بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





KHAS PILIHANRAYA: sekitar penamaan calon




Alhamdullillah. Hari penamaan calon telah berlangsung dalam suasana aman di seluruh negara. Saya sendiri sempat menyaksikan proses itu di Kompleks Sukan Bangsar bagi Parlimen Lembah Pantai. Parlimen ini mengandungi 54% pengundi Melayu, 27% Cina dan 18% India.

Terdengar tempik sorak sambil diselang-seli dengan adegan kutuk-mengutuk yang tidak berapa jelas kedengaran. Masing-masing saling menjulang bendera ketika lagu-lagu pencetus semangat didendangkan. Penyokong parti pemerintah lebih banyak di-boo apabila tindakan kering idea mereka jelas ketika hanya mendendangkan lagu Barisan Kita. Sedang di pihak lawan lebih kreatif dengan dendangan lagu ciptaan sendiri. Umpama satu pertandingan sukan layaknya

Kali ini Parlimen Lembah Pantai menyaksikan pertandingan 3 penjuru apabila calon ‘bebas’, N.Periasamy, seorang veteran keturunan India mengemukakan kertas pencalonan di saat-saat akhir. Dua calon terdahulu datangnya dari Nurul Izzah Anwar (anak Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dari Barisan Nasional (BN).

Suasana sekitar tempat pencalonan sangat panas tapi terkawal. Penyokong parti-parti yang bertanding ditempatkan jauh antara satu sama lain kira-kira 200 meter. Yang jelas, hanya kelihatan penyokong PKR dan BN yangmana jumlahnya dilihat seimbang manakala calon bebas tidak diiringi penyokong.

Dari risik-risik yang dijalankan, calon bebas itu barangkali merupakan calon pengacau yang ditaja parti penyandang yang memenangi Parlimen Lembah Pantai pada musim pilihanraya yang lalu. Rumus mengatakan calon itu, N.Periasamy, mungkin sengaja ditaja bagi mengaut sokongan pengundi India supaya golongan minoriti itu tidak mengundi PKR kali ini. Sejak akhir-akhir ini, sokongan kaum minoriti India kepada kerajaan dikatakan susut mendadak. Ini mungkin strategi bagi menjamin kemenangan bekas ahli Parlimen Lembah Pantai untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya empat tahun lalu.

Dakwaan ini barangkali tepat apabila diberitakan calon bebas itu didakwa merupakan bekas orang kuat MIC yang kini berpindah ke PPP. Kedua-dua parti itu merupakan parti komponen BN. Kebenarannya, hanya Allah maha mengetahui. Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di Perliman Hulu Langat mungkin boleh dijadikan petunjuk bahawa rumus-rumus yang dikatakan oleh pengundi di Lembah Pantai ada benarnya.

Di Hulu Langat, Seorang lelaki cina dengan kelakuan mencurigakan telah dihalang masuk ke bilik penamaan calon oleh polis kerana bimbang dia mengganggu proses yang berlangsung. Hasil siasatan, lelaki itu mendakwa dia dijanjikan akan turut bertanding di kawasan itu oleh seorang agen MCA satu lagi parti komponen BN. Sebelum kejadian itu, Parlimen Hulu Langat telahpun menerima pencalonan dari dua calon Melayu yang mewakili BN dan PKR.

Berpetualang Ke Aceh - Mencari Syiar yang Asal (BKA 2)

Rating:★★★★★
Category:Books
Genre: Other
Author:Radzi Sapiee
Alhamdullillah... Pencarian novel pengembaraan berjudul Berpetualang Ke Aceh (BKA) siri 2 & 3 akhirnya berhasil melalui bantuan seorang sahabat http://mded.multiply.com. Melaluinya, saya berjaya mengesan sebuah premis perniagaan yang menjual koleksi siri-siri buku tersebut. Di situ saya dimaklumkan ketiga-tiga siri BKA yang mereka jual telah mendapat sambutan hangat dari pembeli yang saya yakin memiliki kecenderungan dan minat yang sama seperti saya.

BKA 2 ini merupakan sambungan kisah seorang lelaki (mungkin penulis) yang berhasrat menyiasat susur-galur keturunannya hingga membawa dia berkelana sampai ke daerah-daerah di utara Sumatera. Permulaan pencariannya dapat diikuti dalam siri Berpetualang ke Aceh - Mencari Diri dan Erti (BKA 1)

Dalam BKA 2, cerita bersambung melalui kisah perjalan penulis ke Sumatera. Sebaik sampai di Sumatera melalui jalan laut, penulis bercadang meneruskan pengembaraannya hingga ke Acheh. Bagaimanapun cita-cita penulis terkandas akibat kekacauan yang berlaku antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dan Pemerintah Indonesia di wilayah berkenaan. Kegagalan itu menyebabkan dia menukar haluan lalu berkelana setakat di sekitar daerah-daerah di Sumatera Utara sahaja.

Di daerah-daerah yang dia tempuhi, penulis telah menemukan sesuatu yang dapat membantu pencariannya selama ini.

Siri ini turut menceritakan perkaitan sejarah antara kesultanan kerajaan lama di Perlak, Samudera Pasai, Melaka dan Aceh.

Kata saya: Alhamdullillah, dari sambutan yang baik terhadap buku ini saya yakin semakin ramai di kalangan Melayu Semenanjung yang mulai sedar betapa eratnya pertalian antara Semenanjung, Sumatera dan Agama Islam melebihi perkaitannya yang cuba digambarkan dalam sejarah moden masa kini. Kesediaan kami (Melayu Semenanjung) merungkai pertalian ini harap dapat disambut dengan kesanggupan serupa pihak-pihak di Sumatera. Ayuh kita bina kembali jambatan yang pernah diruntuhkan penjajah ratusan tahun dahulu.

KHAS PILIHANRAYA: musim bermula.....

Semalam (13 Februari 2008) rahsia yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia akhirnya terjawab bila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran perlimen menandakan musim Pilihanraya (PRU) bakal berlangsung tak lama lagi. Dan hari ini, pengerusi Suruhanraya Pilihanraya (SPR) memulakan tugasnya bila mengumumkan PRU ke-12 bakal diadakan 8 Mac depan, manakala hari penamaan calon bertanding ditetapkan pada 24 Februari ini.

Serentak dengan pengumuman itu, Negeri-negeri di Malaysia kecuali Sarawak turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan Pilihanraya Negeri diadakan serentak dengan PRU ke-12 .

Kini bermulalah perang politik di Malaysia sebagaimana perang-perang politik di tahun-tahun sudah. Mulalah timbul fitnah dan tuduhan terhadap parti lawan sebagai salah satu kempen politik selain dari lawan bendera dan perang poster. Saya yakin, selepas ini akan bertiuplah khabar angin yang mendakwa wujud kejadian salah laku dan cerita karut kononnya ada kejadian 'selak kain', 'tunjuk kemaluan', 'bakar bendera', 'belasah petugas' dan banyak lagi cerita rekaan yang akan muncul sebagai usaha menjatuhkan kredibiliti parti lawan di mata rakyat.

Sesuatu yang baik, ketika inilah segala lopak dan lubang  di jalan-jalan raya akan segera dibaiki. Jambatan-jambatan dibina, pagar yang tumbang ditegak, bangunan usang diperbaharui dan banyak lagi kesenangan sementara.

Sebenarnya perang politik ini sudah pun bermula lebih awal di beberapa tempat terutama di Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Kunjungan saya ke Terenganu pada cuti Tahun Baru Cina yang lalu menggambarkan suasana PRU semakin hampir walaupun ketika itu Dewan Parlimen belum dibubarkan lagi. Saya dapati di sepanjang laluan dari sempadan selatan di Kemaman hingga ke sempada utara di Besut penuh dipasang dengan bendera parti-parti politik.   

Apa yang diharap, PRU kali ini akan berlangsug bersih sebagaimana yang dijanjikan SPR dalam kenyataannya berulang-ulang kali. Barangkali SPR memang bersih dan telus dalam mengendali PRU cuma saya bimbang SPR tidak kebal terhadap cubaan pihak-pihak lain yang ingin menipu untuk memastikan kemenangan mereka. Peristiwa ketika saya ditawarkan kad pengenalan baru beralamat di Tanah Merah, Kelantan sebagaimana yang berlaku pada musim PRU ke-11 membuktikan wujudnya penipuan itu.

Untuk PRU-12 kali ini, Alhamdullillah, nama saya masih tersenarai sebagai pemilih di kampung halaman.