Dah lama benar saya tak menulis. Kali ini saya cuba gagahkan diri untuk menulis kembali. Isinya tak lain dan tak bukan tentang isu yang saya gemari – Tentang bahasa Melayu.
Kunjungan ke Batam (Indonesia) baru-bari ini memberi kekuatan kepada saya untuk sekurang-kurangnya menyatakan pendapat yang telah bertahun-tahun tertanam tanpa hasil. Lebih-lebih lagi setelah isu bahasa Melayu memanas kembali selepas beberapa persidangan berkaitan bahasa Melayu berlangsung di Johor Bahru dan Kuching dalam tempoh sebulan yang lalu. Memang benar, slogan ‘Perkasakan Bahasa Melayu’ hanya slogan musiman semata-mata. Saya yakin ia akan menyejuk kembali beberapa bulan nanti. Selama ini pun persidangan-persidangan seumpama, tak banyak menghasilkan apa-apa. Fungsinya tak ubah sebagai pemenuh jadual semata-mata. Hanya hangat-hangat tahi ayam.
Batam, sebagaimana yang saya dengar dari carita teman-teman, memiliki populasi Cina yang lumayan besar. Mungkin kerana daerah ini terletak hampir dengan Singapura, sebuah negara berpenduduk Cina lebih 70% dan berhampiran dengan Malaysia yang miliki bilangan penduduk Cina hampir 25% telah mempengaruhi demografi pulau ini hingga begitu rupa. Ternyata memang benar kata-kata teman saya itu.
Melihat faktor kedekatan Batam dengan Malaysia dan Singapura, susah untuk kita sangkal kenapa Batam memiliki penduduk Cina yang besar. Dari pengamatan saya setelah datang sendiri ke sini, rata-rata peniaga yang saya lihat di Nagoya, Jodoh, Batam Center, Baloi dan Tiban (antara kawasan perekonomian utama di Batam) terdiri dari peniaga Cina. Saling tak ubah seperti di Malaysia dan Singapura. Dan nuansa kecinaan sangat jelas, masing-masing saling bertutur dalam pelbagai dialek Cina. Yang Hokkien berbahasa Hokkien, Yang Khek berbahasa Khek. Sedikit yang berbahasa Mandarin.
Saya terkesima, Biarpun mereka terlihat sangat Cina (berbanding Cina di wilayah Indonesia yang lain) kesemua mereka boleh berbahasa Indonesia dengan fasih tanpa bicara yang tersekat-sekat atau kalimat yang tercampur aduk. Beza benar dengan apa yang sering berlaku di kalangan orang Cina Malaysia. Pokoknya, mereka mampu bertutur 100% dalam bahasa Indonesia dengan lancar dan betul. Sungguh unik.
Biarpun mereka bicara dalam bahasa sendiri, menyanyi dalam bahasa sendiri, mendengar lagu-lagu cina, berfikir secara cina, memasang gegantung berwarna merah, menghias kedai dengan pelbagai hiasan warna emas dan apa saja tentang budaya Cina, mereka tetap lancar berbahasa Indonesia tanpa cacat. Terlihat tidak kurang satu pun identiti Cina mereka.
Satu kejadian yang masih saya ingat di sebuah pasaraya di Jodoh, waktu itu hadir seorang lelaki cina yang mahu membeli sesuatu di pasar itu. Si Lelaki Cina itu menanyakan harga satu barang dalam bahasa Melayu yang patah-patah. Melihat dialek Melayunya, saya yakin lelaki Cina itu dari Malaysia. Tiba-tiba lelaki Cina tadi menyambung bicara dalam bahasa Mandarin. Sayangnya bicara lelaki Cina itu tak difahami oleh seorang peniaga lalu peniaga itu mohon maaf, seperti inilah lebih kurang “maaf, saya tak paham pak”.
Sebaik mendengar jawapan si peniaga, lelaki cina tadi marah-marah sambil mengejek seperti ini “lu orang cina pun tak tau bahasa cina ka?”
Saya yang mendengar dialog kedua-dua orang tersebut terus menyirap darah. Mahu rasanya saya tampar lelaki cina yang kurang ajar itu sambil ingin menempelak “hei, kau sendiri yang dah lebih 50 tahun tinggal di wilayah Melayu pun masih tak mampu berbahasa Melayu dengan baik dan betul. Tahu tidak, kau lebih hina dari peniaga ini” Sayangnya saya tidak sampai hati.
Mujur situasi di pasaraya itu tak terus memanas setelah datang seorang peniaga lain yang mampu berbicara bahasa Mandarin. Transaksi seterusnya berjalan lancar. Bagaimanapun, si peniaga yang baru dimalukan itu masih mengumpul kekuatan dengan menceritakan kejadian itu kepada rakan-rakannya yang lain dalam dialek Khek dan dalam bahasa Indonesia kepada rakan Cinanya yang tak memahami dialek Khek.
Begitulah ceritanya. Di Batam ini, biarpun mereka orang Cina, dan mampu bertutur dalam pelbagai dialek Cina, bahasa pemersatu sesama etnik tetap bahasa Indonesia, bukan bahasa Mandarin seperti cina di Malaysia. Etnik-etnik Cina Batam masih kekal dengan bahasa ibunda masing-masing. Yang Khek berbahasa Khek, Yang Hokkien berbahasa Hokkien.
Jadi, apa kesimpulan yang kita dapat? Saya fikir, kalau orang Cina Batam boleh mengekalkan Identiti mereka seiring dengan situasi mereka sebagai warga Indonesia, Kenapa tidak pada Cina Malaysia? Apa salahnya pada bahasa Melayu sampai mereka biadap begini?
Dalam hal ini, Malaysia patut berasa malu.