بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan dari Tanah Suci

UMRAH memang bukan hal asing bagi penganut Islam, jadi tentunya kunjungan saya ke Tanah Suci bukan siri kembara yang isinya seperti catatan perjalanan biasa. Malah ia memang bukan pun sebuah pengembaraan. Hanya saja setelah berdiam dua minggu di lokasi yang baru, pastinya ada hal-hal baru yang belum pernah saya nikmati sebelum ini. Dan tentunya ia juga sesuatu yang indah untuk saya kenang. Tentang manusia di jazirah Arab, tentang makanan, tentang cuaca dan tentang budaya.

Ini bukan catatan ibadah, ini hanya himpunan hal-hal baru yang dapat saya kutip di sela-sela waktu di antaranya.

Mendarat selamat di Lapangan Terbang Putera Muhammad bin Abdul Aziz, Madinah; hal asing pertama yang tertangkap di mata adalah mukabumi padang pasir yang terbentang. Sepuluh jam lalu saya masih di alam segar yang serba hijau, kini saya sudah ada di dunia baru yang serba coklat nan gondol. Sekaligus membuktikan betapa luasnya alam ini. Kemudian melihat huruf-huruf Arab yang ditulis pada plat kenderaan, pada restoran Starbuck Coffee, KFC,  dan pelbagai jenama luar, semuanya menambah keyakinan bahawa saya sudah sampai sini.

Alhamdulillah, saya antara insan terpilih untuk tunaikan umrah kali ini. Beribadat, bertemu saudara seagama berlainan bangsa dan berdiam dua minggu di negeri padang pasir yang sebelum ini hanya saya lihat dalam peta dan berita, memang sebuah pengalaman yang membekas.  

sekali tulis Arab da..
Arab Saudi sebagai negara penjaga dua Tanah Suci memang bertuah kerana sentiasa dikunjungi manusia setiap tahun. Di sebalik dasar luar Arab Saudi yang selalu mesra Amerika, mereka sebenarnya sering dikritik barat kerana menetapkan dasar dalaman yang dituduh melanggar hak asasi manusia.

Arab Saudi menetapkan Islam sebagai satu-satunya agama yang diakui negara. Bererti seluruh warganegara ditetapkan harus menganut Islam, dan tidak boleh menganut agama lain. Selain ketegasan ini, ada aspek lain yang juga selalu dimomokkan pengkritik, antaranya dasar tidak benarkan perempuan memandu, tidak benarkan operasi panggung wayang, pengasingan kaunter lelaki dan perempuan dan beberapa dasar lain yang sekali pandang, seolah menjaga Islam. Tapi pada pandangan bukan Islam, ia sebuah sekatan kebebasan. 
Ironi sekali bagaimana negara yang begitu ‘menjaga’ Islam, mampu miliki hubungan mesra dengan Amerika yang dicap anti Islam. Setelah habis fikir, saya simpulkan dasar mesra Amerika yang diamalkan itu barangkali strategi Saudi untuk kekalkan survival mereka di dunia antarabangsa. Mungkin menurut mereka, terserahlah dunia mahu berkata apa, yang penting berdiri di belakang mereka adalah polis dunia.
Kita tahu, Tanah Suci Mekah dan Madinah adalah kawasan larangan bagi penganut bukan Islam. Justeru untuk pastikan hanya umat Islam yang masuk ke Tanah Suci, ada pemeriksaan imigresen dilakukan di sebuah lokasi di jalanraya menuju Mekah. Bagaimanapun Jemaah umrah bebas lepasi sekatan ini kerana setiap bas yang bawa jemaah sudah ditandai tag khas di bahagian depannya. Jadi rombongan kami terlepas pemeriksaan.
bangunan di Bandar Madinah semuanya seragam
Menginap beberapa hari di Madinah, saya jadi jatuh cinta dengan bandaraya ini. Kenapa? Saya sendiri tak tahu apa yang buat saya rasa begitu. Barangkali rasa itu muncul setelah terpesona lihat susunatur bandar yang terancang. Jaringan jalan dalam bandar dibina secara grid, berpetak-petak, dan setiap bangunan dibina dengan ketinggian seragam. Semuanya sama tinggi antara 9 hingga 10 tingkat. Hanya fasad bangunan berbeza-beza antara satu sama lain. 

pemandangan Masjid Nabawi waktu malam
Masjid Nabawi adalah titik tengah bandar terancang Madinah. Menghala ke selatan, ke utara, ke timur dan ke barat dari Masjid Nabawi, tersusun bangunan hotel dan pejabat sama tinggi yang berlapis-lapis. Saya suka jelajah segenap sudut bandar ini seorang diri pada waktu terluang sampai ke hujungnya, sampai saya temui bandar lama dengan bangunan yang tinggi dan rendah berselang-seli.
Awas, kejadian jemaah sesat selalu lazim di Madinah gara-gara gagal mengecam hotel penginapan. Mungkin ini terjadi kerana bangunan di sekeliling Masjid Nabawi kelihatan sama. Satu ketika selepas solat Isyak, ketika saya habiskan waktu malam jalan kaki ke selatan, dari satu lapisan jalan ke lapisan-lapisan jalan seterusnya, sampailah saya ke kawasan pasar tradisi yang meriah di celah bandar lama yang jauhnya kira-kira sejam dari Masjid Nabawi. Ketika leka lihat manusia berjualan, saya disapa seorang pemandu teksi “Ya haj, ha haj, %^@$^!$)*+0 “ (disambung dengan perbualan bahasa Arab yang gagal saya faham). Kecewa dengan kegagalan saya, pemandu itu temukan saya dengan perempuan lanjut usia berwajah Melayu. Mujur ketika saya sapa dia dalam bahasa Melayu, dia faham dan membalas pertanyaan saya dalam dialek Kelantan. Perempuan tua itu tersesat.

tak jauh dari pasar ini, saya temui perempuan Thai tersesat.
Dia adaalah jemaah Thai yang yang sudah berjalan sangat jauh mencari hotel penginapan yang sebetulnya hanya beberapa langkah dari Masjid Nabawi. Alhamdulillah saya dapat bantu dia kembali ke hotel dengan bantuan seorang tenaga kerja Indonesia. Mujurlah bertemu orang luar yang mampu fahami satu bahasa yang sama.
Terserempak tenaga kerja Indonesia adalah salah satu hal yang menarik perhatian saya di sini. Jangan hairan bila melihat banyak warga Arab yang faham bahasa Melayu. Mereka sudah banyak belajar dari pekerja Indonesia yang rata-rata jadi pembantu kedai dan krew hotel. Banyaknya bilangan mereka sampai papan tanda di bandar Madinah dan Makah pun turut ditulis dalam bahasa Indonesia. Selain Indonesia, pekerja Bangladesh dan India juga penyumbang tenanga asing terbanyak di Arab Saudi.

temui papantanda berbahasa Indonesia itu biasa
Ketika berbelanja, saya selalu perasan setiap wang baki tidak dipulangkan dalam amaun yang cukup. Sebagai contoh ketika saya beli barang berharga 38 rial guna wang kertas 50, peniaga di sini cenderung kembalikan wang itu dalam amaun bundar. Baki yang sepatutnya 12 rial, mereka hanya kembalikan 10 rial. 2 rial lagi tidak dipulangkan kecuali diminta. Mungkin ini salah satu kebiasaan orang di sini. Pelanggan di sini pun tidak pernah persoalkan pulangan baki yang tidak cukup. Sekilas saya terbayang kes serupa kalau terjadi di Malaysia, peniaga tadi mungkin dah merah telinga disumpah seranah oleh pelanggan yang naik darah.

Penuh peniaga berwajah Bangladesh/India
Siapa kata Tanah Suci hanya dihuni orang jujur? Pengalaman saya ditipu hidup-hidup oleh seorang pengemis Pakistan sangat membuat saya berhati-hati. Suatu petang, selesai sudah solat Asar di Masjid Nabawi dan ketika mundar-mandir sekeliling masjid, saya didatangi seorang lelaki dalam keadaan menangis, lalu menyapa “can you speak English?” dalam sedu-sedan yang meremangkan bulu tengkuk.  Dia lantas ceritakan kisah sedihnya yang menurut saya tidak masuk akal. Katanya, dia adalah jemaah umrah Pakistan yang datang tanpa ikut rombongan. Katanya dia bertiga dengan Isteri dan bayi lelaki dan menginap di hotel (saya lupa namanya). 

