بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Singa Pura-pura

Singa pura-pura

Konon sejarah,
Kerana seekor singa
Sebuah pulau bertukar nama  
Dari Temasik menjadi Singapura.

Ah, itu sebenarnya dusta
Kerana tidak ada singa di Nusantara
Kerana tempatnya di Afrika

Ini mungkin satu kiasan
Atau ramalan karyawan silam
Untuk mungkin nanti
Singapura menjadi sebuah negeri
Yang asing di Nusantara

Pandai kau berpura-pura
Dari Temasik ke Singapura
Negeri Singa bertaring dua
Habis rosak susu sebelanga

Nusantara bukan tempatmu
Egomu dan sombongmu bagai singa
yang gah kononnya gagah
Sedang kami hanya pelanduk
berteduh di pohon melaka

Kau asing
Kau bukan Nusantara
Kau mungkin dari Afrika atau Timur Asia
Tempatmu bukan disini.

Bertaring mulut ternganga
meludah air liur ke muka kami
Tercemar Selat Tebrau
Hanyir Pantai Lido

Kami Melayu tersalah sangka
Kau Temasik.
Bumi Sri Paduka Maharaja.
Milik Sultan Iskandar

Mungkin kau lupa sejarah dulu.
Wakil Temagi pernah kami cincang
Jangan cuba kau ulang
Belajarlah dengan dalam
Ingat keturunan silam
Jangan berani tunjuk belang

Tapi kau singa.
Sanggup makan anak sendiri
Tatkala berebut induk
Kau tidak akan tunduk

Minumlah kau air hanyir
dari liurmu bercampur keringat kami
Batu Putih sudah hitam
Udara bersih sudah kelam
Laut cantik sudah dalam
Kau korek dalam diam
Nelayan kami memukat minyak hitam.

Dideklamasikan sempena
USMalumni.
Pulau Pinang 2006

Menjejak Asal-usul Melayu di Semenanjung Malaysia

Judul diatas adalah satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia yang dimulakan sejak Januari 2006. Saya rasa menarik sekali judul ini kerana bertepatan dengan jiwa saya yang meminati bidang ethnology. Lebih-lebih lagi bersangkutan dengan dunia MELAYU. Saya rasa jiwa saya sangat kental dengan semangat KeMELAYUan. Dibawah adalah sedikit dari data kajian yang diperolehi seperti disiarkan akhbar (koran) Berita Mingguan.

Kajian ini cuba membuktikan beberapa perkara iaitu: Benarkah Melayu Kelantan adalah kumpulan Melayu pertama yang mendiami Semenanjung? Adakah orang Melayu asli berkulit sawo matang, rambut ikal, mata kecil dan mempunyai rahang yang kecil? Benarkah kerana perkahwinan campur menyebabkan tidak ada lagi Melayu asli di Semenanjung?

Hasil awal yang diperolehi mencadangkan suku Melayu Kelantan adalah suku Melayu yang masih tulen. Ini kerana Melayu Kelantan masih memelihara keturunan mereka tanpa banyak berlaku perkahwinan campur. Selain itu, suku Melayu Kelantan juga dikatakan suku pertama yang membuat petempatan di Semenanjung.
Kajian mereka mendapati wujudnya kepelbagaian corak DNA yang terdapat dalam Masyarakat Melayu moden hari ini yang mungkin berlaku kerana percampuran dengan orang Arab, Cina, India dan Thai. Ini menyokong fakta sejarah yang pernah menyebut Kerajaan Melayu Melaka satu ketika dulu adalah kerajaan yang gemilang dan kedatangan pedagang dari China, India dan Arab menyebabkan berlakunya perkahwinan campur.

Budaya melayu juga dikatakan ada persamaan dengan suku Naga yang menetap di perbatasan Myanmar/India. Malah melalui ujian DNA, dikatakan ada satu penanda didalamnya yang hanya biasa ditemukan dalam populasi di India.

Dikatakan terdapat 14 sub etnik Melayu yang mendiami Semenanjung iaitu:
i . Melayu Kelantan (Melayu yang masih asli) di Kelantan
ii. Melayu Yunan di Terengganu
iii. Melayu Minang di Negeri Sembilan
iv. Melayu Aceh di Perak
v. Melayu Mandailing di Perak
vi. Melayu Rawa di Perak
vii. Melayu Riau di Johor
viii. Melayu Bugis di Johor
ix. Melayu Kerinci di Selangor
x. Melayu Champa di Perak, Kedah dan Kelantan
xi. Melayu Jawa di Johor dan Selangor
xii. Melayu Jambi di Johor, Selangor dan Perak
xiii. Melayu Batak di Perak dan Pulau Pinang
xiv. Melayu Banjar di Johor, Selangor dan Perak

Lebih menarik, kajian ini membuktikan Orang Asli di Semenanjung bukan tergolong dalam satu keluarga Austronesia dengan orang Melayu. Sebaliknya mereka menyatakan Orang Asli di Semenanjung berasal dari Afrika yang berhijrah sejak 40 ribu tahun dahulu ke Semenanjung dan seterusnya ke Papua New Guinea (pulau-pulau Polynesia) dan Australia. Bagi saya, dakwaan ini ada benarnya kerana Orang Asli di Semenanjung berambut kerinting dan berkulit gelap persis orang Negro. Bezanya rambut mereka lebih lebat. 

Sama-sama kita menanti hasil kajian ini yang dijangka selesai pada 2008.






Wajah Suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia