بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Memaparkan catatan dengan label luahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label luahan. Papar semua catatan

ANAK-ANAK MALAYSIA, MENGEMBARALAH!

SUMBER: [Berita Harian; Rabu, 6 Mac 2013; Muka 28]
Saya dalam artikel ini adalah Johan Jaafar yang artikelnya disiarkan dalam ruang Rencana, Berita Harian


Amat kurang anak muda kita yang mengembara, saya tak maksudkan mengembara ke luar negara saja tapi juga di dalam negara sendiri. Satu tinjauan yang dibuat oleh sebuah syarikat pembekal peralatan pengembaraan mendapati kurang dari lima peratus anak-anak muda Malaysia yang berhasrat mengembara. Lebih malang lagi, hanya satu pertiga dari jumlah itu yang keluar dari rumah dan benar-benar mengembara. 

Tidak banyak anak-anak muda kita yang kenal negara sendiri melainkan dari apa yang dipelajari dalam mata pelajaran geografi dan sejarah. Mungkin hal ini ada kaitan dengan persaingan hidup. Anak-anak muda mengejar kerjaya dan dengan terbabit dalam petualangan atau pengembaraan mereka anggap ia akan menjejaskan haluan kerjaya mereka.

Ambil cuti panjang
Di Barat, anak-anak  muda ambil cuti panjang selalunya pada musim panas untuk mengembara ke negara lain. Mereka tidak bergerak dalam kumpulan pelancong yang dipimpin oleh pemandu pelancong dan tinggal di hotel-hotel pelancong. Anak-anak muda ini berada di pantai-pantai terkenal di Thailand, sebahagiannya berada di Pulau Pinang atau di Bali. Ada yang mengejar ombak untuk tujuan surfing, ada yang cari pengalaman merantau ke negara orang bagi menambah ilmu.

Sebahagian daripada mereka naik motosikal atau basikal atau bergerak menggunakan kenderaan awam seperti bas dan tinggal di hotel murah atau homestay

Catatan perjalanan anak-anak muda ini ada yang dirakamkan dalam blog atau media sosial seperti Facebook dan kemudian dibukukan. Buku-buku ini banyak yang laris di pasaran. Sayang sekali anak-anak muda Malaysia tidak tertarik dengan petualangan dan pengembaraan. Ramai yang tak pernah keluar dari tempat tinggal mereka. Kalau adapun hanya pulang ke kampung ke rumah nenek atau menghadiri majlis-majlis perkahwinan di tempat-tempat tertentu. Terlalu banyak yang boleh dipelajari dari perjalanan dalam negara sendiri. Bayangkan pergi ke pekan-pekan yang pelik namanya, atau tempat yang kedudukan yang geografinya unik seperti Tanjung Piai di Johor atau di Simpang Mengayau di Sabah.

Rakyat Malaysia sendiri tidak banyak yang tahu wujudnya Kampung Tanduo di Lahad Datu atau Kampung Seri Jaya, Simunul dekat Semporna atau bandar Kunak hingga peristiwa berdarah membabitkan pencerobohan di Sabah. Tak ramai rakyak kita yang tahu nama tempat Bunohan hingga Dain Iskandar Sid arahkan filem berjudul sama dan menggondol hadiah utama Festival Filem Malaysia baru-baru ini.

Banyak anak-anak muda kita yang ambil mudah keistimewaan negara sendiri. Apa yang ada di Phuket dan Koh Samui tak ada di Malaysia? Apakah pantai di Bali lebih istimewa dari Pantai Timur Semenanjung atau Langkawi? Berapa ramaikah di antara anak-anak muda kita yang telah bergerak ke semua bandar dan kampung seluruh Malaysia?

Saya percaya semangat petualangan ini perlu digalakkansejak di bangku sekolah lagi. Memang mengembara tidak selesa dan menyulitkan malah ada bahanyanya sendiri. Tapi pengalaman dan pengajaran dari perjalanan itu amat istimewa sekali.

Saya pernah menulis tentang seorang pengembara muda dari Indonesia yang menamakan dirinya Trinity. Beliau telah menghasilkan tiga siri buku Naked Traveler. Beliau kini berada di negara Amerika Latin sejak beberapa bulan yang lalu. Kita perlukan Trinity dalam kalangan kita supaya dapat memacakkan bendera di mana-mana belahan dunia.

Kita patut berbangga dengan dua pendaki Malaysia yang menjejakkan kaki di puncak Everest pada tahun 1997 - M.Naggapan dan M.Munisamy. Muhammad Mugharabbin Mokhtaruddin (Qubin) pula bukan saja telah mendaki Everest tapi ke semua puncak tertinggi di semua benua di dunia. Beliau sedang menghabiskan pendakian ke semua gunung dan bukit yang disebutkan dalam Al-Quran.

Kita juga berbangga dengan Mohd Noor Mat Amin, jurufoto Utusan Melayu yang sehingga kini telah mendaki Gunung Kinabalu 200 kali. Sewaktu Malaysia mencecah usia 50 tahun, beliau cuba mendaki gunung itu 50 kali dalam masa 50 hari. pada tahun 2009/2010, Mohd Noor telah mendaki Kinabalu 111 kali dalam masa 111 hari.

Contohi Adnan Osman, Wahab Hamzah
Ramai antara kita yang mengagumi Adnan Osman yang kini hampir mencecah 70 tahun tapi berbasikal ke Sukan Olimpik Beijing (2008) dan London (2012). Pengkritik filem terkenal, Wahab Hamzah menghabiskan masa 113 hari melalui 21 buah negara untuk sampai ke Sepanyol. Beliau melalui tempat-tempat di mana terdapat sejarah para ilmuan dan pemikir Islam tersohor.

Banyak sebenarnya pengembara kita yang lalui jalan darat dengan kereta pacuan empat roda, motosikal, basikal atau berjalan kaki. Tapi kebanyakan mereka bukan anak-anak muda lagi.

Pada masa mudalah anda patut mengembara.

Tentang Orang Kita...

Ini rentetan dari pemergian saya ke Daik, Lingga tempohari,

Teman-teman ramai yang bertanya di mana Daik dan apa ada di sana sampai saya tertarik ke situ. Bila saya sampaikan serangkap pantun Melayu lama yang berkaitan, barulah ramai buka mata dan tersedar kalau selama ini pantun yang mereka dengar itu bukanlah hayalan pengarang.

Mungkin begini sikap sebahagian orang Melayu (warga Malaysia khususnya) yang bagi saya makin hilang jatidiri, Tidak pernah tahu bahawa apa yang berlaku hari ini adalah akibat dari satu kejadian yang berlaku di masa lalu

Mari kita lihat rangkap lagu-lagu di bawah ini?

"Seri Langkat, Kuala Tungkal
padi pulut enak rasanya, sayang."

"Ulele di Kotaraja
boleh tak boleh, ikut sahaja"

"Lancang Kuning, lancang kuning
berlayar malam, hai belayar malam"

Pernah dengar bukan, lagu-lagu itu? Ada yang tahu dimana lokasi tempat di atas dan apa sejarahnya? atau kita hanya mendendangkannya tanpa tahu apa-apa?

Teringat juga saya akan beberapa filem lama kita seperti Lampung Karam dan Enam Jahanam. Apa pula sejarahnya disebalik filem itu? atau kita sangka semuanya imagenasi pengarahnya semata-mata?

Nama-nama tempat dan sejarah di sebalik semua yang di atas terjadi di seberang. Cuma kita tak pernah hiraukan atau mau tahu apa kaitannya dengan kita.

Kawan-kawan, mari kita teroka alam Melayu yang luas ini. Meski sekarang kita sudah terpisah beberapa negara, persaudaraan Melayu jangan sampai terganggu rasa nasionalisme.

Sejauh mana pun kita melangkah, ada baiknya kita kenal dunia kita dulu.

"Bang, Orang gaji kita dah lari..."

Berita apakah itu?

Inilah berita tergempar yang diterima rakan sepejabat saya tengahhari tadi. Rupa-rupanya pembantu rumahnya yang berasal dari sebuah negara jiran, dikesan hilang. Tak ada berita dan tanpa kesan. Pakaiannya juga dibawa bersama, tinggalkan rumah belum dikemas dan anak majikan yang belum 3 tahun dibiar terlantar. Dokumen peribadi tidak sempat dibawa kerana telah disimpan rakan saya itu.

Beginilah risiko warga Malaysia yang ambil pembantu rumah warga asing. Di kalangan rakan sepejabat saya, kejadian seperti ini sudah banyak kali terjadi. Malah ada yang bernasib lebih malang bila barang berharga turut dikebas.

