بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





PULAU BINTAN: persona dalam rangka - Catatan Pertama

Ini ceritaku, pengalaman kembara Bintan, pulau yang terkenal namanya dalam sejarah Kesultanan Johor. (mungkin kata 'jelajah' belum sesuai saya guna kerana masih banyak lokasi lain di sini yang belum saya teroka). Kenapa saya pilih Bintan? Sebenarnya selain lokasinya dekat, saya juga sedang hadapi situasi sangat tepun dengan pemandangan-pemandangan biasa yang saya lihat hari-hari di Kuala Lumpur. Juga, Bintan miliki sejarah yang boleh saya kupas secara peribadi, dan memang saya sukakan sejarah. Apalagi kalau ia berkait rapat dengan negeri kelahiran saya - Johor.  Silakan membaca.

Saya mulakan perjalanan ke Pulau Bintan naik feri dari jeti Stulang Laut, Johor Bahru. Macam biasa, Setiap
kali melintas batas menuju negara sebelah, warga sanalah yang mendominasi suasana. Saya kira, pelancong dari Malaysia hanyalah sebuah keluarga Melayu, satu kumpulan para bapak berbangsa Cina (tak tau apa tujuan bapak-bapak itu ke Bintan tanpa isteri masing-masing), saya sendirian dan seorang pakcik yang punya dua kerakyatan Malaysia dan Indonesia. Sayang sekali, kembara ke Bintan ditempuh dalam cuaca hujan sepanjang jalan. Kerana taksub lihat pembangunan selat (baca: penambakan laut oleh Singapura), saya gagahkan juga berdiam di ruang atas feri yang tak berbumbung. Sampai basah.

Bintan dapat ditempuh selama 3 Jam dari Johor Bahru. Terasa jauh berbanding jarak sebenar dari hujung pantai Pengerang (Kota Tinggi) ke hujung pantai Lagoi (Bintan). Malah ada rakan yang beritahu kalau cuaca baik, Bintan mudah dilihat dari mata kasar. Pernah juga satu ketika Orang Bintan disumpah muntah darah jika ke Kota Tinggi selama 7 keturunan. Kisah ini masih diceritakan orang sampai sekarang biarpun sumpahan itu dah berakhir.

Bintan, atau dalam sejarah Johor disebut Bentan, miliki  cerita panjang dalam catatan kesultanan Melayu pasca kejatuhan Empayar Melaka. Sebaik dilanggar Portugis, satu kerajaan baru telah dibangun di pesisir Sungai Johor. Inilah kerajaan yang mewarisi kegemilangan Kesultanan Melaka pada masa itu. Kegemilangannya pancar, jajahannya meliputi pulau-pulau di Laut China Selatan (Anambas dan Natuna) sampai ke selatan (Singapura, Batam, Bintan, Tambelan dan Lingga) dan sebahagian kecil pesisir timur Sumatera. (Rokan, Siak,  Kampar dan Inderagiri). Kekuatannya teruji setelah beberapa kali mencuba membebaskan Melaka dari Portugis. Hasil berbelas dan berbalas serangan melawan Portugis, Belanda dan Aceh, Ibukotanya terpaksa dipindah silih berganti dari Johor (Johor Lama, Batu Sawar, Seluyut), Bintan (Kota Piring, Ulu Riau) dan Lingga (Daik). Ada orang yang memanggil kerajaan ini dengan nama Kesultanan Johor, ada yang memanggilnya Kesultanan Riau, ada pula yang memanggil Kesultanan Johor-Riau dan ada yang memanggilnya Riau-Johor. Tergantung nasionalisme. Cuma saya secara peribadi lebih percaya, kerajaan itu dikenal orang namanya dari mana asal kerajaan itu bertapak. Sekarang, Bintan dimiliki Indonesia. Sedang Johor jadi salah sebuah negeri di Malaysia.

Bintan adalah pulau terbesar dalam Provensi Kepulauan Riau, Sebelah utaranya adalah daerah Kota Tinggi di Johor. Sebelah barat adalah Pulau Batam. Di baratlautnya adalah Singapura. Saya sering membandingkan pulau ini dengan pulau kembarnya di barat. Ternyata pulau ini lebih terkebelakang dari Batam. Mungkin  kalah dua kali ganda. Dari cerita seorang teman yang baru saya kenal di sana, banyak perusahan di Bintan telah tutup operasi. Jika Batam telah padat pembangunan ke seluruh pulau, Bintan masih lengan di empat perlima kawasan. Jika Batam jadi tempat himpunan seluruh etnik Indonesia, Bintan masih di dominasi etnik Melayu dan Cina (meski terdapat juga pendatang lain terutama dari Jawa). Jika di Batam banyak rumah dibina rapat-rapat, Perumahan di Bintan kekal dibina satu-satu. Kecuali di Tanjung Pinang yang perumahannya padat bak kampung setinggan. Sama seperti di mana-mana pinggir bandar di wilayah Indonesia yang lain.

Pulau Bintan ini dianugerahkan Tuhan dengan keindahan alam semula jadi yang tak kalah mempesona. Banyak resort dibina di sepanjang pantai utara dan timur pulau ini. Malah alam bawah lautnya juga tak kalah memukau. Cuma barangkali ada yang kurang di sini sampai pulau ini tewas di tangan Phuket, kalah dari Bali dan sangat jauh menyamai Langkawi. Ketika ini, pulau Bintan hanya jadi umpan untuk agen dari Singapura memancing pelancong luar agar terus setia ke negaranya. Banyak tersedia pakej pelancongan Singapura yang menyenaraikan Bintan sebagai lokasi tambahan selain pusing keliling negaranya yang sempit itu. Ketika feri dari Singapura mendarat, berpusu-pusu pelancong Korea, mat selah, Taiwan, Hongkong dan tak kalah dari Singapura sendiri meluru masuk ke sana. Beza sungguh jika dibandingkan dengan feri dari Malaysia yang hanya bawa TKI. Besarnya pengaruh Singapura sampai setiap resort di sana lebih akrab menyebut tarif dalam dollar. Sampai mereka sendiri keliru jika dihulurkan duit rupiah - terpaksa pakai kalkulator untuk cari padanan yang sesuai. Begitu ramainya orang dari Singapura, sampai saya pun disangka dari sana. Dengan bangganya saya menjawab, "Saya ini orang Malaysia, orang Johor. Induknya pulau Bintan 500 tahun yang lalu".

Bintan punya aset tambahan yang seharusnya boleh lebih laku kalau dijual. Pulau ini punya cerita panjang
tentang keagungan kesultanan Melayu. Tak berlebihan kalau dikata ia lebih unik berbanding daerah-daerah
kesultanan Melayu lain yang terdapat di Indonesia. Banyak tinggalan sejarah berupa makam, bekas istana dan jejak-jejak serangan penjajah yang boleh disandarkan. Saat ini, yang terjaga hanya makam bapa pembangunan Bahasa Melayu, Raja Ali Haji; makam bundanya Raja Hamidah,  (atau dikenal orang sebagai Engku Putri) dan lain-lain kerabat kerajaan terdekat, juga terdapat Masjid lama dari putih telur yang dibina pada tahun 1803 oleh Sultan Mahmud Syah III, sultan ke-16 dari senarai Kesultanan Johor (dicatatkan di sana sebagai Sultan Riau) dan beberapa bekas bangunan Kerajaan setelah Riau-Lingga terlepas dari Johor. Dari data yang saya dapat melalui cerita orang kampung, lebih banyak lagi tinggalan sejarah berupa makan-makam dan Istana Kesultanan Johor terabai (diabai?).

Seperti apa masyarakat di Pulau Bintan itu? tentu ramai orang Semenanjung kagum kalau saya beritahu bahawa hubungan kekeluargaan orang Bintan dengan orang Semenanjung sangat rapat seperti rapatnya hubungan kekeluargaan orang Johor dengan Singapura. Atau mungkin seperti orang Kelantan dengan Patani. Mungkin juga seperti orang Timor Barat dengan Timor Leste. Saya kelaskan kedekatan ini kepada dua bahagian. Pertama, kedekatan yang terjalin dikalangan penduduk asli Melayu Bintan sebelum tahun 1950an; dan kedua, kedekatan yang terjalin selepas kukuh sempadan politik kedua negara, iaitu oleh pendatang Indonesia dari wilayah luar yang cari kehidupan lebih baik lalu turut membawa keluarganya pindah ke Bintan malah ada yang langsung hijrah ke Semenanjung. Sepanjang menginap semalaman di Kampung Bukit, tak jauh dari bandar Tanjung Pinang, saya selalu temui orang Melayu Bintan yang mengaku kerabatnya berasal dari Kedah, Jelebu, Mersing, Melaka dan Singapura. Malah ada yang masih ingat seperti apa kampungnya yang dia tinggalkan di sana pada zaman dulu. Saya yakin, kalau dicari susur-galur orang Semenanjung, tentu nanti ada yang mengaku kerabatnya pernah satu ketika berasal dari Bintan. Saya juga temui ramai pendatang Boyan (Bawean) dan Jawa yang berhijrah ke Bintan mengaku kalau ada dua hingga tiga saudaranya telah jadi warga Malaysia.

Saya percaya selepas dari ini, Bintan akan semakin dekat di hati.

(segera muncul - Catatan Kedua)

14 ulasan:

  1. sesungguhnya sejarah itu indah kalau kita menghayatinya
    faz.. sal nak mendalami karya Raja Ali. kesusasteraan melayu yang begitu indah ...

    BalasPadam
  2. Knape tak bilang mau ke Tg. Pinang, kalo tak boleh saya hubungi sahabat disana. Jgn lupa ke Pulau Penyegat. Ke Bintan tak lengkap kalo tak ke Pulau Penyegat : )

    BalasPadam
  3. Sudah..ini masih seri pertama, tunggu aja yang selanjutnya

    BalasPadam
  4. Ayooo En. Jim, awak pun dah lama menghilang tanpa kabar berita. macam mana nak bagi tau. Hmmm, bila agaknya kita dapat jalan sama2.

    BalasPadam
  5. lah kok ilang!! he he...ada tak kemana.
    Nnt suatu hari...kita jalan lebih jauh kebawah. Jumpe Laskar Pelangi : )

    BalasPadam
  6. boleh... pengen sekali ke bangka belitung. Naik apa en jim kalau dari sini?

    BalasPadam
  7. Tg. Pinang tuker lagi ferry nya...

    BalasPadam
  8. Dulu waktu ke KL dr Tanjung Pinang, saya bersama seorang ibu yang bersaudara kandung tapi beda Negara, dia Warga Negara Indonesia sedangkan kakak kandungnya Malaysia (orang Johor)...

    BalasPadam
  9. Begitulah... kekeluargaan tak mengenal batas politik

    BalasPadam
  10. ASSALAM.saya nak tahu transport apa yg boleh kita ambil dr jeti tangjung pinang ke tempat penginapan yang agak jauh contohnya lagoi atau tri kora?

    BalasPadam
  11. Hahahaha sejarah penupu la luuuuu

    BalasPadam