بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Pulau Sebatik - Hidup lebih baik di sebelah Malaysia

RUMAH papan Muliyati Muin lebih kurang 20m dari sempadan tak berpagar antara Malaysia-Indonesia sejauh 39km di Pulau Sebatik, Tawau, bandar di pantai timur Sabah.

Dia antara warga Malaysia yang tinggal di wilayah Indonesia, di pulau bentuk segitiga yang saiznya besar sedikit dari Langkawi. Negara Indosat, (sebuah syarikat telekomunikasi di Indonesia) di Kampung Haji Kuning yang merentasi sempadan Sabah dan Kalimantan.

Sini, simbul Maxis di fon pintar saya berganti logo Indosat. Mulyati harus pasang perangkap signal bagi membolehkan dia berhubung melalui kad sim Malaysia di rumahnya.

Wanita ini menyara hidup dengan menjual ikan di Jeti Kampung Bergosong.
Untuk sampai ke Kampung Haji Kuning, ada bot laju dari jeti Batu Batu di Tawau, bandar terbesar ketiga di Sabah yang dihuni masyarakat majoriti Bugis (5% dari penduduk Sabah) dan Cina. Pulau Sebatik dapat dilihat dari jeti ini sejauh 10km di depan. 

Dianggarkan 8,000 penduduk Sabah, terutama Bugis, Bajau, Suluk dan Tidung tinggal di Pulau Sebatik sebelah Malaysia. Hanya ada kedai kecil dan warung saja di Sebatik Malaysia selain jalan berturap sejauh 16.9km ini. Di wilayah ini, berkelana dengan bot masih merupakan cara hidup.

Kurang 10 minit, bot laju dari Tawau mendarat di muara Sungai Kampung Haji Kuning bersama penumpang hampir sedozen. Kira-kira 3km dari muara sungai air payau yang dikelilingi hutan bakau ini terletak perkampungan penduduk Bugis samaada warga Malaysia atau Indonesia.  

Ada Ojek (teksi motosikal) menyusup ke wilayah Malaysia untuk angut penumpang Indonesia yang baru sampai dari Tawau.

Saya hadir ke Pulau Sebatik untuk lihat sendiri bagaimana corak komuniti di sini setelah terpisahkan sempadan antarabangsa sejak 16 September 1963 ketika Borneo Utara (nama asal Sabah), Sarawak dan Malaya bergabung membentuk Malaysia. 

"Saya tinggal di kawasan Indonesia sebab masa dulu (tahun 70an) kami tak tahu rumah ini ada di bahagian Malaysia atau Indonesia" kata Muliyati, warga keturunan Bugis yang berasal dari Bone, Sulawesi. 

Wanita Malaysia berusia 35 tahun ini lahir si Kampung Haji Kuning manakala kakak tirinya, Asirah Muing, 46, warga Indonesia, lahir di Bone. Kedua-duanya lahir dari perut ibu yang sama.

Tak banyak beza antara warga Malaysia dan warga Indonesia yang tinggal di kampung ini. Cuba meneka rumah-rumah di Kampung Haji Kuning milik warga negara mana agak sukar sebab semuanya dibina dari papan dan strukturnya kelihatan serupa.

"Tak ada beza, kami semua sama. Kami orang Bugis, cakap bahasa Bugis," katanya dalam bahasa Melayu. "Kami sama saja sebab di kampung ini, orang Malaysia dan Indonesia hidup bercampur gaul".

"Tengoklah kakak saya Asirah, Dia orang Indonesia. Tapi saya tak nampak apa-apa yang lain dari dia. Kecuali mungkin cara kami bercakap dan berpakaian." 

Perempuan Indonesia, menurut Muliyati lebih suka pakaian seksi, manakala perempuan Malaysia lebih sopan. Contohnya, perempuan Indonesia gemar pakai seluar dan blaus, tapi seluar yang dipakai perempuan Malaysia terselindung di balik baju kurung. 


Pengkalan
Ada bot laju dari jeti Batu Batu di Tawau, bandar terbesar ketiga di Sabah yang dihuni masyarakat majoriti Bugis dan Cina — NORMIMIE DIUN/The Star

"Cara kami cakap pun tak sama." kata dia. "Bila orang Indonesia berbahasa Malaysia, bunyinya pekat bahasa Makassar. Sebutan pun lain."

Dari segi ekonomi bagaimana? Tanya saya.

"Tak ada beza sebab dia bergantung penuh pada ekonomi Malaysia, bukan Indonesia," tambah Muliyati.

Baju yang Asirah jahit dijual di gerai runcit milik Muliyati di Pasar Sri Tanjung di Tawau, termasuklah buah dan sayur yang ditanam Asirah. Ketika Tawau dapat dijangkau sejauh 30 minit, bandar terdekat di Indonesia, Nunukan, makan masa setengah hari dari Sebatik.  

Di Sebatik, orang Indonesia pandang tinggi pada ringgit.

"Mereka lebih suka berdagang dengan ringgit dari rupiah. Hidup pun lebih mudah di Malaysia. Kalau tidak, masakan orang Indonesia datang berkerja di sini? Ini buktinya ekonomi kita lebih baik dari mereka," tambahnya. 

"Sabah bagi mereka adalah tanah yang menjanjikan. Bagaimanapun ada orang Sabah yang pandang rendah pada mereka sebab mereka hanya kuli. Apa yang mereka bawa ke Sabah hanya tenaga kasar, tak macam orang lain yang bawa modal,"  sambung Muliyati, "orang Indonesia pun bukan lebih rajin dari orang Malaysia."

Kenapa? tanya saya. Dan dia terdiam.

"Mereka cuma lebih kuat kerja dari kita," kata dia. 

Termenung sejenak, dia menambah, "Mungkin hidup di Indonesia susah. Bila dapat kerja di Malaysia mereka terpaksalah kerja kuat sebab itu sajalah pekerjaan yang mampu mereka buat."

Orang Indonesia, katanya, tak kisah kerja lasak di kebun kelapa sawit, sektor yang mula dijauhi orang Sabah.

Menurut Datuk Dr. Patawari Patawe, mantan Adun Sebatik (2004-2008), orang Sabah cenderung puas dengan apa yang mereka miliki kerana hidup yang serba mudah.

"hidup kami hasil subsidi," tambah dia, merujuk subsidi kerajaan untuk sesetengah barang.

"Tapi untuk Indonesia, populasi mereka besar dan mereka harus bertarung untuk hidup. Contohnya, Orang Sabah mampu katakan 'Ini pun cukuplah' bila mereka dapat tangkap ikan yang sedikit. Tapi bagi orang Indonesia, kalau berhenti berkerja, mereka tak ada apa lagi untuk dimakan."

Bila ada perlawanan bolasepak Malaysia-Indonesia, keluarga Muliyati terbahagi ikut kewarganegaraan. "Saya, suami dan anak, sokong Malaysia. Ibu dan kakak sokong Indonesia," ujar dia.

"Indonesia! Indonesia!" jerit Asirah yang terdengar perbualan kami.

Rumah panggung kayu tradisional ada di mana-mana di Kampung Bergosong Pulau Sebatik.

"Tapi ini persaingan sihat" pantas Muliyati menambah.

Sewaktu tahun-tahun 60an, sebelum dan selepas Borneo Utara jadi sebahagian Malaysia, persaingan antara kedua negara tak begitu sihat. Sebatik ialah salah satu lokasi panas ketika Indonesia mulakan permusuhan di kawasan sempadan di Borneo.

Fathalaripin Sandong, 65, lelaki Tidong yang tinggal di kawasan Malaysia di Pulau Sebatik ingat betul isu Konfrantasi ini. 

"Konfrantasi terjadi sebab orang Sabah mahu jadi sebahagian dari Malaysia," kata dia. Konfrantasi itu menakutkan. Kami takut ke kebun menorah getah atau ke laut tangkap ikan sebab askar Indonesia menyamar jadi nelayan atau petani untuk menangkap kami.

Suatu masa dalam tahun 1963, Angkatan British bersama Gurkha dan Askar Melayu tiba-tiba muncul di kampungnya, dekat dengan sempadan Indonesia.

"Angkatan itu bina kem kira-kira 200m dari perimeter kampung. Mereka suruh kami gali lubang 2.4m x 1.2m di bawah setiap rumah. Mereka minta kami lompat ke dalamnya kalau berlaku tembakan," Imbau Fathalaripin yang baru 16 tahun waktu itu.

Pekebun kecil yang miliki 3.2ha kebun getah di pulau ini terkenangkan pertempuran kecil antara kedua-dua pihak.

"Kami takut peluru sesat. Anda tak perasan kalau ada musuh. Mereka ada di kedua-dua belah sempadan," katanya.

Selepas insiden itu, orang kampung tinggalkan rumah masing-masing.

Tapi itu semua dah berlalu. Sekarang orang kampung baik di sebelah Malaysia atau Indonesia hidup harmoni.

Ambil, misalnya, Kampung Sungai Melayu yang miliki sempadan tak terlihat memotong kampung ini menjadi dua. Bayangkan anda berdiri di tengah hamparan padi. Di belakang adalah perkampugan nelayan Sabah dan di depan ialah sekelompok rumah Kalimantan. Kampung Sungai Melayu dihuni orang Bugis yang berfikir sempadan hanyalah satu garisan pada peta.

Kalau anda tak diberitahu kampung ini berada tepat ditengah-tengah sempadan antarabangsa, tak ada siapa yang akan tahu.

Sanusi Lada, 60, warga Malaysia keturunan Bugis, kelahiran Bone, Sulawesi, menebar jala di muara sungai dan kemudian seberang sempadan ke Kalimantan untuk lawat sepupunya Hayati Lahabe, 50an, warga Indonesia keturunan Bugis yang mengusahakan sebuah gerai. 

"Kami mungkin semuanya Bugis, tapi hidup kami berbeza," kata Hayati. "Lebih banyak peluang ekonomi di Sabah."

Inilah sebabnya Abdulrahman Sudin bersyukur lahir di Pulau Sebatik sebelah Malaysia. Orang tuanya sampai ke Pulau Sebatik pada tahun 50an untuk berkerja di syarikat North Borneo Timber.

Sewaktu Konfrantasi, angkatan British menangkap dan memenjarakan ayahnya tiga tahun kerana dicurigai berkerjasama dengan Indonesia. 

Atas alasan Abdulrahman dilahirkan pada 10 Oktober 1963, ketika Malaysia baru terbentuk, Ayahnya memutuskan mohon kewarganegaraan Malaysia untuknya.

"Mungkin ayah saya sedar hidup bakal sulit kalau saya didaftarkan kewarganegaraan Indonesia," kata lelaki 49 tahun itu. 

Dalam tahun 80an, Abdulrahman lawat ayahnya di Ujung Pandang, Sulawesi. Dan dia sedar ayahnya telah buat keputusan yang tepat.

"Hidup di sana susah. Saya kesihan saudara saya di Indonesia. Semuanya jadi petani. Anda boleh makan (dari apa yang anda tanam) tapi anda tak dapat pasarkan hasil tanaman anda sebab jarak ke bandar yang terlalu jauh," kata Abdulrahman yang menghuni rumah batu dan berkerja di kebun kelapa sawit 2.8ha pemberian Lembaga Pemajuan Tanah Sabah.

"Kalau saya tinggal di sana, saya tak mungkin boleh hidup. Kerja apa yang boleh saya lakukan? Orang Indonesia pun pergi Sabah kerana mereka tak dapat cari kerja di negaranya. Orang Indonesia sanggup gadaikan apa saja untuk sampai ke Malaysia.  

Abdulrahman juga nyatakan tentang kos perubatan dan pendidikan di Malaysia yang percuma.
Ketika Abdulrahman pergi ke Sabindo, sebuah kawasan kejiranan di Tawau yang popular dengan orang Indonesia, dia dengan mudah dapat kenal siapa pendatang. 

"Lihat saja tatu di badan mereka, lukisannya cincai saja dan rekaannya tak masuk akal seperti Asbudi - maksudnya Anak Sulawesi Buang Diri. 

Tatu itu, menurut Abdulrahman, adalah cerminan hidup di Indonesia.

"Susah hidup di sana. Mereka tak patuh undang-undang. Sebab itu tatu mereka tak sempurna seperti rekaan tatu di Malaysia. Saya beruntung lahir selepas Malaysia terbentuk," katanya.

SUMBER: The Star: 16 September 2012 (TERJEMAHAN)