بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





ANAK-ANAK MALAYSIA, MENGEMBARALAH!

SUMBER: [Berita Harian; Rabu, 6 Mac 2013; Muka 28]
Saya dalam artikel ini adalah Johan Jaafar yang artikelnya disiarkan dalam ruang Rencana, Berita Harian


Amat kurang anak muda kita yang mengembara, saya tak maksudkan mengembara ke luar negara saja tapi juga di dalam negara sendiri. Satu tinjauan yang dibuat oleh sebuah syarikat pembekal peralatan pengembaraan mendapati kurang dari lima peratus anak-anak muda Malaysia yang berhasrat mengembara. Lebih malang lagi, hanya satu pertiga dari jumlah itu yang keluar dari rumah dan benar-benar mengembara. 

Tidak banyak anak-anak muda kita yang kenal negara sendiri melainkan dari apa yang dipelajari dalam mata pelajaran geografi dan sejarah. Mungkin hal ini ada kaitan dengan persaingan hidup. Anak-anak muda mengejar kerjaya dan dengan terbabit dalam petualangan atau pengembaraan mereka anggap ia akan menjejaskan haluan kerjaya mereka.

Ambil cuti panjang
Di Barat, anak-anak  muda ambil cuti panjang selalunya pada musim panas untuk mengembara ke negara lain. Mereka tidak bergerak dalam kumpulan pelancong yang dipimpin oleh pemandu pelancong dan tinggal di hotel-hotel pelancong. Anak-anak muda ini berada di pantai-pantai terkenal di Thailand, sebahagiannya berada di Pulau Pinang atau di Bali. Ada yang mengejar ombak untuk tujuan surfing, ada yang cari pengalaman merantau ke negara orang bagi menambah ilmu.

Sebahagian daripada mereka naik motosikal atau basikal atau bergerak menggunakan kenderaan awam seperti bas dan tinggal di hotel murah atau homestay

Catatan perjalanan anak-anak muda ini ada yang dirakamkan dalam blog atau media sosial seperti Facebook dan kemudian dibukukan. Buku-buku ini banyak yang laris di pasaran. Sayang sekali anak-anak muda Malaysia tidak tertarik dengan petualangan dan pengembaraan. Ramai yang tak pernah keluar dari tempat tinggal mereka. Kalau adapun hanya pulang ke kampung ke rumah nenek atau menghadiri majlis-majlis perkahwinan di tempat-tempat tertentu. Terlalu banyak yang boleh dipelajari dari perjalanan dalam negara sendiri. Bayangkan pergi ke pekan-pekan yang pelik namanya, atau tempat yang kedudukan yang geografinya unik seperti Tanjung Piai di Johor atau di Simpang Mengayau di Sabah.

Rakyat Malaysia sendiri tidak banyak yang tahu wujudnya Kampung Tanduo di Lahad Datu atau Kampung Seri Jaya, Simunul dekat Semporna atau bandar Kunak hingga peristiwa berdarah membabitkan pencerobohan di Sabah. Tak ramai rakyak kita yang tahu nama tempat Bunohan hingga Dain Iskandar Sid arahkan filem berjudul sama dan menggondol hadiah utama Festival Filem Malaysia baru-baru ini.

Banyak anak-anak muda kita yang ambil mudah keistimewaan negara sendiri. Apa yang ada di Phuket dan Koh Samui tak ada di Malaysia? Apakah pantai di Bali lebih istimewa dari Pantai Timur Semenanjung atau Langkawi? Berapa ramaikah di antara anak-anak muda kita yang telah bergerak ke semua bandar dan kampung seluruh Malaysia?

Saya percaya semangat petualangan ini perlu digalakkansejak di bangku sekolah lagi. Memang mengembara tidak selesa dan menyulitkan malah ada bahanyanya sendiri. Tapi pengalaman dan pengajaran dari perjalanan itu amat istimewa sekali.

Saya pernah menulis tentang seorang pengembara muda dari Indonesia yang menamakan dirinya Trinity. Beliau telah menghasilkan tiga siri buku Naked Traveler. Beliau kini berada di negara Amerika Latin sejak beberapa bulan yang lalu. Kita perlukan Trinity dalam kalangan kita supaya dapat memacakkan bendera di mana-mana belahan dunia.

Kita patut berbangga dengan dua pendaki Malaysia yang menjejakkan kaki di puncak Everest pada tahun 1997 - M.Naggapan dan M.Munisamy. Muhammad Mugharabbin Mokhtaruddin (Qubin) pula bukan saja telah mendaki Everest tapi ke semua puncak tertinggi di semua benua di dunia. Beliau sedang menghabiskan pendakian ke semua gunung dan bukit yang disebutkan dalam Al-Quran.

Kita juga berbangga dengan Mohd Noor Mat Amin, jurufoto Utusan Melayu yang sehingga kini telah mendaki Gunung Kinabalu 200 kali. Sewaktu Malaysia mencecah usia 50 tahun, beliau cuba mendaki gunung itu 50 kali dalam masa 50 hari. pada tahun 2009/2010, Mohd Noor telah mendaki Kinabalu 111 kali dalam masa 111 hari.

Contohi Adnan Osman, Wahab Hamzah
Ramai antara kita yang mengagumi Adnan Osman yang kini hampir mencecah 70 tahun tapi berbasikal ke Sukan Olimpik Beijing (2008) dan London (2012). Pengkritik filem terkenal, Wahab Hamzah menghabiskan masa 113 hari melalui 21 buah negara untuk sampai ke Sepanyol. Beliau melalui tempat-tempat di mana terdapat sejarah para ilmuan dan pemikir Islam tersohor.

Banyak sebenarnya pengembara kita yang lalui jalan darat dengan kereta pacuan empat roda, motosikal, basikal atau berjalan kaki. Tapi kebanyakan mereka bukan anak-anak muda lagi.

Pada masa mudalah anda patut mengembara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan