بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEMBARA LAOS: Vientiane - Lengang Mendamaikan

Catatan 3 (baca Catatan 2)

Senja terakhir di Luang Prabang. Saya kembali lagi ke Saisamone Guesthouse untuk pulangkan motor yang saya sewa semalaman. Kebetulan, mudah dapat tuk-tuk dari sana untuk ke terminal bas arah selatan, Naluang. Malam ini, saya balik ke Vientiane. Sengaja ambil bas malam sebab yakin tak ada yang nak dilihat lagi sepanjang perjalanan. Duduk dalam bas di sebelah saya ialah Esther. Seorang pelajar perempuan warga Denmark yang mengembara sendiri. Usianya masih muda sekitar 22 tahun. Bayangkan betapa beraninya orang Eropah berjalan sendiri pada usia yang 'masih mentah' mengikut skala umur orang Malaysia. Apalagi dia seorang perempuan. Menurut Esther, biarpun sendiri tapi dia tak rasa sunyi. Di setiap lokasi singgah, pasti ada pengembara lain yang yang boleh dibuat 'kawan kontrak', tak kira dari mana asal mereka. Saya kagum pada kecekalan bangsa ini. Esther turun di Vang Viang, di pertengahan jalan antara Luang Prabang dan Vientiane.

Lagi Foto Di Sini

30 Disember 2013
Vientiane, 8.00 pagi. Bandar ini lebih kecil dari Phnom Penh. Jika ada yang berhajat berbelanja di mall yang mewah, kemudian balik ke hotel naik teksi hawa-dingin seperti di Singapura, Kuala Lumpur atau Bangkok, lupakan saja hajat itu. Vientiane belum mampu penuhi permintaan anda. Bandar ini pada pandangan saya hanya sebesar bandar Kangar, Perlis. Biarpun kecil, tapi secara peribadi saya rasa negara Laos jauh lebih maju dari negara jirannya, Kemboja. Seperti di dua bandar lain yang pernah saya singgah sebelum ini, Pakse dan Luang Prabang, bandar Vientiane juga ini sepi dari hiruk-pikuk trafik. Suhu pagi ini hanya 18◦c. Malamnya lebih 'extrem' lagi sehingga 15◦c. Laos alami iklim Savana Tropika iaitu 3 peralihan musim yang nyata sepanjang tahun. Ketika ini, baru saja masuk musim sejuk-kering dari November hingga Februari. Dua musim lain yang melanda Laos ialah musim panas-lembap dari Jun hingga Oktober dan panas-kering dari Mac hingga Mei. Ketika ini saya dengar di Sa-Pa, sebuah wilayah di utara Vietnam, lebih kurang 500KM dari sini sudah turun salji.

Rumah Tumpangan Mixay, lokasi penginapan saya

Istana Presiden
Saya tempah penginapan untuk seorang di Mixay Guesthouse berharga Kip55,000. Juga menyewa sebuah basikal berharga Kip10,000/hari. Sekali lagi pekedai di sini mudah kenal kalau saya dari Malaysia. Dia lebih berilmu dari yang lain-lain. Beberapa perkataan Melayu keluar dari mulutnya sebagai tanda aluan.

Masjid Jamek Vientiane

Kenal budaya Islam lain dari pelbagai Aliran
Ketika cuba meneroka Vientiane lebih jauh, saya ternampak Masjid Jamek Vientiane tak jauh di belakang Mixay. Ini ialah salah satu dari dua Masjid yang ada di sini. Masjid ini didirikan pendatang Islam India, namun diimarahkan oleh semua penduduk Islam Laos, kebanyakannya pendatang asing warga India dan Bangladesh, beberapa pegawai kedutaan, dan pekerja syarikat asing termasuk dari Malaysia. Imam masjid ini masih keturunan India, tapi semua ahli jawatankuasa yang lain disandang warga Laos asli. Dari masjid ini, saya dapat info tentang perbezaan waktu solat antara penganut fahaman Syaffi'e dan Hanafi. Pendatang India dan Bangladesh menganut fahaman Hanafi, waktu solat mereka sedikit lebih lambat dari kita

Tugu Patuxay

penorama dari Patuxay

satu sudut di bandar Vientiane
Tak lengkap ke Vientiane kalau tidak ke Patuxay, sebuah tugu yang memperingati pejuang pembebasan Komunis Laos dari tunduk di bawah kuasa Parti Komunis Vietnam. Tugu ini nampak kecil dari jauh, tapi sebenarnya setinggi lima tingkat bangunan. Panjat ke puncak menara, kita dapat lihat sebahagian bandar Vientiane. Di dalamnya terdapat beberapa ruang niaga yang menjual cenderahati buat pelawat. Nasihat saya, jangan beli. Harganya tiga kali ganda lebih mahal dari harga pasar.

Stupa emas, Phatat Luang

dengan basikal sewa
Maju lagi ke depan ada satu lagi objek taruhan Vientiane untuk memikat pengunjung. Objek itu ialah Phatat Luang, sebuah stupa emas yang dianggap suci oleh penganut agama buddha. Biarpun kini binaan ini lebih berfungsi sebagai bangunan sejarah, masih ada pengunjung Buddha Theravedda dari Kemboja, Thailand dan Laos yang memuliakannya (menyembahnya). Di persekitaran stupa ini ada dataran luas yang dimeriahkan warga Vientiane untuk pelbagai aktiviti riadah, antaranya para remaja bermain skateboard.

pasar tradisional Solo, di sebelah Thalat Sao Mall

Cari Ole-ole?
Kedai jual cenderahati ada banyak tumbuh di sekitar bandar Vientiane. Terutama di lokasi tumpuan pelancong. Cuma berhati-hatilah, jangan mudah percaya pada harga yang mereka tawarkan. Selain pilihan kurang pelbagai, barang yang dijual juga kelihatan usang. Jadi usahakanlah ke Thalat Sao Mall, (Morning Market Mall) sebuah pasaraya yang terletak di (Jalan) Avenue Lane Xang. Cari lokasi ke sana tak susah, hanya perlu ke bangunan Maybank dan menyeberang jalan. Di sebelah Thalat Sao Mall ada pasar tradisional bernama Solo yang jual cenderamata. Sekali lagi nasihat saya, tetaplah berbelanja di Thapat Sao Mall. Lebih pilihan, lebih baru dan lebih murah.  

Avenue Lane Xang

ruang riadah di Phatat Luang

'The Jewel of Mekong'
Naom Khong, atau Sungai Mekong yang mengalir dari selatan China hingga ke Vietnam lebih banyak membasahi wilayah Laos berbanding negara jiran lain. Ada lima bandar utama di negara ini yang tumbuh di pinggirnya, termasuk Vientiane. Kelebihan yang diperoleh dari sungai ini diabadikan pemerintah Laos dalam moto negaranya 'Permata Mekong' (The Jewel of Mekong). Jadi berkunjung ke bandar ini tak sah kalau tak lihat sungai itu. Di Vientiane, tebing sungai Mekong dihias lebih cantik. Sebahagian besar diolah jadi kawasan riadah dengan taman lanskap dan dataran. Suasana senja di sini lebih meriah dengan kunjungan pelancong yang mahu merakam detik matahari jatuh. Saya tak ketinggalan lakukannya, cuma sayang waktu itu Vientiane sedang musim sejuk, matahari jadi malu-malu nak muncul, sebaliknya cuma menyorok di balik kabus. Di tebing sebelah sana ialah Nongkhai, sebuah wilayah di negara Thailand. Wajah Thailand hanya terlihat sayup-sayup lantaran saiz sungai yang lebar.

di seberang sana ialah Thailand.

sempadan dua negara ini bersambungkan jambatan 

cari arah ke Thailand

keluar-masuk Laos harus bayar tol

1 Januari 2014.
Vientiane saya tinggalkan. Laos kini dalam kenangan. Kembara ini saya lanjutkan ke selatan menuju Nongkhai, bandar di Thailand yang bersempadan dengan Laos di seberang sungai. Ada bas antarabangsa yang sedia khidmat perjalanan ke Nongkhai dari Terminal Bas Vientiane. Tambangnya hanya KIP25,000 atau setara RM10.50. Menarik melalui pintu sempadan ini, kita bakal lalui Jambatan Persahabatan antara Laos dan Thailand yang membelah Sungai Mekong. Untuk keluar dari Laos, bukan sekadar kawalan imigresen yang harus dilepasi, tapi juga palang elektronik yang hanya terbuka bila disentuh kad akses. Kad ini dapat dibeli dengan harga KIP20,000. Sekarang baru saya tahu kalau semua pengunjung yang lakukan perjalanan keluar-masuk Laos harus bayar caj lebih kurang RM7. Jadi teringat saya pernah bayar USD5 ketika masuk ke negara ini dulu melalui sempadan Kemboja. Bererti saya dah bayar jauh lebih mahal dari kadar patut. 


