![]() |
Pulau Karimun dilihat dari jeti Kukup |
Menurut orang tua-tua di Kukup, kokok ayam di pulau comel itu dapat didengar sampai sini. Begitulah gambaran dekatnya pulau itu dari tanah besar Johor. Itulah Pulau Karimun, salah satu pulau dalam gugusan Kepulauan Riau yang sekarang dikuasai negara sebelah, negara yang sering tidak senang dengan jirannya yang baik ini.
Di Kukup, sangat banyak feri yang menawarkan jasa bawa penumpang pergi dan balik ke sana. Paling tepat, ke bandar utama di pulau itu, Tanjung Balai. Cuma seperti di mana-mana pintu keluar-masuk Malaysia, warga negara sebelahlah yang sentiasa jadi penumpang teramai. Warga kita jarang tertarik belayar ke seberang waima orang Kukup sekalipun. Keadaan sebaliknya berlaku. Berpusu-pusu orang Karimun datang ke mari. Di dalam feri, setiap kali menyapa setiap kali itulah saya temui warga sebelah yang mengaku sering keluar-masuk ke 'tanah besar'.
Seperti jenis tanih di barat Johor yang banyak tanah gambut, begitu jugalah jenis tanih di Pulau Karimun. Secara peribadi (sekali lagi) saya menganggap pulau-pulau yang banyak bertaburan di selatan Johor ini sebetulnya pecahan dari tanah besar Semenanjung, berbanding dianggap serpihan dari Sumatera. Maka saya berani tuduh perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 yang lalu itu sebenarnya tidak sah jika prinsipnya bersandarkan bentuk alam. Apa boleh saya buat.
Orang Karimun masih bertutur dialek asli Johor-Riau. Tapi komunikasi gaya Indonesia semakin bercambah. Terutama di kalangan generasi muda. Nampaknya seperti sukar kekalkan identiti Johor-Riau di pulau-pulau tumpuan utama di kepulauan ini. Tabik hormat yang sangat tinggi harus saya berikan kepada penduduk Lingga kerana gigih kekalkan identiti kerajaan Melayu lama yang hilang. Tiba-tiba terasa rindu pula dengan suasana di Daik.
Kebetulan, musim buah yang kini melanda Semenanjung turut sama melanda Karimun. Saya sempat nikmati durian Karimun yang rata-rata durian kampung. Risanya sama. Cuma tak terlihat baka-baka baru jenama Malaysia di sana. Tak ada raja kunyit, tak ada juara johor dan tak ada udang merah. Saya harap biarlah tak akan dibawa ke sana bakanya sampai bila-bila. Takut nanti kalau berkembang, kita pula yang dituduh mencuri.
Sepanjang di Karimun, telinga saya tak terlepas dari dengar berita-berita busuk dari media negara jiran yang satu ini. Dan mata ini tak terlepas terbaca berita dari surat kabar sana tentang aksi demo ala beruk kena belacan oleh warga mereka di Betawi. Semua ini gara-gara hasil dari persidangan tahunan Persatuan Mandailing Malaysia yang berlangsung beberapa hari sebelum itu. Provokasi mereka sampai disiar langsung dalam forum di TV. Pandangan saya hanya satu, masih terlalu ramai manusia-manusia kurang ilmu di situ.
Kasihan kau Karimun (dan Kepulauan Riau), sudah nasibmu dijaga si capik dari Majapahit yang suka memekik. Kami hanya mampu melihat.
Saya tinggalkan Karimun dengan bengkak hati bersama dapatan yang kurang menarik. Namun tetap jadi perencah buat menambahkan risa dalam catatan perjalanan saya.