Memang tidak sedikit kos ditanggung untuk dapatkan pembantu. Sudah tentulah mereka harapkan khidmat terbaik dari setiap Ringgit yang dikeluarkan. Berbalik cerita rakan saya tadi, dia dianggarkan rugi hampir RM 10,000 untuk urusan memutihkan pembantu rumahnya yang disenarai hitam, menyiapkan permit kerja, upah agen, perbaharui pasport dan segala kos kecil lain yang turut ditanggung. Malang sekali, pembantu yang diharapkan kekal lama dan setia rupanya lari tidak sampai dua minggu.

Kisah pembantu rumah lari tanpa bawa dokumen, bukan asing di sini. Barangkali pasport atau kad identiti bukan suatu yang penting bagi mereka bila tidak di negara asal (mungkin di negaranya juga). Seingat saya, beberapa tahun yang lalu, negara jiran itu telah membekukan tenaga kerjanya ke Malaysia atas alasan keselamatan. Malangnya petinggi negara itu tidak sedar, warganya tetap masuk biar menyamar jadi pelancong sekalipun. Bila sudah sampai, mereka buang pasport, buang identiti kenegaraan dan lakukan apa saja yang boleh asal saja mampu menampung hidup di bumi bertuah ini selama mungkin. Cukup tempoh, mereka harapkan program pemutihan untuk dihantar pulang tanpa keluar biaya. Pintarnya mereka.

Bila tembelangnya pecah, mereka karang cerita konon diseksa fizikal, tidak dibayar gaji, dilayan kasar, tidak diberi makan dan segala keburukan lain bagi menagih simpati. Tidak dinafikan hal itu memang berlaku, tapi bilangan yang kecil sepertinya sengaja diperbesar. Lalu kisahnya diberitakan berhari-hari agar kelihatan banyak. Padahal orang gaji dari negara jiran itu pun, bukanlah semuanya baik.

Huh.

Kasihan! Media Malaysia Buta Geografi

Baru-baru ini, saya baca berita tentang meriahnya Pasar Serikin dalam sebuah akhbar terkemuka di Malaysia. Pasar minggu yang berada dalam wilayah Sarawak itu terletak hampir dengan sempadan Kalimantan Barat. Diberitakan pedagang di sana hampir semua berasal dari Indonesia dan kononnya ada pedagang yang sanggup "memandu" dari Jakarta untuk sampai ke Pontianak sebelum melanjutkan perjalanan ke sempadan.

Begitulah laporan aneh akhbar berkenaan. Tertanya-tanya saya bagaimana pedagang dari Jakarta boleh memandu sampai ke Serikin padahal kedua-dua lokasi ini terletak di dua pulau berlainan. Mungkin wartawan yang melapor tidak tahu kalau Jakarta terletak di Pulau Jawa.

Ada lagi satu berita aneh dalam sebuah televisyen Malaysia yang saya tonton sebelum ini. Berita berbahasa Melayu itu melaporkan tentang satu gempa bumi yang terjadi di sebuah pulau di Indonesia. 'Gempa Bumi berukuran X.XX skala richter telah terjadi di "Celebes"'. Begitulah menurut laporan berita yang caca merba.

Saya yakin, pemberita yang membacakan laporan itu sendiri tidak tahu di mana letaknya pulau Celebas. Malah dia juga mungkin belum pernah dengar nama itu kerana pulau itu dikenal di sini sebagai Sulawesi. Nampaknya Media Malaysia itu hanya terjemahkan bulat-bulat berita dari sumber asing.

Satu lagi berita media cetak di Malaysia yang pernah saya ingat, berita tentang pemberontakan di "Pantai Gading". Sekali lagi saya yakin, penulis laporan itu tak pernah tahu di mana letaknya negara bernama Pantai Gading kerana negara itu dikenal di Malaysia sebagai Ivory Coast. Sekali lagi media di Malaysia menyalin bulat-bulat sumber berita dari negara jiran tanpa pernah mengkaji atau sekurang-kurangnya melihat peta.

Kisah lain, beberapa minggu lepas telah berlaku satu kes kematian di asrama pelajar sebuah universiti tempatan. Si mati dikenal pasti seorang pelajar Afrika berasal dari 'Papua New Guinea'. Begitulah berita yang sempat saya baca dari sebuah akhbar yang baru muncul beberapa tahun terakhir. Lucu sekali. Apa benar Papua New Guinea ada di Afrika? Sekali lagi, wartawan media hanya ambil berita tanpa telusuri betul-betul info apa yang mereka catat. Pelajar yang mati itu sebenarnya berasal dari sebuah negara bernama Guinea di benua Afrika.

Jika Aku Terbang

Jika aku bebas
jadikan aku seperti burung
yang bebas terbang di udara

Jangan jadikan aku
layang-layang putus tali
yang tak tentu arahnya

Jika aku terbang
biar aku terbang tinggi
dan bisa hinggap di mana saja.
Jangan jadikan aku si gagak
yang tak diundang hadirnya.

Jika aku burung
jika aku bisa terbang tinggi
jika aku tidak mampu hinggap
Jadikan aku seperti cenderawasih
yang tinggalnya hanya di angkasa.

Pantai Dalam, Kampung Kerinci

Tak sadar sudah 3 tahun saya jadi warga tetap kawasan ini. Antara tempat terkumuh di pinggir Kuala Lumpur. Kalau sebut Kampung Kerinci, saya pasti siapa saja warga tua di segenap pelusuk Kuala Lumpur akan tahu di mana lokasinya. Kalau yang muda, barangkali sudah ramai yang tak kenal kerana ketika ini dah tak ada lagi suasana kampung. Suasananya sudah musnah. Warga tua sudah pindah. Ketika ini tempat ini kembali memakai nama yang lebih umum. Pantai Dalam. Dengarnya sekarang, generasi muda sudah memanggilnya Bangsar South.
Kampung Kerinci mendapat namanya dari pembukaan tanah dan penghijrahan orang-orang dari Kerinci. Di manakah tempat yang bernama Kerinci itu? Kepada yang belum tahu, Kerinci merupakan salah sebuah kabupaten (daerah) dalam Provinsi Jambi, Sumatera.  Mungkin itu sajalah sejarahnya pada pandangan umum. Kononnya pembukaan Kampung Kerinci oleh orang-orang Kerinci hanya sebuah sejarah.
Sebenarnya tidak. Sebenarnya ia bukan sekadar sejarah. Tapi ia proses berterusan. Walaupun kampung kepada orang-orang dari Kerinci itu sudah tidak ada, generasi Kerinci tetap ada. (malah diduga semakin bertambah). Jangan fikir bila kedua wilayah yang terpisahkan Selat Melaka ini berbeza pemerintah, interaksi itu terputus. Pandangan itu tidak benar sama sekali.
Sejak menghuni Pantai Dalam barulah saya tahu, sebenarnya saban minggu ada saja generasi baru orang Kerinci, dari pulau seberang mendarat. Makin hari makin ramai. Tak pernah pupus bahasa Uhang Kincai di sini. Sejak Malaysia merdeka, dari generasi ke generasi tetap berlanjutan dominasi mereka biarpun awal kedatangannya berstatus pendatang haram.  
Dari awalnya sebagai pendatang, menginap sementara di rumah saudara sedarah yang sudah lebih dulu tiba di sini - mengharap tuah saudaranya yang sudah jadi warganegara - gunakan kabel politik yang diwakili kerabat, akhirnya belum cukup sepuluh tahun dia sudah ganti kewarganegaraan. Sudah dapat IC biru. Dan nanti anak-anak mereka secara sah akan jadi warga Malaysia lahiriah.
Anaknya itu pula bakal lakukan proses serupa, beri perlindungan kepada saudara dari seberang  yang baru mendarat, bantu sebaik mungkin hingga saudaranya itu jadi warga di bumi bertuah ini.
Tak hairanlah baru-baru ini, projek perumahan untuk rakyat di kawasan ini dibolot uhang Kincai semua.  Anak-anak perantau Johor, Kelantan, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak terpinggir tak terbantu. Gigit jari melihat mudahnya warganegara klon itu mendapat layanan kelas satu.

Getirnya Perjuanganmu Tetangga Sebelah...

Jam 3.30pagi waktu Malaysia, lenaku tidak panjang hari ini. Telefon berdering, entah siapa memanggilku dinihari begini. Aku jawab juga panggilannya takut kalau-kalau ada hal mendesak melibatkan keluarga atau kenalan terdekat. "Hello" tanyaku tanpa benar-benar tahu siapa pemanggilnya. "Hello bang, Ini aku Agos" jawab dia. "Mohon maaf ya bang, nanti jumpa lagi. Aku ini di Klang, sebentar lagi mau nyeberang menuju Dumai".
Begitulah sedikit perbualan singkat kami dalam telefon. Ternyata pemanggilnya adalah Agos, teman dari seberang yang pernah memberi kesempatan untukku menginap di kampungnya di Kudus, Jawa Tengah setahun yang lalu. Tercungap kelelahan dia saat memberi salam terakhir kepadaku. Benar-benar tergambar betapa getir hidupnya hari ini. Terlari-lari sana sini menyembunyi diri dari tertangkap Imigresen dan Polis Diraja Malaysia. Dan kini, biarpun belum sepenuhnya selamat, Dumai hanya tinggal selangkah lagi di depan. Sekurang-kurangnya selangkah saja lagi untuk dia melepaskan diri dari diejek pendatang haram. Sebentar lagi dia bakal bebas dari segala ketakutan yang membelenggu selama mencari sesuap nasi di negara seberang. Selama dia memegang status Pendatang Asing Tanpa Izin.
Jam 11.00malam sebelumnya, aku ada menerima panggilan dari Agos. Dia merayu mohon dibenarkan bersembunyi di rumahku. Katanya satu operasi menangkap pendatang sedang dijalankan dan dia benar-benar terdesak perlukan perlindungan. Sayangnya bantuan seperti itu tak dapat aku tunaikan. Aku bakal menyusahkan diri sendiri nanti. Masa depanku bakal gelap di negara sendiri kalau tertangkap menyembunyikan pendatang. Aku hanya sarankan dia agar tetap saja berkeliaran diluar kerana fikirku kalau bersembunyi di rumah, dia bakal lebih mudah diberkas. 
Jam 1.00pagi, sekali lagi Agos telefon. Sekali lagi dia mohon bantuan. Dan aku sekali lagi menolak membantunya untuk keselamatan diriku sendiri. Maafkan aku.
Saat catatan ini ditulis, barangkali Agos sudah selamat mendarat di mana-mana jeti nelayan di daratan Dumai. Atau barangkali sekadar di Pulau Rupat, tidak jauh dari Dumai, Sumatera. Alhamdulillah, belum ada sebarang berita kemalangan di selat Melaka hingga detik ini sejak dia meninggalkan Klang jam 3.30pagi tadi. Aku yakin tuhan membantunya. Dan aku yakin dia bakal kembali lagi ke sini satu masa nanti. Ketika itu nanti, dia tidak lagi bernama Agos, tentu sekali bukan bernama Bukhari, nama aslinya dan nama pertama yang dipakai saat dia masuk Malaysia kali pertama. Nanti, dia pasti berganti nama lain dengan kartu tanda penduduk yang baru. Aku sangat yakin itu. Sungguh.

Surat Terbuka Kepada DBKL

Mohd Fazli bin Abdullah
(Tel : 017-7139519)
10-4-8, Taman Bukit Angkasa,
Pantai Dalam,
59200 Kuala Lumpur.

Per: Rayuan kompaun dan masalah kekurangan parkir

Salam sejahtera.

Saya seperti nama di atas ingin merayu kepada Pengurusan DBKL supaya mengecualikan kenderaan saya (kereta saya dan mungkin kenderaan-kenderaan lain) dari dikenakan kompaun atas kesalahan meletak kenderaan di bahu jalan di tempat yang bakal saya sebutkan di bawah. 

Buat pengetahuan, kereta saya dengan nombor pendaftaran (dirahsiakan) telah dikompaun sebanyak 5 hingga 6 kali oleh pihak Penguatkuasa DBKL kerana meletakkan kenderaan (kononnya mengganggu lalu lintas) di jalan yang berdepan dengan Taman Bukit Angkasa menghala ke Pantai Hill Park.

Untuk makluman DBKL, saya ialah penghuni sah (bukan penyewa) di salah sebuah rumah di flat Taman Bukit Angkasa sejak saya membeli rumah di situ dua tahun yang lalu. Sepanjang pengetahuan saya, pembeli rumah kos rendah sekurang-kurangnya diperuntukkan seunit ruang parkir setiap pemilik. Malangnya saya tidak pernah menikmati kemudahan itu sejak menghuni kawasan ini. Setiap ruang parkir di taman ini telah dibolot oleh penghuni lama yang mana banyak dari mereka telah menguasai lebih dari satu parkir sekaligus termasuk untuk kegunaan kenderaan setiap satu seorang anak.

Tidak sekadar itu, bukan sedikit ruang parkir di sini yang kosong pada waktu-waktu tertentu tapi tak dapat digunakan kerana ada penghuni yang telah merasakan bahawa ruang parkir itu milik peribadi mereka, lalu mereka meletakkan halangan berupa kon, bangku malah motorsikal semata-mata tak mahu ruang itu diambil oleh orang lain.

Masalah makin bertambah dengan kehadiran peniaga jalanan yang meletakkan premis mereka di ruang parkir secara kekal dan separa kekal sampai menyesakkan lagi ruang yang telah sedia sesak di taman ini. Kesesakan ruang parkir di sini boleh DBKL lihat pada kenderaan yang diparkir berlapis-lapis.

Dan saya sebagai penghuni baru, harus berperang mulut setiap hari jika mahu meletakkan kenderaan saya di dalam kawasan taman itu. jika saya berjaya, kenderaan saya pula yang bakal jadi mangsa kemarahan dengan kesan gurisan di kiri dan kanan badan kenderaan, malah kenderaan saya pernah ditimbunkan dengan longgokan sampah oleh penghuni lama. Hal ini kerap berlaku kepada saya dan ramai lagi pendatang baru. Mujur belum ada yang mati dalam ‘peperangan’ ini. Hanya yang saya kesalkan, saya ialah penghuni sah di sini, bukan penyewa. Sebagai penghuni yang sah, dan memiliki sebuah unit rumah, saya mahukan sekurang-kurangnya satu ruang meletak kenderaan sebagaimana piawaian DBKL tentang keperluan letak kereta di kawasan kos rendah. Malangnya faktor senioriti diambil kira. Di taman ini, siapa yang lebih dulu menetap, dialah yang berhak. Adilkah begitu buat saya sedangkan penghuni lama boleh memiliki lebih dari satu ruang parkir untuk suami, isteri dan anak-anak?

Saya yakin DBKL maklum akan keadaan kami di Taman Bukit Angkasa.

Atas alasan di atas tadi, saya tiada pilihan lain selain terpaksa meletakkan kenderaan saya di mana-mana ruang kosong termasuk di sepanjang jalan yang saya sebutkan itu. Apa yang berlaku, saya berkerja pada waktu pejabat dari jam 8:00 pagi hingga jam 5:30 petang - dan saya ke pajabat menggunakan kenderaan awam kecuali jika ada berlaku hal-hal lain yang memerlukan saya berkereta. Oleh sebab itu, kereta saya selalu ada di ruang di mana saya meletakkannya kecuali jika saya menggunakan kereta itu ke pejabat pada hari-hari tertentu. Kenakanlah kompaun kepada saya setiap hari sekalipun, saya tetap tak mampu berbuat apa-apa. Kerana di situ sajalah pilihan yang ada untuk saya.

Di seberang sana, setentang dengan Taman Bukit Angkasa tersergam kawasan kuarters kakitangan DBKL. (Kuarters Kakitangan DBKL Pantai Permai). Kediaman kakitangan DBKL ini telah lengkap dipagar dan terkawal setiap hari. Penghuninya tentu tidak pernah merasakan bagaimana sukarnya kami mencari parkir saban waktu kerana setiap penghuni kuarters itu telah mendapat parkir secukupnya. Mereka tidak terganggu pula dengan kehadiran kenderaan dari luar dan mereka boleh meninggalkan kereta mereka secara tetap di situ berapa lama pun yang mereka mahu jika mereka berpergian ke mana-mana ke luar kawasan.

Bagaimana dengan kami? Di manakah ruang yang aman untuk saya? Saya tidak mengharapkan lebih, kecuali sekadar satu ruang yang aman dan terhindar dari gangguan penguasa-penguasa DBKL yang ketagih memberi kompaun dan penghuni-penghuni tamak yang buas mencederakan kenderaan yang tidak mereka inginkan.

Apa cadangan DBKL buat kami supaya kami tidak dikompaun lagi? Adakah DBKL mahu kami penghuni-penghuni miskin yang tersepit dan tinggal di kawasan sesak seperti di sini menjual kereta masing-masing sedangkan itu sajalah kenderaan yang kami ada?

Saya tidak nampak satu apa pun usaha DBKL untuk menyelesaikan masalah kami kecuali mengenakan kompaun, kompaun dan kompaun kepada pemilik kenderaan kepunyaan penduduk Taman Bukit Angkasa yang tersepit seperti saya. DBKL seolah-olah sengaja menjana untung dari masalah yang tidak pernah mampu DBKL selesaikan.

Saya mengharapkan DBKL prihatin masalah saya dan mungkin ramai lagi penghuni yang lain. Saya juga berharap agar DBKL mampu menyediakan ruang parkir alternatif kepada kami ataupun paling tidak, ambillah tindakan terhadap masalah-masalah yang saya sebutkan di atas.

Sekian.

ISU KUOTA 50% BUMIPUTERA

Ini satu isu yang sangat menarik untuk diulas. Apalagi kerana ia bersangkutan dengan kerjaya saya di bidang pembangunan perumahan. Pada mereka yang kurang faham, biar saya jelaskan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik isu ini. 

Di Malaysia, sebarang projek pembangunan hartanah kediaman yang dijalankan dalam skala besar, telah disyarat oleh kerajaan supaya sekurang-kurangnya 30% mestilah dijual kepada pembeli Bumiputera. Diulangi, sekurang-kurangnya 30% untuk bumiputera (kecuali untuk beberapa projek di beberapa majlis tempatan seperti di Shah Alam dan Putrajaya). Manakala sebahagian besar bakinya (70%) boleh dijual kepada lain-lain kaum termasuklah warga asing.

Sebelum pergi lebih jauh, ada baiknya kita kaji bagaimana peratusan populasi kaum di Malaysia ketika ini. Tiga kaum utama yang mendiami negara ini ialah Bumiputera (65%) dan bukan bumiputera mengikut pecahan seperti Cina (25%), India (7%) dan bakinya dihuni lain-lain kaum. Secara logik, segala sesuatu yang perlu dikuotakan di Malaysia seharusnya mengikut nisbah populasi kaum di negara ini iaitu 65% Bumiputera dan 35% Bukan Bumiputera. Itulah yang lebih adil.

Bagaimanapun ketidakseragaman kuota telah banyak berlaku terutama dalam hal pemilikan harta. Bumiputera yang mewakili kaum terbesar diperuntukkan kuota yang sedikit  manakala bukan bumiputera yang merupakan kaum minoriti dipeuntukkan kuota sehingga jauh lebih besar. Ketidakseragaman ini telah dibangkitkan  Menteri Besar Kedah setelah Pas mengambil alih pemerintahan negeri itu.

Beberapa hari yang lalu, Menteri Besar (MB) Kedah secara tegas telah mempertikaikan kuota tersebut sekurang-kurangnya di negeri Kedah memandangkan bumiputera negeri itu melebihi 70%. Untuk itu beliau mencadangkan kuota bumiputera ditingkatkan kepada 50% kerana menurutnya amalan biasa mengikut kuota lama hanya mengundang lebih ketidakseimbangan kaum di kawasan-kawasan pertumbuhan. Ini seterusnya mewujudkan perpecahan dan tentunya mendatangkan kesan yang buruk di masa akan datang. Ia juga seolah-olah meniru amalan pecah dan perintah yang diterapkan penjajah – Cina di Bandar, Melayu di kampung dan India di ladang. 

Hakikat sebenar dan mungkin ramai yang tidak tahu ialah; Sejauh mana kemampuan bumiputera untuk memenuhi kuota yang ditetapkan biarpun kuota itu hanya sekecil 30%?

Pengalaman saya selama bekerja di syarikat perumahan sehingga kini sangat menyedarkan betapa benarnya keadaan ini. Setiap kali ada projek perumahan baru dijual, setiap kali itu, ratusan  pembeli akan datang dan ada kalanya sampai bergaduh sebelum rumah idaman dapat mereka miliki. Sayangnya, mereka yang berebut hartanah ini bukanlah pembeli bumiputera. Malah lebih teruk, tidak sampai pun 10% kuota bumiputera dapat dijual. Bagi kebanyakan pemaju, menanti pembeli bumiputera membeli produk mereka bagaikan menanti kucing bertanduk. Atas alasan ini, banyak pemaju mula melepaskan kuota bumiputera kepada bangsa lain.

Persoalannya: Bagaimana MB Kedah boleh meminta ditambahkan kuota Bumiputera jika keadaannya begini? Tentunya lebih banyak kuota bumiputera tidak akan terjual bukan?

Inilah kemelutnya. Bagi pihak MB Kedah sebagai pemerintah, memang sudah tugasnya menyediakan kediaman untuk seluruh warga. Dan kerana itu, beliau merasakan perlu kuota itu ditambah lebih-lebih lagi ketika kuota yang sedia ada tidak mencerminkan keadaan sebenar di negara ini. Dan bagi pihak pemaju, kesukaran memenuhkan kuota sedia ada menyebabkan mereka serta-merta membantah cadangan MB tersebut.

Jadi apa kata saya sebagai insan kerdil yang terlibat langsung dalam bidang ini?

Saya lebih merasakan pembangunan hartanah di Malaysia lebih banyak merugikan Bumiputera. Apa tidaknya, pembangunan di Malaysia pada saya banyak melibatkan pengambilan/penukaran kegunaan tanah dan dalam hal ini, tanah kampung/pertanian milik bumiputera yang lebih banyak terlibat. Malah kubur Islam sendiri lebih banyak  dipindahkan kerananya. Jarang kita dengar kuburan satu kaum terkaya di Malaysia diperlakukan sebegitu untuk alasan serupa. Tidak sekadar itu, mereka kini dibenarkan membangun perkuburan menjadi bagaikan pusat pelancongan atas nama taman peringatan. Seperkara lagi, Tanah Rizab Melayu yang sememangnya termaktub dalam perlembagaan sebagai pemilikan orang Melayu juga sewenang-wenangnya diambil kerajaan dan statusnya ditukar menjadi rizab antarabangsa konon untuk kemajuan. Agak sedih, Rizab Melayu yang telah diambil itu telah digantikan dengan satu kawasan lain yang jauh terperuk ke hulu dan terpencil dari sebarang kemajuan. Malah mungkin ada yang tidak diganti langsung.

Satu contoh yang pernah terjadi, Kampung Sungai Kiah (bukan nama kampung sebenar) yang terletak dipinggiri Kuala Lumpur merupakan satu kawasan penempatan yang telah di diami masyarakat Melayu puluhan tahun dahulu. Kini kawasan itu telah dipindah milik kepada satu syarikat pemaju untuk dibangunkan tanpa disedari penduduk kampung. Sedangkan tanah yang mereka diami itu telah disahkan tanah kerajaan dan cubaan memohon mendapatkan geran hak milik ke atasnya pernah dilakukan beberapa kali malangnya tidak pernah dilayan serius oleh pihak berwajib. Tahu-tahu tanah yang telah mereka dirikan rumah, mereka usahakan dengan tanaman dan ternakan, mereka mohon bekalan api dan air dan mereka jaga bagaikan kampung sendiri biarpun tidak sempurna, rupa-rupanya telah diberi milik kepada pihak lain hanya kerana pihak itu punya RM.

Isu sama kini berlaku di Kampung Baru Plentong Tengah di Johor Bahru.

Suka tidak suka, mereka terpaksa berpindah kerana status mereka kini sudah jadi penceroboh. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa melihat tanah yang pernah mereka teroka, tanah yang mereka duduki 100% kini tidak dapat dipertahankan. Sedikit demi sedikit hak mereka terpaksa dikongsi bersama kaum lain yang asalnya mendatang. Mengikut ketetapan pemerintah, mereka diperuntukkan sekurang-kurangnya 30% saja dari keseluruhan tanah yang pernah diduduki itu. Kalau mereka mahukan lebih, jarang ada pemaju yang sudi berikan hak itu kepada mereka dengan harga diskaun Bumiputra. Lebih baik pemaju berikan kepada kaum lain yang sanggup membayar penuh.

Dan satu lagi ketetapan kerajaan yang asalnya bermaksud membantu golongan berpendapatan rendah ada kalanya turut dimanipulasikan pemaju. Ketetapan itu ialah 10% Rumah Kos Rendah (luasbina 650kaki persegi) mesti disediakan pemaju di setiap projek pembangunan yang mereka bangunkan. Ketetapan ini telah digunakan sebaik mungkin supaya mereka dapat memenuhkan sekurang-kurangnya 10% dari 30% kuota bumiputera yang ditetapkan kerajaan. Hasil kebijaksanaan itu, pemaju kini hanya bertanggungjawab mencari 20% baki kuota Bumiputera untuk mencukupkan syarat kuota yang ditetapkan dan baki kuota itu diperuntukkan kepada 90% unit kediaman lain yang berkos lebih tinggi.

Malangnya tidak ramai bumiputera yang berkemampuan memiliki 90% unit kediaman lain yang berharga lebih tinggi yang dibina pemaju. Di sinilah bermula permainan tarik tali antara pemaju dengan pemerintah - Pemerintah mahukan kuota, dan pemaju mendakwa kuota tidak dapat dipenuhkan atas alasan kesukaran mendapatkan pembeli bumiputra. Hakikat bahawa mereka membina kediaman dengan harga di luar kemampuan bumiputera tidak disebut. Dan mereka pula pada masa-masa tertentu mendesak kerajaan menaikkan paras harga biarpun harga sedia ada sendiri sudah sukar dimiliki bumiputera. Jadi untuk siapa rumah-rumah itu?

Ketika kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini, Persatuan pemaju perumahan Malaysia (Rehda) menuntut kerajaan sekali lagi menimbangkan kenaikan harga ekoran kenaikan bahan binaan yang turut meningkat. Anehnya ketika kerajaan menurunkan harga minyak, harga barang yang didakwa meningkat itu tidak pula berkurangan. Jadi jika begini keadaannya, bagaimana kuota bumiputera dapat dipenuhkan? Saya percaya, Rehda lebih suka jika kerajaan hapuskan saja kuota bumiputera itu.

Dan dalam kemelut yang tidak tahu puncanya ini, MB Kedah keluar dengan ideanya yang sukar difahami sesetengah pihak. Saya berterima kasih dengan idea bernas MB itu. Ia sekurang-kurangnya menuntut agar pemerintah pusat berfikir tentang apakah punca sebenar di sebalik semua ini.  Selama ini di setiap permintaan Rehda diterima,  maka sekali ini cubalah tidak dilayan permintaan itu sebaliknya biarlah diberi tekanan agar mereka berfikir bahawa tidak semudah itu mendapat paha sesudah dihadiahkan betis kepada mereka.

Diharap idea MB kedah ini berjaya merungkai apa sebenarnya yang berlaku disebalik permasalahan ini.

Musim Memindah Hantu Bermula

Dalam masa terdekat ini, sekurang-kurangnya dua kes pemindahan Oang Halus atau lebih dikenali  sebagai  Hantu  telah/akan dilakukan di dua tempat  berbeza  di  Malaysia.
Baru-baru ini, kes pemindahan pertama telah dilakukan di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang. Ini ekoran gangguan hesteria yang terjadi di kalangan pelajar dan guru di sebuah sekolah di kawasan itu. Sebilangan pelajar perempaun dan seorang pelajar lelaki yang diserang hesteria mendakwa mereka tiba-tiba sakit sandi menjelang tengah hari hingga menyebabkan mereka berjalan bongkok seperti orang tua. Menurut mereka, kejadian ini berlaku hampir setiap hari sewaktu berada di kawasan sekolah. Bagaimanapun, gangguan itu dijangka telah pulih hasil usaha seorang bomoh/dukun yang sudi membantu memindahkan makhluk yang dikatakan menjadi penyebab masalah yang dihadapi itu. Makhluk tersebut dikatakan telah dibawa berpindah ke kawasan lain menggunakan sebuah van.
Pemindahan Orang Halus/Hantu yang kedua dijangka akan berlaku dalam masa terdekat. Kali ini di Permatang Pauh, Seberang Prai, Pulau Pinang. Bezanya dengan kes pertama, kali ini hantu-hantu dari kawasan lain akan dipindahkan ke Permatang Pauh buat sementara waktu bagi 'membantu' sebilangan manusia yang kemaruk kuasa untuk berlawan dengan seorang manusia biasa yang sangat ditakuti mereka saat ini. Mari kita tunggu dan lihat adakah pemindahan hantu yang kedua ini akan berjaya dilakukan sebagaimana kejayaan-kejayaan yang pernah dikecapi sekurang-kurangnya setiap empat atau lima tahun sekali.   
bercanda...  :-)

PULAU BATU PUTIH - Keputusan ICJ Mengundang Lebih Konflik

Berakhir sudah kisah tuntutan bertindah selama 28 tahun ke atas Pulau Batu Putih. Isu ini merupakan salah satu dari sekian banyak Isu tertangguh yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan Malaysia dan Singapura.  Ramai pihak mengharap keputusan yang telah disampaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan tuntutan bertindih ini akan merungkai sedikit perselisihan faham antara kedua negara. Malangnya saya tidak beranggapan begitu.
ICJ pada petang 23 Mei yang lalu telah menolak pandangan Singapura bahawa pulau itu adalah terra nullius (tidak bermilik).  Penolakan itu sekaligus memenangkan hujah Malaysia yang menyebut, atas alasan sejarah, pulau itu adalah sebahagian dari Kesultanan Johor. Secara kasar,  Malaysia telah menang berhujah 1-0.
Malangnya ICJ memberi kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura atas alasan Malaysia pernah menyerahkan hak kedaulatan pulau tersebut sebagaimana surat yang dikeluarkan pegawai setiausaha kerajaan Johor pada 1953. Surat itu mengesahkan bahawa Johor tidak akan menuntut kembali pulau itu dari Singapura. Malaysia juga sebelum tahun 1979 telah memgeluarkan enam buah peta yang melabelkan Pulau Batu Putih sebagai Horsburgh Singapore atau Singapura. Kedua-dua bahan bukti ini dijaja Singapura bagi menyanggah hujah Malaysia.  Malaysia juga menurut ICJ tidak pernah menjalankan sebarang aktiviti yang menunjukkan kekuasaannya ke atas pulau itu sebaik ia diserahkan kepada British untuk pembinaan rumah api Horsburgh dulu.  Akhirnya kesemua faktor ini berjaya menyakinkan 12 dari 16 hakim yang bersidang bahawa Pulau Batu Putih sah milik republik kecil itu.
Bagaimanapun ICJ, sebulat suara (15 hakim berbanding 1) menyatakan Batuan Tengah (Middle Rock) yang merupakan struktur batu yang lebih kecil yang berada 0.9km ke selatan Pulau Batu Putih masih menjadi milik Malaysia. ICJ mendakwa, Batuan Tengah tidak pernah terlibat dalam perjanjian antara Johor-Singapura-British satu masa dahulu, jadi statusnya kekal kepada pemilik asal. Manakala Tubir Selatan (South Ladge), struktur batuan yang paling kecil sejauh 4km ke selatan Pulau Batu Putih akan dimiliki oleh negara yang menguasai perairan di kawasan tersebut.
Saya memetik ulasan RTM ketika ia menayangkan keputusan pertikaian itu secara langsung petang Jumaat lalu: Menurut RTM, kedaulatan Tubir Selatan mungkin akan diselesaikan secara rundingan antara Malaysia dan Singaura dan mungkin akan melibatkan Indonesia memandangkan struktur batu terkecil itu mempunyai jarak yang lebih dekat dengan Pulau Bintan berbanding jarak dari daratan Johor dan Singapura. Barangkali Indonesia mungkin tanpa diminta akan turut serta dalam pertikaian ini (memang Indonesia sikapnya begitu). Bagaimanapun pada pandangan saya, atas alasan sejarah, Tubir Selatan tanpa perlu diragu memang milik Kesultanan Johor kerana seluruh Kepulauan Riau itu sendiri pernah menjadi jajahan takluk Johor sebelum dirampas Belanda – kini Indonesia.
Berbalik kepada keputusan ICJ, saya berpendapat keputusan itu sebenarnya tidak menyelesaikan masalah hubungan Malaysia - Singapura.  Sebaliknya ia hanya merungkai siapakah pemilik bentuk-bentuk maritim di kawasan itu sahaja.  Pada saya, pertikaian akan terus wujud ekoran keputusan ICJ yang saya sifatkan aneh. Mengekalkan kedaulatan Batuan Tengah yang berada di selatan kepada Malaysia dan menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih yang berada di utara kepada Singapura hanya akan menjadikan keadaan bertambah kacau.
Selain jarak keduanya yang terlalu dekat, keputusan itu juga menjadikan sempadan perairan Malaysia - Singapura menjadi bersilang. Pada saya, jika ICJ mahu melaksanakan keputusan menang-menang, secara logik, Malaysia yang berada di utara seharusnya mendapatkan hak pulau yang berada di sebelah utara dan Singapura yang di selatan seharusnya mendapat hak struktur maritim yang berada di selatan. Atau mungkin lebih baik kalau kesemua struktur itu diserahkan saja kepada sebuah negara dan negara lain yang terlepas kedaulatan harus akur dengan apa yang diputuskan. Entahlah.
Akibat dari keputusan itu, kini sesiapa pun di Malaysia yang ingin melawat sebahagian struktur maritim milik Malaysia di sebelah selatan harus melalui perairan milik Singapura di sekitar Pulau Batu Putih yang kini secara sah menjadi hak mereka.  Adakah ia sesuatu yang mudah?
Tak tahulah, ini hanya pandangan peribadi saya.

MUDAHNYA SEMPADAN NEGARA DIBOLOSI

Beberapa hari yang lalu, saya berhasrat melawat seorang kenalan warga Indonesia di kediaman sewanya di Ampang. Tapi malang, sebaik sampai di sebuah kampung yang sememangnya menjadi perkampungan satu suku warga Indonesia di situ, saya dimaklumkan kenalan yang saya cari itu kini telah selamat sampai ke kampungnya di seberang Selat Melaka. Hairan, bagaimana kenalan saya yang sebenarnya tidak memiliki sebarang dokumen untuk berada di negara ini (atau istilah kasarnya 'pendatang haram')  telah selamat kembali ke negaranya melepasi kawalan keselamatan dan imigresen di sempadan? Mungkin sesuatu telah berlaku. 
Saya terfikir sejenak; mudahnya sempadan negara dibolosi. Melalui rakan kepada kenalan saya itu, saya diberitahu laluan menuju pulau seberang sangat mudah dicapai. Cukup sekadar membayar sejumlah wang. Teringat saya tentang beberapa kes gadis-gadis Malaysia yang pernah dilaporkan hilang. Ada diantaranya telah berjaya dijejak berada di berbagai tempat di Indonesia. Saya tertanya-tanya bagaimana gadis-gadis mentah yang belum memiliik pasport antarabangsa boleh dibawa keluar dengan begitu mudah tanpa dapat dikesan?
Beberapa minggu yang lalu kita dikejutkan dengan penemuan Azreen di Lombok setelah 6 bulan dilaporkan hilang. Seminggu selepas itu, muncul pula kisah Nuruh Wahidah yang hilang 3 tahun dulu. Kini dia telah selamat dikembalikan dari penempatanya sementaranya juga di Lombok. Baru-baru ini, muncul pula rintihan seorang lagi wanita Malaysia yang sekarang di Riau mendakwa telah dilarikan ke sana sejak 2001. Apakah yang berlaku disebalik semua ini?
Apakah namanya semua ini kalau bukan RASUAH...

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Dua tulisan saya belakangan ini berkisarkan perihal pendatang asing (terutama dari Indonesia) tentang nilai nagetif yang mereka bawa. Tulisan kali ini juga masih lagi menyentuh tentang perihal mereka. Tapi kali ini tentang nilai positif.

Tak Kenal Maka Tak Cinta (atau kata sahabat lama saya: Tak Kenal Maka Tak Kawan).  

Hari ini 07.07.07, kira-kira jam 12.30 tengahari ketika saya di tempat kerja, saya menerima panggilan telefon dari kenalan saya, Kak Fatimah dan anaknya Alisdi yang baru saja mendarat di pelabuhan Melaka setelah lebih kurang 3 jam menempuh perjalanan laut dari Dumai, Indonesia. Dalam perbualan telefon itu, saya dimaklumkan bahawa mereka kini sedang menunggu bas untuk pulang ke pangkuan komuniti mereka di Kampung Kemensah, Ulu Klang.
Seketika itu, saya mula terkenangkan kenangan bersama keluarga Kak Fatimah hampir setahun yang lalu. Kini, mereka pulang kembali ke Malaysia. Saya masih ingat lagi sepanjang bulan Ramadhan tahun lalu, banyak kali juga saya berbuka puasa dan bersembahyang tarawih bersama komuniti mereka di Kampung Kemensah. Sering juga saya tidur bermalam di sana dan sepanjang malam itu saya diajar cakap Kincai (Kerinci). Selalu juga saya ikut menjala ikan bersama mereka di Sungai Batu; dan pada malamnya, beberapa buah keluarga suku Kerinci ikut sama membakar ikan hasil tangkapan kami. Paling tidak dapat saya lupakan, sewaktu berpeluang mengikut Alisdi dan rakan Kerincinya pulang ke kampungnya di Sumatera. Sempat saya menghabiskan cuti tahunan selama seminggu di sana. Hubungan kami sudah seperti satu keluarga.
Kini kenangan itu mungkin bakal terulang lagi setelah kepulangan mereka ke Malaysia. Sebaik tamat waktu kerja kira-kira jam 5.30 petang, saya segera berangkat ke Kampung Kemensah untuk bertemu mereka. Sebaik sampai, Kak Fatimah telah sedia menanti. Ketika itu juga, saya dipertemukan dengan Subhi yang ikut sama datang ke Malaysia. Inilah kali pertama dia datang ke negara ini. Subhi telah saya kenal sewaktu saya di Kerinci lagi; dan kini kami dapat bertemu.
Saya jadi terharu bila dijamukan dengan ole-ole yang katanya dibawa khas untuk saya; buah salak dan dodol kentang. Terima kasih untuk itu. Lebih sayu bila menurut Kak Fatimah, telur itik yang turut dibawa bersama telah dirampas pegawai imigresen Malaysia kononnya bagi menghindar wabak H5N1. Menurut Kak Fatimah lagi, telur itu dibeli pada harga yang mahal dari orang kampung. Telur Itupun katanya untuk saya. Terima kasih Kak Fatimah.
Pada pertemuan semula ini, Alisdi dan Subhi tak sudah-sudah bercerita perkembangan kampung mereka. Kata mereka, ramai penduduk kampung sedang menanti kedatangan saya untuk kali ke-2 ke sana. Kata mereka lagi, keadaan di kampung mereka sudah bertambah meriah; sudah banyak acara,  sudah banyak pesta. Semakin banyak tempat yang boleh saya lawati. Subhi sempat mengeluh, katanya biaya mengurus pasport antarabangsanya memakan sehingga Rp500,000 walaupun tanpa tambahan visa.  Katanya, sangat tidak adil kerana orang miskin dan tidak berkerja sepertinya dikenakan biaya semahal itu. Lantas saya teringat seorang sahabat kita di Malang yang baru mengurus pasportnya dengan biaya sekitar Rp270,000. Saya terfikir apa sebenarnya yang berlaku?. Kata Subhi lagi, kalau tidak dapat kerja di Malaysia, dia tetap tak akan pulang biarpun selepas tempoh sebulan lawatannya telah tamat. Saya bersimpati dengan ceritanya.
Jam 8.00 malam, saya dijamu makan malam bersama beberapa orang lagi komuniti Kerinci di sekitar kawasan itu. Rupanya masih enak masakan Kak Timah setelah hampir setahun saya tidak merasanya. Sewaktu menjamu selera, Kak Timah, Alisdi dan Subhi masih terus bercerita. Masih belum puas mereka menyampaikan perkembang terbaru kampung mereka kepada komuniti Kerinci lain yang sudah lama tidak pulang kampung. Ada cerita sedih, kami turut hiba; ada cerita lucu, kami sama ketawa. Terasa indah ukhuwah ini. Inilah yang saya katakan, tak kenal maka tak cinta.

Jiranku Mati Dibunuh

Malam ini, sementara tiada rancangan menarik di TV, saya membelek beberapa buah naskah lama akhbar Harian Metro (naskah langganan saya setiap hari). Memang biasa, saya jarang membaca habis setiap berita yang tersiar dalam akhbar pada hari yang sama. Ketika meneliti akhbar itu yang bertarikh 3.Julai.2007, mata saya tertumpu ada satu berita bertajuk  Mati Dihentak Joran dan mencatatkan nama Simpang Renggam sebagai tampat dari mana berita itu berlaku. Disisi teksnya, terpampang wajah seseorang yang sangat saya kenali.  Teruja dengan itu, saya amati tajuknya dan mambaca isinya satu-persatu.
Astagafirullah..... perasaan bangga pada mulanya kerana berita dari kampung saya, Kampung Macap, Simpang Renggam, Johor tersiar di akhbar tiba-tiba bertukar sedih setelah mengetahui jiran sekampung saya mati dibunuh oleh 4 penjenayah asal Lombok dalam satu kejadian rompakan. Salam takziah untuk rakan saya Hairi Shah (wajahnya tersiar disisi berita) atas pemergian bapanya Ishak Mingon (lebih dikenali sebagai Wak Sekak di kalangan penduduk kampung) pada hari isnin yang lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang tidur di rumahnya tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan 4 penjenayah warga asing yang bertindak ganas menghentak kepala mangsa dengan besi joran beberapa kali sebelum melarikan diri bersama hasil rompakan. Mangsa bagaimanapun sempat mengejar penjenayah terbabit kira-kira 100 meter sebelum dia tersungkur dan tidak sedarkan diri. Menyedari bunyi bising diluar rumahnya, anak mangsa, Hairi Shah yang tinggal dirumah bersebelahan cuba meminta bantuan beberapa penduduk kampung sehinggalah 3 daripada 4 penjenayah terbabit dapat ditangkap. Penjenayah Asing dari Lombok yang dikenali sebagai Amin, Jukri dan Mesah dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Simpang Renggam dan Kluang.
Sebaik membaca berita itu, saya segera menelefon keluarga di kampung untuk bertanya khabar mereka sambil mendapatkan kisah sebenar kejadian. Alhamdullilah, kedua orang tua saya selamat. Semoga Allah selamatkan kedua mereka dari musibah, Amien.
Salam takziah buat keluarga mangsa. Harap bersabar dengan ujian Tuhan

Penipuan Terancang.....................

Pagi hari Jumaat, 4 Mei 2007. Saya menerima satu SMS berbunyi:- <PENGUMUMAN DARI PETRONAS MALAYSIA, No. Sim Card anda telah memenangi undian bertuah Cek Tunai bernilai RM10,000. Sila hubungi 006285880386856>Setelah bertanya pendapat beberapa orang rakan, saya mengambil keputusan tidak melayan SMS tersebut kerana percaya itu adalah satu penipuan. Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian, saya terima satu lagi SMS sama yang dihantar dari nombor yang sama. Saya percaya pengirim SMS tersebut datangnya dari Indonesia berdasarkan nombor yang tertera.
Menyedari saya telah diganggu, saya menghantar satu SMS balasan berbunyi:- Minta maaf. saya tidak kenal siapa kamu dan tidak percaya dengan apa yang kamu katakan. Kira-kira pukul 11.30 pagi, saya terima panggilan telefon dari nombor 006285880386856. Ketika itu, pemanggil tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai dari Petronas Malaysia memaklumkan SMS yang saya terima bukan satu penipuan. Katanya, hadiah wang tunai yang bakal saya terima akan dimasukkan ke dalam akaun Maybank. Serentak dengan itu, dia meminta Nama Penuh, No. Kad Pengenalan, No. Akaun Maybank dan bertanyakan jumlah simpanan saya dalam akaun tersebut.
Kerana tidak percaya dengan apa yang dia katakan, saya berkeras tidak mahu memberitahu semua perkara yang diminta. Bagaimanapun, dia meyakinkan saya bahawa No. Kad ATM Maybank milik saya telah pun dia ketahui. Serentak dengan itu, dia membacakan 8 digit pertama nombor tersebut. Menurutnya, dia memerlukan semua perkara yang diminta tadi untuk pengesahan supaya hadiah RM10,000 boleh dimasukkan ke dalam akaun saya secepat mungkin.
Saya yang tidak sempat berfikir panjang segera memberikan semua perkara yang diminta. Bagaimanapun, saya mula berasa cemas selepas itu lalu segera ke cawangan Maybank terdekat dan sempat mengeluarkan sebahagian besar wang simpanan saya sebagai langkah berjaga-jaga. Selepas pengeluaran itu, saya masih mempunyai simpanan sebanyak RM1,202
Kira-kira jam 2.30 petang, saya kembali ke cawangan Maybank yang sama. Setelah diperiksa, saya dapati baki simpanan saya bukan bertambah sebanyak RM10,000 seperti yang dijanjikan, sebaliknya hanya tinggal RM2.00 sahaja. Ketika itu saya sedar bahawa saya telah tertipu. Wang simpanan saya sebanyak RM1,200 telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.
Satu laporan polis telah dibuat dan pihak polis memaklumkan, kes seperti ini sering berlaku dan mangsanya akan dipukau terlebih dahulu sehingga memberikan apa saja yang diminta. Menurut polis lagi, sindiket yang berpangkalan di Indonesia ini telah menyamar sebagai badan-badan dari Malaysia. Mereka juga bertutur dalam bahasa Malaysia untuk memperdayakan mangsanya.
Kepada kawan-kawan yang mungkin menerima SMS serupa, saya nasihatkan supaya abaikan sahaja. Jangan sesekali membalas atau menelefon kembali nombor yang tertera biarpun untuk memaklumkan yang anda tidak percaya dengan SMS yang dihantar kerana anda akan segera dipukau melalui cara itu.

Mainan politik semata-mata

12.00 pagi (7.Mac.2007) waktu Malaysia.
Saat saya menulis blog serba ringkas ini, sekumpulan petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang bertungkus-lumus menurap jalan-jalan utama di Pantai Dalam, di pinggir Kuala Lumpur. Suasana malam yang sedia bingit di kawasan sesak ini dibingitkan lagi dengan deruman jentolak dan segala macam jentera lain yang digunakan sejak jam 5 petang tadi hingga kini sudah lewat malam. Dan saya yakin kerja itu akan berlanjutan hingga dinihari. Bunyi bising luar biasa ini benar-benar mengganggu nikmat tidur.
Inilah keadaannya di Malaysia. Mainan politik semata-mata. Sekali pemimpin negara datang, sekali jalan diturap. Ketika itulah infrastruktur dibaiki. Semuanya baru hendak disempurnakan. Kadang saya terfikir sendiri, untuk siapakah kemudahan ini dibaiki? Untuk rakyat yang hidup dikawasan inikah atau untuk pemimpin yang baru datang pertama kali?. Sebelum itu, sebuah van yang lengkap dengan pembesar suara sudahpun mewar-warkan kedatangan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ke Pantai Dalam pada 8.Mac ini bagi merasmikan Pantai Sentral Park. Oh, mengertilah saya........
Saya yakin, kalau bukan kerana kunjungan Perdana Menteri, Jalan-jalan di Pantai Dalam ini hanya akan dibaiki bila berlangsungnya pilihanraya. Selepas itu ia dibiarkan dengan seliaan yang paling minimum (kalaupun ada), sebelum dibaiki sekali lagi untuk musim pilihanraya seterusnya.
Ah..., sudahlah dengan semua ini..!!!, saya bosan dengan khidmat sementara yang bersifat sekadar mahu mengambil hati.

BANJIR DI JOHOR - Indonesia turut prihatin.

Sebagai anak Johor, saya (secara peribadi) mengucapkan TERIMA KASIH kepada pemerintah Indonesia yang turut prihatin terhadap bencana banjir besar yang melanda Johor ketika ini. Akhbar (koran) Berita Harian, 20 Januari 2007 melaporkan pemerintah Indonesia turut menyampaikan bantuan berupa ubat, makanan dan selimut yang semuanya bernilai RM396,191. Bantuan yang dihantar menggunakan pesawat milik Tentera Udara Indonesia tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai, Johor semalam dan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kelaurga dan Masyarakat Negeri Johor, Dr. Rubiah Kosai. Di kesempatan ini, saya juga turut berterima kasih kepada pihak-pihak lain yang turut menyampaikan bantuan.
Situasi terkini, air banjir masih belum surut di beberapa daerah walaupun keadaan cuaca semakin baik sejak beberapa hari yang lalu. Setakat hari ini, tinggal sekitar 53,000 mangsa yang masih berada di pusat-pusat pemindahan. Untuk rekod, banjir kali ini merupakan yang terburuk dalam sejarah dan kali pertama melibatkan kesemua lapan daerah seluruh Johor.

Aidilfitri 1427H - HARI RAYA PALING SURAM

Saat saya menulis catatan ini, bulan Syawal telahpun masuk hari yang ke-9. Sebagaimana lazimnya di Malaysia yang menyambut lebaran selama sebulan, suasana Hari Raya masih terasa biarpun tempoh bercuti telah tamat dan para pekerja sudah mula berkerja. Di bandar-bandar besar, banyak pihak yang masih menganjurkan rumah terbuka sehinggalah ke hari terakhir bulan Syawal. Bagi masyarakat  desa, suasana Hari Raya surut sebaik masuk minggu ke-2.

Secara peribadi saya rasakan Hari Raya tahun ini paling suram berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kesuraman suasana itu mungkin bermula setelah jadual pulang kampung terpaksa saya tangguhkan sehari. Malang sekali, saya dan beberapa rakan sepejabat dipaksa bekerja ketika cuti sudah bermula. Lebih malang lagi, kerja yang dilakukan bukannya di dalam pejabat sebaliknya di tepi lebuhraya utama sekitar Kuala Lumpur. Bagi mereka yang melalui jalan-jalan tertentu,  anda mungkin telah menerima satu bungkusan berisi buah kurma, sebotol Air Mineral dan dua helai risalah (brochure) berkenaan satu projek perumahan baru syarikat kami di Shah Alam, Selangor yang kami edarkan kepada para pengguna lebuhraya.

Suram suasananya sekali lagi saya rasa sebaik sampai di kampung. Ternyata yang meraikan hari besar ini hanya saya dan adik lelaki serta kedua orang tua. Sudah terbiasa lapan beradik berkumpul bersama, tiba-tiba kini hanya tinggal dua beradik. Sunyinya. Sudah adat, semua ahli saudara saya yang lain tiba giliran beraya di rumah mertua masing-masing. Tapi raya tetap raya, persediaan tetap dibuat biarpun ringkas dan ala kadar. 

Berselang-selikan kiriman SMS yang saya terima dari rakan di 3 negara. MaklumLah, Fazli kini sudah mendunia. (Padahal rakan-rakan saya itu hanya datang Malaysia, Singapura & Indonesia). SMS inilah pengubat rindu saya pada anak-anak buah saya yang nakal dan 'nak kena gigit'. Pelbagai bentuk ucapan Selamat Hari Raya telah saya terima. Ada yang berbau jenaka, ada yang sedih, yang neutral, hinggalah yang berunsur lucah. Paling menarik, satu SMS berbahasa Jawa yang dikirim rakan dari Klang yang saya pasti dia juga tak faham maksudnya. SMS tersebut berbunyi begini:-

            “Ngadok Kupat neng ngisor ondo, Godonge nipah digawae atep,
             Salah silapku njaluk ngapurn, Ketemu meneh neng taun ngarep”

Pagi Raya. Hanya kami berempat menjamu ketupat dan juadah lain didapur. Suasana satu syawal ini juga disuramkan lagi oleh cuaca yang tak menentu. Hujan mula turun renyai waktu pagi dan lebat menjelang petang. Kami hanya duduk di rumah dan menanti tiba kunjungan saudara mara.

Syukurlah menjelang seminggu, barulah suasana bertukar wajah, satu demi satu ahli keluarga yang bertebaran seluruh semenanjung pulang ke kampung. Ibu jadi nampak lebih ceria dari biasa. Lebih–lebih lagi saat menyambut kehadiran kali pertama cucunya yang ke-25 yang baru berusia beberapa minggu. Bertambahlah lagi peruntukan duit raya untuk cucu ibuku.  Bertambah besarlah keturunan Piren & Warjo, pasangan dari Pati, Jawa Tengah yang berhijrah ke Tanah Semenanjung awal 1930an yang lalu, yang kini menjadi induk kepada 9 orang anak, 78 cucu, 490 cicit dan 3 piut. Meriah jugalah keluarga besar kami.

Komik pesong akidah - Satu usaha terdesak

Belum pun sebulan kenyataan rakan saya (seorang mubaligh Kristian) terhadap ajaran dakwahnya yang dilakukan terang-terangan, kini timbul pula isu baru yang tentang perkara yang sama. Hari ini, akhbar (koran) Harian Metro melaporkan sejumlah hampir 800 naskah komik kanak-kanak ditemui di satu kawasan perumahan di Kuala Lumpur. 
Komik berjudul 'Kisah Paling Menarik yang Pernah Diceritakan' dan dicetak dengan lukisan berwarna, memaparkan kisah nabi-nabi yang bercanggah dengan fakta dalam Al-Quran. Komik tersebut antara lain menceritakan kisah 'anak tuhan'  yang kononnya disalib, kisah pengampunan dosa, kisah si bapa dan pelbagai kisah yang menyesatkan.
Dari penelitian, Komek terbitan Bibles International of Canada dengan kerjasama Lembaga Alkitab Indonesia menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya dan mensasarkan kanak-kanak berbangsa Melayu. Komek setebal 30 mukasurat itu diberikan secara percuma(gratis) dan diedarkan ke kawasan petempatan Melayu oleh individu yang tidak dikenali.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, usaha untuk memesongkan akidah Orang Melayu di Malaysia sangat giat dilakukan. Antaranya dengan memberikan rantai salib percuma, gelang tangan berlambang salib peruma, pemberian VCD dakwah kristian Bahasa Melayu percuma dan sebagainya. Apa yang membimbangkan, ada kanak-kanak Islam yang menerima bahan-bahan tersebut tanpa pengetahuan Ibu bapa. Semoga diselamatkan akidah orang Islam seluruh dunia. Amien.

Malaysia belum sepenuhnya MERDEKA

Menjelang cuti hari ulang tahun (hut) kemerdekaan Negara yang ke-49, saya sempat berlibur di beberapa kawasan di bandaraya Kuala Lumpur.  Lokasi pertama, saya habiskan waktu pagi dengan melawat ke Taman Burung Tertutup Kuala Lumpur. Inilah kali pertama saya melawat taman ini sepanjang 4 tahun berhijrah ke ibu negara.
Sesuai dengan motto "Mengantarabangsakan Kuala lumpur" Taman burung ini dilihat bersepadan dan menepati kreteria yang digariskan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur yang baru. Rata-rata pengunjung yang melawat taman ini (hari ini) terdiri dari pelancong asing yang kebanyakannya dari Eropah dan Asia Barat. Saya sempat berbual dengan seorang pelancong Arab yang katanya amat teruja (excited) melawat Taman Burung Tertutup yang dikatakan terbesar di dunia ini (largest covered bird park).
Ramai peniaga jalanan mengambil peluang cuti umum ini untuk menjual cenderahati hasil kerjatangan mereka di kawasan taman. Seorang daripada mereka telah sering saya lihat menjual lukisan diwaktu malam di satu sudut tepi di Sungei Wang Plaza. Tertarik dengan karyanya, saya menempah selembaran kertas darinya untuk ditulis nama saya sekreatif yang mungkin. Hasilnya tidak menghampakan. Saya lantas bertanyakan upah atas khidmatnya itu. Dijawabnya "Lua Pooloo". Sejurus menjelaskan RM20 seperti diminta, saya terpandang sekumpulan pelancong Jepun yang rupanya sejak awal merakamkan aksi semasa peniaga itu sedang menulis nama saya.
Selepas rakamannya diketahui, mereka dengan segera meminta izin dari peniaga itu untuk menyambung rakaman seterusnya.  Saya sempat mengingati jawapan peniaga itu ketika memberi izin: "Okay, Okay, no problem. You Japanese ah?" Pertanyaan itu segera dijawab pelancong Jepun terbabit "Yes, I'm Japanese. And You?"  Soalan ini disambut  bangga oleh peniaga tersebut "I'm Chinese". Saya yang berada disitu terkejut bercampur sedih dengan jawapan yang diberikan. Malang sekali setelah 49 tahun merdeka, masih ada warganegara yang gagal menyebut "I'm Malaysian". 
Dengan keupayaan bahasa Melayu yang terhad  dan  katahati yang masih mengaku 'saya orang Cina' , saya malu melihat peniaga itu. 
Menjelang tengahari, saya panjangkan liburan hari ini ke sebuah pusat beli-belah di pusat bandaraya. Ketika sampai, saya terlihat satu permainan yang dibuka untuk pengunjung pusat tersebut. Dari soalan yang diajukan, saya pasti permainan itu khas untuk rakyat Malaysia yang menyambut hut kemerdekaan. Semua soalan berkisar tentang sejarah negara dan pemimpin-pemimpin terdahulu. Saya perhatikan semua pesertanya terdiri dari warga Malaysia sendiri. Apa yang menyedihkan, pertandingan yang dijalankan dalam bahasa Melayu pada awalnya bertukar ke bahasa Inggeris sepenuhnya semata-mata kerana ada peserta yang tidak fasih menjawab dalam bahasa kebangsaan itu. Sekali lagi terbit perasaan marah dalam hati lebih-lebih lagi pada ulang tahun hari yang bersejarah ini.
Dalam mood yang mula merundum,  saya pulang semula ke rumah. Hari yang sepatutnya indah rupanya berterusan duka. Saya tercari-cari apa maksud kemerdakaan yang sebenarnya diimpikan oleh pejuang-pejuang terdahulu semenjak negara dijajah pada 1511. Dan setelah ratusan tahun berjuang mempertahankan Tanah Melayu, akhirnya kemerdekaan ini 'dikongsi bersama' dan orang Melayu dijanji hak ketuanan, bahasa, agama dan isitadatnya terpelihara. Padahal tergadai.
Belum sampai sebulan hati ini 'dilukai' oleh kata-kata hina dari Syarifah Amani, pelakon Melayu yang tidak sedar diri; yang berbunyi "i sound stupid when i speak Malay", kini terluka lagi. Dan petang tadi ketika menonton rancangan Muzik-muzik di TV3, ia tercalar lagi bila rancangan berbahasa Melayu itu bertukar bahasa apabila pengacaranya Chyril Samad menemuramah sebuah kumpulan muzik lama yang terdiri dari masyarakat keturunan India dalam bahasa Inggeris. Nampak seolah-olah pengacara berketurunan Melayu itu mahu menunjuk-nunjuk akan kefasihan bahasa Inggerisnya sedangkan orang yang ditemuramah begitu fasih berbasa Melayu.
Saya terfikir lagi: Apa yang akan jadi pada Malaysia nanti?