بسم الله الرحمن الرحيم
Selamat Datang
Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.
Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.
Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.
Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.
Sekian. Selamat memabaca
Catatan Perjalanan - Ho Chi Minh
Bandar Ho Chi Minh dilihat dari udara LAGI GAMBAR |
CATATAN PERJALANAN - HO CHI MINH
Alhamdulillah telah selamat kembali ke tanah air. Perjalanan ke Ho Chi Minh menjadi satu lagi perjalanan yang membekas dalam hati. Ternyata ada sesuatu yang boleh kita teroka di sana terutama kepada pencinta dunia Melayu seperti saya. Buat para pelancong Melayu dari Malaysia dan Singapura dan pelancong dari Indonesia, catatan ini mungkin berguna untuk anda, buat panduan melawat Ho Chi Minh satu hari nanti.
Tentang Ho Chi Minh
Ho Chi Minh merupakan bandar terbesar di Vietnam . Lebih besar dari ibu negaranya sendiri, Hanoi . Bandar ini menampung penduduk seramai 6 hingga 7 juta orang. Sesuai dengan penduduk yang seramai itu, Ho Chi Minh terlihat padat dan menyebar luas tak terjangkau dari udara. Ketika pesawat Air Asia yang saya naiki berada tepat di atas bandar ini, saya tak nampak di mana hujungnya. Tiap ruang bercantum membentuk satu metropolitan yang besar. Saya pasti Kuala Lumpur kalah luas berbanding Ho Chi Minh. Cuma bandar ini mungkin kalah maju. Ini terlihat dari kemudahan pengangkutan, lalulintas dan bilangan kenderaan persendirian.
Cuaca di Ho Chi Minh, mungkin sama seperti di Malaysia. Munkin iklimnya panas dan lembap sepanjang tahun. Sebenarnya saya pun tahu tentang itu, cuma lihat pada tumbuhan di sana yang persis seperti di Malaysia, jadi saya anggap sangkaan saya itu benar. Di Ho Chi Minh, kalau anda lihat kebun getah (karet), kelapa sawit, sawah padi, pohon durian, rambutan, manggis, duku, mata kucing (kelengkeng) dan apa saja pohon-pohon lain yang ada di Malaysia, anggaplah itu hal biasa. Jumlahnya terlalu banyak.
Trafik di Vietnam ialah dipandu sebelah kiri. Saya sering tersalah buka pintu bila naik teksi kerana dah terbiasa dengan sistem di Malaysia . Saya dengar kenderaan dari Vietnam boleh dipandu sampai ke Kemboja dan Thailand (malah boleh sampai ke Malaysia kalau ada yang sanggup). Cuma, tentulah aliran trafik jadi kacau bila sampai di Kemboja hasil pertembungan antara kenderaan Thailand yang dipandu sebelah kanan dengan kenderaan dari Vietnam yang dipandu sebelah kiri. Sayangnya saya tak dapat buktikan hipotesis itu gara-gara rancangan melawat Kemboja terbatal di saat akhir.
Kalau anda sampai ke Ho Chi Minh dan nampak ramai wajah-wajah Nusantara di sini, lalu anda sangka mereka orang Malaysia atau Indonesia yang telah berkurun menetap di situ, ubahlah fikiran anda kerana anda telah salah. Sebenarnya, mereka memang penduduk asli Ho Chi Minh. Mereka ialah orang-orang Cham.
Secara kasar penduduk bandar ini terdiri dari dua ras. Mereka ialah ras berkulit kuning langsat, merangkumi suku-suku etnik Vietnam dan Cina; dan keduanya ras Melayu yang terdiri dari beberapa sub-suku Cham. Ada 52 etnik semuanya di seluruh Vietnam . Sebagai sebuah negara yang ingin punya identiti, Warga Vietnam hanya belajar bahasa Vietnam sebagai bahasa pemersatu dan bahasa Ilmu. Pun begitu, bahasa etnik lain tak dihalang dituturkan.
Baru saya tahu kalau bahasa Vietnam tak sama dan tak dimengertikan oleh penutur-penutur bahasa Kemboja , Thailand dan Laos . Malah bahasa Vietnam juga tak difahami orang Cina. Saya sempat menghafal beberapa kerat perkataan Vietnam seperti Tern tien (berapa harganya), Kam Eng (terima kasih), Kam Co Chi (sama-sama), Em (adik), Nam (lelaki), Nü (perempuan) dan Ngay (hari). Paling bangga, saya mampu menghafal kiraan satu sampai sepuluh dalam bahasa mereka. Ini dia; Mop, Hai, Ba, Bong , Nam , Saw, Bhai, Tham, Ching, Meie. Biarpun tak difahami orang Cina, terdapat banyak pengaruh bahasa itu dalam rumpun bahasa Mon-Khmer ini.
Sistem ejaan bahasa Vietnam memakai huruf latin. Lafaz ABCnya sama seperti sebutan di Indonesia - Ar Be Che. Setiap kata yang ejaannya sama, dibezakan bunyinya mengikut tanda bacaan yang mewakili bunyi nyaring, tinggi, rendah, mendatar dan sengau. Huruf, C berbunyi K, Ch dibaca seperti bunyi C dan bunyi Ph dibaca seperti bunyi F sebagaimana yang biasa dalam sistem ejaan bahasa Inggeris.
Orang Cham
Saya sangat bertuah kerana bertemu Mohammad Amin, seorang pemandu teksi berbangsa Cham. Alhamdulillah dia beragama Islam. Rasa gugup bersendirian segera hilang, lalu terbit pula rasa lega kerana sekurang-kurangnya saya tak perlu bersusah payah cari makanan halal. Lebih beruntung, Mohammad Amin fasih bahasa Melayu. Tambah untung lagi dialek Melayu yang dituturkan si Amin adalah dialek Melayu Malaysia . Rupa-rupanya dia pernah kerja selama 6 tahun di Pelabuhan Klang. Kakak dan abangnya juga masih ada di Teluk Intan dan Parit Buntar. Kini saudara kandungnya itu sudah berkeluarga dan masing-masing sudah jadi warganegara Malaysia .
Orang Cham mendiami wilayah tengah dan selatan Vietnam , semakin dekat ke sempadan Kemboja, komuniti Cham semakin ramai. Muhammad Amin sendiri berasal dari Chedok (Chau Doc), tak jauh dari Ho Chi Minh ke arah sempadan Kemboja. Merekalah saki-baki keturunan Kerajaan Melayu Champa yang masih tinggal hingga hari ini
Melalui Mohammad Amin, serba sedikit saya dikenalkan dengan suku Cham. Walaupun tinggal terpisah dari dunia Melayu yang lain dan kini jadi minoriti di Vietnam , orang Cham tetap mengaku diri mereka Melayu. Dari perbualan saya dengan beberapa orang Cham di sini, ungkapan seperti Melayu kita, orang kita atau orang Melayu Cham sangat sering kedengaran dari bibir mereka sendiri. Malah kiraan satu sampai sepuluh dalam bahasa Cham juga tak jauh beza. Seperti ini; sA, duA, talo, ampat, limA , anam, tuju, Lpan, Semblan, Sapulo. Hanya yang beza, kiraan sebelas sampai sembilan belas dihitung begini; pulo-sA, pulo-duA, pulo-talo dan sebagainya.
Antara kata-kata bahasa Cham lain yang sempat saya kutip adalah matai untuk mati, hatai untuk hati dan malem untuk malam. Selain itu ada sebutan bahasa Melayu standard yang mereka lafazkan dengan singkat. Contohnya, mata jadi ta, hidung jadi dung, telinga jadi ngA, ular jadi lA, dan Minum jadi Mium. Sayangnya, pengistilahan yang tak berkembang dan tiada pembelajaran bahasa secara formal menjadikan bahasa Cham banyak terima pengaruh bahasa Vietnam . Sampai saya sendiri tak tahu bezakan antara kedua bahasa itu bila mendengar mereka bicara. Di telinga saya, kedua-dua bahasa Cham dan Vietnam itu kedengaran sama padahal masing-masing mewakili dua rumpun bahasa berbeza. Saya diberitahu, bahasa Cham di Kemboja juga telah banyak menyerap pengaruh bahasa Khmer. Sekarang, bahasa Cham di dua negara berjiran ini sudah tidak saling difahami.
Mata Wang
Panduan kepada mereka yang mahu berbelanja, jangan ghairah tukar wang anda kepada Dollar Amerika (USD). Kenyataan bahawa warga Vietnam lebih banyak memakai USD ternyata palsu. Apa yang berlaku, hanya peniaga yang menetapkan harga dalam USD kepada pengunjung luar untuk mendapat untung yang lebih. Nasihat saya, jika sukar mendapatkan Dong di negara sendiri, tukarkan saja wang anda di Vietnam. Buat warga Malaysia, kita lebih beruntung berbanding rakan-rakan dari negara serantau yang lain kerana di setengah-setengah kawasan, Ringgit juga diterima. Seperkara lagi, harga barangan di sini rata-rata seperempat lebih murah dari harga di Malaysia. Jika anda ditawari harga yang nilainya sama atau lebih mahal dari itu, jangan langsung beli sebelum anda mendapat diskaun hampir separuh.
Pengaruh Malaysia
Khas untuk orang Malaysia , jangan khuatir kalau anda merancang perjalanan ke Ho Chi Minh. Pengaruh Malaysia sangat menonjol. Setiap kali berbelanja, anda akan lazim mendengar kalimat seperti ini “sini kakak, abang, murah-murah”, adə-adə, takdə-takdə dan banyak lagi kalimat berbahasa Melayu dialek Malaysia yang lain. Pantang melihat perempuan bertudung (berkerudung) atau wajah-wajah Nusantara, anda pasti akan disapa seperti itu. Pendek kata, siapapun yang datang dari Nusantara akan disangka dari Malaysia . Satu hal yang lucu, kenalan saya dari Indonesia sempat merah mukanya kerana mereka turut disangka orang Malaysia. Tambah lucu lagi bila dengar mereka bicara bahasa Indonesia, mereka disangka dari Filipina pula. Inilah cerita yang terjadi kepada beberapa kenalan Indonesia yang saya temui di Ho Chi Minh. Tak tahu kenapa, tapi melalui pertanyaan dengan Muhammad Amin, intonasi bahasa Tagalog dan bahasa Indonesia sukar dibezakan di telinga orang Vietnam. Apalagi kerana Indonesia masih kurang dikenali
Selama di Ho Chi Minh, saya selalu temui banyak kumpulan pelancong Malaysia yang berlainan setiap hari. Malah di setengah-setengah kawasan, (pasar malam contohnya) bilangan pelancong Malaysia mendahului senarai pelancong-pelancong asing yang lain. Tidak sekadar itu, anda juga mudah temui pekerja-pekerja asal Malaysia yang bekerja di bandar ini.
Soal makanan juga tak usah khuatir, Saya sendiri sempat makan di empat restoran makanan halal selama di bandar ini. Antaranya VN Halal, Kedai Shamsudin, Saigon Halal dan sebuah restoran Pakistan yang saya lupa namanya. Kecuali restoran Pakistan yang menyediakan makanan India , semua restoran lain menyediakan makanan Vietnam dan Malaysia . Selain itu ada juga beberapa warung orang Cham yang didirikan di beberapa buah masjid. Di setiap restoran halal yang saya kunjungi, sekali lagi pengunjung dari Malaysia mendahului senarai pelanggan asing yang makan di sana .
Dominasi Malaysia lebih ketara bila melihat Orang Cham. Walaupun bahasa Cham beza dengan mana-mana dialek Melayu dari negara kita, rata-rata orang Cham boleh bertutur dialek-dialek Malaysia dengan baik. Malah Bahasa Malaysia diajarkan tidak formal di kelas-kelas agama. Jangan terkejut, Bahasa Malaysia dan Bahasa Vietnam dijadikan bahasa bersama dalam khutbah di masjid-masjid terpilih sekitar Ho Chi Minh. Lucunya, teman saya dari Jakarta itu masih bermati-matian pertahankan kalau khutbah itu pakai bahasa Indonesia. Akhirnya dia malu sendiri bila dengar pilihan kata-kata dalam khutbah itu yang lebih mirip Melayu. "Oh, ya. Khutbah itu pakai Bahasa Indonesia campur Melayu", sambung teman saya itu yang mukanya dah mula merah padam.
Satu lagi bukti yang menunjukkan bahasa Melayu Malaysia lebih akrab di telinga orang Vietnam, sebutan Indonesia untuk kata ular, besar, luar dan lebar tak dapat mereka faham hanya kerana ada bunyi R. Tapi mereka faham bila kata-kata itu dilafaz mengikut kebiasaan orang Malaysia tanpa bunyi R. Mahu tak mahu saya terpaksa menjadi pakar rujuk dan penerjemah kepada orang-orang Cham yang tak faham akan bicara teman saya dari Jakarta itu . Belum lagi kata-kata bahasa Indonesia yang lain seperti bisa, mobil, butuh dan sore. Saya yakin, hal ini terjadi kerana dialek Melayu pertama yang mereka dengar adalah dialek Melayu dari Malaysia, bukan Bahasa Indonesia . Yang mengherankan, teman saya orang Indonesia ini masih berkeras mahu meninggi-ninggikan negaranya walaupun dah banyak hal yang membuktikan Indonesia kurang dikenali.
Satu lagi bukti yang menunjukkan bahasa Melayu Malaysia lebih akrab di telinga orang Vietnam, sebutan Indonesia untuk kata ular, besar, luar dan lebar tak dapat mereka faham hanya kerana ada bunyi R. Tapi mereka faham bila kata-kata itu dilafaz mengikut kebiasaan orang Malaysia tanpa bunyi R. Mahu tak mahu saya terpaksa menjadi pakar rujuk dan penerjemah kepada orang-orang Cham yang tak faham akan bicara teman saya dari Jakarta itu
Kedekatan orang Cham (termasuk Cham Kemboja) dengan Malaysia mungkin sudah berlangsung lama. Tidak sedikit dari mereka yang punya keluarga di Malaysia atau pernah belajar di Malaysia atau ada bisnes di Malaysia . Buat mereka yang berhajat ke sini, jangan khuatir untuk ke Ho Chi Minh. Selain ada orang-orang Cham yang boleh kita anggap saudara, pengaruh Malaysia sendiri lebih dirasai - sekurang-kurangnya berbanding negara tetangga.
Tempat-tempat Menarik
Jika anda sendirian melawat Ho Chi Minh tanpa pakej, cubalah melihat Cu Chi (baca: Kow Chi ) Tunnel. Sebuah tapak tinggalan sejarah ketika perang Vietnam melawan Amerika selama 15 tahun. Lokasinya tak jauh dari sempadan Kemboja. Di sana nanti ada penerangan tentang sejarahnya kalau ada yang mahu tahu lebih lanjut. Untuk masuk ke sini, anda dikenakan tiket sebanyak VND 75,000 seorang.
Anda juga boleh melawat pasar sungai Mekong dan sekitarnya untuk merasai suasana hidup sehari-hari orang Vietnam . Pakej lawatan termasuklah melawat kebun buah, kilang produk kelapa dan Ladang penternakan lebah. Bayaran dikenakan sebanyak VND 175,000 seorang. Anda juga boleh memilih melihat pasar tradisional di atas sungai di delta sungai Mekong jika mengambil pakej seperti itu.
Selain dua tempat di atas, banyak lagi hal menarik yang boleh anda lakukan di sekitar bandar Ho Chi Minh. Hanya tanyakan pada selera masing-masing.
Langgan:
Catatan (Atom)