بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





LINTAS SEMPADAN - Kemboja / Thailand / Malaysia (Siri 1)

Setiap kali ke luar negara, perkara utama yang suka saya tinjau ialah perbezaan sosial antara dua sisi sempadan. Kali ini, saya sempat perhatikan perbezaan itu di pintu sempadan Kemboja-Thailand antara Poipet dan Aranyaprathet. Sambungan dari kisah perjalanan darat secara solo paling berani pernah saya lakukan setakat ini. Episod akhir kisah itu boleh dilihat di sini.

Perjalanan ini bermula sebaik selesai misi saya lihat Angkor Wat di Siem Reap, bandar terbesar di hujung baratlaut Kemboja. Lokasi tujuan saya selepas ini ialah Bangkok, dalam rangka menyusuri jalan darat untuk balik ke Kuala Lumpur dari Phnom Penh. Sedikit info buat sesiapa yang berniat lakukan perjalanan serupa, jangan impikan bas ekspress langsung dari Siem Reap ke Bangkok. Ia tidak ada. Apa yang sering dipraktikkan pengembara ialah naik bas awam atau ekspress dari Siem Reap sampai di Poipet, bandar paling hujung di sebelah Kemboja sebelum masuk jalan kaki (atau naik tuk-tuk) ke bandar Aranyaprathet di sebelah Thailand. Dari Aranyaprathet, carilah bas ekspress lain atau naik keretapi tujuan Bangkok. Diingatkan, hanya kenderaan peribadi dibenarkan masuk ke Thailand. Bas dan kenderaan awam lain dari Kemboja dilarang sama sekali ekoran sistem pemanduan yang sudah berubah dari kiri ke kanan.

"Lintas sempadan cara ini banyak rintangan, masyarakat yang tinggal di sempadan ialah masyarakat pemeras". Begitulah cerita krew hotel tempat saya inap di Siem Reap dulu. Bunyinya mengerikan.

Sebenarnya ada cara lain yang lebih selamat dan jimat. Jom! semak.

dari Siem Reap, saya teruskan perjalanan ini ke Poipet
11.00 Pagi - Saya masih di hotel di Siem Reap. Sedang berkira-kira bilakah patut saya bertolak ke Bangkok. Bimbang dengan bekalan duit yang semakin menipis, saya jalan kaki saja ke terminal bas yang sama ketika saya sampai dari Kompong Thom dulu. Sayang semua perjalanan bas di sini menuju destinasi ke dalam negara, kecuali satu ke Ho Chi Minh. Paling mungkin untuk saya masuk ke Thailand ialah ambil bas menuju Poipet. Tapi mengingat risiko bahaya yang saya dengar, saya terfikirkan idea lain. Dalam minda saya hanya terbayangkan agen pelancongan. Alhamdulillah, kebetulan terjumpa agen pelancongan yang terletak betul-betul di sebelah penginapan saya. Lebih untung, mereka sediakan bas pelancong untuk ke Bangkok atau Ho Chi Minh, tiga kali sehari. Nasihat saya buat para pengembara yang ingin naik bas pelancong, tempahlah perjalanan anda sekurang-kurangnya sehari sebelum berlepas kerana bilangan bas yang mereka ada amat terhad. Tambang bas pelancong dari Siem Reap ke Bangkok hanya berharga USD15. Murah bukan? Tapi tempuh untuk sampai ke destinasi hampir selama 12 jam.

Bas pelancong terakhir yang saya tempah, bergerak pada pukul 12.30 pagi. Saya diberitahu bahawa saya hanya perlu tunggu di hotel. Tak perlu susah-susah bersiap kerana bas persiaran itu sendiri yang akan datang menjemput. Menjelang 12.00 pagi, baru sedar kalau sayalah satu-satunya penumpang dari hotel ini. Takut kalau-kalau saya tak jadi dijemput, saya suarakan kebimbangan saya ke krew hotel tempat saya nginap itu. Mujur dia faham dan sudi tawarkan diri untuk hantar saya ke pengkalan tempat bas itu berlepas. Menderu laju krew hotel itu bawa motor ke bandar Siem Reap. Barulah kali ini saya lihat pusat bandar itu dari mata kasar saya. Meriah bandarnya, sepanjang perjalanan krew hotel itu tak habis-habis bertanya. Dia perkenalkan namanya Muhsin, penganut Islam. Sampai saja di lokasi, Muhsin minta 10 dollar mengatasnamakan ikhlas dan sama agama, padahal janjinya tadi percuma. Bila diRinggitkan, terbang lagi duit saya RM30 untuk jarak tak sampai 5KM.  

Bas pelancong yang saya naiki bergerak bila habis tempat duduk terisi. Dalam kelam malam itu, sempat juga saya perhati satu-persatu wajah penumpang. Memang sahih, semuanya berkulit putih atau berwajah Eropah. Duduk di sebelah saya ialah wanita warga Amerika yang melancong berdua. Tapi suaminya duduk di belakang kerana terlewat tempah. Wanita Amerika ini, tak mesra langsung dengan saya. Mungkin dia bimbangkan suaminya yang duduk wanita lain di belakang. Hanya sepatah-sepatah saja komunikasi kami. Selain bahasa Inggeris kelas tingginya yang susah saya fahami, dia juga kelihatan tak sabar-sabar nak tidur. Tak ada pemandangan menarik sepanjang laluan untuk saya kagumi dalam suasana yang gelap ini sampai saya tertidur.

Anda Orang Indonesia?
Bas berhenti di sebuah bandar bernama Sisophon pukul 4.00 pagi. Saya terjaga, warga Amerika yang duduk di sebelah saya tadi segera berkepit dengan suaminya menuju ke luar. Ramai penumpang lain juga ikut ke luar. Baru saya tahu bas ini berhenti sementara di sini sebelum sambung perjalanan jam 6.00pagi nanti. Pintu keluar dari Kemboja hanya dibuka jam 7.00. Saya ikut turun untuk cari apa saja yang boleh dimakan. Maklum, sejak dari Kompong Thom lagi saya tak jamah makanan lain selain pisang. Sayangnya tidak ada kedai yang buka. Tiba-tiba satu suara menegur saya dari belakang "Kamu orang Indonesia ya?", tanya lelaki kulit putih dalam bahasa yang saya fahami. Kagum rasanya. Dalam segerombolan bangsa asing itu ada juga orang yang tahu bahasa Melayu. Lelaki asing itu perkenalkan dirinya Robert, warga Jerman yang sekarang jadi guru di sekolah antarabangsa di Bandung. Ketika saya sangka pengembaraan saya sudah amat mencabar, perjalanan Robert lebih mencabar lagi. Perjalanan dia bermula dari Ho Chi Minh sebelum singgah di Phnom Penh, transit di Bangkok dan lanjutkan ke Vientiane, Laos. Malah dia peruntukkan masa sebulan untuk semua ini. Untung jumpa dia, sekurang-kurangnya ada rakan untuk saya bicara dalam bahasa yang saya fahami.

Ringkas: inilah kaunter imigresen Kemboja
7.00 pagi. Orang dah ramai orang beratur ketika saya sampai di Imigresen Kemboja di bandar Poipet. Bangunan imigresen ini hanya susunan kabin yang disambung-sambung. Ada empat kaunter semuanya, dua darinya dikhususkan untuk warga Kemboja dan dua lagi untuk warga asing. Semuanya bersesak dalam ruangan yang seperti nak roboh.  Tambah kalut lagi dengan kehadiran ramai warga Kemboja yang ambil upah mengisi borang kemasukan ke Thailand. Sasaran mereka ialah calon-calon tenaga kerja Kemboja berwajah kosong yang akan digajikan di negara sebelah. Ramainya tenaga kerja Kemboja masuk Thailand di sini sama seperti suasana yang pernah saya lihat di sempadan Entikong/Tebedu ketika warga Indonesia berpusu-pusu masuk Malaysia.

Selesai urusan di Imigresen Kemboja, jalan kaki saja untuk ke Imigresen Thailand. Bangunannya besar tersergam 50 meter di depan.

satu sudut di bandar Poipet (Kemboja)
Toleh balik ke belakang, baru saya lihat apa bezanya dua sisi sempadan ini. Walaupun ekonomi Thailand jauh lebih berkembang, Bandar Poipet di Kemboja ini sekurang-kurangnya lebih berpengaruh bagi penduduk Thailand yang tinggal di sempadan. Aranyaprathet di seberang sana masih 5KM di depan. Pembangunan baru di Poipet nampak rancak. Banyak bangunan sedang dibina. Tapi perancangannya agak sambil lewa. Di Poipet saya tukarkan hampir semua matawang Riel yang masih berbaki ke Baht Thailand. Selebihnya saya simpan untuk kenangan.

gerbang masuk ke negara Kemboja dilihat dari sebelah Thailand
Di sebelah Thailand, perkara pertama yang jelas berbeza ialah sistem pemanduan yang  berubah ke sebelah kanan. Baru saya tahu, hanya kenderaan persendirian dari Kemboja saja yang dibenarkan masuk. Patutlah bas persiaran yang kami tumpangi tadi berhenti setakat di Poipet saja. Mujur semua penumpang sudah diberikan tag pengenalan untuk memudahkan agen pelancongan yang sama di Thailand kenal kami. Sambil melangkah ke kaunter imigresen Thailand, saya sempat pasang telinga dengarkan perbualan penjual-penjual cenderamata di sepanjang laluan. Ternyata mereka masih berbahasa Kemboja. Robert entah di mana, kami terpisah sejak di Poipet lagi. Hal ini dapat saya fahami kerana urusan keluar-masuk sempadan untuk semua warga Asean sudah bebas visa. Robert mungkin masih beratur di Poipet uruskan hal imigresen yang lebih rumit.


Thailand: Bandar Aranyaprathet masih 5km dari sini
Imigresen Thailand jauh lebih moden, banyak kaunter dan lebih luas. Mereka asingkan tiga bahagian untuk warga Thailand, warga ASEAN dan lain-lain negara. Semuanya berjalan ikut aturan kecuali wajah-wajah polos pendatang Kemboja yang kalut tak semena-mena. Lagi-lagi saya teringat pengalaman lihat suasana sama yang terjadi kepada pendatang Indonesia yang ingin masuk Malaysia di Kalimantan Barat. Selesai urusan imigresen, sudah ada agen yang menunggu kami berdasarkan tag yang kami pakai. Kami dibawa naik pikap ke pejabat agen cawangan di bandar Aranyaprathet. Di sana sekali lagi kami bertukar kenderaan lain. Kenderaan yang saya sangkakan sebuah bas seperti bas pelancong yang bawa kami dari Kemboja tadi rupa-rupanya hanya van. Penumpang berpecah naik 4 buah van berasingan. Kami dijangka tiba di Bangkok pada pukul 1.00 petang.

Disangka Pendatang Haram Kemboja
Perjalanan terhenti lagi. Ada pemeriksaan keselamatan dari Polis Thailand yang harus kami tempuhi. Wajah penumpang diperiksa satu persatu. Tiba giliran saya, mereka ajukan soalan dalam bahasa Thai. "Sorry, I don't understand" jawab saya. Wajah saya jadi kecut. Tak tahu kenapa dari ramai penumpang dalam van ini, saya saja yang disiasat. "Your pasport!!, your pasport!!" balas polis itu. Pasport saya diperiksa, muka saya dipandang beberapa kali. Teliti benar mereka periksa wajah saya dengan wajah yang terpapar dalam pasport itu. Tak lama, pasport saya dipulangkan, dan mereka bertanya sesuatu kepada pemandu van. Semuanya dalam bahasa Thai yang bunyinya mendayu walaupun ketika berbentak-bentak sedang marah. Akhirnya pemandu van itu beritahu kalau polis-polis itu tadi telah tersalah menyangka saya pendatang haram dari Kemboja. Semua ini gara-gara saya satu-satunya penumpang berwajah eksotik dari semua penumpang lain yang berwajah Eropah.

Tiba di Bangkok, kami diturunkan di Khao San Road. Penumpang berpecah ke haluan masing-masing. Saya ke Stesen Keretapi Hualamphong untuk cari tiket pulang ke Kuala Lumpur. Tapi semua tiket sudah habis ditempah. Saya diberitahu, cuti tahun baru di Thailand disambut seminggu. Hampir semua tiket perjalanan ke seluruh destinasi sudah terjual. Ketika itu, saya hanya fikirkan Sai Tai Mai, terminal bas ekspress untuk perjalanan arah selatan. Tiba-tiba terdengar nama saya dipanggil. Suaranya seperti pernah saya kenal. Ya, suara itu milik Robert.

Kami bertemu lagi di Hualamphong. Mengetahui situasi saya yang sudah terlepas tiket, dia pelawa menginap bersama semalaman di hostel yang sudah ditempah lebih awal oleh teman-temannya dengan bayaran THB150 seorang. Saya ikut saja lantaran sudah keletihan. Di  hostel itu sudah ada empat rakan Robert sedang menunggu. Dua lelaki dan dua perempuan, semuanya warga Jerman. Tak ada komunikasi yang terjadi antara kami kerana mereka hanya tahu bahasa Jerman. Kami hanya mengangkat tangan dan bersalaman sebelum masing-masing buat hal sendiri. Saya ambil keputusan untuk tidur.

Jam 3.00 pagi, bunyi riuh rendah mengganggu tidur saya. Rupanya Robert dan rakan-rakannya baru pulang dalam keadaan mabuk. Bau arak yang busuk menusuk-nusuk, bertambah mual untuk saya terus bertegur sapa. Saya sambung tidur lagi. Tak lama lepas itu, terdengar lagi bunyi riuh semula. Kali ini Robert dan rakan-rakannya sedang bersiap untuk teruskan perjalanan ke Vientiane. Terpaksa juga saya bangun dan ikut mendaftar keluar bersama-sama.

Ketika itu saya terfikir - betapa kuatnya tenaga mat saleh untuk sambung perjalanan di awal pagi ini. Padahal mereka baru berehat kurang 3 jam. Kini mereka bangun semula dan teruskan perjalanan dengan barang bawaan yang lebih besar dari beg galas saya. Walhal saya yang sudah berjam-jam tidur pun masih belum pulih tenaga. Kami ke Stesen Hualamphong bersama-sama sebelum berpecah di sana. Mereka menuju ruang platform dan saya naik ke surau di tingkat satu. Sambung tidur semula. (bersambung)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan