بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





PENDATANG ASING - Bahagiakah di Malaysia..?

Hari ini, akhbar (koran) harian Kosmo melaporkan seorang pendatang Indonesia memperoleh pendapatan RM3000 (Rp7143000) sebulan hasil usahanya berniaga makanan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur (KL). Pendapatan itu jauh lebih tinggi dari kebanyakan warga Malaysia yang berkerja makan gaji. Di saat rakyat senegaranya membanting tulang menjadi buruh binaan, tukang cuci atau pekerja ladang di Malaysia, pendatang Indonesia yang mahu dikenali sebagai Man itu hanya memerlukan warong tolak untuk menjual steamboat dari pukul 7 malam hingga 4 pagi. Nampaknya nasib Man jauh lebih beruntung berbanding pendatang-pendatang lain termasuk sebahagian besar rakyat Malaysia sendiri. 

Man hanyalah seorang dari jutaan pendatang asing yang mencari rezeki di Malaysia. Sebelum ini, media sering mendedahkan tentang nasib pendatang asing yang menerima layanan buruk ketika di Malaysia seperti didera majikan, dibuli rakyat tempatan, tidak mendapat gaji dan sebagainya. Anehnya kemasukan pendatang asing tidak pernah surut. Ditambah dengan polisi kerajaan Malaysia yang membuka pintu seluas-luasnya kepada pekerja dari Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Bangladesh, jumlah pendatang asing menjadi bagaikan tidak terkawal.

Baru-baru ini semasa cuti sempena Tahun Baharu Cina, saya sempat berjalan-jalan di sekitar bandaraya KL. Dari tinjauan sendiri, ke mana saja saya pergi keadaannya amat 'menakutkan'. Di satu sudut, saya terasa seperti di Ho Chi Minh. Di satu sudut lagi, KL tak ubah seperti mini Jakarta. Di sudut lain, saya bagaikan berada di Dhaka. Sebenarnya banyak lagi kota-kota lain di dunia yang ada mini-nya di Malaysia. Minggu lepas, media Malaysia melaporkan bahawa pihak berkuasa telah berjaya menggempur sebuah perkampungan haram yang didirikan ratusan pendatang Myanmar.  "Hmm.. Malaysia yang bagaimana yang dimahukan kerajaan sebenarnya??" Sekiranya semata-mata bagi memenuhi motto 'Malaysia Truly Asia' nampaknya usaha itu sangat berjaya.

Menyentuh tentang pendatang asing, saya pasti ramai rakyat Malaysia yang dengan mudah dapat mengenal mereka. Biarpun mereka mempunyai warna kulit yang hampir sama dengan penduduk tempatan, mereka tetap mudah dikenal pasti. Bagi pendatang Bangladesh dan India, wajah gelap mereka tak dapat dikelirukan dengan keturunan India warga Malaysia. Kalau pendatang Vietnam, mereka tetap gagal meniru gaya keturunan Cina warga Malaysia. Bagi pendatang Indonesia & Filipina, jangan bermimpi dapat memperdayakan pihak berkuasa Malaysia dengan mudah. Biarpun berwajah seiras bumiputera Malaysia, gaya dan cara berpakaian mereka tetap tidak sama. 

Tuilisan saya ini tidaklah bermaksud saya anti warga asing. Buat rakan-rakan di Indonesia, saya mohon maaf sekiranya tulisan ini melukakan hati kalian. Tulisan ini sekadar meluahkan pandangan sebenar rakyat Malaysia tentang masalah kebanjiran warga asing yang makin parah di Malaysia. Ketika ini, ramai rakyat Malaysia yang tidak selesa untuk keluar berjalan-jalan. Manakan tidak, setiap kali keluar (terutama di hujung minggu), mereka  pasti terkepung dengan penutur bahasa-bahasa asing yang dituturkan orang sekeliling. Setiap kali berjalan, mata mereka sering terlihat aksi-aksi luar biasa yang dibawa pendatang yang mana aksi tersebut sering dilakukan di negara asal mereka. Janggal juga rasanya bila setiap kali ke bandar, penampilan diri nampak berbeza dengan penampilan para pendatang yang banyak berkeliaran di setiap ceruk jalan di Malaysia. Rakyat tempatan sendiri yang akhirnya terkeliru. Maka persoalan sebegini sering bermain difikiran  mereka: "Siapakah yang sebenarnya mengikut trend...?" 

Biarpun sebenaranya ada kebaikan yang diperolehi dari pendatang asing, Sebilangan rakyat Malaysia tetap membutakan mata. Lebih-lebih lagi bila wujudnya kes jenayah yang dilakukan beberapa kerat pendatang asing, nescaya kesemua mereka bakal menerima impak negatif. Saya teringat pada rakan-rakan saya yang berasal dari Kerinci, mereka masih tetap tinggal dalam lingkungan keturunan mereka biarpun berkongsi kampung dengan orang-orang Melayu. Lebih parah, sembahyang jemaah pun mereka lalukan secara berasingan di surau yang berlainan dengan orang-orang Melayu. Mujurlah mereka datang dari Sumatera. Mereka lebih mudah terasimilasi dengan penduduk tempatan berbanding rakan-rakan mereka yang datang dari Jawa, Lombok, Sulawesi, Maluku dan Papua. Malah seribu kali bernasib baik berbanding mereka yang datang negara-negara tetangga yang lain.

Sebenarnya semua pihak saling curiga-mencurigai. Pada saya, sekiranya penduduk tempatan dan pendatang asing saling hormat-memghormati, saya pasti kebahagian akan datang kepada semua. Sebenarnya tak kenal maka tak cinta.

Hubungan Semenanjung-Sumatera Bakal Bertambah Erat

Menjelang pertengahan tahun ini, penduduk di Semenanjung (Malaysia) dan Sumatera boleh memandu kenderaan mereka menyeberang Selat Melaka setelah pengusaha feri antara Melaka dan Dumai bersetuju menyediakan khidmat mengangkut kenderaan penumpang tidak lama lagi. Laporan sebuah akhbar (koran) baru-baru ini menyebut persetujuan itu dicapai dalam rangka kerjasama IMT-GT. Sehubungan itu, penduduk Sumatera selepas ini bakal berpeluang memandu kenderaan mereka sendiri hingga melepasi sempadan Malaysia-Thailand dan penduduk Semenanjung juga berpeluang menjelajah seluruh pelusuk Sumatera melalui jalan darat dengan lebih mudah. 

p/s "Emmm.... kalau ada khidmat yang sama melintasi Selat Sunda, mungkin saya juga bisa sampai ke Jakarta hanya dengan memandu kereta (mobil) "

CUTI-CUTI MALAYSIA – Genting Highlands

Tulisan ini saya tujukan kepada semua teman-teman di Indonesia dan Singapura yang belum pernah menjejakkan kaki ke Genting Highlands dan juga kepada sesiapa saja seluruh dunia yang faham bahasa Melayu. 


Kunjungan ke Genting Highlands ini merupakan kali yang kedua. Sebelum ini saya pernah ke lokasi sama kira-kira dua tahun yang lalu tapi sekadar ‘balik hari’. Kali ini persiapan saya ringkas, sekadar menyediakan 2 helai t-shirt untuk bermalam tanpa sebarang baju khas bagi memanaskan badan . Berdasarkan pengalaman lalu, saya yakin saya tidak memerlukan sebarang jaket tebal.





Khamis. 1 Februari 2007; bertepatan dengan cuti sempena Thaipusam dan Hari Wilayah, saya bersama empat rakan sepejabat iaitu Amniza, Tora, Zaidi (bersama isteri dan 2 anak) dan Eli memulakan perjalanan pada jam 10.00 pagi menaiki bas ke lokasi yang di tuju. Sebaik tiba di Gotong Jaya (Gohtong Jaya), perubahan cuaca telah dapat saya rasakan. Hawa sejuk sudah sekejap-sekejap menyentuh pipi. Saya yang terlalu yakin cuaca akan panas menjelang tengah hari memaklumkan pada Eli agar jangan risau dengan cuaca sejuk. Saya yakin benar cuaca di Genting tidak sesejuk seperti yang digambarkan.

Dari Gotong Jaya, kami kemudian meneruskan perjalanan menaiki kereta kabel (cable car) untuk menuju ke puncak Genting. Ketika itu barulah saya sedar bahwa cuaca disini ketika ini berbeza total dengan cuaca sebelumnya sewaktu kunjungan saya kali pertama dulu. Kali ini hawanya benar-benar sejuk. Sepanjang perjalanan mendaki, kereta kabel kami membelah awan semata-mata. Pemandangan diluar hanya nampak putih kabus. Tidak terlihat apa-apa.



Kira-kira jam 11.00 pagi, kami sampai di puncak Genting. Hawanya lebih terasa sebaik turun dari kereta kabel. Kami seterusnya mendaftar masuk ke Theme Park Hotel untuk tempoh sehari semalam. Ketika itu, seorang penyambut tamu hotel memberitahu suhu diluar hotel jatuh memdadak sejak beberapa minggu dari 26 darjah celsius ke 18 darjah celsius.

Bilik-bilik hotel di sini tidak dilengkapi dengan penghawa dingin (air-cond.) bagaimanpun hawanya tetap juga sejuk hingga ke tulang. Selepas kira-kira dua jam berehat dalam bilik, kami akhirnya keluar semula untuk menuju ke Taman Tema Luar (outdoor theme park). Dengan bayaran masuk RM25 seorang (termasuk 30% diskaun kepada penghuni hotel) kami bebas memilih segala jenis permainan dengan percuma (gratis). Banyak permainan yang pernah saya cuba dulu terpaksa diulang cuba demi menemani teman-teman yang pertama kali. Kepada meraka yang inginkan cabaran, pengunjung boleh mencuba Corkscrew (Rollercoaster), Flying Coaster ataupun Super Toboggan. Malah pengunjung juga boleh mencuba Space Shot kalau lebih berani.




Memandangkan pengunjung tidak berapa ramai hari ini, kami berpeluang mencuba hampir semua permainan yang tersedia. Selain itu pada masa-masa lain yang terluang kami sempat penuhkannya dengan bergambar kenangan di kawasan sekitar. Tapi sayang gambar yang terhasil kurang memuaskan kerana cuaca sejuk yang berawan meliputi segenap ruang udara Genting Highlands sampai ke petang.  Untuk pengunjung beragama Islam, terdapat surau disediakan untuk memudahkan anda beribadah.




Sebelah malam sebaik menikmati hidangan yang disediakan pihak hotel, kami mengambil keputusan untuk berehat. Biarpun ada kawasan permainan yang dibuka sebelah malam, kami lebih selesa memanaskan badan dalam bilik sahaja. Pun begitu, cuaca sejuk yang pada saya melampau menafikan hak saya untuk tidur lena hingga ke pagi.




Hari kedua, aktiviti kami tertumpu di sekitar Taman Tema Dalam (indoor theme park). Bayaran masuk yang dikenakan sebanyak RM22 (bayaran penuh). Permainan yang terdapat disini kebanyakannya merupakan permainan sekeluarga. Agak maembosankan, lembap dan semuanya dapat ditemui di Taman Tema Luar. Bagaimanapun, pengujung pasti tidak akan sunyi sekiranya sudi mengeluarkan sedikit wang untuk masuk ke tempat-tempat hiburan ringan yang disediakan. Banyak jenis hiburan yang boleh dipilih samada yang menyeramkan, mendebarkan mahupun yang menggembirakan.



Untuk pengunjung yang tidak pernah berpeluang merasai suasana salji di Eropah atau di Timur Asia, anda boleh rasakannya di Genting Highlands. Snow World memberikan anda pengalaman itu di dalam sebuah ruang tertutup bersuhu 6 dajah celsius dibawah paras beku. Nikmatilah pengalaman dimana anda akan berasa lebih sejuk dari ais. Anda juga boleh memilih untuk terbang di udara dengan bayaran RM18.00 seorang. Kepada pengunjung yang bukan beragama Islam, anda mendapat kelonggaran untuk berjudi di kasino yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara.  Kepada pengunjung muslim, jauhilah kasino kerana judi adalah haram di sisi agama Islam.


Lebih kurang pukul 3.00 petang, kami tamatkan percutian kami di kota keriangan ini. Tidak sabar rasanya menjemur badan di bawah panas matahari yang sering kami lakukan pada kehidupan normal. Saat kami mahu pulang rupa-rupanya semakin ramai manusia yang berpusu-pusu sampai ke puncak Genting lebih-lebih lagi pelancong asing. Begitulah suasananya di hujung minggu setiap tahun.




Perjalanan pulang semakin sampai ke penghujung. Kereta kabel yang kami naiki semakin menuju Gotong Jaya pada laluan bercerun sepanjang 3.4km. Dari sana, perjalanan diteruskan dengan bas menuju ke Kuala Lumpur. Kulit terasa perit akibat perubahan cuaca sejuk dan panas yang mendadak. 

Sebagai panduan pada kepada mereka yang bercadang bercuti di Genting Highlands dan memilih Theme Park Hotel, kadar sewa di sana bernilai RM150 per bilik. Pakej itu mengandungi 1 kali makan semada pagi, tengah hari ataupun malam. Juga mengandungi  diskaun 30% sekali masuk ke Taman Tema Luar dan tiket kereta kabel pergi-balik dari/ke Gotong Jaya. Perjalanan dengan bas dari Kuala Lumpur ke Gotong Jaya mengambil masa setengah jam dengan tambang RM3.00