بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





MALAYSIA - INDONESIA - macam-macam perangai....

klik pada gambar untuk imej yang jelas


 
Ini salah satu perang cyber berkenaan hubungan Malaysia dan Indonesia. Kadang-kadang jadi kelakar. Macam-macam perangai dorang nie.
Post ini tidak bermaksud untuk tindakan provokasi. Hanya suka-suka.
 
Selamat Hari Raya - Maaf Zahir dan Batin
 
 
 

SUKU TEMIAR - inilah kepelbagaian kita

Suku Temiar (baca: Temiaa) adalah satu suku asli (aboriginal tribe) yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Temiar merupakan suku terbesar dalam etnik Senoi. Suku-suku lain dalam etnik Senoi adalah Semai, Chewong, Semoq Beri dan Meh Meri. Etnik Senoi merupakan salah satu dari dua kumpulan etnik asli yang bercakap dalam bahasa Aslian, iaitu satu bahasa yang serumpun dengan bahasa-bahasa yang dituturkan di Kemboja (Cambodia), Vietnam dan Laos.

Agak aneh, Semenanjung Malaysia yang secara geografi berada dalam lingkungan Kepulauan Melayu (Malay Arhcipalago), sebuah kawasan yang melahirkan bahasa-bahasa rumpun Melayu-Polinesia boleh mempunyai kumpulan etnik asli yang berbahasa Mon-Khmer yang tidak ada pertalian langsung dengan bahasa-bahasa di Nusantara. Barangkali, keNusantaraan Semenanjung boleh dipertikaikan kerana sehingga kini persoalan siapakah bangsa asal yang mendiami semenanjung belum lagi terjawab? Entahlah. Kajian lanjut mungkin boleh dilakukan.

Di bawah ini saya coretkan beberapa perkataan bahasa Temiar yang saya petik dari sebuah majalah tempatan:

bahasa Malaysia                bahasa Temiar
Mandi                                         Mehmuh
Kantuk (mengantuk)                    Lasenu
Tidur                                           Sengglok
Bohong                                       Belahok
Tahu/faham                                  Elek
Ambil                                          Ekod
Letak                                          Edol
Mari                                            Ewek
Tunggu                                        Epoy
Aku / Saya                                  Yek
Kamu                                          Nyok
Duduk                                         Egel
Bangun                                        Evak
Busuk                                          Se‘eing
Hodoh                                         Laos
Pagi                                             Yehyah
Ya                                               Erk
Anjing                                         Cuak
Makan                                        Cak
Minum                                         Ong
Manis                                          Behey
Pandai / pintar                              Illey
Apa                                             Elok
Berapa                                        Marok

Berikut adalah contoh ayat dalam bahasa Temiar
  1. Elok Gah? (apa khabar?)
  2. Meyj (baik)    
  3. Elok Kanahak (siapa nama?)
  4. Marok Umor ? (berapa umur?) – ‘umor’ mungkin pinjaman dari bahasa Melayu
  5. Yek sayek Nyok (saya sayang kamu)
  6. Yek sayek hak (saya sayang kalian)
  7. Hojja acak? (sudah makankah?)
  8. hojja cak (sudah makan)
  9. hojja ong (sudah minum)
  10. Hojja asluk tao? (sudah beristeri atau belum?)
  11. Hoj mok tao? (Sudah bersuami atau belum?)
Pada pandangan saya yang tidak tahu langsung tentang ilmu kebahasaan, mungkin saya boleh katakan walaupun bahasa mereka jauh berbeza dengan bahasa Melayu, tapi tatabahasanya hampir sama. mungkinkah kerana pengaruh bahasa Melayu yang lebih dominan? Wallahualam!!   hindi ko alam.....

Sumber : majalah Dewan Bahasa; Dewan Bahasa dan Pustaka; Oktober 2007

ANGKASAWAN MALAYSIA - Satu Langkah Pertama

Apa lagi yang dapat dilafazkan selain rasa gembira dan penuh bangga buat dua anak Malaysia ini. Tahniah buat keduanya kerana berjaya menjadi calon Angkawasan Pertama Malaysia (First Malaysian Astronaut) untuk diterbangkan ke stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Cetusan idea mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 satu masa dahulu kini terlaksana. Mimpi yang dulunya sekadar anganan kini jadi kenyataan. Malaysia kini menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang dapat menghantar rakyatnya meneroka ruang cakerawala. Lebih manis, Malaysia juga mampu mendahului Korea Selatan. Selain itu, keberangkatan salah seorang dari mereka ini bakal menjadi pelopor kepada usaha penetapan arah kiblat dan waktu sembahyang (termasuk waktu berbuka puasa) bagi umat islam di angkasa lepas. Sayang sekali, walaupun kedua mereka layak manjadi angkasawan negara, hanya satu yang bakal dihantar ke orbit dari pangkalan di Rusia pada awal Oktober depan.

Satu rancangan di RTM1 pada hari khamis lepas bertajuk Bersama Menteri telah mengulas tentang kejayaan ini. Menurut menteri yang terlibat, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, istilah ‘angkasawan’ kini sudah diterima di seluruh dunia sebagai merujuk astronaut dari Malaysia. Selain ulasan menteri, rancangan ini turut menerima banyak pandangan daripada penonton yang rata-rata menyokong usaha baik ini. Bagaimanapun, saya tertarik dengan pandangan dua penonton terakhir yang antara lain (1) mendakwa kononnya terdapat segelintir cerdik pandai agama yang hanya tahu mengkritik dan (2) Kononnya program ini satu pembaziran kerana Malaysia seharusnya menggunakan kemudahan di negara sendiri bukannya menumpang kemudahan negara lain.

Menjawab kritikan tersebut, menteri bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu bijak mengubah situasi dari isu yang berbau politik (kerana cuba dimainkan pengacara) kepada isu umum yang bersifat natural. Menurut Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, Pandangan kononnya Islam mengajar umatnya agar cukup sekadar percaya kepada kebesaran alam tanpa perlu melihatnya adalah salah sama sekali. Menurutnya, pandangan itu hanya dalil palsu yang dicipta barat untuk menidakkan kemampuan orang Islam. Tambah beliau lagi, tidak perlu ada sesiapa pun berhak rasa membazir terhadap program ini kerana katanya, setiap seribu langkah bermula dengan langkah pertama. Mungkin satu hari nanti angkasawan-angkasawan Malaysia yang bakal muncul selepas ini sudah mampu menggapai bintang menggunakan kapal angkasa milik Malaysia sendiri. Siapa tahu?

Tahniah untuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed

Akibat dibawa masuk ke Malaya, peguam Malaysia saman Britain

Rating:★★★★
Category:Other
Ini adalah sebuah berita yang saya petik dari akhbar Utusan Malaysia, Isnin; 10 September 2007. Dalam laporan tersebut, seorang peguam Malaysia keturunan India telah menyaman kerajaan Britain atas dakwaan kononnya kuasa barat itu telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap komuniti India yang dibawa masuk ke Malaya (kini Malaysia) ketika era penjajahan mereka di Tanah Melayu zaman dahulu.

Peguam keturunan India itu telah menuntut agar kesemua 2 juta masyarakat keturunan India di Malaysia hari ini dibayar pampasan sejuta pound setiap seorang. Peguam itu mendakwa, masyarakat dari selatan India yang telah dibawa masuk dan kemudian dijadikan buruh kontrak di Malaya telah diabaikan kebajikannya oleh british sehingga kuasa barat itu meninggalkan Malaya pada tahun 1957. Peguam itu juga mendakwa, selepas British keluar dari Malaya, nasib masyarakat India ini telah dibiarkan tergantung tidak bertali dan hak-hak mereka tidak dipelihara sewajarnya. Menurut peguam itu lagi, apa yang komuniti India alami zaman British dahulu telah diwarisi hingga ke zaman pemerintahan Malaysia sekarang.

Kata saya: Jika benar seperti apa yang didakwa, kerajaan Britainlah yang harus bertanggungjawab kerana merekalah yang membawa masuk orang India ke Tanah Melayu. Bukan orang Melayu yang meminta orang-orang India itu datang ke mari. Britain juga yang harus bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kekacauan antara kaum kerana inilah negara yang mereka 'ciptakan' dahulu.