بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Kembara Paling Seram 2 - Banda Aceh

Tamat hari yang menyebalkan di Pulau Weh. Petang itu kami balik ke Banda Aceh dengan satu azam – mahu lebih hati-hati. Terlalu percaya pada orang tak jelaslah, maka duit kami cair 800ribu rupiah (270 ringgit) di pulau kecil utara Sumatera itu. 

Tapi celakanya kami ulang lagi kesilapan yang sama. Sampai di Banda Aceh, lagi-lagi kami jadi satu-satunya mangsa lazat untuk direbut supir-supir lapar. Semuanya gara-gara terlalu leka lihat orang mancing di Pelabuhan Ulee Lheue hingga kami terlambat keluar dari pelabuhan. Tinggal hanya kami disitu, supir-supir lapar terus merayu-rayu minta kami gunakan jasanya.


“Mau ke mana mas?”, “Becak mas?” “Mau supirkah mas?” tit… tut… tit… tut… bla.. bla.. berpuluh ajakan bingit yang masuk ke telinga bersama bunyi horn yang nyaring. Biarkan mereka, kami lebih rela jalan kaki dari tergiur ajakan yang sebetulnya cuma umpan. Tapi sesudah satu kilometer menapak, kami tak larat lagi. Jalan yang kami lewati terlalu panjang seperti tak berhujung. 

“Telefonlah Pak Tohir, supir teksi yang bawa kita dari lapangan terbang ke Ulee Lhee dulu” saran Azzam.

Pak Tohir sampai setengah jam kemudian. Cekap sekali, fikir saya. Selain hantar ke hotel, Pak Tohir juga tawarkan khidmat bawa kami jalan-jalan di sekitar Banda Aceh dan Lhok Nga dengan biaya 600ribu rupiah - sehari semalam untuk hari esok. Kami setuju. Caj yang dijanjikan teksi yang luas dan mewah di Banda Aceh rupanya jauh lebih murah dari naik becak sopak di Pulau Weh sana, fikir saya.

Sementara menanti esok, kami nginap di Crystal Guesthouse, Jalan Iskandar Muda. Hotel ini kami dapatkan dari Agoda. Ia baik sedikit dari penginapan di Pulau Weh kelmarin. Ada kipas dan dua katil bujang. Tapi bilik mandi masih dikongsi dengan penghuni lain di belakang. Bilik ini, dindingnya dari papan lapis nipis. Bunyi riuh ibu-ibu kampung yang ketawa mengilai dari bilik sebelah terdengar kuat di cuping. Mereka itu pengembara seperti kami. Hebat bukan?

Pagi itu, kamera sudah saya siapkan, handphone sudah penuh dicas batteri. Powerbank sudah terbekalkan kuasa yang cukup, dan saya serta Azzam sudah siap pada fizikal dan mental untuk teroka Banda Aceh. Pak Tohir pun pagi-pagi sudah sampai. Kami pasang impian – mencuba menginsafi diri dan tunduk melihat kuasa Tuhan ke atas mahluknya yang kerdil di bumi yang telah rosak ini.

Hari ini 26 Disember 2015. Masa-masa kami bakal terisi jadual padat yang dirangka Pak Tohir. “kedatangan kalian takkan dipersiakan” begitu janji supir tua itu. “siap-siaplah melihat kesan dahsyat tragedi 11 tahun silam yang telah membadai tanah rencong ini” sambung dia. 

Jadual kami bakal dimulai di Kampung Lampulo, lihat kapal sangkut di atap rumah. Kemudiannya ke Kapal PLTD Apung yang terdampar dan menimpa sebuah rumah bersama lapan orang sekeluarga yang terkubur bersama. Lokasi ketiga, kami dijadualkan ke kuburan massal buat jenazah ratusan ribu arwah para korban. Keempat melawat Museum Tsunami Aceh. Seterusnya ke Pantai Lhok Nga dan ikuti tahlil perdana yang juga dihadiri Presiden Joko Widodo.

Pulangnya ke Taman Putroe Phang yang dibina mengambil nama Puteri Pahang. Singgah pula ke Muzium Aceh yang menempatkan sejarah kebudayaan Aceh sejak zaman gemilang kesultanan, hingga ia bersatu di bawah pemerintahan Indonesia. Begitu lengkapnya rancangan Pak Tohir buat kami. Sempurna sekali.
Hanya foto dari jauh
Sayang angan-angan tak seindah nyata. Hajat ke lokasi pertama telah gagal. Kunjungan ke Kampung Lampulo berlangsung tak sampai 10 minit. Objek kapal sanggut di bumbung rumah tak dapat kami teroka. Tulisan-tulisan yang mencatat nama para korban dan tuan punya rumah yang terkena musibah tak dapat kami baca. “kenapa foto-foto di sini?” teriak lebai berbaju rapi yang lintas di depan kami. Kami diusir, disuruh lebih sensitif pada hari ini - ulang tahun ke-11 hari duka. Kenapa perlu ada hari duka? Untuk apa ada hari khusus untuk itu?. Persoalan tak terjawab. Pak Tohir nasihatkan kami hormat saja adat setempat.

26. Disember 2015 -- Monumen Kapal PLTD Apung ditutup
Kunjungan ke lokasi kedua juga gagal. Objek Kapal janakuasa elektrik PLTD Apung yang terseret 5 kilometer ke kampung Punge Blang Cut, tak mendatangkan apa-apa hasil. Kawasannya berpagar, dan pintunya ditutup. Malah dari luar juga sulit merakamkan gambar. Kami pulang hampa.

Hanya Museum Tsunami dibuka
Lokasi ketiga berhasil. Museum Tsunami dibuka. Ramainya manusia hingga muzium jadi sesak. Tapi tak menghalang kami belajar banyak . Kami leka habiskan masa dua jam di sini dan baru tersedar bila Pak Tohir telefon suruh keluar. 

Pulang semula ke teksi Pak Tohir, kami kehairanan. Dalam teksinya ada dua bagasi milik orang lain. “Ini tas siapa?” tanya saya. Pak Tohir hanya diam. Kami yakin Pak Tohir sempat 'makan luar' walaupun sudah terikat kontrak sehari semalam dengan kami.

"Er, begini ya, di Lhok Nga sana lagi ramai orang. jalannya macet" Helah pertama Pak Tohir, seolah mahu batalkan rancangan ke sana. Kami masih sabar dan tetap tahan diri. Masih mahu percaya. “kita makan dulu aja, lepas zohor nanti kita ke sana, barangkali macetnya udah kurang”. Saran saya, mencari jalan supaya dia tetap pada janjinya. Sebut tentang makan, Pak Tohir langsung setuju.

Sirap Betik
Santapan tengahari ini, kami nikmati nasi kari kambing ganja. Saya lupa nama warungnya. Tapi serius enak. Pakejnya selain nasi, ada salad, sambal belacan kicap dan air sirap betik. Sebuah hidangan yang membuat saya ingat hingga kini selain kisah kembara paling seram yang ini.

Sesuai seperti saranan, Pak Tohir hantar kami solat zohor di Masjid Baitulrahman. Sementara dia minta izin istirehat di rumah. Kami percaya janjinya. 

Masjid Baitulrahman sesak. Jemaah ramai sekali. Sebahagian besar jemaah turut merakamkan gambar kenangan, termasuk saya. Sayangnya separuh ruang masjid ditutup. Seluruh sudut masjid yang ikonik dan fenomena ini tak dapat saya abadikan.

dalaman Masjid Baitulrahman
Pak Tohir tiba dua jam kemudian. Kami tak nampak lagi beg penumpang yang tadinya ada dalam teksinya. Tapi belum pun sempat masuk, Pak Tohir mula bersuara. Nadanya langsung mematikan keterujaan kami. “jalan ke Lhok Nga lagi ditutup, percuma (sia-sia) kalian datang ke sana kalau tak bisa masuk” helah Pak Tohir berlanjutan. “jalannya pun kecil, mobil tak bisa lewat. Orang-orang pun pada (mulai) pulang. Baru pakcik tanya orang-orang itu, kakek itu, bapak itu, nenek, anak itu bla… bla... blaa” Makin melalut. Makin dia bercerita, semakin jelas tipunya. “ya sudahlah pak, kita balik ke hotel saja” keluh saya.

Bosan berurusan dengan orang tidak jujur. Jadual yang kami rangka telah terbubar paksa. Kontrak yang seharusnya sampai ke malam, tamat cepat jam 2.00 siang. Terlalu dini. Entah bala apa agaknya yang Tuhan turunkan kepada saya pada kembara kali ini. Pak Tohir tak mahu langsung kurangi upahnya walau jasanya tak sampai satu persepuluh tertunaikan. Sia-sia bertikam lidah. Terbang lagi duit kami 850ribu rupiah termasuk biaya taksi dan makan siang si supir tua itu.

Siang yang menyakitkan hati kami masih sangat panjang. Masih banyak masa, tapi kami sudah berhabis duit dalam jumlah yang cukup besar. Kami hanya memerap dalam hotel sambil melayani rasa hampa. Tak mampu ucap apapun selain menyesali apa yang terjadi. Ke depan, ada dua lagi destinasi yang harus kami tempuh. Entah apa lagi yang akan kami lalui nanti. Hanya mengharap yang lebih baik.     



Terminal megah ini kosong melopong
27 Disember 2015. Pagi yang sudah ceria. Kami tinggalkan Banda Aceh dengan kenangannya yang pahit-pahit, Tidak ada apa yang lebih kami tunggu selain tinggalkan hotel ini secepatnya. Kemudian cari bas paling pagi untuk ke lokasi baru - ke Medan. Laluannya sudah saya tinjau siang-siang. Ada beberapa perusahaan yang sediakan bas ke Medan dari Terminal Penumpang Batoh, Banda Aceh. Lokasi hari ini, kami mahu ke terminal itu. Caranya kalau boleh kami mahu naik becak, biar lebih murah. 

Tapi musibah pun datang, baru saja melangkah keluar dari hotel, Pak Tohir muncul di depan pintu. Serba salah jadinya. Pada pagi yang tiba-tiba suram itu, jasa Pak Tohir sekali lagi terpakai. Dan sekali lagi atas jasa menghantarkan kami ke Terminal Penumpang Batoh, dia minta upah 150ribu genap. Tak boleh dikurangi. Kami terkena lagi, padahal kami yang sebenarnya merancang kenakan dia. Duit kami terbang 1juta rupiah tanpa hasil di tangan supir penipu itu.

2 ulasan: