بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEMBARA KEMBOJA (Episod 6) - Seam Reap/Angkor Wat (2)

Malas rehat lama-lama di hotel. Saya capai kamera dan keluar semula cari arah ke Angkor Wat. Padahal saya sendiri tak tahu arah mana yang harus saya tuju. Penyambut tamu hotel yang saya tanya di sini pun tak dapat jelaskan lokasi monumen itu secara jelas. Lagi-lagi masalah bahasa menghalang komunikasi. Lebih parah, tidak ada satu kedai pun yang menjual peta. Saya gagahkan diri jalan kaki berpandukan setiap papan tanda yang tertulis kata Angkor. Di sini catatan seterusnya bermula, sambungan dari Episod 5.

laluan ke Kompleks Candi Angkor Wat

Perut terasa lapar. Baru ingat saya tak jamah makanan sejak dari Kampong Thom lagi. Selain misi asal menjejak Angkor Wat, misi terdekat saya ialah cari tempat makan. Tapi saya tak lihat ada petempatan muslim di sini. Siem Reap tak sama dengan Phnom Penh dalam soal ini. Akhirnya saya beli sesikat pisang, air kelapa muda dan sekotak besar susu Nestle untuk dimakan sambil berjalan.

Sudah sejam menapak, bayangan Angkor Wat masih belum kelihatan. Cuma makin lama makin ramai pelancong hilir-mudik. Ada yang mengayuh basikal, ramai yang tumpang tuk-tuk. Tak jauh di depan saya ada tukang ojek (teksi motosikal) sedang tunggu penumpang. Saya naik ojek itu saja kerana tak tahan kepenatan. Oh Tuhan, terlupa pula tanyakan soal biaya.
Indah, pemandangan seperti inilah yang menyambut kita
Seperti tasik semulajadi, sebenarnya satu binaan
Laluan ke Angkor Wat berpayungkan hutan tebal. Satu pemandangan yang tak biasa saya lihat. Selama di Kemboja hanya sawah padi saja yang saya lihat sejak dari Phnom Penh. Hutan rimbun ini berikan kesan redup sepanjang perjalanan, rasa macam bukan di Kemboja pula. Lebih kurang satu kilometer sebelum sampai ke kompleks candi itu ada pintu gerbang yang dalamnya ada puluhan kaunter tiket. Tukang ojek yang saya sewa itu bilang kalau orang luar akan dikenakan bayaran masuk USD20. Tapi untuk saya, dia ada cara untuk mengelak bayaran. Hmmm? bunyi macam menarik, jadi saya ikut saja saran tukang ojek itu. Kata dia, muka saya kelihatan sama seperti warga Kemboja yang lain, jadi tak perlu bimbang. Dia sempat ajarkan beberapa ayat dalam bahasa Khmer sebagai persediaan untuk menyamar. Kagum, tukang ojek ini fasih bahasa Inggeris.
  
Namun nasib saya kurang baik, seorang petugas perempuan menahan kami setelah beberapa meter melangkah. Tukang ojek arahkan saya supaya lafazkan semula ayat yang telah dia ajarkan tadi, sayangnya saya lupa menyalin ayat itu.

Tak pasal-pasal saya ditahan setengah jam di pejabat pengawal dan di soal siasat. Mujur saya tak didenda. saya hanya disuruh patah balik ke kaunter tiket dan beli tiket di sana. Terpaksa beratur satu jam di sana sebelum mendapat tiket yang mahal itu. Sebaik dapat tiket, perlahan-lahan saya sembunyi dari tukang ojek tadi untuk elak bayar upah kepadanya. Tapi belum sempat sembunyi, tukang ojek itu dah memanggil. Perjalanan diteruskan dengan hati yang bengkak dan membuak-buak dengan kata-kata nista yang bakal saya semburkan ke tukang ojek itu nanti.
para pekancong melihat Angkor Wat dari seberang tasik
Di hujung laluan menuju kompleks Angkor Wat ada tasik yang cantik mengelilingi seluruh monumen. Tasik ini dibina khusus untuk tujuan keselamatan ketika zaman kegemilangannya Empayar Khmer dulu. Di situ ada bayang-bayang Angkor Wat yang tergambar cantik di atas air. Amat mengagumkan. Rasa marah pada tukang ojek itu pun hilang kerana harus minta tolong dia buat merakam foto kenangan.
Misi selesai, saya sudah jejakkan kaki di sini
Tiba di pintu masuk utama, tukang ojek itu arahkan saya turun dan minta upah sebesar USD25. Menyirap darah saya. Bila dikira, harganya sama dengan RM75 duit Malaysia. Sahihlah saya tertipu. Bayangkan dalam jarak 5km saja naik motor upahnya sebesar itu. Apa boleh saya buat? Mungkin lain kali saya harus beringat.

Apapun, Angkor Wat memang mengagumkan. Dan kini kekaguman itu ada di depan mata. Malas fikirkan kebodohan saya itu untuk tidak membunuh mood yang sedang berkobar-kobar. Angkor Wat, kini saya datang.
Laluan masuk utama ke Kompleks Candi
Tercengang-cengang fikirkan bagaimana orang-orang dulu membangun binaan ini. Ramainya orang 'jumud' seperti saya sampai tertutup ruang-ruang kosong untuk saya abadi gambar kenangan. Mujur ada sekumpulan pelancong Korea yang sanggup membantu. Merekalah jurufoto dan pengawal saya untuk ditugaskan snap kamera dan menahan orang ramai, takut merosakkan gambar saya nanti.

Ini baru temboknya Angkor Wat
Angkor Wat dibina oleh Suryavarman II. Ada yang kenal? Suryavarman II ialah putra raja yang berjaya membebaskan Kerajaan Khmer dari jajahan Sailendra. Kepada mereka yang buta sejarah, Sailendra ialah sebuah Kerajaan Melayu Tua yang berpusat di Jawa. Ada sejarahnya kenapa kerajaan Sailendra itu sebuah kerajaan Melayu, bukan kerajaan Jawa. Tapi tak sempat saya nyatakan di sini.
mencuba membayangkan masa lampau
Angkor Wat bukan sekadar kuil buddha, tapi juga pusat pemerintahan dan ibu kota Empayar Khmer. Tasik indah yang mengelilingi Angkor Wat itu sebenarnya sengaja digali untuk dijadikan zon penampan dari serangan musuh. Di depan pintu utama, ada satu jambatan yang susurnya dibina menyerupai naga. Ada sejarah kenapa bentuk naga dipilih seperti diterangkan pada label, tapi saya tak sempat baca.

sebahagian tembok yang memagari 'kota suci'
Binaan utama di tengah kompleks ialah zon paling suci. Puncaknya tinggi mencapai lantai lima bangunan. Ada tangga curam terbina bagi memudahkan pelawat mendaki. Sayang ia ditutup untuk kerja selenggaraan ketika kunjungan saya ke sana. Mengelilingi zon suci itu ada tembok setebal 50kaki dan setingginya lebih kurang dua lantai bangunan. Di dalamnya ada ruang khas untuk parajurit mengintai musuh. Sempurna sekali strategi pertahanan orang-orang dulu mempertahankan kedaulatan. Di sepanjang dinding tembok itu ada ukiran patung-patung buddha yang menceritakan ajaran agama itu, dari ukiran patung separuh telanjang hinggalah ke patung dewa paling mulia dengan aksesori-aksesori lengkap di kepala. Saya tak faham apapun disebaliknya, tapi saya kagum pada binaannya. Jika Kemboja pada hari ini dianggap sebuah negara miskin, Angkor Wat bagaikan permata paling berharga untuk mereka.

lihat senibina
Ini binaan utama, sayangnya pelawat dilarang masuk

Menurut sejarah, Angkor Wat pernah ditakluk Kerajaan Siam beberapa abad yang lalu. Bagaimanapun Empayar Khmer mampu bangkit dan merebut kembali jajahannya. Provinsi Siem Reap ini mendapat nama dari istilah 'Siam jatuh' sempena mengingati peristiwa kekalahan Kerjaan Siam itu.

salah satu sisi binaan utama
senibina yang cermat dan mengagumkan
Jika anda minat mengetahui sejarah Angkor Wat dan keagungan Empayar Khmer, anda tak akan dapat apapun kalau hanya melawat monumen ini. Angkor Wat hanya bukti fizikal tapi sejarah dan kisahnya ada diterangkan di Muzium Nasional Angkor di pusat bandar Siem Reap. Silalah ke sana. Nanti anda akan tahu banyak perkara yang tak terjangka.

Muzium Nasional Angkor Wat
Negara Kemboja diasaskan etnik Khmer. Inilah satu-satunya bangsa asli Indochina yang berjaya membangun negara dan memelihara bahasanya. Etnik asal lain seperti Siam dan Champa sudah hilang negara dan bahasanya. Bahasa Khmer salah satu bahasa dari rumpun Austroasiatik, rumpun bahasa asing yang paling dekat kaitannya dengan rumpun bahasa kita, bahasa Austronesia. Sifat kedua rumpun bahasa ini sama iaitu tidak mengenal jantina, tidak mengenal darjat, dan bukan bahasa nada seperti bahasa Thai, Lao dan Vietnam. Inilah antara ciri yang menyerlahkan pertalian bahasa Khmer dengan bahasa-bahasa kita di kepulauan Asia Tenggara. Orang Khmer juga berkulit sawo matang, lebih mirip bangsa Melayu dan beza jauh dengan wajah-wajah dominan di negara-negara Indochina yang lain.

Catatan ini mengakhiri pengembaraan saya ke Kemboja, bermula dari Phnom Penh singgah di Kampong Thom dan berakhir di Siem Reap. Misi saya hampir selesai, namun ada satu lagi catatan akhir tentang kisah saya menyeberang sempadan darat Kemboja/Thailand hingga balik ke Malaysia. (bersambung)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan