بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Ole-ole dari Jakarta

Sudah sebulan saya kembali dari kota ini. Kunjungan ke sana pun bukanlah kali yang pertama. Cuma bezanya, perjalanan kali ini lebih bermakna kerana saya sudah punya kenalan dengan beberapa orang Jakarta lokal mahupun beberapa orang luar dari berbagai daerah di Indonesia yang berkerja di kota ini. Sekurang-kurangnya saya tak perlu lagi rasa terasing. Sekurang-kurangnya saya tidak lagi ‘terlalu musaffir’ berjalan sendirian mundar mandir tanpa tahu kemana hendak dituju. Alhamdullillah. Terima kasih untuk semuanya.

Ole-ole istimewa yang saya bawa pulang dari sana kali ini pastilah merupakan pengalaman berharga pertama kali merasakan suasana sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia - di ibu kotanya sendiri. Istimewanya juga, saya sekali lagi dapat melakukan “nature tourism” , salah satu aktiviti pelancongan yang sangat saya gemar. Akhirnya saya dapat juga menjejakkan kaki ke Gunung Gede, Cibodas, Jawa Barat. Gunung yang sering disebut-sebutkan teman pendaki di sana. Alhamdullillah, tetap bersyukur biarpun hanya dapat mendaki sehingga ke air terjunnya saja.

Tapi semua itu bukanlah ole-oleh yang ingin saya ceritakan kali ini. Tulisan ini khas saya tulis untuk menggambarkan keadaan Jakarta pada sisi-sisi yang berbeza dengan di Kuala Lumpur. Sesuatu yang sudah lama saya rasakan. Kalau dulu, ia hanya tergambar dalam kenangan, kali ini saya mahu ia digambarkan dalam tulisan.

Kesan nyata, saya tercengang melihat kesesakan jalan-jalan di sini yang terlalu melampau. Sangat kronik pada fikiran saya. Sempat saya bayangkan bagaimana kalau saya sendiri dibiarkan hidup di kota ini. Mungkin boleh stress jadinya kerana belum biasa. Di Jakarta, jalanrayanya bukan sekadar untuk kenderaan lalu-lalang. Jalanrayanya jadi lapangan berniaga. Macam-macam produk dijualkan di atas jalan-jalan di sini oleh penjual jalanan. Ada yang menjual surat kabar, ada yang menjual cenderamata, ada yang menjual snek dan apa saja benda lain lagi yang mampu di-rupiahkan.

Jalanraya di sini juga jadi dataran pengemis. Sana-sini ada saja anak kecil (malah ibu-ibu) yang meminta belas sampai ke tengah jalan. Pantang lalulintas terhenti, kenderaaan anda pasti jadi sasaran didatangi golongan yang mahu menagih simpati. Tak tergambar ganasnya kehidupan di sini. Jelas terbayang betapa besarnya saingan hidup di kota kosmopolitan ini.

Jalanraya di sini turut menjadi pentas pemain muzik. Bukan sedikit, tapi ramai anak-anak muda berbakat yang tanpa diminta menyumbangkan suaranya untuk dihayati. Penampilan mereka juga ada ciri khas. Dari yang saya lihat, rata-rata mereka ramai menyimpan rambut pajang dengan pakaian berimej ‘rock’.

Barangkali di musim-musim pemilu, jalanrayanya juga jadi pentas kempen (kampanye) politik. Yang ini belum pernah saya rasakan.

Kalau ke Indonesia. Tak usah kuatir soal kenderaan. Ada bermacam-macam angkutan awam tersedia. Dari ojek, (angkutan awam menggunakan motorsikal), Bajaj (motor roda tiga) Angkot (van yang diubah suai), Bas, Basway, keretapi, sampailah ke teksi sebagai angkutan awam paling selesa. Semuanya tersedia dan sangat mudah didapati. Pada satu sisi, mungkin ada yang memandang negatif pada semua ini kerana ia menyumbang kepada kesesakan melampau jalan-jalan di sini.  Tapi pada satu sisi yang lain, percayalah, keberadaan semua jenis angkutan ini mampu memberi kesenangan.

Saya hanya sadar hal ini sebaik sampai di KL Sentral selepas pulang dari Jakarta dulu. Bayangkan, untuk pulang ke Pantai Dalam saja saya terpaksa menunggu bas lebih dua jam lamanya walaupun jarak ke sana hanya sedekat 5km. Apakah ada lagi angkutan awam murah yang sesuai untuk saya? Pantai Dalam tak ada laluan LRT, Pantai Dalam hanya ada stasyen komuter yang jaraknya 1.5km dari rumah saya. Waktu menunggu itulah baru saya sadar alangkah baiknya kalau di KL ada bajaj, atau sekurang-kurang ada tukang ojek yang sedia berkhidmat segelap manapun waktu malam dengan upah seminimum mungkin.

Kalau di Jakarta, jangan hairan kalau anda melihat penumpang beramai-ramai duduk di atas bumbung ketika menaiki keretapi kelas ekonomi. Saya hanya sadar hal ini ketika memilih keretapi unuk ke Bogor waktu itu. Beranikah anda? Saya sendiri berasa takut. 

Ya. Pemandangan yang baru memang menarik untuk dilihat. Mungkin ada lagi sisi lain yang belum sempat saya lihat di sana. Kerana itu, saya tak akan berhenti untuk ke sana lagi.