bas penghubung antara Vientiane (La) dan Nongkhai (Th)

Bertemu pendakwah Kristian
Dari Nongkhai, saya ambil bas ekspress menuju Bangkok dengan tambang Baht700 seorang. Duduk di sebelah saya ialah pelancong Amerika dari Hawaii bernama Reaz. Dia juga nak ke Bangkok. Begitu mesra dia menyapa saya sepanjang perjalanan, rupanya dia ada 'muslihat' menyampaikan dakwah agamanya kepada saya. Terima kasih Reaz. Doktrin agamamu yang percaya kepada Tuhan bapa dan anak, tak dapat saya terima. Bagi saya, Tuhan itu esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.


penulis bergambar di batu tanda Nongkhai

tepian Sungai Mekhong di Nongkhai lebih bersih


2 Januari 2014
Selamat sampai di Bangkok menjelang subuh. Belum pun sempat berbuat apa di kotaraya ini, saya terpaksa gerak segera ke Don Mueang untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tak sempat pun 'niknmati' Bangkok. Tapi tak mengapa, ibu negara Thailand ini sudah dua kali saya jelajahi. Apa yang penting, misi menyeberang sempadan darat antara tiga buah negara dalam sekali perjalanan, dah selesai. Malah hampir seluruh pelosok negara Laos sudah saya teroka. Penjelajahan ini melengkapkan pengalaman saya menjelajah ke semua lima negara di Indochina; Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar. Alhamdulillah. Semoga satu saat nanti saya mampu takluk Asia Barat, Selatan dan Tengah pula, malah kalau boleh biarlah sampai Eropah dan Afrika. InsyaAllah. 

9 ulasan:

  1. Assalaamu'alaikum Encik Fazli,


    Melalui pembacaan saya terhadap hasil-hasil tulisan tuan, saya begitu teruja mendengar dan melihat pengalaman yang tuan raih (seakan ingin dirasai juga). Sesungguhnya, saya amat berminat untuk turut serta dalam kembara-kembara tuan akan datang. Saya harap tuan sudi untuk terima saya jadi 'travelling partner' tuan. Mohon maklumbalas drpd tuan ke alamat email saya, espee85@gmail.com. Terima kasih.


    Syed Putra Syed Abu Bakar
    Johor Bahru / Penang

    BalasPadam
  2. Terima kasih En. Syed. InsyaAllah kalau ada rezeki, kita jalan bersama-sama.

    BalasPadam
  3. nice blog, teringin rasanya nak jelajah Laos. keep writing..

    BalasPadam
  4. Nice blog..ada baca dalam novel pasal Luang Prabang... :)

    BalasPadam
  5. Memang menarik....

    Insyallah saya dan isteri akan kesana bulan 11 nie

    Aswade
    http://www.touringcouplerider.blogspot.com/

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum. Mantap betul pengetahuan encik! Banyak yg saya belajar. 2016, and this blog is priceless !! Keep it up broo!

    Teringin nak solo travel/duo travel ke laos tapi saya tak pasti faktor keselamatan mmandangkan tak pernah travel dengan itirenary sendiri/self plan. Ada pendapat tak encik fazli ? Tq !

    BalasPadam
  7. Salam. Kalau tulisan ini di buku kan gerenti sy beli. Tak ada kah rancangan anda untuk menerbitkan pengalaman pengembaraan ini. Kalau anda mau saya ingat tentu ada penerbit buku yg nak sain kontrak dgn anda. Ataupun anda boleh terbitkan sendiri seperti pengembara2 lain yg telah terbitkan dan mereka jual sendiri. Membaca tulisan ini sama macam baca buku travelogue jadi penerbit buku tentu minat menerbitkannya. Teruskan mengembara dan berkarya.

    BalasPadam
  8. Assalam . saya ingin bertanyakan soalan kepada abang. abang kan mengembara dari satu negara ke negara yang lain. adakah abang membeli sim kad dari setiap negara yang abang kunjungi bagi tujuan mengakses ke internet? terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. Awak nak mengembara ke? Pengalaman sy kalau untuk panggilan tel kena pakai sim negara berkenaan sbb kalau pakai yg dari malaysia sangat mahal. Internet (wasap dan fb) pakai quota yg dari malaysia. Maknanya di negara manapun kamu boleh guna wasap dan fb yg kamu pakai di malaysia dinegara manapun berada. Faham kan?

      Padam