“Beg tangan Isteri saya diragut” dakwanya. Dia kehilangan semua duit, telefon dan nombor penting yang perlu dihubungi. Jadi dia mohon bantuan 500rial dari saya untuk bayar sewa hotel, susu bayi, makanan dan keperluan lain buat mereka sekeluarga. Suaranya tersekat-sekat berselang suara tangis teresak-esak. Ketika saya tanya kenapa tak minta tolong sama jemaah Pakistan yang banyak di sini, atau paling tidak minta petugas masjid laporkan ke kedutaan Pakistan, dia jawab, “semua mereka tak boleh dipercaya”. Demi meyakinkan saya, dia berhujah lagi “Allah has sent you to help me”. Saya pun cair lalu hulurkan 200rial kepadanya.

Sesampai di hotel penginapan, saya sampaikan kisah ini kepada rakan serombongan. Baru tahu ada beberapa orang rakan turut ditimpa kejadian serupa sejak beberapa hari yang lalu. Namun saya redha, dan menghalalkan apa yang sudah saya beri. Cuma untuk makluman pembaca, kisah ini mungkin sebuah tauladan.

Suhu Tanah Suci ketika kedatangan kami waktu itu sedang panas sekitar 39°C hingga 43°C. Kulit khatulistiwa saya rupanya kurang mampu tahan cuaca seperti ini. Bibir saya mengelupas dan kaki merekah. Beberapa Jemaah sekumpulan malah ada yang batuk dan demam. Saya dikhabarkan, sebulan menjelang Ramadan cuacanya memang panas. Pun begitu, kepanasan begini tetap dapat disejukkan oleh tiupan angin kering yang menghembus sambil menerbangkan debu pasir. Untung buat kawan-kawan sepejabat yang kerjakan umrah tiga bulan lebih awal. Cuaca waktu itu dikhabarkan sedingin 18°C.

ada juga kawasan hijau
Ketika cuaca sepanas ini, di sesetengah kawasan masih mampu ditumbuhi pohon hijau selain pokok kurma. Sepanjang jalan dari Madinah ke Mekah, kami lalui beberapa oasis padang pasir yang tak ubah seperti pulau-pulau di tengah lautan. Oasis itulah sumber air utama bagi tumbuh-tumbuhan ini. “Awas air dari tasik oasis ini tidak sesuai diminum”, begitu menurut mutawif kami.

Tiga kali singgah makan di laluan menuju Mekah, termasuk juga di mana-mana restoran lain sesudah sampai lokasi, kami selalu disuakan bentangan plastik sebagai alas. Lalu makanan dan lauk-pauk yang kami pesan dihidangkan di atas plastik itu tanpa pinggan. Maka santaplah kami makanan yang ditebarkan atas lantai beralas plastik yang kadang-kadang ikut terbang bila ditiup angin. Ini satu lagi hal baru pada saya. Mungkin budaya mereka. Sayang saya tak dapat buktikan apakah di Riyadh pun cara makannya juga sama.

hanya beralaskan plastik
Bantuk badan Orang Arab, menurut pengamatan saya rata-rata lebih besar dari jemaah Asia Tenggara. Situasi ini menjadikan mereka terlihat kasar, di tambah lengok bahasa mereka yang bila bicara seperti meneran-neran, saya serasa sedang dimarahi jika ditegur. Mendengar komunikasi dua orang Arab pun saya sangka mereka sedang bergaduh. Tapi sebetulnya tidak. Ketika bercakap dengan nada tinggi pun hujungnya mereka selingkan gelak ketawa. Kalau di Malaysia mungkin orang sudah sentap.

ini mungkin wajah Melayu atau Jawa
Dari pengamatan mata saya, kulit orang Arab begitu cantik, wajahnya kuning keruh dan bertukar merah-jambu muda bila terdedah cuaca panas. Jadi saya rindu melihat mereka sekali lagi.
Oh, sebetulnya melihat Baitullah, pengalaman ibadah dan semua hal yang saya nyatakan di atas ini adalah pemangkin untuk rasa rindu itu. Tak sabar ingin ke sana semula.
PENULIS MENUNAIKAN UMRAH PADA 11 APRIL HINGGA 26 APRIL 2017 

Tapak Hikers & Venture - Bukit Kutu

PROGRAM          : Ekspedisi Bukit Kutu
TARIKH               : 26hb March 2017
PESERTA             : Zulkarnain, Suden Maulana & Fazli

Puncak Bukit Kutu
Bukit Kutu bukan ‘bukit’ biasa seperti mana anggapan umum. Bukit setinggi 1053 meter/dpl ini sudah layak dikategorikan 'gunung' menurut standard Malaysia. Hanya namanya saja bukit, tapi fizikal sama terjal seperti gunung-gunung lain. Pendakian Bukit Kutu kami mulakan dari Kampung Pertak. Sebuah kampung Orang Asli yang terletak sebelah kanan dari Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser. 

Saya tak pasti kalau ada jalan masuk dari arah lain. Kalau dari sini, pastikan jangan sampai tersesat. Papan tanda Kampung Pertak tak terlalu kelihatan dari jalan besar. Siap-siaplah lihat kanan sebaik lepasi Empangan Sungai Selangor. Sebaik terlihat papan tanda Kampung Pertak, teruslah masuk ke dalam dan pandu hingga ke ruang parkir di tepi padang. Caj masuk dikenakan seringgit (RM1.00). Di sini pendakian Bukit Kutu bermula.

Empangan Sungai Selangor
Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser
Sudah ramai pendaki lain buat regangan awal waktu kami sampai. Semuanya bergaya professional, jauh dari kasta kami yang masih rendah.

Permulaan jalan tar, terbentang sepanjang satu kilometer ke dalam. Di hujungnya saya lihat ada sepasukan bomba dengan dua van penyelamat sedang siaga. Mungkin dah rutin kerja mereka tunggu di situ setiap pagi, fikir saya.

sungai terbentang di sepanjang jalan
Sebaik tamat lalui jalan tar, silakan pandang kanan. Ada sungai cantik sejajar dengan jalan tanah merah selepas itu. Tapi sebelumnya ada dua jambatan besi yang perlu dilintas. Waktu kami sampai, jambatan besi yang kedua telah runtuh. Jadi terpaksa kami meniti jambatan runtuh pada posisi yang senget. Perlu keberanian lebih untuk lepasi sungai yang bahaya ini. Airnya bertambah deras bila hujan.

Debaran belum berakhir. Rupanya di depan sana terbentang sebatang lagi sungai yang perlu kami redah. Tapi mujur kali ini airnya separas lutut. Ketika lintasi sungai ini, salah seorang anggota kami tergelincir lalu jatuh dalam sungai. Lebih malang lagi kasut yang baru dibeli, yang disayang-sayangkan takut terkena air, telah hanyut. Mujur dapat ditemui semula tersangkut 100 meter dari lokasi kejadian. Nak ketawa pun tak sampai hati.

anggota kami sedang mencari kasut yang hanyut

Jalan mulai menanjak sebaik melepasi sungai itu. Walaupun bergerak hampir serentak, saya terpisah dari kumpulan ramai ketika perjalanan belum sampai pun satu kilometer. Saya menapak teramat perlahan. Gambaran trek Bukit Kutu, saya sifatkan jauh lebih curam dari Gunung Nuang pada permulaan 400 meter/dpl pertama. Baru setangah jam, saya dah hilang tenaga. Saya letih lebih cepat, peluh lebih banyak membasahkan baju. Berhenti lebih kerap dan berehat lebih lama. Beberapa pendaki muda lelaki dan perempuan bersilih-ganti memotong saya.

draf gambaran kecerunan Bukit Kutu berbanding Nuang
Tapi budak-budak muda itulah sebenarnya sumber yang membakar semangat kami. Tiba-tiba kami jadi cergas di depan mata mereka walaupun sebetulnya pura-pura. Nilaian mereka terhadap kami begitu tinggi. Padahal pengalaman kami baru sebatas takluk Gunung Nuang. Budak-budak muda itu adalah pelajar sebuah universiti awam yang datang hampir 100 orang. Rata-rata belum ada pengalaman mendaki. Jadi tanpa sengaja kami selalu jadi pakar rujuk.

Akhirnya berbekalkan tenaga yang tinggal nyawa-nyawa ikan, kami tak sedar dah tiba ke Batu Tedung. Satu lokasi tarikan Bukit Kutu yang sangat ingin saya lihat.

panjat Batu Tedung

berbongkah besar
Batu Tedung merupakan formasi bongkah batu yang menjulang setinggi 5 tingkat bangunan. Ia sangat besar, puncaknya berbentuk seperti kepala ular dalam keadaan siaga menyerang. Sampai di lokasi ini, bererti kami berjaya habiskan 2/3 pendakian. Formasi ajaib Batu Tedung selalu berfungsi sebagai ruang rehat, rawat dan teduh buat para pendaki. Pemandangan pun begitu cantik.

Kini kita sudah lepasi had kecuraman maksimum yang ada di Bukit Kutu. Pendakian seterusnya tak terlalu terjal. Tapi lebih banyak membongkok kerana bakal lalui rumpun-rumpun buluh dan balak yang telah rebah di sana-sini. Pada peringkat ini, berberapa kali saya temui ulat gonggok sebesar lipan yang keluar dari persembunyian. Ulat gonggok itu tak sampai menakutkan, tapi menggelikan lantaran aksinya yang meliuk-lintuk.

panorama
Pendakian yang santai ini akhirnya membawa kita ke kawasan tanah rata yang belum diberi nama, atau mungkin sudah ada nama yang tidak kami ketahui. Demi mengenang ulat-ulat gonggok yang saya temui tadi, saya secara peribadi namakan tempat ini Dataran Gonggok. Setuju tak?

Sebaik mencapai Dataran Gonggok, suara pendaki mengilai dan terbahak-bahak ketawa dari atas, sudah sayup-sayup kedengaran. Itu tandanya puncak Bukit Kutu sudah semakin dekat. Sepuluh minit dari situ, kami tiba juga ke puncak yang ditandai sebatang tinggalan serombong asap yang sudah usang, juga runtuhan tangga batu yang tinggal separuh. Sulit saya fikirkan bagaimana orang dulu-dulu susah-payah bawa material binaan ke kawasan setinggi ini. Lebih aneh lagi, 5 minit perjalanan dari sini kamu temui pula runtuhan rumah agam yang tinggal sebelah. Dindingnya sudah dibalut lumut dan akar-akar pokok.

bergambar bersama runtuhan bangunan
rumah agam entah milik siapa
bangga 
Belum lengkap daki Bukit Kutu kalau belum panjat bongkah batu besar di puncaknya. Panorama dari atas batu-batu dijamin jauh lebih cantik.

panjat bongkah batu.
Puas merakamkan aksi poyo di atas puncak, kami serta rombongan pelajar itu tadi bergerak turun beriringan. Sayang sekali perjalanan turun terpaksa kami redah dalam hujan yang lebat. Hujan telah membekaskan air pada trek yang tadinya kering, lalu jadi lopak-lopak yang licin. Sebahagian besar adik-adik siswa universiti itu mungkin lupa masukkan faktor hujan dalam perancangan pendakian.

merawat salah seorang pendaki muda yang tercedera
Banyak dari mereka yang jatuh tergelincir kerana pilihan kasut yang salah. Akibatnya ada yang terluka, pakaian terkoyak, kaki kejang dan tak kurang yang semput. Lalu mereka pun kami bantu sekadar termampu. Bantuan kami bukan menanti balas, cukup sekadar mereka teladani beberapa nilai yang kami tunjuk, yang barangkali berguna buat junior-junior pendaki lain yang lahir kemudiannya dari mereka -  tentang kemanusiaan dan setiakawan.

Sampai jumpa di puncak seterusnya.

Kami sampai semula ke kaki Bukit Kutu pukul 6.40 petang. Seperti di awal pendakian tadi, pasukan bomba bersama van penyalamat tadi masih ada. Terakhir baru kami tahu, mereka terlibat misi menyelamat 14 pendaki Gunung Rajah yang dipanah petir. 

TAPAK Hikers & Venture - Gunung Nuang

Puncak Nuang dilihat dari Pengasih
Program      : Ekspedisi Gunung Nuang
Tarikh         : 5 Mac 2017
Peserta     : Suden Maulana, Zulkarnain, Fazli

Memang dah banyak catatan Gunung Nuang yang dapat kita jumpa di mana-mana. Tapi itu sama sekali tak berkaitan dengan saya, apalagi bersangkutan dengan seluruh ahli Tapak Hikres yang lain. Jadi hari ini saya tampilkan laporan ringkas ekspidisi ini, bertujuan mengingatkan kembali aktiviti kami di kemudian hari. Semoga catatan ini bermanfaat juga buat pendaki lain yang bakal menakluk Nuang pada masa akan datang.

DEDIKASI
Tulisan ini hadir sebagai ganti 'mohon maaf' kami buat seluruh ahli TAPAK Hikers, khususnya buat dua otai gunung kami, Abang Ahmad Kamal dan Kak Azalina yang banyak beri tips, keterangan hikmah dan kaedah mendaki untuk saya dan beberapa junior lain yang baru jinak-jinak dalam dunia ini. Mohon maaf atas trip rahsia atau istilah kita "trip curang" yang kami bertiga lakukan. Ia bukan aktiviti sengaja yang kami rangka tanpa sebab. Ada alasan tersendiri yang sulit kami jelaskan samaada melalui lisan bahkan tulisan. 

TRADEMARK

TENTANG NUANG
Gunung Nuang dengan ketinggian 1493 meter dari paras laut (meter dpl), merupakan antara puncak tinggi dalam rangkaian puncak-puncak di Banjaran Titiwangsa, tulang belakang Semenanjung. Dua jalan utama untuk sampai ke puncak Nuang antaranya dari Kuala Langat, Selangor dan dari Janda Baik, Pahang. Sesuai seperti lokasinya yang dapat ditempoh dari dua pintu, puncak Nuang adalah pemisah sempadan antara kedua-dua negeri ini. Batu tanda sempadan dapat ditemui di puncak gunung.

06.30 pagi. Kami mulakan pendakian dari arah Kuala Langat pada hari yang masih gelap. Bekalan yang kami bawa hanya dua botol air, sebuku roti, snek coklat dan dua buah pisang seorang satu. Ia tak terlalu mewah, hanya cukup sekadar mampu digalas oleh badan. Selain itu, kami siapkan juga sepersalinan pakaian ganti, baju hujan dan lampu suluh. Pagi ini, kaki Gunung Nuang sudah penuh di datangi pendaki waja yang tak pernah kenal istilah ngantuk. Pada ketika ini, ramai juga yang sudah berkhemah semalaman.

PENDAKIAN BERMULA
Jalan siap bertar tersedia sepanjang satu per empat pertama laluan masuk ke perhentian pertama di Kem Lolo. Kemudian berganti jalan tanah merah beralun selebar 1 meter dengan kecerunan serendah 20°. Sepanjang laluan 6km ke kem itu, ada 5 pondok wakaf berselang kira-kira 1km setiap satu buat pendaki melepaskan lelah sepanjang menapak ke dalam. Pada hari-hari biasa, belum pernah jalan kaki meredah laluan panjang sejauh ini.
Hari masih gelap
8.30 pagi. Kem Lolo merupakan lokasi kegemaran pendaki bermalam sebelum sambung perjalanan dari/ke puncak Nuang. Jarak 200 meter terakhir sebelum sampai ke sini merupakan denai bercerun 40°. Pendakian pun sebenarnya baru bermula. Air Terjun mendamaikan yang dapat kita lihat, adalah ‘umpan’ buat kita berehat lebih lama. Tapi sabar dulu, perjalanan masih panjang, laluan di depan lebih mencabar dan memenatkan. Bersaip-siaplah.

Kem Lolo - Lokasi pendaki bermalam
10.30 pagi. Hampir dua jam kami ambil masa untuk sampai ke perhentian kedua – Kem Pacat. Pendakian melalui denai berbatu dengan kecerunan 60°. Penat mulai terasa, beberapa kali kami berhenti pulihkan semula tenaga, tapi perjalanan masih lagi jauh. Ini baru separuh pendakian. Ada separuh gunung lagi yang perlu kami tempuh untuk betul-betul takluk puncak. Seperti di Kem Lolo tadi, Kem Pacat juga lokasi pilihan untuk pendaki dirikan khemah dan bermalam sebelum lanjut perjalanan. Teruskan bersabar kerana pendakian selepas ini bakal lebih ekstrim.

Sampai Kem Pacat
formasi akar di Kem Pacat
DISERANG MIGRAIN DAN SAKIT DADA
Terus mendaki pada kecerunan yang menyamai tahap menegak membuat diri saya kurang selera untuk bercakap. Suara sendiri terdengar perlahan, udara sudah masuk ke segenap rongga telinga hingga hasilkan kesan dengung. Beberapa kali saya hembus nafas dan cuba keluarkan udara dari telinga bagi hilangkan simptom tanah tinggi. Tapi masalah lain pula yang timbul. Kepala jadi berat, dan pening sebelah kanan. Saya hanya mampu tarik nafas lebih dalam bagi mengurangkan rasa berat. Dan sejurus itu pula, dada saya terasa sakit. Saya hanya mampu doa dalam hati agar mampu tangani semua ini. Mungkin teknik bernafas lebih dalam dengan sela yang lebih pendek, berkesan hilangkan kesakitan ini. Alhamdulillah saya mampu tangani.

12.45 ptg. Ketika sudah hampir mahu menyerah, ketika simpanan tenaga hampir tidak tersisa, ketika sudah habis separuh hari kami mendaki, kami pun sampai ke perhentian terakhir – Kem Pengasih. Pendakian lalu denai bercerun hampir 70° dan kadangkala mencecah 80° sudah berakhir. Jujur saya suka dengan kem ini. Entah kerana namanya atau apa, saya tak pasti. Tapi kejayaan sampai ke sini beri keyakinan bahwa kami mampu takluk Nuang. Alam gunung sudah terasa. Kabus sudah meyelubungi pokok-pokok besar berdaun kecil. Lumut sudah tumbuh jadi permaidani asli di atas tanah yang kami pijak. Malah tak sedikit yang membaluti batang-batang kayu. Ia betul-betul menyegarkan mata memadang. Pendakian seterusnya untuk betul-betul sampai puncak, sudah tak sukar lagi.

Kem Pengasih
Muka Bumi Kem Pengasih
Santai di Kem Pengasih
Abadi kenangan di Kem Pengasih
1.15 ptg. Inilah Puncak Nuang. Kata-kata paling wajar sukar saya lafaz ketika kami sampai.  Hanya bersyukur dah selamat sampai puncak tanpa ada kendala yang menghalang. Dataran di puncak Nuang tak luas. Pendaki yang selamat sampai puncak saling berbagi cerita, mengimbau detik-detik cabaran yang telah mereka lalu sambil merakam kenangan di puncak Nuang. Pendaki dari arah Kuala Langat dan Janda Baik saling bertemu, mengucapkan syabas dan tahniah tanpa kenal bangsa. Ternyata kelelahan mampu menyatukan segenap manusia. Di atas puncak, kami sempat abadikan tag pengenalan “Tapak Hikers & Venture” sebagai bukti bahwa puncak Nuang sudah kami tawan.

Puncak Nuang
Berkabus
Saujana mata
Bukti TAPAK Hikers & Venture sudah di sini
2.15 ptg. Kami turun semula ke kaki gunung dalam cuaca hujan dan laluan becak berbekalkan sisa tenaga yang masih tinggal.

6.30 ptg. Air Terjun Kem Lolo yang tadinya jadi umpan, kini kami “santap” dengan lahap. Berendam dalam air yang dingin dalam cuaca hujan ketika situasi tubuh yang tidak lagi bertenaga, rupanya jadi terapi semulajadi yang tak patut kami lepaskan. Sehabis cuci diri dan berganti pakaian, kami teruskan perjalanan ke kaki gunung dengan rasa lebih segar.

8.00 malam. Sampai kaki gunung dan bersurai.