بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEMBARA KEMBOJA (Episod 4) - Kampong Thom (2)

Jalan masuk ke Kampung Tropeangchuk
Menginjakkan kaki ke kampung orang dengan sendirinya buat kita rasa canggung, apalagi kalau kampung itu berada jauh di bumi asing seperti di Kampung Tropeangchuk, Kompong Thom, Kemboja ini. Inilah catatan keempat saya, sambungan dari Episod 3.

Di mana pun lokasi saya hari ini, hidup harus tetap saya dijalani, dan cabaran harus terus saya tempuhi. Inilah satu-satunya pilihan yang saya ada demi mengejar cita-cita saya yang gila ini. Mengembara dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Melihat cara hidup dan budaya di setiap lokasi singgah, dan amati gerak gerinya, memang satu terapi yang sangat mententeramkan jiwa. Saya berani jamin, jarang ada orang yang dapat pengalaman semahal ini. Harganya tak dapat saya nilaikan dengan matawang mana-mana negara. Mungkin saya antara satu dalam seribu orang yang beruntung kerana berani ambil risiko pada perjalanan yang tak terjangkau di akal sesetengah manusia. Saya kini berada di perkampungan masyarakat Campa di tengah-tengah Negara Kemboja, mengikut Ulvy, rakan yang baru saja saya kenal di Phnom Penh.

Satu pam air yang di sumbangkan individu dari Malaysia
Rumah Ulyv terletak lebih kurang 200meter dari jalanraya. Setentang dengan rumahnya ada sebuah rumah lain yang bentuknya lebih kurang sama. Sebelum sampai di kedua-dua rumah ini pun ada beberapa rumah lain di depannya yang bentuknya juga lebih kurang sama, rumah panggung dari potongan papan yang disusun tegak yang setiap satunya miliki kolong yang tinggi melepasi paras ketinggian manusia.

susunan rumah di Kampung Tropeangchuk
Dari depan jalan masuk, hingga ke hujung jalan kampung, suasananya sama saja. Kedudukan rumah saling berhadap antara satu sama yang lain. Tersusun berjajar di sepanjang jalan seperti mengikut ilmu perancangan. Sayang sedikit, jalan masuk kampung yang tidak berturap merosakkan sedikit susunatur yang cantik ini. Di sini, rekaan rumah kampung tak ubah seperti senibina rumah Melayu di negeri-negeri utara dan pantai timur Semenanjung. Kolong yang tinggi dijadikan ruang menyimpan padi, dan selebihnya jadi kandang tidur haiwan ternak. Rumah Ulvy berbentuk empat persegi. Di dalamnya ada ruang tamu, satu bilik tidur dan dapur. Tandas ada di luar rumah sebelah belakang dan bilik mandi yang berkepung papan separas pinggan ada di laman sebelah kanan. Bekalan air diperoleh dari perigi pam sumbangkan kerajaan Amerika Syarikat. Di setiap rumah lain di kampung ini pun ada perigi yang sama hasil sumbangan dari berbagai negara. Setiap negara penyumbang memasang plak yang dalamnya tertera nama negara penyumbang, tarikh sumbangan, nama penerima dan nombor siri. Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, saya belum temui plak negara lain selain dari Malaysia.

Jentera digunakan untuk melerai padi dari jerami
Penduduk Kampung Tropeangchuk adalah pesawah turun temurun. Kerja-kerja mereka banyak menggunakan tenaga haiwan. Mungkin beginilah cara pesawah di negara kita pada tahun-tahun 70an hingga 80an dulu. Tapi tunggu dulu, dari semua teknologi bertaraf muzium yang mereka pakai, ada sebuah jentera melerai padi cukup maju tersesat di salah sebuah rumah penduduk. Maka berduyun-duyunlah orang kampung datang mencuba memakai mesin ajaib itu. Di negara kita yang kononnya sudah maju, masih ramai yang kekal membanting padi dalam kepuk cara manual.

Ketika di sana, bersimpang siur kereta lembu hilir-mudik mengangkut hasil tanaman. Keluarga Ulvy saja miliki 7 ekor lembu bagi merengankan beban. Waktu malam, lembu-lembu ini 'dikandangkan' di kolong rumah mereka yang tinggi itu.

