بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2007

Start:     Apr 20, '07 12:00p
End:     Apr 30, '07
Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekali lagi menganjurkan Minggu Saham Amanah Malaysia kali yang ke-7 yang akan berlangsung di Kuantan, Pahang. Dijemput rakan-rakan di Malaysia khasnya yang berada di Negeri Pahang beramai-ramai ke Padang MPK, Kuantan dan menangi hadiah menarik dari PNB.

Sebagai pekerja di bawah naungan Kumpulan PNB, Saya dan beberapa orang rakan sekerja akan turut berada di Kuantan menyertai MSAM kali ini mulai 17hb April hingga 1 May 2007. Harap Maklum.

WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR dan Masadepan Bumiputera

Setelah kecewa dengan pembatalan projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor, Kerajaan Pusat cuba lagi mengambil hati rakyat Johor dengan mencetuskan idea Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), sebuah pembangunan terancang di selatan Johor yang kononnya seperti Hong Kong dan berkeluasan 2 kali ganda keluasan Singapura. Melihat kepada idea dan konsep yang diketengahkan, saya percaya semua penduduk Johor, malah seluruh Malaysia berasa bangga dengan kewujudan sebuah metropolis baru yang mungkin sehebat Dubai. Saya juga sebagai anak Johor berasa kagum kerana negeri kelahiran saya bakal menjadi tumpuan seluruh warga Malaysia malah mungkin seluruh dunia. Selatan Johor sekurang-kurangnya menyaingi Kuala Lumpur kalau pun tidak lebih hebat dari itu. Berserta dengan model skala yang bersaiz besar yang dipamerkan sana-sini, tidak ada sebab mengapa WPI dibantah. Secara teori, pembangunan sehebat ini wajar diteruskan.

Malangnya, Idea kerajaan ini seolah-olah mahukan nama dan dikenang sebagai pencetus idea sebagaimana pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu yang berjaya membangunkan projek mega seperti Putrajaya dan Felda. Lalu WPI dicanang tanpa memikirkan perasaan generasi bumiputra yang mewarisi Tanah Melayu sejak zaman-berzaman. Apa yang penting bagi mereka, asalkan idea itu berjaya dan namanya sebaris dengan nama pemimpin-pemimpin terdahulu, apa jua cara sekalipun dihalalkan.

Sebagai anak Johor, saya ada hak merasa bimbang dan menjadi tanggungjawab untuk menyedarkan bumiputera Johor yang menyokong membuta-tuli terhadap perancangan itu. Mereka serta merta setuju biarpun baru melihat keindahan lanskap WPI yang dibayangkan dalam model skala yang diusung sana-sini dan diwar-war dengan gah dalam akhbar sahaja. Tanpa berfikir panjang, ramai yang terpesona biarpun beberapa pihak bertangungjawab terhadap WPI telah membayangkan pembangunan tersebut tidak mengambil kira kelebihan bumiputera sebagai penduduk asal.

Lebih menyedihkan, WPI dicadang akan menjadi Zon Bebas Akses (free access zone) di mana semua bangsa seluruh dunia boleh datang dan masuk ke kawasan itu dengan bebas tanpa passport. Bukan sekadar itu, mereka juga boleh bebas memiliki hartanah dalam kawasan ini gara-gara syarat pemilikan hartanah oleh warga asing (FIC) tidak akan lagi digunapakai. Paling mendukacitakan, penduduk bumiputera dilayan samarata sebagaimana golongan pendatang termasuk dalam hal-hal pemilikan harta dan perniagaan.

Mungkin kerajaan lupa, sebahagian besar kawasan yang akan dibangunkan itu asalnya merupakan tanah milik bumiputera. Mungkin juga mereka lupa, beratus tahun dahulu orang-orang Melayu, Orang Laut dan Seletar bertungkus lumus melawan penjajah demi melepaskan tanah itu daripada jatuh ke tangan bangsa asing. Akhirnya kini senang-senang digadaikan.

Pun begitu, kerajaan masih lagi mampu menasihatkan bumiputera Johor agar tidak gentar dalam gelanggang biarpun sebenarnya mereka sendiri sedia maklum bahawa padang permainan tidak sama rata. Di saat kaum lain sudah ke depan dengan perniagaan yang berdaya maju dan mempunyai rangkaian di banyak negara, bumiputera Johor masih lagi di ceruk kampung menoreh getah dan sebahagian lagi tinggal di pinggir bandar menjadi operator kilang. Kalau ada pun yang berjaya, mereka hanya sebahagian kecil dan mungkin ada di kalangan mereka terlibat sebelah kaki dalam politik.