بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Pulau Sebatik - Hidup lebih baik di sebelah Malaysia

RUMAH papan Muliyati Muin lebih kurang 20m dari sempadan tak berpagar antara Malaysia-Indonesia sejauh 39km di Pulau Sebatik, Tawau, bandar di pantai timur Sabah.

Dia antara warga Malaysia yang tinggal di wilayah Indonesia, di pulau bentuk segitiga yang saiznya besar sedikit dari Langkawi. Negara Indosat, (sebuah syarikat telekomunikasi di Indonesia) di Kampung Haji Kuning yang merentasi sempadan Sabah dan Kalimantan.

Sini, simbul Maxis di fon pintar saya berganti logo Indosat. Mulyati harus pasang perangkap signal bagi membolehkan dia berhubung melalui kad sim Malaysia di rumahnya.

Wanita ini menyara hidup dengan menjual ikan di Jeti Kampung Bergosong.
Untuk sampai ke Kampung Haji Kuning, ada bot laju dari jeti Batu Batu di Tawau, bandar terbesar ketiga di Sabah yang dihuni masyarakat majoriti Bugis (5% dari penduduk Sabah) dan Cina. Pulau Sebatik dapat dilihat dari jeti ini sejauh 10km di depan. 

Dianggarkan 8,000 penduduk Sabah, terutama Bugis, Bajau, Suluk dan Tidung tinggal di Pulau Sebatik sebelah Malaysia. Hanya ada kedai kecil dan warung saja di Sebatik Malaysia selain jalan berturap sejauh 16.9km ini. Di wilayah ini, berkelana dengan bot masih merupakan cara hidup.

Kurang 10 minit, bot laju dari Tawau mendarat di muara Sungai Kampung Haji Kuning bersama penumpang hampir sedozen. Kira-kira 3km dari muara sungai air payau yang dikelilingi hutan bakau ini terletak perkampungan penduduk Bugis samaada warga Malaysia atau Indonesia.  

Ada Ojek (teksi motosikal) menyusup ke wilayah Malaysia untuk angut penumpang Indonesia yang baru sampai dari Tawau.

Saya hadir ke Pulau Sebatik untuk lihat sendiri bagaimana corak komuniti di sini setelah terpisahkan sempadan antarabangsa sejak 16 September 1963 ketika Borneo Utara (nama asal Sabah), Sarawak dan Malaya bergabung membentuk Malaysia. 

"Saya tinggal di kawasan Indonesia sebab masa dulu (tahun 70an) kami tak tahu rumah ini ada di bahagian Malaysia atau Indonesia" kata Muliyati, warga keturunan Bugis yang berasal dari Bone, Sulawesi. 

Wanita Malaysia berusia 35 tahun ini lahir si Kampung Haji Kuning manakala kakak tirinya, Asirah Muing, 46, warga Indonesia, lahir di Bone. Kedua-duanya lahir dari perut ibu yang sama.

Tak banyak beza antara warga Malaysia dan warga Indonesia yang tinggal di kampung ini. Cuba meneka rumah-rumah di Kampung Haji Kuning milik warga negara mana agak sukar sebab semuanya dibina dari papan dan strukturnya kelihatan serupa.

"Tak ada beza, kami semua sama. Kami orang Bugis, cakap bahasa Bugis," katanya dalam bahasa Melayu. "Kami sama saja sebab di kampung ini, orang Malaysia dan Indonesia hidup bercampur gaul".

"Tengoklah kakak saya Asirah, Dia orang Indonesia. Tapi saya tak nampak apa-apa yang lain dari dia. Kecuali mungkin cara kami bercakap dan berpakaian." 

Perempuan Indonesia, menurut Muliyati lebih suka pakaian seksi, manakala perempuan Malaysia lebih sopan. Contohnya, perempuan Indonesia gemar pakai seluar dan blaus, tapi seluar yang dipakai perempuan Malaysia terselindung di balik baju kurung. 


Pengkalan
Ada bot laju dari jeti Batu Batu di Tawau, bandar terbesar ketiga di Sabah yang dihuni masyarakat majoriti Bugis dan Cina — NORMIMIE DIUN/The Star