بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





CONGKAK - Awalan yang baik, penyudah yang mengecewakan

Rating:★★★
Category:Movies
Genre: Horror
Semalam sempena masa terluang, saya berpeluang menonton filem seram terbaru Malaysia; Congkak. Sebuah filem seram yang dikatakan mengguna sistem bunyi canggih dan mengadun teknik penceritaan yang lain dari yang lain.

Hasilnya memang tak dinafikan, Congkak menyajikan satu kelainan visual, system bunyi dan penceritaan. Tiada lagi adegan hantu yang menayang muka hodohnya kemudian menakutkan pemain filem dan juga penonton. Tahniah untuk itu. Filem ini juga berjaya mengetengahkan satu permainan tradisional Melayu sebagai medium perantaran antara manusia dan mahluk ghaib. Tahniah sekali lagi.

Namun harapan untuk melihat kelainan filem ini berterusan sampai penghujung tidak kesampaian kerana sedikit kecacatan dihujung cerita. Bermula dengan kisah realistik, filem ini berakhir dengan adegan karut umpama dongeng dulu-dulu, sedikit sebanyak menjejas imej keseluruhannya. Sayang, cerita yang dihasilkan dengan teliti di babak-babak awal berakhir dengan pembikinan yang ala-kadar dihujung cerita seolah-oleh pengarahnya tak sabar untuk menyudahkan tayangan.

CONGKAK mengisahkan sepasang suami isteri bersama dua anaknya yang bercadang bercuti di sebuah desa yang jauh dari kesibukan kota. Keluarga itu menginap di sebuah rumah lama yang didakwa dibeli dari seorang teman. Masalahnya bermula bila Lisa, anak bongsu pasangan tersebut tiba-tiba terganggu bunyi aneh di rumah tersebut seolah-olah ada penghuni lain selain mereka sedang bermain congkak.

Kejutan berterusan bila Lisa secara tiba-tiba menemukan sebuah congkak lama di dalam sebuah bilik di rumah tersebut. Penemuan itu mengejutkan ibunya yang sejak awal merasakan sesuatu yang aneh wujud di persekitaran rumah mereka. Keanehan terus berlaku apabila kelakuan Lisa semakin berubah. Dia berkejar-kejaran seorang diri, bermian congkak seorang diri dan mendakwa diajak seseorang 'rakan' ke sebuah semak berhampiran yang sebenarnya tapak sebuah kubur lama.

Kemuncak keanehan berlaku apabila Elly, kakak kepada Lisa yang gemar bersendiri tiba-tiba diserang hesteria. Kejadian ini membuatkan keluarga tersebut bercadang keluar dari rumah yang dihuninya itu. Bagaimanapun, keputusan itu menimbulkan gangguan lain yang lebih banyak dan serius termasuklah kehilangan Lisa secara tiba-tiba. Lisa Dipercayai dilarikan makhluk halus yang menjadi penunggu di rumah tersebut.


Setakat ini, saya menilai cerita itu sebagai membanggakan. Untuk babak sambungan, sayang, ia tak ubah seperti kisah-kisah karut yang pernah disampaikan seorang ibu kepada anak-anaknya untuk menyuruh mereka tidur.

Kisah disambung dengan kemunculan seorang lelaki tua, berkemungkinan bomoh/dukun yang datang secara tiba-tiba tanpa diundang. Lelaki tua itu kemudiannya menawarkan pertolongan dengan membaca kalimat berunsur islam sambil mengasap kemenyan. Berkat kalimat dan asap kemenyan yang dibakar lelaki tersebut, turunlah dari awan seorang perempuan tua (penunggu rumah) bersama Lisa yang disangkakan hilang itu.

Kerana kehandalan lelaki itu, Lisa berjaya dilepaskan dari kawalan penunggu tersebut. Penunggu itu akhirnya berjaya dihapuskan setelah dia dikebumikan hidup-hidup dalam tanah yang merekah akibat dipukul si bomoh. Bagaikan ada 'mukjizat’, tanah yang dipukul si bomoh tertutup semula tanpa meninggalkan kesan. (setahu saya, tidak ada siapapun di dunia dikurniakan mukjizat selain para Nabi - tak tahulah). Cerita itu berakhir selepas keluarga tersebut pulang ke tempat tinggal mereka.


Sayang sekali, mulanya saya bayangkan gangguan yang berlaku itu dapat diselesaikan degan idea yang lebih baik. Saya sangkakan, si bapa sebagai ketua keluarga akan berlari meminta bantuan pada orang-orang kampung. Ketika itu, barulah terasa betapa sukarnya mencari pertolongan di waktu awal pagi sewaktu orang-orang kampung masih tidur. Hasil mencari bantuan yang berterusan, saya harapkan dapatlah si bapa bertemu dengan imam (cerdik pandai agama) di situ.

Kemudian, hasil amalan; contohnya doa, zikir, sembahyang dan lain-lain tanpa perlu mengasap kemenyan, akhirnya gangguan di rumah tersebut berjaya dikurangkan dan kehilangan Lisa turut sama dicari oleh penduduk kampung dalam satu operasi pencarian. Berkat kesabaran dan amalan menurut Islam sebanar tanpa perlu ada unsur tahyul, Lisa berhasil ditemukan dalam keadaan lemah, kusut masai dan terpinga-pinga. Rasanya ini lebih baik dan realistik dalam masyarakat - Tak tahulah. Mungkin saya hanya pandai mengkritik

Minggu Saham Amanah Malaysia 2008 - Melaka

Start:     Apr 18, '08 3:00p
End:     Apr 29, '08 6:00p
Location:     Ayer Keroh, Melaka
MSAM kali ini, sekali lagi saya terpilih mewakili syarikat untuk memberi pendedahan kepada penduduk Melaka (dan sekitar) tentang pelaburan mereka dalam bidang hartanah. Selain kami, ada puluhan lagi GLC lain yang akan menyertai pameran tersebut. Silakan sekalian berkunjung ke MITC, Ayer Keroh, Melaka Mulai 19 - 29 April ini.

Alhamdullillah. Keberadaan saya dalam multiply tidak akan terganggu selama tempoh tersebut kerana dimaklumkan, pihak syarikat dengan murah hati (barangkali) telah menyediakan komputer berinternet di tapak pameran.

Kisah Azreen: Anak Malaysia yang dilarikan ke Indonesia

Sedih baca kisah ini. Kisah anak seorang penoreh getah dari Rantau, Negeri Sembilan yang dilarikan pekerja asing warga Indonesia ke Lombok, Nusa Tenggara Barat. Che Siti Nor Azreen (Azreen), berusia 12 tahun dikatakan dibawa 'kekasihnya'  Tony  Wijaya  27  tahun,  sewaktu pemuda Indonesia itu berkerja di Malaysia.
Kisah Azreen sebagaimana yang saya baca dalam akhbar alternatif Siasah, mula dikesan hilang dari rumahnya sejak bulan November yang lalu. Setelah berberapa bulan mencari Azreen, harapan kedua ibubapa gadis itu akhirnya cerah hasil bantuan yang dihulurkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Husam Musa, penaung Kijang Care, sebuah NGO kebajikan sosial di Malaysia. Melaluinya, Azreen yang dikhabarkan hilang itu rupanya dikesan di Pulau Lombok, Indonesia.
Hasil kerjasama dengan satu agensi di Indonesia, Migrant Care, Azreen dikatakan telah dibawa pemuda itu ke kampungnya tanpa sebarang dokumen. Gadis itu turut dilaporkan sudah berkahwin dengan Tony dan dijaga oleh keluarga pemuda itu.
Laporan Siasah juga menyebut, Azreen dikatakan dipukau pemuda itu hingga sanggup menafikan bahawa dia adalah warga Malaysia. Azreen turut berbohong apabila mendakwa dia sebenarnya warga Indonesia kelahiran Riau kemudian dibawa keluarganya ke Malaysia selama beberapa tahun. Selama di Malaysia katanya, dia dipelihara oleh ibubapa angkat warga Malaysia sebelum mangambil keputusan 'pulang' ke Indonesia dan kemudian berkahwin dengan Tony. 
Bagaimanapun, kedua ibubapa kandung gadis itu kini dilaporkan telah diterbangkan ke Lombok bersama wakil rakyat Pas kawasan Paroi untuk menemui anaknya Azreen, suaminya Tony dan keluarga pemuda itu di pulau itu. Perbincangan dan persiapan membawa Azreen pulang ke Malaysia kini berjalan lancar.
Kata saya: Harap masalah ini dapat diselesaikan dengan aman, penuh persaudaraan & sifat muafakat serta memenangkan kedua-dua pihak. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.     

Suku Jahai : Negro Asia Tenggara

Beberapa hari yang lalu, Akhbar Berita Harian dalam sisipannya melaporkan sebuah rencana tentang suku Jahai di bahagian tengah, utara Semenanjung Malaysia (Semenanjung), lokasinya di Hulu Perak dan Hulu Kelantan. Klik sini.

Jahai adalah salah satu dari enam suku Negrito yang mendiami tanah Semenanjung. Mereka dipercayai telah berhijrah ke Asia Tenggara sejak 60,000 tahun dahulu. Jahai, bersama dengan 5 lagi suku Negrito di Malaysia mempunyai ciri-ciri fizikal yang berlainan dari bumiputera Malaysia yang lain. Bukan setakat paras rupa, budaya, pakaian dan warna kulit, malah mereka bertutur dalam bahasa yang jauh berbeza. Bukan bahasa rumpun Melayu.

Selain Jahai sebagai salah satu suku Negrito di Malaysia,  Aeta mewakili suku Negrito di Filipina.

Ciri-ciri khas mereka dapat dikenal pasti melalui rambut yang kerinting, berkulit coklat gelap, mata coklat gelap, hidung kecil, dan ketinggian reletif rendah sekitar 150 meter - satu ciri khas yang sama dengan bangsa Negro di Afrika Tengah. Suku Jahai meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan berburu binatang dan menuai hasil hutan.

Selain Negrito, Malaysia menamakan dua lagi suku nomad yang mendiami Semenanjung ini sebagai Orang Asli iaitu Senoi dan Melayu-Proto. Mereka diiktiraf sebagai penduduk asal Semenanjung sebagaimana Melayu-Deutro, bangsa Melayu moden yang terdapat pada hari ini.

Kata Negrito’ mula diperkenalkan oleh pelayar Sepanyol merujuk kepada satu bangsa yang ditemui di Pulau Andaman, di pantai barat Myanmar selatan. Istilah Negrito diperkenalkan bagi membezakan bangsa Negro yang tinggal di luar Afrika. Pakar-pakar pengkaji ilmu manusiawi berpendapat,  Negro di Asia Tenggara hanya ditemui di Pulau Andaman, Semenanjung Malaysia dan Filipina. Tidak ada data yang menunjukkan keberadaan suku Negrito di Indonesia.

Kajian yang dilakukan seorang pengkaji, Alfred Russel Wallace yang mengemukakan hipotesis tentang hubungan antara penduduk asal Papua dengan orang Negrito mendapati, mereka hanya memiliki pertalian yang sangat sedikit. (Malay Archipelago, 1883 ed., p. 602). Bagaimanapun para pengkaji berpendapat, suku-suku asli yang berkulit gelap dan berambut kerinting yang menghuni Irian Jaya, Papua New Guinea dan pulau-pulau Melanesia yang lain barangkali bersusur-galur dari bangsa-bangsa di Afrika juga.

Biarpun orang Negrito di Pulau Andaman, Semenanjung dan Filipina, merupakan bangsa serumpun, hanya Negrito di Pulau Andaman saja yang berjaya mengekalkan bahasa asal. Bahasa orang Negrito di Semenanjung dan Filipina dipengaruhi bahasa-bahasa yang lebih dominan di kawasan persekitaran mereka. Hal ini mungkin kerana kedudukan geografi Pulau Andaman yang merupakan satu gugusan pulau yang terasing dari dunia luar, sedangkan kedudukkan Semananjung dan Filipina lebih mudah dijangkau manusia.  Agak menghairankan, gugusan pulau Nicobar yang terletak ke selatan sedikit Pulau Andaman di dapati tidak menjadi habitat orang Negrito.

Pulau Nicobar di diami suku laut (sea gypsy) yang bertutur dalam bahasa rumpun Melayu.

Akibat tinggal berjiran dengan suku-suku lain yang dominan di habitat baru mereka, orang Negrito Malaysia memakai bahasa-bahasa Mon-Khmer, satu keluarga bahasa yang menurunkan bahasa di Kemboja dan Vietnam; manakala Negrito di Filipina menerima pengaruh bahasa-bahasa Austronesia, keluarga bahasa yang menurunkan bahasa-bahasa Melayu. Bagaimanapun, seorang pengkaji bahasa, Timothy Usher mendapati terdapat beberapa perkataan dalam dialek Negrito di Malaysia yang sama dengan dialek bahasa Negrito di Pulau Andaman.

Kata saya: Siapa sebenarnya penduduk asal Semenanjung?