بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEMBARA KEMBOJA (Episod 1) - Phnom Penh 1

Peta perjalanan saya menyusuri jalan darat dari Phnom Penh ke Kuala Lumpur

Ini catatan perjalanan solo saya menyusuri jalan darat dari Phnom Penh - ke Kampong Thom - ke Siem Reap -  ke Poipet - ke Aranyaprathet - ke Bangkok - ke Nartathiwat - dan balik semula ke Kuala Lumpur selama kira-kira 10 hari. Perjalanan ini menggunakan angkutan awam darat sepenuhnya sama ada naik bas harian, bas ekspress, van atau keretapi. Siapa kata saya takut mengembara sejauh 3000km seorang diri?

Pengalaman perjalanan ini seolah-olah suatu mimpi. Sukar percaya kalau saya mampu mencabar diri. Saya mulakan catatan pertama ini di Phnom Penh. Selamat membaca.
 
Tugu kebanggaan warga Phnom Penh
Saya tiba di Phnom Penh dengan pesawat AirAsia jam 6.10pagi bersama dapatan info yang sangat terhad, terutama tentang tatacara keluar-masuk sempadan Kemboja-Thailand yang bakal saya lalui nanti. Juga tentang pengangkutan yang bakal saya gunakan, dan tempat penginapan yang bakal saya huni di setiap lokasi singgah. Semuanya tak sempat saya kaji. Semua ini sangat menggerunkan bila difikir-fikir, apalagi saya seorang diri di lokasi yang bukan berbahasa Melayu. Keterlaluan memikirkan hal itu menyebabkan saya tak cukup tidur. Penat tak terkata, mujur saya masih ada semangat.

Bandar Phnom Penh nampak dari Lapagan Terbang
Suasana dalam pesawat membuat rasa gerun saya terubat. Ramai sekali pelancong luar yang ikut menumpang pesawat yang sama, terutama warga Eropah. Sekurang-kurangnya saya bukan satu-satunya orang asing di Kemboja nanti. Ada juga saya temui tiga lelaki Melayu yang akan 'melancong' ke Phnom Penh. Mengetahui saya sendirian, mereka pelawa saya jalan bersama. Satu tawaran yang mungkin boleh dipertimbangkan. Duduk di sebelah saya ialah dua pekerja wanita warga Kemboja yang berkerja di Malaysia, sekali pandang wajah mereka saling tak tumpah seperti wajah-wajah pembantu rumah Indonesia sampai saya tersasul berbahasa Melayu dengan mereka. Padahal mereka hanya faham bahasa Inggeris.

warga Malaysia dapat nyawa tambahan
Phnom Penh 8.10pagi. Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh yang tak berapa besar. Objek pertama yang saya nampak sebaik keluar dari balai ketibaan ialah mesin ATM Maybank, sekaligus memberikan saya satu 'nyawa' tambahan. Pelawaan tiga pemuda Melayu yang tadi mengajak saya telah saya tolak. Cara kami tak sama, mereka melancong sedangkan saya mengembara. Apalagi saya lebih merasa puas kalau dapat 'nikmati' Kemboja seorang diri. Ajakan pekerja wanita Kemboja yang duduk di sebelah saya tadi pun saya tolak. Namanya Von Sompot, dia mahu bawa saya pulang ke Battambang (baca: Battormbong) kalau saya tidak ada tempat khusus untuk dituju.

Lama juga saya termenung seorang diri di luar pos kawalan lapangan terbang sambil merakam foto-foto kenangan. Dalam masa yang sama sempat juga karang status baru di Facebook. Tiba-tiba ada motor penumpang (ojek) berhenti dan tanyakan kalau saya mahu dihantar ke mana-mana, sayangnya dia tak fasih bahasa Inggeris. Mujur dia faham kata 'masjid' dan 'muslim', dua istilah yang selepas ini banyak beri 'mukjizat' selama saya di Kemboja dan Thailand.

Mendengar kata muslim, rupa-rupanya saya di hantar ke sebuah masjid di daerah Boeungkak, padahal saya minta dihantarkan ke hotel yang hidangkan makanan halal. Tapi saya tak bantah, saya melangkah perlahan ke satu bangunan lusuh berdindingkan zink dan lantai playwood untuk melepas lelah dan merebahkan badan sementara. 

Masjid Boeungkak, dibina semula
Alunan azan menyedarkan saya dari tidur yang lena. Ada jemaah menyuruh saya bangun untuk menghormati waktu solat. Rupa-rupanya bangunan tempat saya berehat ini ialah dewan sembahyang sementara bagi menggantikan masjid asal yang dibina semula. "Orang Malaysiakah?". Satu pertanyaan terlontar dalam bahasa yang sangat akrab. Jemaah semakin ramai, sangat tak manis kalau saya sekadar duduk atau terus berlalu pergi. Saya putuskan untuk solat zohor berjemaah bersama-sama makmum lain yang belum pernah saya kenal. 

Selesai solat, lelaki yang tadi menegur saya datang semula, "abang nak ke mana, bang?" Satu pertanyan yang sejujurnya tak mampu saya jawab sebab saya sendiri tak tahu nak ke mana. "Saya dari Malaysia, baru saja sampai, sekarang nak cari hotel" balas saya. Sekelip mata suasananya bertukar. Beberapa jemaah yang sudah melangkah keluar tiba-tiba masuk semula. Masing-masing mahu bertanya kabar, atau sekurang-kurangnya menghulur salam pada orang asing yang datang dari Malaysia, sebuah negara yang sangat mereka kenali. "Saya dulu lahir di Sungai Buluh", kata seorang jemaah remaja. "Saya pernah belajar pondok di Kelantan" kata seorang lagi jemaah lain. "Saya tahu cakap Melayu sikit-sikit", kata seorang lagi dari mereka. Ramai rupanya warga muslim Kemboja yang mampu berbahasa Melayu. Cukup terharu, apa lagi mengetahui nama Malaysia begitu dekat di hati mereka.

Di celah-celah kesusahan ini, ada jemaah telah sudi tawarkan asramanya untuk saya huni. Namanya Ulvy (baca: Alwi) dan Maliki. Mereka ialah pelajar di Universiti Norton, sebuah universiti swasta ternama di Phnom Penh. Saya terima pelawaan mereka dengan besar hati. Sekurang-kurangnya saya dapat berjimat untuk lalui hari-hari seterusnya. Pelawaan seumpama itu tak mungkin saya tolak.

Syurgaku... Inilah rupa asrama pelajar di Kemboja
Seperti apa asrama mereka? Awalnya saya sangkakan asrama ini sama seperti asrama-asrama yang lazim kita lihat di Malaysia. Namun sangkaan saya tersasar. Asrama hunian mereka berdindingkan papan, beratap zink dan lantainya tanah berdebu. Katilnya dari kayu buatan sendiri dan di susun rapat antara satu sama yang lain, tidak ada tilam dan bantai apalagi almari, kipas dan meja belajar. Ada juga satu katil yang sama dikonsi berdua. Keadaan sedaif ini tak terbayangkan di akal.

Untuk saya, mereka bentangkan tikar dan bantal. Rasa mahu mengalir air mata saya lihat kesanggupan mereka. Tetap bermurah hati meski keadaannya tidak seberapa. Teringat saya satu berita di Malaysia beberapa tahun lalu bila ada pelajar sebuah universiti merungut kerana asrama mereka tak ada wifi. Sangat Ironi.

Asrama penginapan mereka disediakan Yayasan Pembangunan Islam Kemboja untuk pelajar-pelajar Islam luar Phnom Penh tak kira dimanapun mereka belajar. Inilah 'hotel mewah' saya untuk malam pertama. Jimat bukan? - (bersambung

7 ulasan:

  1. Terharu sangat dengan kenyataan Ulvy penuntut di sana..Hidup dalam serba kekurangan...

    BalasPadam
  2. Catatan yang manis... seperti membaca novel I Love You, Stupid! ~ Melur Jelita :-)

    BalasPadam
  3. penemuan satu blog perjalanan yang sangat menarik. Tahniah. saya akan ikuti saudara dalam blog ini.

    BalasPadam
  4. Salam, saya kagum dengan pengembara yg mampu mengembara berseorangan menerokai keindahan alam. Berjumpa dengan saudara se-Islam dan Melayu di tanah yang jauh dari kita. Kalau ada kesempatan mahu saja mengembara dengan saudara. Ingin berjumpa dengan orang Melayu yang bertebaran di seluruh dunia. Terutama Melayu di Afrika Selatan (Cape Malay), Sri Lanka (Ja-minissu), Kepulauan Cocos, Burma dan lain-lain.

    BalasPadam
  5. Terima kasih Fahmi. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

    BalasPadam
  6. blog yang menarik dalam banyak banyak blog yang saya baca, tahniah. dapat gambaran suasana disana

    BalasPadam
  7. Mohon maaf Tuan & Puan, kami numpang promotion
    Kami menawarkan Pakej Percutian ke Medan dan Danau Toba
    Lake Tour 04 Hari / 03 Malam MYR 380 ( 10 orang )
    Pakej kami design sangat murah dan berkualitas
    FULL SERVICES
    Hotel 3 Bintang
    Makanan Halal
    Driver humble
    Pemandu Pelancongan professional

    Sila contact Tiara Tours Indonesia
    Jln. Panglima Denai No. 76 Medan, 20227
    Licensed : 503/508.SK/IUP/BPW/MM/2011
    Tel/Fax : +6261 - 733 59 765
    Email : tiaratoursindonesia@gmail.com.
    HP / WA +6281383535091
    HP / WA +6285358982828
    HP / WA +6285762820068

    TERSEDIA LAYANAN SEWA KERETA DAN BUS PERSIARAN
    Toyota Avanza (05 orang ) MYR 155 / Hari
    Suzuki Eritga (05 orang ) MYR 155 / Hari
    Inova Reborn (05 orang ) MYR 175 / hari
    Isuzu Elf (11 orang ) MYR 235 / Hari
    Toyota Hiace (11 orang ) MYR 320 / Hari
    Medium Bus ( 27 orang ) MYR 500 / Hari

    Note :
    HARGA SEWA KERETA SUDAH TERMASUK : DRIVER AND PATROL

    BalasPadam