بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





MENCUBA MEMAHAMI DILEMA ANAK-ANAK TAUSUG (SULUK) DI FILIPINA

Saya kongsikan artikel yang saya jumpa dari satu blog beralamat (www.bangsamoromnlf.blogspot) tentang dilema anak-anak Tausug di Filipina. Mungkin ini ada kaitan dengan tragedi yang berlaku di Sabah ketika ini. Artikel ini sudah saya terjemahkan dari tulisan asal berbahasa Inggeris. Sila ambil perhatian, orang-orang Tausug ini dikenal sebagai etnik Suluk di Sabah.

Pandangan saya, apapun sejarahnya, perbuatan bangsa-bangsa kalian ke atas Sabah tak dapat diterima. 
 


CERITAKAN INI KEPADA ANAK-ANAK TAUSUG

Satu masa dulu, ada seorang perempuan yang miliki banyak suami. Perempuan itu bernama Filipina. Salah satu suaminya bernama Sepanyol. Sejak tinggal bersama, Filipina sering didera suaminya, Sepanyol sebelum dia ditinggalkan. Tak lama selepas itu, datang pula dua lelaki lain bernama Belanda dan British.

Kemudian datang lagi seorang lelaki asing bernama Amerika mengahwini Filipina. Amerika seorang kaki judi, kerana itu, dia sering ada masalah dengan seorang lelaki lain bernama Jerman. Jerman ada orang kanan bernama Jepun yang akhirnya pemperisterikan Filipina hanya untuk berseronok.

Satu hari, Amerika menang pertaruhan dan dapat rebut kembali isterinya dari tangan Jepun. Sejak itu, Filipina mulai terikat. Lehernya dijerut dan tubuhnya diperkosa oleh Amerika setiap kali lelaki itu ingin beriadah.

Filipina miliki anak yang ramai, anak-anaknya berwajah cantik seperti ayah-ayahnya; Sepanyol, Jepun dan Amerika. Sebelum saya lupa, Filipina juga ada teman lelaki lain yang tinggal di rumah sebelah. Namanya China. Filipina juga ada anak cantik yang berwajah Cina.  Di kalangan suami dan teman lelaki yang pernah Filipina miliki, Nafkah keluarga yang diberikan oleh Chinalah yang terbaik.

Filipina ada seorang anak yang unik bernama Tausug (Suluk). Dia anak tertua dari semua anak-anak Filipina. Malah Tausug telah lahir sebelum ibunya kahwin paksa dengan semua lelaki asing itu. Tausug tak dapat pendidikan yang baik kerana emosinya terganggu, berontak dan marah selepas lihat segala siksaan dan pemerkosaan yang terjadi ke atas ibunya.

Di tubuh Tausug ada parut yang banyak dan bekas luka lama. Di kalangan anak-anak Filipina, dialah satu-satunya anak yang marah dan menentang perbuatan suami-suami ibunya yang zalim itu, manakala anak-anak yang lain hanya tonton saja ketika ibu mereka dirogol.

Kerana tak dapat pendidikan yang baik, Tausug hanya jadi petani di belakang rumah dan dia tinggal dalam pondok tak jauh dari rumah yang didiami ibunya. Tausug menganut agama yang berbeza dari ibu dan saudaranya. Dia menganut Islam, turunan dari ayah. Sedangkan yang lain menganut Kristian. Hingga ke hari ini, Tausug hanya diberi sisa makanan oleh ibunya setiap hari untuk dia meneruskan hidup.

Apapun, sebelum saya lupa, Tausug pernah beri bantuan kepada seorang kawan muslim bernama Brunei. Sebagai ganjaran, Brunei hadiahkan sebidang tanah bernama Sabah. Tak lama selepas itu, Tausug pajakkan tanah itu supaya duit sewanya boleh dipakai buat beli senjata untuk melawan pemerkosa-pemerkosa ibunya. Tausug mungkin boleh kaya kalau dapat pendidikan yang cukup dan dapat cari jalan bagaimana hasilkan pendapatan yang lebih tinggi dari tanah itu.

Ketika ini ada seorang muslim lain bernama Malaysia yang duduk di tanah tersebut. Tausug memanggilnya setinggan. Biarpun hanya 'setinggan', Malaysia tak izinkan Tausug mendekati tanahnya sendiri. Oh Boy, baru-baru ini Tausug pergi ke sana diam-diam dan melawan setinggan itu. Tubuh Tausug berparut lagi dan luka semula dalam laga kali ini.

Satu hari, Tausug bicara dengan ibunya. "Ibu, saya tak larat lagi merasa sakit atas setiap siksaan yang ibu hadapi. Sakit yang ibu rasa, sakit lagi hati saya. Saya ingin ada keluarga dan anak-anak sendiri dan jalani hidup baru. Saya mahu keluar dari rumah ibu".

Malangnya Filipina tak izinkan Tausug berdikari. Barangkali Filipina sayang pada Tausug walaupun Tausug dilayan 'lebih istimewa' dari anak-anaknya yang lain. Untuk menggagalkan hasrat Tausug, Filipina lakukan apa saja untuk membiarkan anaknya itu kekal miskin supaya dia tak dapat menabung untuk masa depannya sendiri. Sampai sekarang anda masih boleh lihat Tausug di pondok itu tak jauh dari rumah Filipina.

Saat ini, Tausug sudah makin tua. Saya rasa, inilah masanya untuk beri dia kebebasan. Saya anak lelaki Filipina, jadi saya ini adik Tausug. Tapi saya lahir di Mindanao, tanah yang sekarang Tausug sebut tanahairnya. Cita-cita sebelum saya mati ialah untuk lakukan apa saja bagi mengumpul dana untuk keperluan Tausug sebagai tiket buat dia menuju kebebasan yang dia nantikan sejak sekian lama.

4 ulasan: