بسم الله الرحمن الرحيم


Selamat Datang


Istana Cerita sebuah blog berbahasa Melayu, sebahagian besarnya dalam bahasa Malaysia, namun ada beberapa kata yang saya ambil dari bahasa Indonesia dalam usaha memudahkan penyampaian. Ada kata yang jarang kita dengar, namun tetap dapat difahami setelah melihat seluruh isi ayat.

Istana Cerita terisi berbagai himpunan genre, sebahagian besarnya tentang pengalaman perjalanan dan foto kenangan dan selebihnya tentang hal-hal yang menarik pada pandangan penulis.

Penulis dedikasikan blog ini buat semua, khasnya kepada pengagung bahasa Inggeris yang semakin bercambah di negara kita tercinta, Malaysia. Dan mengajak mereka berfikir atau paling tidak bantu beri
ilham supaya mereka yakin betapa teks dalam bahasa Melayu juga boleh diolah dengan baik dan disusun cantik membentuk himpunan kata-kata yang tak kalah hebat berbanding bahasa-bahasa lain di dunia. InsyaAllah.

Sebahagian tulisan di sini ialah tulisan lama usungan dari laman multiply penulis yang kini sudah dibubar.

Sekian. Selamat memabaca





Sejarah perkembangan Bahasa Melayu (dalam konteks Malaysia)

Menurut sejarah, Perkembangan Bahasa Melayu dipercayai bermula dari sebuah kerajaan lama di tanah Andelas (lebih tepat, di Jambi). Sebuah catatan lama kerajaan Tiongkok (china) yang ditulis pada tahun 644 masihi, telah menyebut tentang satu utusan yang datanganya dari Kerajaan Mo-Lo-Yeu (‘Melayu’) pernah menghadiahkan hasil bumi kepada Kaisar Tiongkok ketika itu. Bangsa dari Kerajaan ‘Melayu’ ini dikatakan tinggal di hulu Sungai Batanghari.

 

Kerajaan ‘Melayu’ terus bertahan sehinggalah ia diserang oleh Kerajaan Sriwijaya pada abat ke 7 masihi. Biarpun dari segi pemerintahan, Kerajaan ‘Melayu’ telah tewas, tapi bahasa mereka terus berkembang dan digunakan bersama-sama dengan bahasa Sanskrit sebagai bahasa rasmi Kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. Ketika itu, tulisan Palawa mula berkembang menggantikan huruf-huruf rencong yang pernah digunakan dalam penulisan puisi-puisi berbahasa Melayu ketika itu.

 

Penyebaran agama (hindu/budha) & perluasan wilayah juga turut membawa kepada penyebaran Bahasa Melayu hinggalah bahasa itu kekal digunakan sebagai bahasa rasmi di kerajaan-kerajaan lain yang muncul selepas era Sriwijaya. Beberapa batu bersurat yang dijumpai di Pulau Jawa juga memperlihatkan adanya pengaruh Melayu walaupun ditulis dalam tuilisan yang berbeza.

 

Selepas kedatangan Islam, tulisan huruf palawa ini diganti pula dengan tulisan Arab lebih-lebih lagi selepas munculnya beberapa kerajaan Islam di Tanah Melayu dan Sumatera. Maka bermulalah era tulisan yang lebih dikenali sebagai tulisan Jawi  untuk tempoh yang panjang sebelum Nusantara diceroboh emperial Barat. Pencerobohan kuasa Barat memberikan impak yang besar kepada bahasa melayu selepas mereka memperkenalkan huruf-huruf latin. Huruf Rumi. (Roman?)

 

Kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga muncul sebagai empayar Melayu terakhir yang mahsyur sebelum era Kolonial Inggeris di Tanah Melayu. Kekuasaan kerajaan ini tersebar luas merangkumi hampir separuh kawasan Semenanjung dan sebahagian kecil Pulau Sumatera. Bagaimanapun keterlibatan dalam perang tiga segi yang panjang dengan Acheh dan Portuguese di Melaka menyebabkan satu persatu jajahan takluknya melepaskan diri manakala satu kawasan di antara Sungai Segamat hingga Sungai Linggi diserahkan kepada pemerintahan kerabat Raja dari Pagaruyung. Kawasan tersebut akhirnya menerima budaya dan bahasa Minangkabau.

 

Biarpun empayar Johor-Riau semakin mengecil, pengaruhnya dialek Johor-Riau tetap digunakan dengan luas di setiap negeri-negeri yang pernah dikuasainya hinggalah ke zaman Kolonial Inggeris. Secara tidak langsung dialek ini menjadi dialek pemersatu anatara negeri-negeri di seluruh Tanah Melayu hinggalah dimerdekakan.

 

Bahasa Melayu dialek Johor-Riau ini kemudiannya menjadi asas kepada pembentukkan Bahasa Rasmi Negara pada akhir tahun 60-an (tahun 1967 kalau tak salah). Nama Bahasa Melayu juga digantikan dengan nama Bahasa Malaysia mengikut contoh bahasa Melayu di Indonesia yang telah ditukar nama menjadi Bahasa Indonesia. Sebagai memperingati hubungan serumpun yang erat, bentuk ejaan juga telah diseragamkan mengikut ejaan di Negara jiran itu yang jauh lebih maju dan bersistematik. Akhirnya lahirlah kata-kata yang mempunyai huruf akhiran ‘a’ tetapi berbunyi ‘ě’ dalam pertuturan seharian.

 

Pada tahun 1988, Kerajaan Malaysia melalui kementerian pendidikan memperkenalkan sebutan baku di sekolah-sekolah dan pada semua acara rasmi negara. Biarpun ramai pihak yang lebih gemar dengan bunyi ‘ě’ pada akhiran ‘a’, namun kempen bahasa baku berjalan dengan baik sehingga akhirnya menjadi sebati pada acara rasmi negara dan semakin selesa dituturkan generasi muda.

 

Pada tahun 1990, nama Bahasa Malaysia ditukar semula kepada nama asalnya, bahasa Melayu. Alasannya, bahasa Melayu turut digunakan di Singapura dan Brunei tanpa tidak diubah namanya mengikut nama negara masing-masing. Tinggallah Indonesia yang masih mengekalkan nama bahasa itu mengikut nama negaranya.

 

Akhir 1990-an, sistem sebutan baku yang hampir sebati dengan rakyat Malaysia turut ditukar kembali menjadi sebutan asal selepas pengasasnya, Timbalan Perdana Menteri ketika itu dipecat dari kabinet negara. Ada yang mengatakan ia ditukar kerana tidak mahu Bahasa Melayu Malaysia kelihatan seperti Bahasa Indonesia. Sebutan dialek Johor-Riau sekali lagi mengambil kedudukannya menjadi pengasas bahasa rasmi negara selepas penarikan itu.

Bahasa Melayu turun tahta jadi bahasa ke-3 negara

Sama ada sedar atau tidak, bahasa Melayu bukan setakat telah tewas ditangan bahasa Inggeris, malah telah turun taraf menjadi bahasa ketiga di belakang bahasa Mandarin di Malaysia. Buktinya cukup jelas,

a. Lihatlah iklan jawatan kosong dalam surat khabar utama negara, Lebih banyak jawatan professional seperti akauntan dan jurutera menjadikan Mandarin (dan apa-apa dialek cina) sebagai syarat utama selain bahasa Inggeris. (persoalan: untuk siapa jawatan ini ?)

b. Risalah (brochure), papan iklan, banting, dll. terutama dalam bidang perumahan, bank, dan iklan telefon bimbit hanya ada dua bahasa. Inggeris dan Mandarin. Tidak ada kelaskah kalau menggunakan bahasa Melayu..?

c. Semakin banyak siaran berbahasa Cina di TV -TV Malaysia. Biarpun ada 8TV, siaran TV lain masih menyediakan program bahasa Cina termasuklah rancangan untuk kanak-kanak dan dokumentari.  Siaran bahasa Cina ini ada setiap hari di semua saluran TV. Kenapa perkara yang sama tidak terjadi kepada bahasa Tamil jikalau mahu adil kepada semua kaum.

d. Cubalah tinjau di toko-toko buku seluruh negara. Pernahkah kita nampak satu sudut khas yang menyediakan buku-buku berbahasa Melayu? Tidak sama sekali. Sebaliknya sudut buku berbahasa cina semakin membesar dari semasa ke semasa. Buku-buku dari Hongkong, China dan Taiwan bebas dibawa masuk tanpa pernah disekat paling tidakpun dialih bahasa  (persoalan: siapakah kaum yang mendapat banyak peluang untuk menimba ilmu)

e. Desakan untuk menjadikan Mandarin sebagai subjek pilihan di Sekolah Kebangsaan semakin kedengaran. Dari satu sudut, memang baik jika dapat menguasai banyak bahasa. Tapi di sudut lain, bahasa Mandarin akan semakin luas diterima dan kedudukannya semakin dilihat penting. (persoalan: kenapa mesti Mandarin yang perlu diajar, kenapa tidak bahasa lain di dunia yang jauh lebih penting seperti Jepun dan Sepanyol ataupun Arab (bahasa Al-Quran). Sekiranya pasaran bahasa Mandarin lebih luas kerana ramainya jumlah penduduk di China, apa kurangnya dengan bahasa Melayu sebagai bahasa keempat terbesar penuturnya di seluruh dunia.  Kawasan sendiripun belum diterokai, ada hati mahu ke tempat orang.

f. Ketika bahasa Inggeris digunakan untuk subjek sains dan metematik di Sekolah Kebangsaan dan Sekoleh Jenis Kebangsaan (Tamil), Sekolah Jenis Kebaangsaan (Cina) masih tetap dengan pendirian mereka untuk kekal mengajarnya dalam bahasa Mandarin. (persoalaan: Banyakkah ilmu yang dapat diserap ke dalam jiwa sedang ilmu itu bukan datangnya dari bahasa sendiri?

Aku hairan kenapa tiada siapa yang serius melihat perkara ini hatta pemimpin kerajaan sendiri. Masih Melayukah kita jika bahasa sebagai satu eleman penting dalam sesuatu bangsa itu telah hilang..?

"takkan Melayu hilang didunia"  Jangan harap kata-kata laksamana Hang Tuah ini terus relevan

Kembali mencari identiti

Dulu masa kecil, aku tak pernah tahu bahawa suku-suku pribumi yang ada di Malaysia ini rupanya bersusur-galur dari ribuan pulau-pulau yang bertaburan di seluruh Nusantara.  yang kini menjadi sebahagian dari Indonesia. Sangkaan aku, suku-suku seperti Jawa, Bugis, Minang, Mandailing, Boyan, Banjar, Batak, Buton dan suku-suku lain yang semuanya diiktiraf Melayu (mengikut tafsiran Malaysia) memang berketurunan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak azali.

Seingat aku, ketika di sekolah dulupun, aku tak pernah diajar tentang adanya kawasan lain yang sebenarnya merupakan tanah asal suku-suku tersebut sehinggalah aku mengerti sendiri melalui pembacaan dan pergaulan dengan segolongan warga asing di Malaysia. Hingga sekarang, aku yakin ramai masyarakat keturunan suku-suku ini di Malaysia yang tak tahu dari mana asal-usul mereka. Apa lagi untuk tahu lanjut tentang tanah leluhur mereka.

Ketika di sekolah dulu, pernah juga diterangkan bahawa orang Negeri Sembilan berketurunan Minang dan berasal Sumatera Barat. Itu sajalah yang selalu disebut di sekolah. aku pula tak pernah berminat mengetahuinya selepas itu.

Tapi sejak menjadi seorang pekerja (lewat tahun-tahun 90-an), aku telah mula didekatkan dengan perkara ini ketika tinggal berkongsi bilik dengan dua pekerja asing warga Indonesia.  Walau ramai yang membantah, aku tetap nekad tinggal dengan Harno dan Nasiman kerana tiada pilihan.

Dari mereka berdua, aku mula tahu sedikit tentang Jawa. Walaupun aku juga berdarah Jawa, tapi aku tak pernah merasa ada hubungan dengannya sebelum ini lebih-lebih lagi dengan tanah seberang. Paling penting, melalui mereka aku telah didekatkan dengan bahasa Jawa yang sebelum ini aku benci mendengarnya termasuklah ketika dituturkan ibu bila berbicara bersama abangnya. 

Dan dari mereka berdua, aku juga dapat tahu bahawa orang Bugis yang banyak di Johor dan Sabah, Malaysia ini rupanya berasal dari Sulawesi.

Dari mereka juga, aku tahu bahawa teman-temanku dari suku Banjar yang semuanya kelahiran Parit Buntar, Perak rupanya punya nenek-moyang di Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

Aku juga diberitahu, orang Mandailing dan Batak yang kononnya bengis-bengis dan misai melentik yang ramai bermukim di Perak rupanya bermigrasi dari Sumatera Utara.

Aku juga dimengertikan bahawa, lagu ‘la au be’ yang suka aku dendangkan itu adalah lagu Boyan yang berasal dari pulau Bawean.

Aku juga kaget bila diberitahu, kawan karibku dari suku Buton yang berasal dari Tawau, Sabah itu rupanya punya leluhur di Pulau Buton dekat Sulawesi.

Ah…. Lalu  apa yang memang asli dari Semenanjung ? Aku selalu tertanya-tanya.

Terima kasih pada Harno dan Nasiman yang banyak menyedarkan aku tentang ini. Di mana ya kamu ketika ini……………?  Harap kita bertemu lagi.

Bigfoot ada di Johor


Semasa pulang kampung baru-baru ini, aku tertarik pada satu papan tanda (billboard) sempena pelancaran Kosmo Edisi Johor yang banyak dipasang di jalanraya utama di negeri ini. Papan tanda itu menggambarkan seekor mawas atau bigfood atau hantu jarang gigi dalam bahasa suku Jakun sedang menatap senaskah surat khabar (koran) dalam hutan. Simbolik dan bernas idea ini. Pandai Kosmo menggunakan haiwan itu sebagai maskotnya disaat kisah penemuan jejak bigfoot semakin lama semakin panas diperkatakan.

Menyentuh tentang bigfoot, aku juga ada cerita yang berkaitan dengannya. Dulu masa di kampung  ketika usia aku sekitar lapan tahun (sekitar tahun 80-an) heboh diperkatakan tentang penemuan bekas tapak kaki sebesar dua kali ganda tapak kaki manusia oleh Tok Uda (arwah) ketika menoreh getah di kebunnya di Bukit Keramoyang yang terletak kira-kira 5km dari kampungku. Ketika itu kawasan Bukit Keramoyang masih lagi banyak yang belum diterokai. Masih hutan.  

Ramai orang kampung yang tak ketinggalan menyaksikan sendiri tapak kaki gergasi tersebut termasuklah ibu dan ayahku. Masa tu aku pun belum pernah dengar istilah bigfoot. Apa yang diperkatakan hanyalah kewujudan bekas tapak kaki gergasi yang mana ceritanya berlegar setakat dikawasan Simpang Renggam sahaja. Tak sangka pulak jejak Bigfoot yang kononnya pernah dijumpai di Amerika Latin sebanarnya ada di sebuah kampung di negara yang tak terkenal namanya (masa itu). Lokasi penemuannya juga di sebuah bukit yang dinamakan Bukit Keramoyang (kera + Moyang)

Dan kini cerita itu timbul lagi. Menariknya juga berlaku di Johor. Pandangan peribadi, aku percaya kewujudan bigfoot lebih-lebih lagi selepas media mendedahkan pengakuan Tengku Mahkota Johor mengenai pelepasan beberapa ekor Mawas (orang utan bersaiz besar) oleh almarhum nendenya di hutan negeri ini berpuluh tahun yang lalu.

Kewujudan bigfoot di Johor juga tidak dinafikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman seperti dalam petikan akhbar berikut:

11 Feb - Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman hari ini menegaskan, Bigfoot atau mawas memang wujud di dalam hutan negeri ini seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan. Menurut beliau, pengesahan itu dibuat berdasarkan kepada sumber maklumat yang diperolehi daripada Orang Asli. "Laporan tentang adanya Bigfoot di Johor memang betul. Ini berdasarkan sumber maklumat Orang Asli. Jadi laporan akhbar itu memang betul. "Bigfoot ada di Johor dan KOSMO! ada di Johor," katanya memulakan ucapan pelancaran akhbar Kosmo! edisi Johor terbitan Kumpulan Utusan di Danga Bay, di sini hari ini.

Akhbar kompak edisi Johor itu menggunakan maskot Bigfoot sebagai gimik pelancarannya. Menteri Besar berkata, beliau yakin dengan sumber Orang Asli itu memandangkan mereka mempunyai kebolehan untuk mengesan binatang termasuk Bigfoot berdasarkan jejak dan bau. Kisah Bigfoot mula menjadi bahan percakapan umum apabila Penasihat Persatuan Alam Malaysia (MNS) Johor, Vincent Chow percaya haiwan yang selama ini dianggap mitos, benar-benar wujud ekoran beberapa insiden orang ramai terserempak dengan makhluk itu. Menurut beliau, antara kawasan hutan yang diyakini didiami binatang itu ialah di Tanjung Piai, Mersing, Kahang, taman Negara Endau-Rompin dan Kota Tinggi. Ekoran pendedahan itu, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) telah mengadakan satu ekspedisi menjejaki haiwan gergasi itu di Hutan SimpanSungai Madik, Kahang tetapi gagal menemui sebarang kesan kewujudannya.

Sejak itu, kisah kewujudan Bigfoot di negeri ini mula mendapat perhatian akhbar-akhbar tempatan dan luar negara malahan menjadi salah satu topik paling tinggi pencariannya di Internet. Beberapa agensi berita asing mendakwa kerajaan Johor sengaja memperbesarkan isu kewujudan Bigfoot bagi menarik perhatian pelancong mengunjungi negeri itu dan mendakwa ia sebagai gimik ketika filem King Kong ditayangkan di seluruh dunia. Baru-baru ini, Abdul Ghani mengumumkan cadangan penubuhan pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar binatang tersebut untuk menjalankan penyelidikan, pengesahan dan penjejakan Bigfoot. "Pasukan tersebut bertujuan mencari lokasi sebenar Bigfoot berada dan kemudian menghantar satu lagi pasukan untuk mengesan dan menjejakinya, " kata beliau.

 

Nafas baru memertabat bahasa Melayu

Di tengah situasi panas kesan kenaikan harga minyak, Kerajaan Malaysia mengumumkan pula rencananya untuk memperkasa bahasa Melayu, satu keputusan yang sedikit sebanyak dapat melegakan nafas pencinta bahasa yang selama ini panas telinga akibat pelaksanaan subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (SMI). Menurut Menteri Pelajaran, kerajaan tidak teragak-agak mengkaji akta bahasa jika perlu termasuk memperkenalkan dasar-dasar baru supaya kedudukan Bahasa Melayu tidak terpinggir.

Semoga kerajaan serius dengan rencananya. Semoga keputusan ini bukan satu rencana palsu yang diutarakan semata-mata untuk meredakan ketegangan bagi menyejukkan hati setengah golongan.

Saya musykil juga bila kerajaan tak pula menyentuh langsung isu SMI.  Dikhuatiri, tujuan mengkaji semula akta bahasa ini semata-mata untuk membolehkan SMI diteruskan supaya kedua-dua subjek itu tidak bertentangan dalam akta. Saya percaya, selagi sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, jangan mimpilah bahasa Melayu dapat diperkasakan dan disegani paling tidakpun dinegara sendiri.