بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





ANGKASAWAN MALAYSIA - Satu Langkah Pertama

Apa lagi yang dapat dilafazkan selain rasa gembira dan penuh bangga buat dua anak Malaysia ini. Tahniah buat keduanya kerana berjaya menjadi calon Angkawasan Pertama Malaysia (First Malaysian Astronaut) untuk diterbangkan ke stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Cetusan idea mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4 satu masa dahulu kini terlaksana. Mimpi yang dulunya sekadar anganan kini jadi kenyataan. Malaysia kini menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang dapat menghantar rakyatnya meneroka ruang cakerawala. Lebih manis, Malaysia juga mampu mendahului Korea Selatan. Selain itu, keberangkatan salah seorang dari mereka ini bakal menjadi pelopor kepada usaha penetapan arah kiblat dan waktu sembahyang (termasuk waktu berbuka puasa) bagi umat islam di angkasa lepas. Sayang sekali, walaupun kedua mereka layak manjadi angkasawan negara, hanya satu yang bakal dihantar ke orbit dari pangkalan di Rusia pada awal Oktober depan.

Satu rancangan di RTM1 pada hari khamis lepas bertajuk Bersama Menteri telah mengulas tentang kejayaan ini. Menurut menteri yang terlibat, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, istilah ‘angkasawan’ kini sudah diterima di seluruh dunia sebagai merujuk astronaut dari Malaysia. Selain ulasan menteri, rancangan ini turut menerima banyak pandangan daripada penonton yang rata-rata menyokong usaha baik ini. Bagaimanapun, saya tertarik dengan pandangan dua penonton terakhir yang antara lain (1) mendakwa kononnya terdapat segelintir cerdik pandai agama yang hanya tahu mengkritik dan (2) Kononnya program ini satu pembaziran kerana Malaysia seharusnya menggunakan kemudahan di negara sendiri bukannya menumpang kemudahan negara lain.

Menjawab kritikan tersebut, menteri bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu bijak mengubah situasi dari isu yang berbau politik (kerana cuba dimainkan pengacara) kepada isu umum yang bersifat natural. Menurut Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, Pandangan kononnya Islam mengajar umatnya agar cukup sekadar percaya kepada kebesaran alam tanpa perlu melihatnya adalah salah sama sekali. Menurutnya, pandangan itu hanya dalil palsu yang dicipta barat untuk menidakkan kemampuan orang Islam. Tambah beliau lagi, tidak perlu ada sesiapa pun berhak rasa membazir terhadap program ini kerana katanya, setiap seribu langkah bermula dengan langkah pertama. Mungkin satu hari nanti angkasawan-angkasawan Malaysia yang bakal muncul selepas ini sudah mampu menggapai bintang menggunakan kapal angkasa milik Malaysia sendiri. Siapa tahu?

Tahniah untuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Kapten Dr Faiz Khaleed

Akibat dibawa masuk ke Malaya, peguam Malaysia saman Britain

Rating:★★★★
Category:Other
Ini adalah sebuah berita yang saya petik dari akhbar Utusan Malaysia, Isnin; 10 September 2007. Dalam laporan tersebut, seorang peguam Malaysia keturunan India telah menyaman kerajaan Britain atas dakwaan kononnya kuasa barat itu telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap komuniti India yang dibawa masuk ke Malaya (kini Malaysia) ketika era penjajahan mereka di Tanah Melayu zaman dahulu.

Peguam keturunan India itu telah menuntut agar kesemua 2 juta masyarakat keturunan India di Malaysia hari ini dibayar pampasan sejuta pound setiap seorang. Peguam itu mendakwa, masyarakat dari selatan India yang telah dibawa masuk dan kemudian dijadikan buruh kontrak di Malaya telah diabaikan kebajikannya oleh british sehingga kuasa barat itu meninggalkan Malaya pada tahun 1957. Peguam itu juga mendakwa, selepas British keluar dari Malaya, nasib masyarakat India ini telah dibiarkan tergantung tidak bertali dan hak-hak mereka tidak dipelihara sewajarnya. Menurut peguam itu lagi, apa yang komuniti India alami zaman British dahulu telah diwarisi hingga ke zaman pemerintahan Malaysia sekarang.

Kata saya: Jika benar seperti apa yang didakwa, kerajaan Britainlah yang harus bertanggungjawab kerana merekalah yang membawa masuk orang India ke Tanah Melayu. Bukan orang Melayu yang meminta orang-orang India itu datang ke mari. Britain juga yang harus bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kekacauan antara kaum kerana inilah negara yang mereka 'ciptakan' dahulu.