بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KEMBARA KEMBOJA (Episod 2) - Phnom Penh 2

Dataran Sungai Sap
Tak mahu lama-lama berehat di asrama, Ulvy ajak saya keluar lihat bandar Phnom Penh. Kami menyusur dataran tepi sungai di tengah-tengah ibu kota Kemboja ini. Di sinilah catatan kedua saya bermula, sambungan dari Episod 1.

Menyusur dataran di tepi sungai ini seperti bermain pasir pantai. Bayu sungai yang bertiup kencang menyegarkan Phnom Penh yang kering dan gersang. Ada perahu terumbang-ambing dipukul ombak yang kadang-kadang bergulung besar. Begitulah ganasnya tiupan angin monsun di Kemboja waktu ini. Sekaligus menyejukkan tubuh saya yang sudah kering dihisap matahari. Saya leka memaku diri di tepian sungai yang jadi kebanggaan warga di bandar ini. Inilah Dataran Sungai Sap.

Dana untuk pembinaan Dataran Sungai Sap disumbangkan kerajaan Jepun. Menurut Ulvy, lokasi ini banyak dipakai untuk acara keraian peringkat nasional. Suasananya tak ubah seperti tebing Sungai Sarawak di Kuching. Cuma di sini lebih panjang dan lebar, ada wakaf dan dataran rumput dihiasi bendera-bendera negara seluruh dunia. Saya kagum dengan binaan seperti ini. Kerajaan tempatan Phnom Penh ternyata bijak gunakan kelebihan alam yang ada padanya. Sayang sekali, Kuala Lumpur kebanggaan kita tak miliki sumbar alam berasaskan air seperti sungai yang besar atau laut dengan pantai yang cantik, tak seperti kebanyakan bandar lain yang pernah saya lawati.

Selain Sungai Sap, bandar Phnom Penh juga diairi Sungai Mekong. Jelas Ulvy, sungai dalam bahasa Khmer bererti 'tonle'. Kata itu mengingatkan saya tentang tasik "Tonle Sap" yang pernah saya dengar dalam dokumentari asing tentang negara ini dulu. Faktanya, Sungai Sap ini memang berpunca dari tasik air tawar terbesar di Asia Tenggara itu. Airnya mengalir keluar melalui Sungai Sap, menuju Sungai Mekong seterusnya keluar ke Laut Cina Selatan melalui Vietnam.


Masjid Al-Azhar, Chroy Changvar, Phnom Penh
Makcik penjual ciku ini boleh berbahasa Melayu
Di seberang Sungai Sap ada satu perkampungan Cham Muslim, laluan ke sana dihubungkan oleh satu jambatan yang disumbangkan kerajaan Negara China. Baru saya sedar rupanya setiap satu kemajuan yang ada di negara ini datangnya dari hasil sumbangan. Kampung Cham Muslim ini terletak di Tanjung Chroy Changvar, tanjung yang diapit Sungai Sap dan Sungai Mekong. Saya sempat ke sana naik motorsikal tunggangan Ulvy.

Majoriti penduduk kampung adalah nelayan. Sekali lagi, rata-rata orang yang saya temui, dengan tepat dapat meneka kalau saya dari Malaysia. Tak salah lagi, melihat wajah saya, lafaz pertama yang terpacul di bibir mereka ialah nama negara kita, bukan Singapura dan bukan Brunei, apalagi nama Indonesia atau negara-negara berbahasa Melayu lain kalau pun ada. Di sini ada masjid dan sebuah sekolah agama yang labelnya dalam bahasa Melayu tulisan rumi. Selain bahasa Cham, Khmer dan Arab, beberapa penduduk di situ juga boleh berbahasa Melayu. Lafaz 'terima kasih' sentiasa tertuju buat saya padahal saya hanya berkunjung ke kampung mereka tanpa berbuat apa-apa.

penjara kerajaan Khmer Rouge yang kini dijadikan muzium
Berkunjung ke Phnom Penh, tidak lengkap kalau tak lihat kesan peninggalan lama pemerintahan Khmer Rouge. Saya juga sempat lihat kesan-kesan itu bersama Ulvy dan Maliki naik tuk-tuk. Tambangnya hanya USD5 pergi dan balik. Beza dengan tuk-tuk di Thailand, tuk-tuk di Kemboja lebih selesa, lebih luas dan terselenggara dengan baik.

Siapa Khmer Rouge
Khmer Rouge dalam Bahasa Melayu bermaksud Khmer Merah. ia adalah ketumbukan komunis yang merampas kuasa pada tahun 1975 dan menumbangkan kerajaan demokrasi yang wujud sejak 1953. Khmer Rouge ialah cabang Parti Sosialis Vietnam yang berpusat di Vietnam Utara. Mujur keperitan hidup di bawah Khmer Rouge hanya bertahan selama empat tahun. Penguasa yang ganas ini akhirnya dikalahkan oleh induk semangnya sendiri, Komunis Vietnam. Sayangnya Vietnam pula yang duduki Kemboja selama 10 tahun selepas itu. Peralihan kuasa kepada PBB mulai 1991 menghidupkan semula peluang Kemboja untuk kembali bergelar sebuah negara yang berkuasa mutlak. Begitulah sejarahnya.

tengkorak dan tulang-belulang ini masih asli
Kesan kekejaman Khmer Rouge dapat dilihat di muzium yang asalnya sebuah penjara. Sel-sel tahanan masih kekal hingga kini, malah masih ada kesan darah dan sisa pakaian tertinggal. Inilah penjara tempat Khmer Rouge menyiksa tahanan yang ingkar pada aturan atau terang-terangan mengaku setia kepada kerajaan lama. Pemerintah kuku besi ini menuntut warga Kemboja supaya percaya pada ideologi komunis, harus rela jadi petani, dan berkhidmat hanya untuk kerajaan Khmer Rouge. Waktu itu, cerdik pandai dibunuh, kepercayaan agama dilarang, kita suci dibakar dan mereka menukarkan identiti Kemboja dengan nama yang baru termasuk menukar bendera.

Di muzium ini, masih tersimpan tengkorak dan tulang asli. Juga gambar-gambar mangsa tersiksa dan alat-alat terpakai untuk menyiksa tahanan. Sangat sadis dan sempat berdetik rasa geram di hati saya bila lihat ada manusia menyakiti manusia lain.

Satu sudut di dataran Sungai Sap
Malam di Phnom Penh juga tak kalah meriah. Ruang siarkaki yang pada siang hari tadi kelihatan sepi, kini jadi dataran anak-anak muda dan pelancong asing 'bersidai'. Saya sempat jalan kaki hingga ke hujung siarkaki itu. Ada Istana tinggalan Raja Norodom Sihanouk yang baru mangkat tersergam megah di situ. Waktu kedatangan saya, masih ramai penduduk Kemboja beragama Buddha melakukan ritual agama seperti 'kenduri mendiang'. Begitulah barangkali. Ketika saya masuk ke dalam, ada seorang bhiksu (sami buddha) berikan saya sejambak bungai teratai dan beberapa alat sembahyang untuk saya gunakan. Maliki dan Ulvy lalu menolak dengan baik pemberian itu dan menerangkan bahawa kami orang Muslim. Bhiksu itu memahami. Satu toleransi agama yang baik dapat saya lihat.

Soal makanan tak jadi masalah
Pulang dari tebing Sungai Sap, kami ke Pasar Pusat (Central Market) di tengah bandar Phnom Penh. Dalam bahasa Khmer, Pasar di sebut Phsar. Sama bunyinya dalam bahasa Melayu. Ini satu lagi bukti memang ada kaitan antara kedua bahasa ini. Dalam perjalanan ke sana, saya temui Restoran Malaysia di Jalan 13, tak jauh dari dataran tebing Sungai Sap itu tadi. Manunya ialah makanan yang dah biasa dengan lidah kita dan pengusahanya berasal dari Klang, Selangor. Buat pelancong dan pengembara yang mengidam makanan Malaysia, silalah ke sini. Bila berhajat cari buah tangan untuk dibawa pulang, kunjunglah ke Pasar Pusat di tengah Bandar Phnom Penh. Segala jenis cenderamata ada dijual..

Sesuai janji saya kepada Ulvy dan Maliki, malam itu saya sudi lepaskan lelah dan tunggu hari siang di asrama mereka. Di sana, segala kebiasaan mereka saya ikuti. Termasuk mandi berbalut kain basahan diruang terbuka yang tak lepas dari pandangan orang yang lalu lalang di pinggir bandar Phnom Penh. Meski pahit saya lalui hari itu, namun jadi pengalaman berharga buat dikenang hari ini. Lena saya terjaga saat penghuni asrama riuh-rendah ketika semuanya bersiap solat subuh dan keluar menuju kelas masing-masing di kampus Universiti Norton.

Pagi itu, saya hanya menanti masa menyambung perjalanan saya yang masih panjang (Bersambung)

1 ulasan:

  1. Salaam I want your contact mobile number please I want talk to you.thanks

    BalasPadam