بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Tanah 'Segenting Kera', Thailand.

Sejak membulatkan tekat untuk ke Bangkok dalam rangka menghabiskan baki cuti tahunan, saya sering lihat-lihat info tentang daerah mana yang mungkin akan saya lewati atau jalan mana yang bakal saya tempuhi. Maklumlah, kali ini saya peruntukkan masa yang begitu panjang hingga 10 hari. Biarpun masih belum pasti mahu ke mana nantinya, saya harap laluan yang bakal saya tempuh ini akan mengesankan jiwa.

Provinsi yang mungkin akan saya lawati sebelum sampai ke Bangkok adalah Rundung, atau sekarang jadi Ranong setelah diplesetkan dalam bahasa Thai. Di provinsi ini ada satu tempat yang (sepatutnya) sangat penting dalam sejarah bangsa Melayu, khususnya Melayu Malaysia. Tempat itu tak lain tak bukan ialah Segenting Kera. Tapi sebelumnya biarlah saya terangkan di mana letyaknya provinsi ini. Ranong/Rundung adalah provinsi di Thailand paling selatan yang berkongsi sempadan dengan Myanmar. Provinsi lain di selatannya masing-masing menghadap laut lepas di sebelah timur dan barat. Dan di Provinsi Rundung atau Ranong inilah (sepatutnya) perbatasan paling utara wilayah Melayu. Bukannya Perlis seperti sangkaan ramai pada hari ini. Hal ini sendiri telah diabadikan dalam satu batu tanda yang terletak di satu nama tempat bernama Segenting kera.

Dari namanya pun sudah mencerminkan ia berbau Melayu biarpun kini tempat itu dieja 'Kra'. Dan dari namanya juga kita tahu tempat ini tanahnya genting, sesuai seperti kiasan Melayu "segenting kera" yang bermaksud tanah yang sempit. Begitulah geografi sebenar kawasan ini bila lebar kawasan ini hanya 45km jika diukur dari pantai timur ke barat.

Batu yang dibina khas ini menandakan sempadan asal wilayah kekuasaan negeri-negeri Melayu naungan Kerajaan Kedah Tua seperti Rundung (Ranong), Tanahseri (Tennaserim), Cahaya (Chaiya) Ujung Salang/Bukit (Phuket), Bedelung Pathalong), Negara Sri Dharmaraja (Nakkon Sri Thamarat), Terang (Trang) dan Setul (Satun) dengan wilayah kekuasaan orang-orang Tai dari kerajaan Sukothai. Sayangnya Orang-orang Tai telah khianati perjanjian dan melanggar wilayah Melayu hingga sempadannya berubah menjadi seperti sekarang. Malah, Orang-orang Tai turut dipindahkan beramai-ramai ke wilayah yang diduduki ini. Tidak sekadar itu, mereka terakhir mengamalkan dasar Thai Rathaniyom (Thainisasi) ke atas penduduk bukan Tai. Hasilnya sudah terlihat bila di Provinsi-provinsi selatan yang sudah didominasi orang Tai, penduduk Melayunya sudah tidak lagi mampu berbahasa Melayu. Hanya Pattani, Yala dan Narathiwat masih selamat kerana penduduk Melayu masih menguasai 80% populasi.
 
 
 













 

Sayang, kini kita hanya mampu memandang penuh sayu.



1 ulasan:

  1. Nakkon Sri Thamara adalah wilayah saya rasa yg paling cantik dan cuaca yg dingin. Selamat menikmati : )

    BalasPadam