Panorama Alam Kerinci, Jambi, Sumatera |
Kerinci,
anugerah tuhan yang tak terhingga untuk masyarakatnya. Masih suci,
masih sejuk dan tetap sakti.
Ulu Klang; 20hb Dis. 2005.
Perjalanan ke Kerinci saya mulakan dari Kampung Kemensah, Ulu
Klang, Selangor. Saya bersama Alisdi (anak Kerinci yang kebetulan mahu pulang ke kampungnya seperti cerita saya di atas) serta rakan-rakannya Wan, Mad dan
Mail (juga dari Kerinci) telah bersedia seawal jam 5 pagi. Kami
lanjutkan perjalanan ke Hentian
Puduraya sebelum naik bas menuju Melaka. Suasana dalam bas
terasa ganjil. Seumur hidup, inilah pertama kali saya naiki
bas yang di dalamnya penuh warga asing. Dari wajah mereka, saya yakin
semuanya warga
Indonesia. Mereka bicara dalam bahasa-bahasa yang tidak dapat saya
fahami. Serasa seperti sayalah satu-satunya warga Malaysia di dalam bas
ini. Mungkin mereka menuju ke satu destinasi yang sama, turun
di pelabuhan
- naik feri dan pulang ke kampung halaman masing-masing di pulau
seberang.
Penulis bergambar dalam feri menuju Dumai |
Ini sebahagian panorama yang saya lihat di sepanjang jalan |
Dumai; 11.00 Pagi (WIB). (12.00 tengah hari waktu Malaysia). Feri yang kami naiki selamat mendarat di Pelabuhan Dumai. Kota ini terlihat tenang. Kekecohan yang saya bayangkan bakal terjadi kepada warga Malaysia, tidak terlihat. Sebelumnya saya selalu dimomokkan oleh teman-teman di Kuala Lumpur yang minta saya berhati-hati bila sampai ke seberang. Kata mereka orang Indonesia rambang mata bila lihat orang Malaysia, semuanya disangka berduit. Selepas urusan di Imigresen selesai, kami berlima menuju pejabat Perusahan Feri Indomal Ekspres di pusat kota.
Ketika saya, Alisdi, Mad dan Mail berehat di dalam, Wan cuba bincang dengan beberapa pengusaha van yang banyak tunggu di luar. Secara tak langsung, Wan bagai ketua dalam kumpulan kami. Akhirnya dia berjaya dapatkan kenderaan buat kami lanjutkan perjalanan ini hingga ke Kerinci. Perbincangan dengan pemandu dilakukan berhati-hati supaya kami dapat potongan harga yang seminimum mungkin. Waktu itu saya ditegah bersuara, kata mereka supaya identiti Malaysia tidak diketahui. "Takut dikenakan ongkos yang lebih mahal" jelas Alisdi.
Sementara
itu, suasana di dalam pejabat Perusahan Feri Indomal riuh
rendah dengan kedatangan pengunjung yang tak putus-putus. Ada yang baru
mendarat dan ramai yang menanti masa untuk masuk ke Malaysia.
Saya
sempat berbual dengan dua remaja asal Madura yang akan ke Malaysia untuk
kali pertama. Nekad sekali dua remaja ini untuk cari kerja
walaupun tanpa permit. Malah, belum ada lagi kerja yang menanti pun kedua remaja ini sudah begitu berani. Rupanya Kota Dumai jadi pusat transit bagi imigran Indonesia
yang ingin kerja di Malaysia.
3.00 petang WIB.
Satu berita sedih telah kami terima, Wan dan Mad dikhabarkan
terpaksa masuk semula ke Malaysia sebagai pelancong kerana agen yang
uruskan kemasukannya gagal dapatkan visa sambungan. Biarlah, saya
sendiri kurang tahu prosidur sebenar bagi warga asing yang kerja di
Malaysia. Malas untuk saya fikir. Tanpa mereka berdua pun, cita-cita untuk
ikut Alisdi balik ke Kerinci tetap berjalan seperti biasa. Kini
tinggallah saya,
Alisdi dan Mail saja yang akan meneruskan perjalanan. Sebelum menanti
kenderaan yang akan bawa kami ke Kerinci bersedia, kami ambil
peluang meninjau-ninjau sekeliling kota. Pesatnya pembangunan kota
Dumai mengubah persepsi saya pada Indonesia. Negara yang sering
digambarkan tertinggal oleh kebanyakan warga Malaysia ini tidaklah
semundur
yang saya sangka. Kemajuan Dumai benar-benar membetulkan sangkaan itu.
Kota ini setanding dengan banyak pusat-pusat daerah di Malaysia.
Malah telah diiktiraf kotamadya kedua di Provinsi Riau. Setaraf majlis
perbandaran.
6.00 petang WIB. Menjelang senja, Van yang dijanjikan akan bawa kami ke destinasi masih lagi belum tiba. Kami putuskan berehat dulu di sebuah musolah berdekatan. Rupa-rupanya orang
di Dumai
tidak faham istilah surau. Selesai solat maghrib, kami ke sebuah
warung berhampiran untuk mengalas perut. Kagum lihat rumah-rumah kampung
di pinggir kota yang lengkap dipasang parabola. Satu pemandangan asing
yang tak dapat dilihat di Malaysia. Satu lagi yang dapat saya perhatikan,
pertuturan harian orang kampung di sini saling tak tumpah seperti dialek
Melayu Johor, tapi bicara mereka automatik bertukar ke bahasa Indonesia bila bertemu orang luar. Termasuklah dengan saya sendiri, padahal
saya
juga bertutur dalam dialek yang sama seperti mereka. Tanyakan Kenapa?
8.00 malam WIB. Sudah jenuh menunggu, akhirnya. van yang mereka gelar CWN telah siap berkhidmat. Kami bertiga, serta dua lagi penumpang lain segera diangkat ke Kerinci. Tapi malang
buat saya, keramahan pemandu yang tak sudah-sudah bertanya membuat saya
gagal menyembunyikan identiti. Terpaksa berterus-terang bahawa saya
orang Malaysia.
Mungkin itu lebih baik dari terus berpura-pura biarpun saya
sedar implikasinya. Entahlah. Van terus meluncur laju meninggalkan kota
Dumai dengan iringan lagu-lagu Melayu asli dendangan Siti Nurhaliza.
Saya Bangga.
Padang; 21hb Dis. 2005. Kini kami
sampai ke ranah Minang. Selepas 11 jam menempuh perjalanan panjang dalam suasana yang gelap, saya sekarang dapat melihat. Nampak banyak bangunan bentuk tanduk kerbau berbalam-balam, di balik kabus subuh dinihari. "SELAMAT PAGI SUMATRA", Ingin
saja saya teriak ke segenap isi alam bahawa saya sudah sempai
sini, Sudah jejakkan kaki ke Sumatera, sebuah bumi asing yang tidak
pernah saya sangkakan selama
ini.
8.00 pagi WIB.
Di kota Padang, kami diarahkan turun
dari CWN (mereka sebut CheWe'En, syarikat yang mengusahakan khidmat
perjalanan jarak jauh di Indonesia yang menggunakan Van). Hairan
rasanya bila disuruh turun di
pertengahan jalan. Menurut pemandunya, biaya tambang yang telah kami
bayar cukup setakat sampai di Padang saja. Mail segera membantah
kerana rasa tertipu. Menurut pemandu itu lagi, kami memang telah lama ditipu sejak perbincangan di Dumai lagi. Akhirnya kami mengalah
juga, jadi terpaksa tempah van lain untuk sambung perjalanan dengan
tambahan tambang Rp75,000 seorang. Sebelum perjalanan disambung, saya
sempat menjamah beberapa bungkus keropok kulit kerbau yang sangat
popular di sini.
Perjalanan
diteruskan melewati
jalan-jalan berbukit yang curam dan berliku. Rasa letih terubat bila
kenderaan yang kami naiki masuk ke kawasan Alahan Panjang. Dari jauh
terlihat pemandangan danau (tasik) yang sungguh menawan. "Itu Danau
Maninjau" kata pemandunya. Van berhenti
seketika di sebuah gerai yang menjual buah markisa. Cuaca sejuk
pergunungan mula terasa. Dinginnya makin menggigit bila melangkahkan kaki ke luar. Alisdi langsung bergegas untuk segera ke tandas atau WeSe
menurut sebutan mereka, saya masih kekok menyebutnya. Tandas di kawasan rehat
ini dibina dari susunan buluh-buluh yang dipasang jarang. Kelibat manusia yang menggunakan tandas di dalam, dapat dilihat jelas dari
luar. Saya terpaksa jadi dinding tambahan untuk halang Alisdi dari
diintai orang.
Kabupaten Kerinci; 3.30 petang WIB.
Perjalanan diteruskan. Akhirnya kami kini sampai ke Provinsi Jambi. Pintu
pertama provinsi ini ialah Kecamatan Kayuaro. Lanskap di kiri dan
kanan jalan tampak indah dengan
hiasan ladang teh yang luas terbentang. Saya mula rasakan keajaiban yang
ada di daerah ini. Tentang wujudnya sebuah daerah berpenghuni di puncak
pergunungan tinggi yang sukar dijangkau manusia. Kenapa susah-susah
mereka pilih menghuni di atas gunung? Saya masih belum habis fikir soal itu.
Di daerah ini, sawah dan ladang teh berselang seli |
Kota Sungai Penuh - didirikan di atas atas dataran tinggi |
Inilah Alisdi dan Mail |
Belum
puas hayati keindahan kota, perjalanan terpaksa diteruskan menuju ke
Desa Seleman. Alisdi kesuntukan waktu. Sudah tak sabar dia untuk sampai
ke kampungnya. Kami
sekali lagi tempah van untuk ke sana. Nampaknya kenderaan jenis
ini begitu penting dan sangat mendominasi pengangkutan awam di
Sumatera. "atau mungkinkah di seluruh Indonesia?" Entahlah, saya belum
pernah ke pulau-pulau yang lain. Keletihan terasa
semula bila perjalanan kami menempuh satu lagi jalanraya yang sempit
dan
berlopak. Ditambah dengan penumpang lebih muatan, azabnya makin terasa.
Saya hanya
mampu bersabar. Mungkin inilah yang dilalui hari-hari oleh masyarakat
di sini. Saya juga dah tak keruan fikirkan bagaimana sambutan masyarakat
setempat terhadap saya, orang asing yang datang dari negara seberang. Semakin saya fikir, semakin menakutkan.
Susunan Rumah di Desa Seleman |
Berita
kepulangan Alisdi bersama seorang tamu dari Malaysia sangat cepat
tersebar. Tak putus-putus rumah keluarganya dikunjung orang. Saya sangat
terharu, apa lagi melihat layanan mereka yang penuh sopan. Tidak pernah
saya gambarkan sambutan yang sebegini. Di sebelah malam, saya dijamu
dengan masakan khas Kerinci yang disediakan bergotong-royong.
Sesungguhnya mahu berlinang air mata ini bila menerima layanan
kelas pertama dari mereka walhal mereka hanya terima seorang tamu yang tidak ada apa-apanya.
Di
sini, walaupun bahasa mereka sukar saya fahami, ramai yang fasih
bertutur dalam bahasa Melayu dialek Malaysia. Saya sendiri hairan
bagaimana bahasa Melayu mereka tak langsung terdengar seperti dialek
Indonesia. Agaknya, ini mungkin terjadi kerana
lebih ramai penduduk Kerinci yang tertarik kerja di Malaysia berbanding
mencari rezeki di tanah Jawa atau tempat-tempat lain di negaranya
sendiri.
"Biarlah, bahasa apapun tak mengapa, yang penting kita tetap serumpun".
bisik saya.
22hb Dis. 2005; 9.00 pagi WIB.
Orang di sini masih lagi mandi sungai. Tak pernah saya lihat suasana
sebegini sepanjang hidup, padahal saya sendiri berasal dari kampung.
Saya tak ketinggalan mencuba berendam dalam sungai yang
sejuk dan jernih airnya. Mail menemani saya di pagi ini. Air sungai yang jernih ini terasa
segar dan sangat alami. Malangnya, keasyikan berendam dalam air
yang sejuk itu terganggu seketika bila hadir seorang lelaki dalam
lingkungan umur seusia. Dia datang mendekat sebelum tiba-tiba melucutkan seluar,
telanjang dan melabuhkan punggungnya ke gigi air. Mail sekadar beri
isyarat agar jangan hiraukan lelaki itu. Tapi keinginan untuk cari tahu memaksa saya curi pandang ke arahnya juga. Opsss, rupa-rupanya lelaki itu
sedang membuang hajat besar di dalam sungai. Oh Tuhan. Keghairahan mandi mengikut cara tradisi tiba-tiba hilang. Campur-baur perasaan ini. Geli. Jijik. Tergamam. Saya malu sendiri lihat dia, tapi dia sekadar membatu
tanpa reaksi apa-apa. Dengan selambe dia biar terdedah kemaluannya tanpa berbalut apa-apa. Malah terus tenang buang air besar tanpa terganggu sedikitpun oleh mata-mata yang memerhati. Mungkinkah kerana kami semua lelaki, maka dia
bersikap tidak apa? Atau mungkin kerana inilah yang mereka lalui
hari-hari, maka mereka lali? "Oh, seperti inikah wajah Indonesia"
bisik hati saya.
Sekali-sekala saya memandang beberapa kaum ibu sedang cuci pakaian di tebing sungai di
kejauhan sana. Terlalu tradisi. Suka lihat mereka.
Satu sudut indah di Bukit Kayangan |
Bergambar di atas batu di Puncak Bukit Kayangan |
Panorama
alam Kerinci
terlalu indah untuk dinyatakan dalam tulisan. Dari puncak Bukit Kayangan dapat dilihat Danau Kerinci dengan kelompok desa-desa yang bertaburan di
sekeliling. Secara geografi jelas dapat saya lihat kalau Kerinci berlokasi di satu kawasan lembah di tengah-tengah Banjaran
Barisan, banjaran gunung yang membahagi dua Pulau Sumatera. Agung
ciptaan Tuhan. Paling indah, saya lihat puncak Gunung Kerinci
sayup-sayup di kejauhan. Saujana mata memandang.
Sebelah
petang, saya dibawa berkenalan dengan orang-orang kampung. Suku Kerinci
sungguh peramah dan sangat hormat tamu. Kata mereka, sayalah anak Malaysia pertama yang sudi berkunjung ke desa ini. Ada juga
orang kampung yang tanyakan pek minuman milo dari saya. Untuk apa? tak sempat saya selidik.
Jumaat, 23hb Dis. 2005.
Rutin harian berlangsung seperti biasa. Saya, Mail dan
Alisdi sekali lagi bangun awal untuk mandi di sungai. Seperti selalu, ada saja orang kampung yang buang hajat dalam air di sungai yang sama tempat mereka bersihkan diri. Kali ini
giliran dua remaja perempuan belasan tahun. Mujurlah mereka jauh dari
kawasan tumpuan manusia, kalau tidak tentu mereka jadi mangsa
intaian kaum adam. Saya mula berkira-kira untuk jaga makan
selama disini, takut-takut saya pula yang terpaksa lalui pengalaman
paling ngeri seperti itu. Oh tidak, tak dapat saya bayangkan.
Sementara
menanti solat Jumaat, saya sempat berbual-bual dengan Daman, remaja
lelaki yang tinggal berjiran dengan rumah Alisdi. Sedih dengar
kisahnya. Daman tinggal sediri di rumahnya di daerah yang serba
kekurangan ini. Seluruh keluarga dia telah merantau cari kerja di Malaysia.
Tinggallah ramaja 14
tahun ini menguruskan diri dan sekolahnya sambil mengharap kasih nenek
yang datang sekali-sekala menjenguk. Terbayang betapa getirnya masa depan dia tanpa pengawasan ibubapa. Sungguh hiba mengenangkan
nasib Daman.
Kisah Daman hanyalah satu kisah sedih
anak kecil yang terabai ketika ibubapa mereka merantau cari kerja di tanah
seberang. Sayunya rasa hati ini. Mengapalah begini nasib saudaraku rumpun
Melayu. Mengapa kita perlu terpisah oleh dua sempadan politik yang
berbeza. Kenapa kau pisahkan kami wahai Inggeris dan Belanda. Ah,
Terlalu sedih untuk saya fikirkan.
Saya dan Daman sempat tunaikan Solat Jumaat di Masjid Jame' Koto Tengah. Saya lihat banyak jemaah yang pandai mengenakan baju melayu. Kata Daman, inilah antara 'ole-ole' yang paling kerap dibawa pulang oleh warga yang berkerja di Malaysia. Baju melayu, baju kurung dan milo. Lucu juga anak ini. Kalaulah boleh tanpa pasport, akan saya bawa Daman menyeberang Selat Melaka. Akan saya temukan dia dengan keluarganya. Paling tidak, akan saya jaga dia seperti adik kandung saya sendiri.
Sebelah
petang, saya ikut Mail dan Alisdi ke kota Sungai Penuh untuk cari
sesuatu yang boleh dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke
Malaysia. Di kota ini, saya sempat singgah di sebuah warung telefon
(wartel) dan buat panggilan ke pejabat. Kesian Khairol di sana kerana
terpaksa selesaikan semua tugasan yang saya tinggalkan. Sebelum pulang
ke Desa Seleman, kami sempat menikmati secawan kopi telur, satu menu
istimewa yang tidak ada di Malaysia. Lupa pula membeli sebungkus bakso
yang dipesan Daman.
Beberapa rumah para nelayan dibina di pinggir danau |
Dermaga - Permulaan bagi semua aktiviti air |
Hari ini Danau Kerinci penuh sesak dengan orang-orang kampung yang datang menangguk ikan. Kononnya tanah di dasar danau bergegar menyebabkan ikan mabuk lalu terapung-apung di permukaan. Seronok dapat tangkap ikan gunakan tangan.
Kami berjalan lagi di
sekeliling danau. Di sini, di mana saja kami pargi, keadaannya seperti di
pasar ikan. Ramai yang lebih senang tunggu di tebing dan beli saja
ikan-ikan yang telah didaratkan. Sebelum pulang, konvoi kami singgah di
sebuah warung berhampiran. Untuk Daman, Saya gantikan bakso yang dipesan
semalam.
Panorama Danau Kerinci |
Masjid Desa Sanggaran Agung dilihat dari seberang |
Kami
juga sempat singgah di Air Terjun Telun Berasap. Pengunjung
perlu menuruni anak tangga untuk lihat air terjun tersebut.
Rupanya dasar air terjun itu terletak jauh di bawah gaung. Kami hanya
mampu
berhenti di tengah jalan dan lihat tujahan air yang datang dari atas
jatuh menimpa batu di bawahnya dalam jarak lebih kurang 5 meter. Tujahan
air itu menghasilkan wap halus seperti kepulan asap-asap yang
berterbangan di udara.
Satu lagi keindahan alam ciptaan tuhan yang belum pernah saya lihat. Jujur, keindahannya sungguh sukar saya bayangkan dengan kata-kata. Pendakian semula ke atas terasa memenatkan. Ada antara kami sampai terkencing di dalam seluar. Mungkin
kerana keletihan.
Kami teruskan perjalanan ke Kayu Aro untuk lihat ladang teh. Kehijauan ladang teh kini dapat saya
hayati. Seronok berlari di celah pepohon teh ala filem
Hindustan. Ladang ini merupakan perusahaan milik pemerintah
Indonesia. Pekerjanya terdiri dari imigran Jawa yang didatangkan
khas melalui program transmigrasi.
Perjalanan
pulang ke Desa Seleman kami harungi dalam cuaca hujan. Tak
sanggup kebasahan, kami singgah berteduh di sebuah warung di pertengahan
jalan. Pengusaha dan pengunjung
tetap warung ini terdiri dari masyarakat keturunan Jawa. Sempat juga
saya cuba sepatah dua perkataan Jawa yang pernah saya pelajari di
Johor, dan mereka memahami. Biarpun hampir sejam berteduh, hujan tidak
langsung menunjukkan tanda akan berhenti. Akhirnya kami
terpaksa meredah hujan untuk teruskan perjalanan pulang. Malang
sekali, musibah datang bila motosikal yang ditunggang
Alisdi terlibat dalam kemalangan. Saya tercedera.
Menjelang
malam baru hujan reda. Kesihatan saya terganggu kerana terlalu
lama kehujanan. Saya hanya berehat
di rumah sambil ditemani Daman. Tak larat ikut Alisdi ke
rumah saudaranya. Ditambah dengan kesakitan akibat jatuh
motor membuat badan saya benar-benar tidak bermaya. "Abang kelelahan
kale?" ujur Daman yang nampaknya faham situasi saya. Bagaikan ada
hubungan darah
antara kami.
26hb Dis. 2005.
Hari ini genap setahun tragedi tsunami 2004 melanda. Semua siaran tv di Indonesia
menayangkan kembali detik-detik sedih tragedi itu. Dari awal pagi hingga
ke lewat malam semuanya memainkan lagu sedih; Acheh pasca tsunami. Saya
turut tersentuh mengenang kembali peristiwa bersejarah itu. Dari
paparan ketika bencana, kemusnahan, mayat-mayat, anak yatim hinggalah ke
perutusan terima kasih Indonesia kepada negara-negara yang menbantu
meringankan beban mereka, semuanya sangat menginsafkan. Sayangnya,
tidak ada satupun nama Malaysia disebut dalam perutusan itu. Tenggelam di balik nama-nama seperti Amerika, Jepun, Korea, Singapura,
Filipina dan negara-negara Eropah. Saya keliru dan tertanya-tanya sendiri,
"tidak adakah sumbangan Malaysia untuk saudara serumpun di Acheh? atau
barangkali namanya sengaja dilupakan?" Entahlah.
Esok
adalah hari terakhir saya di Desa Seleman. Sedang asyik mengenangkan
apa yang telah saya lalui dalam kembara ini, tiba-tiba saya dikejutkan
dengan kehadiran Daman. Terharu mendengar permintaannya untuk tidur bersama kami di malam terakhir ini. Daman seperti dahagakan
kasih keluarga. Kasihan dan sungguh kasih saya kepadanya. Untuk Daman, saya rela tidur
beralaskan tikar asalkan dia selesa. "Satu hari nanti kita
akan jumpa lagi". Itulah kata-kata terakhir saya padanya. "Ya kita akan
jumpa lagi" ayat sama jugalah yang diucapkan Daman sebelum dia
tertidur. Selamat malam Daman.
27hb Dis. 2005. Saya dan Alisdi bersiap awal untuk berangkat ke Pekan Baru dan
seterusnya pulang ke Malaysia. Sementara Mail masih belum puas tinggal
di kampung halamannya.
9.00 pagi WIB.
Van yang bakal bawa kami ke Pekan Baru telah sedia menunggu. Dengan berat
hati, saya tinggalkan seribu kenangan di bumi yang sakti ini. Saya
tinggalkan orang-orang di Desa Seleman, saya tinggalkan Rosdi, Subhi, Mak
Woa, Ila, dan Nazira. Paling sedih, saya tinggalkan Daman yang
masih lena dibuai mimpi. Selamat tinggal Kerinci. Ramai yang
menghantar saya di perhentian hinggalah kelibat mereka hilang dari
pandangan. Lalu van pun meluncur laju tanpa mengerti adanya cerita
perpisahan. Selamat Tinggal Kerinci. Sampai jumpa semua.