Makmal komputer ini disumbangkan oleh UMK
Rumah empat persegi yang saya inap ini dihuni lima orang sekeluarga. Ketua keluarga bernama Lors (dibaca: Loh - dari nama Abdulloh) iaitu bapa kepada Ulvy. Ibunya bernama Samihas, abang sulungnya barnama Favzy (baca:Fauzi), adik perempuannya bernama Malita (sudah nikah tapi kini menjanda), dan anak adiknya bernama Notmun Hukeem. Semua mereka hanya faham bahasa Cham dan Khmer, kecuali Favzy yang boleh berbahasa Melayu hasil dua tahun kerja di Kuala Lumpur (kini dia boleh berbahasa Thai setelah pindah kerja di Bangkok). Adik perempuan Ulvy dulunya menikah dengan pemuda sekampung. Tapi mereka berpisah selepas Notmun Hukeem dilahirkan. Menurut Ulvy, anak buanhya itu dinamakan demikian sempena nama seorang pelakon popular dari Malaysia.

Malam itu, rumah ini meriah dengan kedatangan 'tamu' dari jauh. Kami makan malam bersama-sama sambil bercerita menggunakan bahasa isyarat. Namun tetap rancak walau hanya ada komunikasi bisu. Dapat saya rasakan betapa mesranya keluarga ini melayan kunjungan saya.

Pakcik Lors juga seorang tukang besi
Menurut Ulyv, penduduk kampung Tropeangchuk sudah tak tertarik lagi kerja di kampung. Ramai yang sudah pindah ke Phnom Penh untuk bina hidup yang lebih baik, selebihnya sudah hijrah ke Thailand atau Malaysia.  Bila saya tanya kenapa tidak pilih Vietnam, Ulvy lantas jawab "we dont like Vietnam, they destroy our country, Champa. And they kill our people" begitu keluhnya.

Di rumah Ulvy, saya sempat belajar bahasa Cham. Dari ingatan saya, ada sikit persamaan dengan bahasa Cham yang dituturkan di Vietnam. Cuma, saya tak dapat bezakan apakah mereka sekeluarga menuturkan bahasa Khmer atau bahasa Cham kerana di telinga saya, kedua bahasa itu sudah kelihatan sama. Dan memang tekaan saya benar, banyak kosakata Cham yang mereka tuturkan berasal dari bahasa Khmer. Tapi bila disebut satu persatu, masih boleh dijejak kedekatannya dengan bahasa Melayu. Cuma mereka senang memendekkan perkataan Melayu terutama nombor bilangan dan nama haiwan. Orang-orang Cham di sini masih percaya kalau mereka berbangsa Melayu, tapi pemerintah Kemboja, hingga ke hari ini tetap gigih berusaha asimilasikan mereka ke dalam bangsa Khmer. Di Kemboja, mereka dikenali sebagai Khmer Muslim.

Kereta Lembu masih banyak dipakai di sini
Satu hal yang membuat saya kagum selama di sini ialah ketika melihat cara hidup beragama. Di kampung ini, wanita muslim lebih banyak menutup aurat, kontra dengan wanita muslim di Malaysia yang lebih suka buka-buka. Masjid mereka terimarahkan dengan baik tak kira waktu solat, ceramah ataupun untuk kelas pengajian agama. Menurut Ulvy, umat Islam Kemboja sejak tahun 1990an miliki nasib yang lebih baik dari generasi sebelumnnya. Ketika pemerintahan Khmer Rouge, Islam antara agama yang dilarang.

Pendakwah Islam dari luar semakin ramai datang berdakwah ke sini atas usaha sendiri. Ramai pendakwah datang dari Malaysia dan Asia Barat. Namun, masih ada orang Cham Muslim yang terus berpegang pada ajaran Islam ikut-ikutan yang dipadukan dengan ajaran tradisi. Mereka ialah komuniti Islam Bani. Hingga kini, kelompok itu sering jadi sasaran dakwah oleh misionaris Kristian. Selama di sini, saya lihat sendiri sekumpulan misionaris kristian berbangsa Cina dari Singapura yang datang ini untuk memimpin acara gereja kepada penduduk kampung. Menurut orang kampung, misionaris kristian ialah 'virus' nyata yang dapat dilihat tapi tak dapat dibasmi.

Di kampung ini, saya sempat ikut kebiasaan orang kampuang, ke sawah, mandi perigi, menunggang kereta lembu dan makan lauk-pauk masakan khas orang Cham. Sebenarnya tak banyak beza. Malamnya saya tidur di ruang tamu beralaskan tikar mengkuang dan bantal kabu. Tempat tidur saya dipasangkan kelambu seperti kebiasaan orang-orang kampung dulu-dulu. Saya tidur nyenyak sekali, satu persediaan fizikal yang baik untuk saya sambung perjalanan yang masih panjang esok hari. (bersambung)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan