بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Catatan dari Tanah Suci

UMRAH memang bukan hal asing bagi penganut Islam, jadi tentunya kunjungan saya ke Tanah Suci bukan siri kembara yang isinya seperti catatan perjalanan biasa. Malah ia memang bukan pun sebuah pengembaraan. Hanya saja setelah berdiam dua minggu di lokasi yang baru, pastinya ada hal-hal baru yang belum pernah saya nikmati sebelum ini. Dan tentunya ia juga sesuatu yang indah untuk saya kenang. Tentang manusia di jazirah Arab, tentang makanan, tentang cuaca dan tentang budaya.

Ini bukan catatan ibadah, ini hanya himpunan hal-hal baru yang dapat saya kutip di sela-sela waktu di antaranya.

Mendarat selamat di Lapangan Terbang Putera Muhammad bin Abdul Aziz, Madinah; hal asing pertama yang tertangkap di mata adalah mukabumi padang pasir yang terbentang. Sepuluh jam lalu saya masih di alam segar yang serba hijau, kini saya sudah ada di dunia baru yang serba coklat nan gondol. Sekaligus membuktikan betapa luasnya alam ini. Kemudian melihat huruf-huruf Arab yang ditulis pada plat kenderaan, pada restoran Starbuck Coffee, KFC,  dan pelbagai jenama luar, semuanya menambah keyakinan bahawa saya sudah sampai sini.

Alhamdulillah, saya antara insan terpilih untuk tunaikan umrah kali ini. Beribadat, bertemu saudara seagama berlainan bangsa dan berdiam dua minggu di negeri padang pasir yang sebelum ini hanya saya lihat dalam peta dan berita, memang sebuah pengalaman yang membekas.  

sekali tulis Arab da..
Arab Saudi sebagai negara penjaga dua Tanah Suci memang bertuah kerana sentiasa dikunjungi manusia setiap tahun. Di sebalik dasar luar Arab Saudi yang selalu mesra Amerika, mereka sebenarnya sering dikritik barat kerana menetapkan dasar dalaman yang dituduh melanggar hak asasi manusia.

Arab Saudi menetapkan Islam sebagai satu-satunya agama yang diakui negara. Bererti seluruh warganegara ditetapkan harus menganut Islam, dan tidak boleh menganut agama lain. Selain ketegasan ini, ada aspek lain yang juga selalu dimomokkan pengkritik, antaranya dasar tidak benarkan perempuan memandu, tidak benarkan operasi panggung wayang, pengasingan kaunter lelaki dan perempuan dan beberapa dasar lain yang sekali pandang, seolah menjaga Islam. Tapi pada pandangan bukan Islam, ia sebuah sekatan kebebasan. 
Ironi sekali bagaimana negara yang begitu ‘menjaga’ Islam, mampu miliki hubungan mesra dengan Amerika yang dicap anti Islam. Setelah habis fikir, saya simpulkan dasar mesra Amerika yang diamalkan itu barangkali strategi Saudi untuk kekalkan survival mereka di dunia antarabangsa. Mungkin menurut mereka, terserahlah dunia mahu berkata apa, yang penting berdiri di belakang mereka adalah polis dunia.
Kita tahu, Tanah Suci Mekah dan Madinah adalah kawasan larangan bagi penganut bukan Islam. Justeru untuk pastikan hanya umat Islam yang masuk ke Tanah Suci, ada pemeriksaan imigresen dilakukan di sebuah lokasi di jalanraya menuju Mekah. Bagaimanapun Jemaah umrah bebas lepasi sekatan ini kerana setiap bas yang bawa jemaah sudah ditandai tag khas di bahagian depannya. Jadi rombongan kami terlepas pemeriksaan.
bangunan di Bandar Madinah semuanya seragam
Menginap beberapa hari di Madinah, saya jadi jatuh cinta dengan bandaraya ini. Kenapa? Saya sendiri tak tahu apa yang buat saya rasa begitu. Barangkali rasa itu muncul setelah terpesona lihat susunatur bandar yang terancang. Jaringan jalan dalam bandar dibina secara grid, berpetak-petak, dan setiap bangunan dibina dengan ketinggian seragam. Semuanya sama tinggi antara 9 hingga 10 tingkat. Hanya fasad bangunan berbeza-beza antara satu sama lain. 

pemandangan Masjid Nabawi waktu malam
Masjid Nabawi adalah titik tengah bandar terancang Madinah. Menghala ke selatan, ke utara, ke timur dan ke barat dari Masjid Nabawi, tersusun bangunan hotel dan pejabat sama tinggi yang berlapis-lapis. Saya suka jelajah segenap sudut bandar ini seorang diri pada waktu terluang sampai ke hujungnya, sampai saya temui bandar lama dengan bangunan yang tinggi dan rendah berselang-seli.
Awas, kejadian jemaah sesat selalu lazim di Madinah gara-gara gagal mengecam hotel penginapan. Mungkin ini terjadi kerana bangunan di sekeliling Masjid Nabawi kelihatan sama. Satu ketika selepas solat Isyak, ketika saya habiskan waktu malam jalan kaki ke selatan, dari satu lapisan jalan ke lapisan-lapisan jalan seterusnya, sampailah saya ke kawasan pasar tradisi yang meriah di celah bandar lama yang jauhnya kira-kira sejam dari Masjid Nabawi. Ketika leka lihat manusia berjualan, saya disapa seorang pemandu teksi “Ya haj, ha haj, %^@$^!$)*+0 “ (disambung dengan perbualan bahasa Arab yang gagal saya faham). Kecewa dengan kegagalan saya, pemandu itu temukan saya dengan perempuan lanjut usia berwajah Melayu. Mujur ketika saya sapa dia dalam bahasa Melayu, dia faham dan membalas pertanyaan saya dalam dialek Kelantan. Perempuan tua itu tersesat.

tak jauh dari pasar ini, saya temui perempuan Thai tersesat.
Dia adaalah jemaah Thai yang yang sudah berjalan sangat jauh mencari hotel penginapan yang sebetulnya hanya beberapa langkah dari Masjid Nabawi. Alhamdulillah saya dapat bantu dia kembali ke hotel dengan bantuan seorang tenaga kerja Indonesia. Mujurlah bertemu orang luar yang mampu fahami satu bahasa yang sama.
Terserempak tenaga kerja Indonesia adalah salah satu hal yang menarik perhatian saya di sini. Jangan hairan bila melihat banyak warga Arab yang faham bahasa Melayu. Mereka sudah banyak belajar dari pekerja Indonesia yang rata-rata jadi pembantu kedai dan krew hotel. Banyaknya bilangan mereka sampai papan tanda di bandar Madinah dan Makah pun turut ditulis dalam bahasa Indonesia. Selain Indonesia, pekerja Bangladesh dan India juga penyumbang tenanga asing terbanyak di Arab Saudi.

temui papantanda berbahasa Indonesia itu biasa
Ketika berbelanja, saya selalu perasan setiap wang baki tidak dipulangkan dalam amaun yang cukup. Sebagai contoh ketika saya beli barang berharga 38 rial guna wang kertas 50, peniaga di sini cenderung kembalikan wang itu dalam amaun bundar. Baki yang sepatutnya 12 rial, mereka hanya kembalikan 10 rial. 2 rial lagi tidak dipulangkan kecuali diminta. Mungkin ini salah satu kebiasaan orang di sini. Pelanggan di sini pun tidak pernah persoalkan pulangan baki yang tidak cukup. Sekilas saya terbayang kes serupa kalau terjadi di Malaysia, peniaga tadi mungkin dah merah telinga disumpah seranah oleh pelanggan yang naik darah.

Penuh peniaga berwajah Bangladesh/India
Siapa kata Tanah Suci hanya dihuni orang jujur? Pengalaman saya ditipu hidup-hidup oleh seorang pengemis Pakistan sangat membuat saya berhati-hati. Suatu petang, selesai sudah solat Asar di Masjid Nabawi dan ketika mundar-mandir sekeliling masjid, saya didatangi seorang lelaki dalam keadaan menangis, lalu menyapa “can you speak English?” dalam sedu-sedan yang meremangkan bulu tengkuk.  Dia lantas ceritakan kisah sedihnya yang menurut saya tidak masuk akal. Katanya, dia adalah jemaah umrah Pakistan yang datang tanpa ikut rombongan. Katanya dia bertiga dengan Isteri dan bayi lelaki dan menginap di hotel (saya lupa namanya). 

“Beg tangan Isteri saya diragut” dakwanya. Dia kehilangan semua duit, telefon dan nombor penting yang perlu dihubungi. Jadi dia mohon bantuan 500rial dari saya untuk bayar sewa hotel, susu bayi, makanan dan keperluan lain buat mereka sekeluarga. Suaranya tersekat-sekat berselang suara tangis teresak-esak. Ketika saya tanya kenapa tak minta tolong sama jemaah Pakistan yang banyak di sini, atau paling tidak minta petugas masjid laporkan ke kedutaan Pakistan, dia jawab, “semua mereka tak boleh dipercaya”. Demi meyakinkan saya, dia berhujah lagi “Allah has sent you to help me”. Saya pun cair lalu hulurkan 200rial kepadanya.

Sesampai di hotel penginapan, saya sampaikan kisah ini kepada rakan serombongan. Baru tahu ada beberapa orang rakan turut ditimpa kejadian serupa sejak beberapa hari yang lalu. Namun saya redha, dan menghalalkan apa yang sudah saya beri. Cuma untuk makluman pembaca, kisah ini mungkin sebuah tauladan.

Suhu Tanah Suci ketika kedatangan kami waktu itu sedang panas sekitar 39°C hingga 43°C. Kulit khatulistiwa saya rupanya kurang mampu tahan cuaca seperti ini. Bibir saya mengelupas dan kaki merekah. Beberapa Jemaah sekumpulan malah ada yang batuk dan demam. Saya dikhabarkan, sebulan menjelang Ramadan cuacanya memang panas. Pun begitu, kepanasan begini tetap dapat disejukkan oleh tiupan angin kering yang menghembus sambil menerbangkan debu pasir. Untung buat kawan-kawan sepejabat yang kerjakan umrah tiga bulan lebih awal. Cuaca waktu itu dikhabarkan sedingin 18°C.

ada juga kawasan hijau
Ketika cuaca sepanas ini, di sesetengah kawasan masih mampu ditumbuhi pohon hijau selain pokok kurma. Sepanjang jalan dari Madinah ke Mekah, kami lalui beberapa oasis padang pasir yang tak ubah seperti pulau-pulau di tengah lautan. Oasis itulah sumber air utama bagi tumbuh-tumbuhan ini. “Awas air dari tasik oasis ini tidak sesuai diminum”, begitu menurut mutawif kami.

Tiga kali singgah makan di laluan menuju Mekah, termasuk juga di mana-mana restoran lain sesudah sampai lokasi, kami selalu disuakan bentangan plastik sebagai alas. Lalu makanan dan lauk-pauk yang kami pesan dihidangkan di atas plastik itu tanpa pinggan. Maka santaplah kami makanan yang ditebarkan atas lantai beralas plastik yang kadang-kadang ikut terbang bila ditiup angin. Ini satu lagi hal baru pada saya. Mungkin budaya mereka. Sayang saya tak dapat buktikan apakah di Riyadh pun cara makannya juga sama.

hanya beralaskan plastik
Bantuk badan Orang Arab, menurut pengamatan saya rata-rata lebih besar dari jemaah Asia Tenggara. Situasi ini menjadikan mereka terlihat kasar, di tambah lengok bahasa mereka yang bila bicara seperti meneran-neran, saya serasa sedang dimarahi jika ditegur. Mendengar komunikasi dua orang Arab pun saya sangka mereka sedang bergaduh. Tapi sebetulnya tidak. Ketika bercakap dengan nada tinggi pun hujungnya mereka selingkan gelak ketawa. Kalau di Malaysia mungkin orang sudah sentap.

ini mungkin wajah Melayu atau Jawa
Dari pengamatan mata saya, kulit orang Arab begitu cantik, wajahnya kuning keruh dan bertukar merah-jambu muda bila terdedah cuaca panas. Jadi saya rindu melihat mereka sekali lagi.
Oh, sebetulnya melihat Baitullah, pengalaman ibadah dan semua hal yang saya nyatakan di atas ini adalah pemangkin untuk rasa rindu itu. Tak sabar ingin ke sana semula.
PENULIS MENUNAIKAN UMRAH PADA 11 APRIL HINGGA 26 APRIL 2017 

17 ulasan:

  1. hai ain datang singgah sini dan follow awak. salam perkenalan :)
    sincerely , farahain zfa

    BalasPadam
  2. <a href="https://almthaly-dammam.com/%d8%b4%d8%b1%d9%83%d8%a9-%d9%85%d9%83%d8%a7%d9%81%d8%ad%d8%a9-%d8%ad%d8%b4%d8%b1%d8%a7%d8%

    BalasPadam