ini hari terakhir kami. Istanbul akan kami tinggalkan. Dan segala keunikannya hanya akan jadi kenangan. Hari ini, kami tak lakukan apa-apa selain kemas barang dan bungkus apa yang patut. Tepat jam 12 tengahari, kami ke Landasan Udara Istanbul Ataturk sebelum sambung penerbangan 10 jam berikutnya ke Kuala Lumpur.


gambar kenangan
Terima kasih tak terhingga buat Attila dan pemandu bas kami (saya lupa namanya) kerana setia bersama kami. Juga buat pihak yang terlibat di Andalusia Travel & Tour atas pakej yang menarik ini walaupun masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Tak lupa buat semua rakan-rakan serombongan - semoga ada masa nanti, kita ronda dunia sekali lagi.

- Tunggu catatan berikutnya tentang dapatan saya di Tukri - 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan