بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Rentas Sempadan Kota Kinabalu - Brunei

Peta Perjalanan Kota Kinabalu - Bandar Seri Begawan
Perjalanan Kota Kinabalu (KK) – Brunei bukan perjalanan asing buat pengembara rentas sempadan dari Malaysia. Jaraknya taklah jauh, tapi kesannya beza. Prestijnya tetap tinggi kerana harus pakai pasport. Buat saya sendiri, ini bukan kembara rentas sempadan yang pertama. Saya pernah rentas sempadan yang lebih jauh dari ini dan melibatkan lebih banyak negara. Cuma baru kali ini terfikir buat kembara seperti ini di sini.

Bas KK - BSB beroperasi sehari sekali
Saya mulakan kembara ini dengan bas Jesselton Ekspress. Perjalanan melewati Sipitang – Lawas – Temburong – Limbang dan Bandar Sri Begawan. Jaraknya kurang 500KM, tapi tambangnya luar biasa mahal. Harganya RM100 seorang. Lebih mahal dari perjalanan Kota Kinabalu ke Miri yang sebenarnya jauh lebih panjang dari ini. Tapi berapa pun harganya, saya nekad teruskan perjalanan ini.

Jauh manapun kita melangkah, sudahkah kita kenal negara kita sendiri? Terinspirasi dari sindiran itu, saya tempuh juga laluan ini. Melihat satu lagi sisi sempadan darat antara Malaysia dengan negara lain di pulau Borneo. 

Jam 8.00 pagi. Bas penuh penumpang, semuanya bumiputra. Saya tak tahu siapa mereka. Semuanya bicara dalam satu bahasa yang sama - bahasa Melayu dialek campuran Sabah/Sarawak dan mungkin Brunei. Dari perbualan mereka, saya yakin perjalanan KK – Brunei hanyalah perjalanan biasa. Tak lebih sekadar perjalanan ziarah keluarga. Melihat barang bawaan, percakapan dan cara pakai mereka, semuanya telah beri petunjuk bahawa sempadan antarabangsa Malaysia – Brunei, termasuk garisan bodoh yang memisahkan Sabah dan Sarawak ini, tak sikit pun beri kesan pada ukhuwah yang telah berlangsung lama. Jauh lebih lama dari kewujudan garis batas ciptaan penjajah itu sendiri.

Suasana kampung sepanjang jalan di sebelah Sabah
Laluan KK – Brunei melewati jalan persekutuan yang pada pandangan saya tak ada beza dengan jalan persekutuan di Semenanjung. Panorama kampung-kampung tak menggambarkan ada jurang sosial antara Semenanjung dan Malaysia Timur. Kereta persendirian nampak elok diparkir depan rumah, termasuk antaranya jenis mewah. Rumah penduduk jenis sesebuah juga, sama saiznya dengan rumah kampung di Kelantan, Kedah, Johor dan lain-lain. Ada rumah panggung, ada rumah papan, ada rumah dua lantai. Pokoknya ia sama. Hanya yang beza, kampung yang dihuni penduduk muslim dan Kristian di sini berselang-seli. Beza di Semenanjung yang hampir seluruhnya bernuansa Islam-Melayu. Ketika lihat ini, saya jadi hairan apa sebenarnya terjadi hingga orang Sabah dan Sarawak berapi-api laungkan slogan 'Keluar Malaysia'. Padahal dari pandangan mata kasar saya, sosio-ekonomi penduduk di tiga wilayah Malaysia ini tak ada bezanya. 

Pekan Sipitang, di selatan Sabah
Cuma mungkin khidmat perbandaran yang disalurkan kerajaan pusat tak sepenuhnya sampai ke masyarakat. Mungkin kerana banyak lapis harus dilalui untuk sampai ke peringkat terkecil. Di Semenanjung, sudahlah dekat dengan pemerintah pusat, protokol yang harus dilalui juga lebih sedikit. Negeri di Semenanjung tak ada sub-negeri (Residensi/Bahagian) seperti di Sabah dan Sarawak. Jadi bukankah sub-negeri di Sabah dan Sarawak yang maha luas itu patut dinaiktaraf menjadi beberapa negeri? Dan kedua-dua negeri ini patut diangkat taraf sama seperti Semenanjung? Hanya pandangan peribadi. Saya terfikirkan hal ini ketika turun di Sipitang. Pekan yang agak besar tapi khidmat perbandaran kelihatan terhad.

Ketika sampai Sindumin, bas berhenti di depan bangunan Imigresen yang pertama. Sudah masuk Brunei? Tunggu dulu, ini hanya pemeriksaan imegresen antara dua bahagian Malaysia. Antara Sindumin, Sabah dan Merapok, Sarawak. Bunyinya kelihatan bodoh. Saya benci fikirkan bagaimana penduduk yang datang dari satu bahagian menuju ke satu lagi bahagian yang lain dalam satu negara yang sama di seberang sana, harus pakai pasport. Bukankah ini pincang? Bukankah aturan bodoh ini bakal mengundang lebih banyak perpecahan? Persetankan dengan perkara 20 dan 21 dalam Perjanjian Pembentukan Malaysia dulu. Ia hanya perjanjian yang sebenarnya mahu menggugat perpaduan negara. Sama seperti kontrak sosial antara tiga wakil kaum ketika kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu dulu. Perjanjian yang sebenarnya dirangka untuk akhirnya memecahkan.

Sempadan Sabah/Sarawak di Sindumin/Merapok
Imigresen Malaysia, Sabah dan Sarawak terhimpun dalam satu bangunan yang sama. Betul-betul berada ditengah garis pemisah kedua-dua negeri. Tak ada signal selular di kawasan sempadan. Telefon bimbit jadi bahan perhiasan sebelum berfungsi semula dua kilometer kemudian. Mungkin ini untuk tujuan keselamatan. Pasport dicop dua kali. Satu untuk keluar Sabah, dan satu untuk masuk Sarawak. Sepanjang perjalanan dari Merapok menuju Limbang, air banjir separas bukulali menggenangi beberapa kampung.

Bas berhenti di Lawas. Ramai penumpang turun. Saya ambil kesempatan keluar ke Pasar Tamu Lawas untuk makan.  Sekali lagi, saya tak nampak beza bahasa pertuturan penduduk di sini dengan di Sabah. Ia bahasa Melayu dengan dialek khusus, campuran Sabah/Sarawak dan mungkin Brunei.

Pasar Lawas, Sarawak

Sungai Lawas

Tebing Sungai Lawas
Baru setengah jam yang lalu masuk Sarawak, kini kami keluar Sarawak semula. Bas berhenti di depan pimtu Imigresen Mengkalap untuk pemeriksaan keluar Malaysia. Pasport dicop untuk kali ketiga.  Bas bergerak lagi selang beberapa minit di ke depan sebelum berhenti lagi di sempadan daerah Temburong, Brunei.

Imigresen Malaysia - Mengkalap, Sarawak
Masuk Imigresen Labu, Temburong, kad kebenaran Imigresen Brunei diserah dan pasport dicop buat kali keempat. Signal bimbit tertukar automatik dari Maxis jadi DST. Aturan caj-rayau berkali-kali masuk ke bimbit saya dan menyampaikan SMS berbunyi. "welcome to Brunei".

Imigresen Brunei - Labu, Temburong
Kalau tak lihat kereta-kereta yang dipakai orang Brunei, tak terasa langsung sudah di luar Malaysia. Sepanjang di Temburong, dan melihat kampung-kampung di sepanjang jalan, suasananya sungguh Malaysia. Jalanrayanya sama, kampungnya sama, rumah-rumahnya sama. Cuma warna papantanda bertukar warna hijau dan teks zikir huruf Arab bertulis Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar terpampang di mana-mana.

Jalan di sebelah Brunei, menghampiri Bangar, Temburong
Pemandangan sama seperti di sebelah Malaysia
Setengah jam berlepas, bas berhenti menurunkan penumpang di pekan Bangar, Temburong. Sekali lagi ia beri bukti bahawa sempadan bukan pemisah hubungan darah.

Pekan Bangar, Temburong

Stesen Bas Pekan Bangar, Temburong
Dua puluh minit berjalan, Sampailah kami di depan pintu keluar Brunei. Bas berhenti di Imigresen Puni. Pasport bercop kali kelima. Baru tadi di kami keluar Malaysia, sekarang masuk Malaysia semula dari pintu yang lain pula. Beginilah sempadan aneh antara Malaysia dan Brunei. Kadang saya fikir bukankah pembuat sempadan itu patut tukarkan Limbang kepada Brunei dan gantikan ia dengan Temburong? Kalau itu sampai terjadi, tidaklah sempadan ini sesulit begini.
  
Imigresen Brunei, Puni. 
Perjalanan dilanjut membelah Sungai Pandaruan melalui Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei sebelum berhenti lagi di Imigresen Malaysia, Pandaruan. Pasport bercop kali keenam. Signal bimbit kembali tertulis 'Maxis'. Perjalanan diteruskan. Sampai di bandar Limbang, lebih ramai penumpang turun meninggalkan tak lebih dari sepuluh orang yang masih tersisa. Kesemuanya akan ke Bandar Seri Begawan termasuk saya. 

Jambatan Persahabatan Brunei (Temburong) - Malaysia (Limbang)
Bas berjalan perlahan sebelum berhenti semula di Pintu Imigresen Malaysia, Tedungan untuk pemeriksaan keluar. Pasport dicop buat kali ketujuh sebelum gerak semula. Kemudian berhenti lagi di depan Imigresen Brunei, Kuala Lurah. Pasport dicop kali kelapan dan kad kebenaran Imigresen diserah sekali lagi. Kini kami sampai di Brunei besar, setengah jam sebelum sampai di Bandar Seri Begawan. Signal Maxis berganti semula jadi DST sambil kiriman SMS tak henti-henti masuk mengucapkan Selamat Datang.

Pintu Keluar Imigresen Malaysia menuju Brunei di Tedungan, Limbang
Penat naik turun bas, keluar masuk Malaysia dan brunei, akhirnya saya sampai destinasi. Penatnya menulis kisah ini sama penatnya seperti kaki melangkah keluar masuk sempadan untuk pastikan pasport bercop lapan kali. Jika dilanjutkan sampai ke Miri, nescaya bakal lebih penat lagi. Mukasurat pasport saya pun bakal lebih cepat penuh dengan tambahan dua lagi cop imigresen.


Sekian. Selamat Datang ke Brunei – Dunia ajaib di tengah Borneo.