بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Masuk Surinam Secara Haram

# Bukan cerita saya, ini kisah pengembara Perancis yang terpaksa lalu Surinam secara haram dalam perjalanannya dari Panama menuju Brazil. Pengelamannya sangat mencabar bagi seorang pengembara. diterjemahkann dari catatan asal di sini 


Jadi inilah cerita yang kita tunggu-tunggu. Tajuknya sengaja memancing…

Lokasi Surinam (Amerika Selatan)
Semuanya bermula pada hari pertama saya di Georgtown (Guyana). Sebenarnya sudah sebulan sejak saya kirim email ke kedutaan Surinam mohon visa (satu-satunya negara Amerika Latin yang saya terpaksa mohon visa) dan dibalas dengan menyatakan saya cuma perlu ke kedutaan negara itu di Georgtown. Mereka janji dapat siapkan semua kertas kerja di situ.

Jadi petang itu saya ke Georgtown, setelah mandi kali pertama sejak 3 hari, saya terus ke kedutaan. Saya pasti kakitangan awam dalam dunia ini semuanya sama, ia tak akan buka sampai begitu lewat. Jadi saya bergegas ke sana dan sampai jam 3.15ptg. Sebaik sampai, saya masih dapat bernafas sebaik nampak papantanda bertulis pejabat ditutup jam 4.00ptg. Saya masih di pintu gate ketika itu ketika pengawal di situ bilang Pejabat Visa ditutup jam 3.00ptg. Langsung saya menyesal kenapa tadi perlu mandi. Mujur pada hela nafas seterusnya dia bilang pegawai perempuan yang mengurus visa masih belum balik dan suruh saya cepat kejar kalau-kalau pegawai itu boleh bantu. Saya terus bergegas… tapi ternyata pegawai itu jenis perempuan itu yang mengerikan… sepatutnya saya rakam gambar dia dan tampal di papan dart. Bila saya tanyakan dia tentang visa, perbualan jadi lebih kurang begini:

"kamu lambat, kami dah tutup"
"tapi saya baru sampai, dan langsung ke sini. Tolonglah, saya nak pergi esok. Saya datang ke Georgtown semata-mata untuk visa"
"sekarang 3.15 dan kami tutup pukul 3.00, awak lambat"
"ya, tapi tolonglah…"
"habis kamu mahu saya buat apa? masuk semula dan uruskan visa kamu sekarang?"
 "kalaulah boleh"
"Tak. Tidak akan, kami dah tutup, kamu datang saja ke sini lagi hari Rabu"
"Rabu? Hari ini hari apa?"
"Hari ini Rabu"
"Habis tu? Rabu depan?
"Ya"
"Tapi kenapa?"
"Sebab kami cuma keluarkan visa hari Isnin, Selasa dan Rabu. Isnin ini libur Paskah, hari Selasa kami tutup"
"Tapi saya tak boleh tunggu seminggu. Waktu saya email ke kedutaan dulu, mereka tak cakap pun pasal ni"
"Kami dah tampal notis di dinding dan maklumkan dalam akhbar tempatan. Kamu patut tahu"
"Mana mungkin saya nampak notis di dinding dan surat khabar? Saya tinggal di London"
"Saya tak dapat buat apa-apa, datang saja Rabu depan"
" Kalau saya ke sempadan, mungkin tak kalau saya dapat visa di sana?"
"Er, saya tak pasti. Tak… saya tak tahu. Kamu patut datang lagi Rabu depan"

Keluar dari Albina
Itu tadi penutup perbualan kami. Tapi keraguan dia jawab soalan terakhir sangat menyakinkan tentu ada cara yang lain. Suatu jalan yang tak mungkin boleh ditembusi, membayangkan kemungkinan lain bila di sempadan. Saya masih ada harapan.

Saya habiskan petang itu dengan fikirkan solusi. Tak mungkin tunggu seminggu di sini kerana tiket pesawat ke utara Brazil dan lanjutkan ke Rio hari jumaat sudah saya tempah, mustahil saya boleh keluar dari Guyana masuk Surinam dan Guiana Perancis untuk sampai ke Brazil dalam 2 hari. Satu lagi masalah lain, Guyana cuma beri izin tinggal seminggu, pastilah terlebih tempoh kalau saya terus menunggu.

Sehabis petang yang sangat sibuk itu (termasuk pergi ke agen pelancongan, layari internet dan Skype ke kampung untuk lepaskan rasa kecewa) saya sempat bayangkan beberapa pilihan:

1. Cuba ke sempadan dan lihat kalau-kalau mungkin boleh dapat visa.
2. Terbang ke Belem (utara Brazil) dan gerak ke utara semula ke Guiana Perancis (makan lebih kurang 2 hari)
3. Datang ke kedutaan lagi hari berikutnya
4. Patah balik dari awal dan habiskan seminggu jelajah Brazil (termasuk 4 hari trip bot ke Amazon) tapi lepaskan Guiana Perancis dan terlepas jumpa kawan yang sangat saya impikan.

Saya pilih untuk tidur…

Esok sebaik bangun, saya fikir pilihan 3 memang mustahil, jadi saya buang. Terfikir mungkin saya boleh tanya agen untuk trip Georgtown – Paramaribo (ibukota Surinam) kalau-kalau saya boleh dapat visa di sempadan daripada lakukan semua itu satu persatu. Pilihan 1 ini memang jauh dari pelan saya, tapi itulah yang terdekat buat masa ini. Kalau masih tak berhasil, pilihan 2 adalah penggantinya, dan saya simpan pilihan 4 sebagai langkah terakhir andai saya terlepas pesawat. 

Saya tinggalkan hotel tanpa keyakinan penuh, tapi dengan sikit harapan. Kemudian ke agensi pelancongan yang dulu pernah rangkakan perjalanan saya ke Brazil dari Georgtown dan tanyakan kemungkinan dapat visa di sempadan, tapi lelaki di situ bilang ia tak mungkin.

Keluar Dari Albina
Selepas bicara lanjut (termasuk merayu dengan air mata), saya maklumkan kena tiba di Guiana Perancis hujung minggu ini juga (samaada hidup atau mati). Lelaki itu simpati lalu bilang " jadi kamu kena ikut jalan belakang" Saya terperanjat:

"jalan belakang? saya tak faham" 
"jalan belakang itu ertinya kamu masuk tanpa visa"
"macam mana?"
"kamu jangan lintas sempadan, tapi ikut jalan belakang"
"OK, menarik, beritahu caranya"
"ada orang akan bawa kamu naik bot. Ia menuju Surinam, kamu akan dijemput seseorang sebaik sampai di seberang dan akan dibawa ke Paramaribo.
"OK, berapa kosnya?"
"$75 untuk pengangkutan, $100 untuk polis."
"betulkah saya akan sampai ke Paramarobo?"
"ya, kamu pasti dapat ke Paramaribo tanpa periksa pasport, tapi setelah di Paramaribo, kamu tanggung sendiri"
"OK, bila berangkat?
"Sabtu pagi."
"tak boleh esok?"
"tak, esok Good Friday, pemandu bot tak berkerja pada Good Friday"

Saya gelihati bila dengar penyeludup pun ada hari libur, tapi lega juga sebab masih ada pilihan walaupun ia tak ideal dan saya tak pernah tertarik langgar undang-undang. Saya masih berharap dapat terbang ke Belem, jadi saya tanya lagi ke agensi pelancongan tadi. Seorang perempuan yang nampak mesra pun bilang, saya sepatutnya tanyakan hal itu sehari sebelum, kerana penerbangan ke Belem hanya seminggu sekali dan jatuhnya pada pagi hari ini. Jadi saya terlepas… tapi dia masih mahu bantu dan sarankan saya terbang hari Sabtu ini dari Boa Vista ke Manaus ke Belem dan dari Belem ke Macapa, tapi dengan kos US$1200… Err…. tak kot, terima kasih… 

Jadi apa lagi selain jalan belakang?… cuma untuk kepastian, saya tanyakan satu kompeni bas tentang soalan yang sama. Jawapannya sama juga, lalu saya balik lagi ke lelaki tadi dan bilang saya nekad teruskan. Namanya Bobby, dia yang akan jemput saya hari Sabtu ini dan saya harus bayar semuanya hari itu juga. Itu sajalah caranya, dan demi keselamatan saya, hal ini saya maklumkan ke beberapa rakan karib (tapi bukan ibubapa) tentang apa yang akan saya lalui. Ayat terakhir dalam email saya berbunyi "kalau kalian tak terima berita dari saya sampai Ahad, bererti saya sudah dalam penjara"  

Terpaksa tunggu sehari penuh lagi, dan Sabtu itu saya tunggu betul-betul depan hotel jam 2.45pg. Ketika masuk pukul 3.30pg, dan ketika saya fikir Bobby mungkin tak akan sampai, sebuah basmini tiba. Saya tergabungkan ke dalam bermacam-macam orang, tua, muda, lelaki, perempuan, orang Brazil, orang Guyana… Entah di mana logiknya mereka mahu rentas negara secara haram. Saya pernah terbaca dalam internet kalau inilah jalan yang paling pantas untuk ke seberang sana daripada lintas sempadan, jadi saya bayangkan mereka memang tak perlu visa untuk sekadar berbelanja atau jumpa kawan sehari dua.

Keluar Dari Albina
Saya berdebar, tapi rasa letih telah membuat saya tidur 2 atau 3 jam. Pukul 7.00pg, basmini berhenti di kawasan parkir. Bobby turun dan panggil saya: "Hey kau, sini tempatmu!" Saya capai beg, lompat dan serahkan tambang yang dah disepakati dulu ke Bobby. "OK, bayar tambang semuanya sampai ke Paramaribo, sudah itu jangan bayar lagi walau apapun yang terjadi hinggalah tiba Paramaribo. Di parkir itu, seorang lelaki tukarkan Dollar Guyana terakhir saya ke duit Surinam, dan iring saya sampai ke teksi. Saya dibawa dengan teksi ke suatu lokasi sejauh 5 minit di depan, sebelum berhenti di sebuah rumah. Lepas itu seorang lelaki lain ambil beg saya dan arahkan saya ikut dia. Kami lintas halaman rumah itu ke belakang.Nampak sungai yang penuh dengan bot-bot yang siap menunggu di situ. Kami berjalan cepat dan beg saya dicampak kemas ke dalam bot yang siaga berlepas. Semuanya sangat pantas (ambil masa 10 minit saja dari mula turun bas hinggalah naik bot) dan sangat teratur. Saya kagum dan berfikir kenderaan yang lalu jalur sah perlu ambil pelajaran dari sini.

Menyeberangi sungai itu hanya kira-kira 15 minit. Di tebing sebelah sana sudah ramai yang menunggu dan jemput siapapun yang keluar dari bot (atau terpaksa redah sungai separas betis). Saya patut bersyukur kerana sempat gelintar internet, jadi dari awal saya dah tangalkan kasut dan singsing kaki seluar, tapi tak berpeluang cecah air sebab ada seorang lelaki yang sangat cepat tarik saya dan beg saya naik ke tebing. Saya yakin ini semua memang sebahagian khidmat Bobby, tapi rupanya masih ada duit kopi. Saya enggan beri apa-apa kerana kebetulan ada teksi berhenti di depan. Tapi lelaki itu menjerit "Aku akan cari kau bila kau balik nanti!". Padahal saya tak merancang akan balik…

Dalam teksi, saya sempat bilang lebih 10 kali ke pemandu itu kalau tambang dia sudah saya bayar. Saya yakin dia tak tipu saya, malangnya saya silap… selepas bergerak beberapa minit, dia bilang saya tetap kena bayar. Malas berbantah terlalu lama sebab saya sendiri tak tahu ke mana tujuan saya (yang saya tahu ia sebuah stesen minyak) dan saya pun takut kalau dia turunkan saya di tepi jalan. Saya tanya berapa dia mahu, dia minta 150 dollar Surinam (75USD) kerana laluannya jauh. Saya sempat cakap pada diri saya sendiri "aku patut ketawakan kau" tapi dia tak tahu. Sebaliknya saya terus tawar menawar sampai merah muka hingga dia turunkan harga 75S$. Tapi saya tetap tak mahu bayar. Sekarang barulah saya faham kenapa Bobby bilang jangan bayar apa-apa lagi walau apapun yang terjadi. Ketika berbual dengan pemandu itu, saya nyatakan bahawa Bobby pernah bilang jangan bayar ke sesiapa, tapi kalau dia tetap minta, suruh dia tunggu atau telefon Bobby bila sampai di stesen minyak. Dia jawab Bobby takkan datang jemput saya sampai pukul 1.00ptg atau 2.00ptg, dan dia pun tak sanggup tunggu lama-lama (waktu itu jam 8.00pg), jadi saya cakap mungkin dia patut datang lagi… akhirnya saya sampai ke stesen minyak itu.

Sebaik keluarkan bagasi, saya bilang tak akan bayar apapun jadi dia patut tanyakan Bobby kalau dia mahu sesuatu. Dia terus pergi tanpa buat kecoh. Saya rasa saya betul, saya tahu dia sekadar cuba nasib.

Keluar Dari Albina
Lepas dari semua ini, saya tahu saya ada masa 6 jam buat tunggu kenderaan seterusnya. Saya tak rasa telah biadap sikit pun, sekarang saya faham kenapa perlu ambil masa sehari penuh untuk mencapai Parbo (pangilan ramai untuk Paramaribo) . Nasib baik ada pangkin dan meja buat saya jamah makanan dan baca buku untuk hiburkan diri... bas akhirnya tiba dan sesetengah penumpang pandang saya penuh lucu bila saya naik semula. Saya tak perasan awalnya kalau saya satu-satunya penumpang yang ikut jalan belakang, padahal penumpang lain semuanya jujur "ambil feri dan ikut sempadan rasmi". Bobby juga tak kelihatan, berganti orang lain yang entah iya atau tak adalah saudaranya.
Saya duduk di bangku antara terdepan (di ruang yang masih tinggal). Pemandu bas tanya bila saya akan 'balik'. Saya jawab tidak, dia kelihatan terperanjat. Perbualan kami lebih kurang begini:

"Tapi kamu mesti kembali"
"Tak, saya akan ke Guiana Perancis"
"Tapi kamu tak cop pasport"
"saya tahu, saya pernah tanyakan ini di Georgtown, mereka bilang tak mengapa"
"Tak, kamu mesti kembali, ataupun kamu dilarang masuk Guiana Perancis.
"Tapi saya warga Perancis, tak mungkin mereka melarang?"
"Ya, tapi kamu masuk dari Guyana, sekali ikut jalan belakang, kamu terpaksa teruskan ikut jalan belakang sampai tiba semula ke titik asal" 
"Tapi saya tak boleh balik. Apa akan terjadi lepas ini?"
"baiklah kalau memang kamu mahu ikut jalan belakang sampai Guiana Perancis, cakaplah baik-baik dengan mereka di sempadan"
"bagaimana kalau setelah tiba di sempadan, saya mengaku saja ikut jalan belakang sebab tak dapat visa dan janji akan kembali?. apakah saya akan diekstradisi ke mana-mana wilayah Perancis terdekat, Guiana Perancis contohnya?"
"Oh, tak. Jangan buat begitu! kamu akan ditangkap dan dipenjarakan 2 hari. Kemudian dihantar pulang sama ada ke Guiana Perancis atau mungkin di Guyana"
"Apakah mudah ikut jalan belakang ke Guiana Perancis?"
"Ya, sangat mudah, Pergilah ke Albina, bandar di sempadan, lalu ambil bot kecil, bukan feri.

Saya susah hati takut terpaksa patah balik sebelum sempat masuk Guiana Perancis lagipun tak mungkin saya boleh lalu Brazil (sebenarnya tak takut pun kalau tak dibenarkan masuk ke Guiana Perancis). Cuma saya nak kepastian hingga saya betul-batul sampai seberang sana yang dah tak terlalu jauh… Sebaik kami habis berbual, bas pun berhenti untuk pemeriksaan polis. Fikiran pertama saya ialah "sekurang-kurangnya kalau saya ditahan 2 hari di penjara, ada cerita menarik yang boleh saya kongsikan…" 

Semua penumpang diminta turun dari bas. Saya cuba buat hubungan mata dengan pemandu yang dah turun sebagai isyarat apa yang harus saya lakukan. Walaupun duduk di depan, saya terpaksa beri laluan untuk orang lain turun dulu. Dah terbayang kalau hari berikutnya saya bermalam di penjara. Beberapa perempuan tak dapat keluar (sebab saya halang jalan mereka), jadi seorang dari polis itu merapat ke tingkap untuk minta dokumen kami. Pemandu tadi ada di sebelah polis itu. Saya serahkan pasport saya dengan rasa gugup. Polis ambil passport saya dan kembalikan semula sambil berkata "silakan duduk". Saya pun duduk. Orang yang lain naik semula. Perjalan dilanjut.

Begitulah cara saya peruntukkan "$100 untuk polis " Orang lain yang duduk di dekat saya mula ketawa membayangkan betapa seramnya situasi saya tadi, tapi syukur, saya lepasi halangan ini. Semoga tak ada kendala yang lain lagi selepas ini... 

Dua jam kemudian, bas turunkan saya di stesen bas Paramaribo. Waktu itu lebih kurang jam 5 atau 6ptg, tapi saya mahu cepat dan segera sampai ke Albina, walaupun saya yakin memang takkan mampu seberang sempadan hari yang sama. Di Prabo, saya diserah ke beberapa lelaki yang kemudiannya melepaskan saya ke seorang pemandu teksi, yang juga secara sambilan hantar bungkusan KFC. Keretanya penuh dan saya sempitkan lagi dengan 2 perempuan Surinam yang gemuk yang tak bercakap dalam bahasa apapun selain bahasanya sendiri yang langsung saya tak faham. Selepas beberapa kali berhenti tengah bandar untuk serahkan bungkusan (patutlah saiz keretanya sebegitu), kami terus melaju ke Albina. Perjalanan makan masa 3 jam di jalan tar beralun (pada kelajuan lokal yang gila). Saya harap perjalanan waktu malam dapat elakkan pemeriksaan. Lebih sedikit 3 jam kemudian (termasuk mengganti tayar), kami sampai ke Albina tanpa kawalan keselamatan. Setengah jam sebelum sampai, saya tanyakan pemandu teksi, apakah mudah masuk ke Guiana Perancis ikut jalan belakang. Dia tanya kenapa,  jadi saya bilang saja tak ada visa. Dia terjemahkan soalan saya pada penumpang lain sebelum semuanya ketawa, kemudian bercakap-cakap 5 minit dalam bahasa mereka sendiri. Saya tak tahu apa yang terjadi, dan tak fikir kalau saya pernah buat lawak, ataukah mungkin mereka teruja dapat satu kenderaan dengan pendatang haram. Akhirnya jawapan mereka pun keluar: "ya, itu sangat-sangat mudah" 

Saya putuskan tinggal semalam di Albina kerana sudah jam 9.30mlm dan lagi pun saya pasti penginapan di sebelah Perancis jauh lebih mahal. Jadi pemandu teksi itu (saya suka sikap dia sebenarnya walaupun cara dia memandu macam orang gila, tapi itu tak terlalu menakutkan kerana ia terkawal) turunkan saya di depan sebuah hotel di mana pemiliknya minta S$60 satu malam. Saya tahu ia munasabah dan saya pun dah lelah, jadi saya terima saja. Mulanya saya tak sedar ada kereta polis di kawasan parkir sampailah dia tunjukkan kawasan sekeliling dan bilang polis sedang duduk di dapur. "jadi kau tak payah bimbang, kau selamat di sini sebab ada polis bersama kita malam ini" Kelakar, kadang-kadang suatu yang jujur mampu buat kita kaku bila sedang di posisi melanggar undang-undang!.  Jadi apa yang saya buat malam itu?, saya cepat-cepat kunci diri dalam bilik dan sembunyi sampai ke pagi…

Paginya saya bangun cepat kerana saya tak dapat jangka berapa lama waktunya akan sampai Guiana Perancis. Seorang perempuan di hotel nampak tersengih bila saya bilang saya tak perlu lalu kastam dan tanyakan dia mana boleh dapat bot kecil. Tapi dia tak tanya apapun selain tunjukkan arah yang betul. Di tepi tebing, pemandu bot ajak saya masuk ke dalam dengan biaya 5 Euro, yang sememangnya mahal tapi saya tak ada mood untuk bantah, saya hanya mahu tinggalkan Surinam secepatnya... Menyeberangi sungai ambil masa 5 minit dan saya diturunkan betul-betul di depan pos Kawalan Sempadan Perancis seperti arahan.

Masanya berkata jujur telah tiba bila lelaki dari PAF (polis sempadan, dia sendiri yang betulkan kerana mulanya saya sangka pegawai imigresen) tanya saya samaada mahu masuk atau keluar, saya serahkan pasport dan bilang "mahu masuk, tapi masih ada masalah"

"Apakah itu?"
"Saya tak ada cop keluar dari Surinam dan Guyana"
"Sekurang-kurangnya ia jelas… tapi kenapa?"
"Sebab saya lalu jalan belakang"
"kenapa jadi begitu?"
"saya tak lalu sempadan"

Saya habiskan sepenuhnya cerita saya redah jalan belakang di pejabatnya, termasuklah ceritakan pengalaman perjalanan saya selama ini. Dia tak hirau langsung bagaimana saya 'dapat lakukan itu', dia cuma yakinkan saya bahwa takkan ada masalah di imigresen jika masuk Brazil.

Dia mungkin seorang polis sempadan terbaik pernah saya temui (sebanding dengan polis Kanada dua tahun lalu di Calgary). Dia berikan saya banyak petua perjalanan di Guiana Perancis dan utara Brazil, ketika hantarkan saya ke stesen bas (1.5km di depan) dengan kereta polis yang comel. Sempat juga dia ajak singgah lihat pemandangan di Saint Laurent. Berbanding tadi, saya kini rasa lega, senang dan bahagia bila sudah di Perancis.



1 ulasan: